MASYARAKAT antarabangsa tentunya masih ingat bagaimana
kerajaan Mesir di bawah Presiden Hosni Mubarak menutup pintu sempadannya di
Rafah ketika penduduk Palestin di Gaza teruk dibedil oleh tentera Israel pada
hujung 2008.
Ramai yang masih ingat puluhan ribu tan makanan dan bantuan
yang dihantar oleh masyarakat antarabangsa termasuk dari Malaysia untuk
penduduk Gaza hanya dilonggokkan di bandar Al-Arish hingga reput ekoran
keengganan kerajaan Mesir membuka pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan
segala bantuan itu dibawa masuk ke Gaza.
Rafah merupakan satu-satunya pintu masuk yang bersempadan
dengan Mesir yang membolehkan segala bantuan dihulurkan kepada penduduk
Palestin di Gaza.
Tetapi disebabkan polisi kerajaan Mesir ketika itu yang akur
dengan perjanjian mereka dengan Israel, pintu masuk ke Gaza ditutup rapat.
Pada masa itu pihak berkuasa Mesir menutup sepenuhnya pintu
sempadan dan tidak ada sebarang pergerakan dibenarkan sama ada makanan,
ubat-ubatan, doktor, pekerja bantuan atau wartawan.
Mesir ketika itu seolah-olah bersekongkol dengan Israel
untuk memastikan penduduk Gaza menderita.
Dasar tutup pintu Mesir menyebabkan penduduk Gaza menggali
terowong bagi membolehkan mereka menyusup masuk ke Mesir untuk mendapatkan
keperluan hidup.
Namun atas desakan Israel, kerajaan Mesir telah menanam
cerucuk besi sedalam lebih 30 meter bagi menghalang pembinaan terowong tersebut
dan memutuskan sama sekali hubungan penduduk Gaza dengan dunia luar.
Malah, polisi luar Mesir turut mengiktiraf Israel sebagai
sebuah negara, sebaliknya mereka tidak mengiktiraf kewujudan negara Palestin.
Kini masyarakat dunia mahu melihat adakah Presiden baru
Mesir, Mohammed Mursi akan mengubah polisi negara itu terhadap Paletin dan
Israel.
Yang paling penting adakah dia akan menggerakkan inisiatif
membuka sepenuhnya pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan rakyat Palestin di
Gaza berurusan dengan dunia luar.
Itu dilihat antara cabaran utama yang bakal dipikul oleh
Mursi, Presiden Mesir yang pertama dipilih melalui pilihan raya bebas dan yang
pertama dari kalangan kumpulan pendokong Islam.
Malah, masyarakat Islam antarabangsa termasuk di Malaysia
sangat berharap Mursi mengubah polisi itu untuk membolehkan penduduk Gaza
berhubung dengan masyarakat dunia terutama dalam mendapatkan bantuan memulihkan
hospital, sekolah dan kemudahan awam lain yang rosak teruk akibat serangan
rejim zionis.
Dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden, Mursi berjanji
untuk menghormati perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai oleh Mesir.
Dia juga berkata, akan menimbang semula perjanjian damai
dengan Israel. Tetapi tidak pula menyebut sama ada perjanjian damai
Mesir-Israel 1979 akan diteliti atau dibatalkan.
Pada masa sama, ramai yang berpendapat, biarpun anti-Israel,
namun Ikhwan Muslimin menghormati perjanjian dengan rejim zionis itu.
Malah pemerhati berpendapat biar pihak mana sekalipun yang
berkuasa di Mesir tidak ada siapa yang mahu kembali ke medan perang.
Sebab itu ada yang mengatakan polisi Mursi terhadap Israel
tidak akan berubah.
Maknanya, polisi terhadap Palestin juga akan kekal sama
dengan pintu sempadan di Rafah akan kekal tertutup rapi.
Jika polis Mesir di bawah pentadbiran Mursi terhadap
Palestin dan Israel tidak berubah maka kemenangan itu tidak memberi apa-apa
makna kepada dunia Islam.
Apa yang diharapkan ialah sekurang-kurang Muris mengambil
langkah membuka pintu sempadan di Rafah bagi membolehkan penduduk Gaza
berurusan dengan dunia.
Tindakan itu jika menjadi kenyataan, ia seolah-olah
membebaskan penduduk Gaza dari penjara terbuka ciptaan Israel.
Sebab itu, ramai yang berpendapat isu Palestin dan Israel
merupakan ujian utama terhadap pentadbiran Mursi selain isu-isu domestik yang
mendesak.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan