Jumaat, 29 Jun 2012

ISU GLOBAL : Beban besar menanti Mursi



Oleh : Aznan Bakar
aznan.bakar@utusan.com.my

PADA Januari 2011, Dataran Tahrir di Kaherah, bermandi darah apabila ratusan ribu rakyat negara itu berkumpul dalam revolusi menjatuhkan pemerintahan autoritarian 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.

Peristiwa itu mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau di Mesir yang menyaksikan 900 orang terkorban diikuti dengan perletakan jawatan Mubarak sebagai presiden.

Ahad lalu, Dataran Tahrir sekali menjadi tumpuan ratusan ribu penduduk Mesir. Tetapi kali ini bagi meraikan pelantikan Mohammed Mursi sebagai Presiden - Presiden pertama dalam sejarah Mesir yang dipilih melalui pilihan raya bebas. Malah yang pertama dari kalangan orang awam dan pendokong Islam.

Ketika Mubarak yang kini koma dihantar kembali ke penjara, Mursi yang pernah menjadi tahanan ketika Mesir di bawah pimpinan bekas presiden itu melangkah ke Istana Presiden sambil mencongak barisan Kabinetnya setelah mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya presiden yang berakhir Januari lalu.

Mursi, 60, seorang jurutera bergelar profesor yang pernah belajar di California, Amerika Syarikat (AS) dan pernah dipenjarakan kerana pegangan politiknya oleh polis rahsia Mubarak, Ahad lalu berkata: "Hari ini saya adalah presiden kepada seluruh rakyat Mesir."

Ungkapan itu dilihat sebagai detik perubahan dalam sejarah politik Mesir yang selama ini di bawah kuasa tentera.

Malah pelantikan Mursi dikatakan akan menjadikan Mesir lebih Islam daripada sebelum ini dengan majoriti ahli parlimen dan barisan Kabinet yang bakal dilantik katanya akan terdiri daripada para penghafal al-Quran dan hadis serta ulama.

Tetapi mampukah Mursi merealisasikan apa yang diimpikan oleh Ikhwan Muslimin yang diwakilinya?

Di sebalik kejayaan itu, beban yang menanti Mursi bukan sedikit.

Dia perlu mengimbangi antara tuntutan rakyat di jalanan yang mengangkatnya ke Istana Presiden dengan pengaruh tentera yang masih tidak dapat dipisahkan daripada politik Mesir.

Tentera yang sudah 60 tahun menguasai politik negara itu tidak mungkin menyerahkan kuasa dengan mudah. Malah kerajaan sementara setelah Mubarak digulingkan yang disokong tentera telah meminda perlembagaan bagi mengurangkan kuasa presiden.

Malah sebelum Mursi memberikan ucapan pertamanya sebagai Presiden, pemimpin tentera yang memimpin kerajaan sementara telah mempengaruhi para hakim membubarkan parlimen yang Ikhwan Muslimin menangi dengan keputusan majoriti pada tahun lalu.

Dengan kuasa yang semakin kurang, cabaran hebat tentunya menanti Mursi dalam menjayakan agendanya kepada rakyat.

Pelantikan Mursi itu juga diharapkan tanda berakhirnya kemelut politik Mesir selama 16 bulan.

Kemelut itu bukan sahaja menyaksikan kejatuhan Mubarak, tetapi turut menyaksikan ketidakstabilan selain ekonomi Mesir merudum.

Dalam tempoh 16 bulan itu, bukan sahaja politik Mesir runtuh, infrastrukturnya juga rosak, ekonomi hampir musnah, sistem pendidikan kucar-kacir dan sistem kesihatan awam boleh dikatakan tidak wujud.

Sebab itu, cabaran yang dipikul oleh Mursi bukan sekadar memulihkan kestabilan politik selepas Mubarak ditumbangkan, tetapi turut memulihkan negara itu secara keseluruhannya terutama dalam menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Pendokong revolusi yang menjatuhkan Mubarak terutama golongan muda tentunya mahukan lebih daripada sekadar pemimpin baru.

Mereka tentunya mahukan pemimpin yang alim dan mendokong Islam, tetapi pada masa sama mahukan hak sebagai rakyat dipenuhi terutama dalam isu pengangguran dan kemiskinan.

Dengan sektor pelancongan Mesir terjejas teruk ekoran suasana dalaman tidak stabil selepas era kejatuhan Mubarak, ramai rakyatnya yang bergantung kepada pelancong asing kini hilang pekerjaan.

Peranan utama Mursi kini selain membentuk barisan Kabinet yang mantap ialah memulihkan keyakinan pelabur dan pelancong asing supaya kembali ke Mesir dan kembali menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya.

Bagi rakyat Mesir, mereka menaruh harapan bukan sahaja untuk Mursi membawa pembaharuan kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran, tetapi juga menyediakan kehidupan yang lebih baik.

Persoalannya sekarang, adakah rakyat Mesir di bawah pimpinan Mursi akan menerima faedah yang lebih baik berbanding selama 30 tahun dipimpin oleh Mubarak?

Itu yang perlu dibuktikan oleh Mursi bahawa tindakan rakyat negara itu memilih Ikhwan Muslimin adalah tepat.

Bagaimana pula dengan hubungan antarabangsa terutama yang membabitkan persahabatan dengan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu rapat Israel?

Sedangkan, Mursi bukan sahaja anti-Israel, tetapi turut pro-Iran dan Hamas di Palestin yang mana ia sudah tentu tidak disenangi oleh AS yang berusaha keras untuk meminggirkan Iran dari kelompok negara-negara teluk.

Sebab itu pelantikan Mursi diikuti dengan teliti oleh seluruh masyarakat dunia terutama AS dan Kesatuan Eropah kerana dia dari golongan pendokong Islam.

Bagaimanapun dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden, Mursi menjanjikan satu kebangkitan Islam yang sederhana.

Bagi masyarakat barat, kecenderungan politik antarabangsa Mursi yang anti-Israel dan pro-Iran serta pro-Hamas amat membimbangkan.

Apabila Mursi diisytihar sebagai pemenang dalam pemilihan Presiden Mesir, Iran merupakan antara negara pertama yang mengutuskan ucapan tahniah.

Malah Iran menyifatkan kemenangan itu sebagai keindahan dalam demokrasi yang menandakan kebangkitan Islam.

Perkembangan itu sudah tentu menggusarkan barat yang merupakan sekutu utama Mesir sejak sekian lama.

Tetapi, bagi para pemerhati, Mursi perlu memberikan tumpuan kepada isu domestik terlebih dahulu.

Masalah dalaman yang membabitkan isu keselamatan, kemiskinan, penyediaan peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan merupakan perkara utama yang menuntut penyelesaian segera.

Tanpa kestabilan dalaman, Mursi tidak mampu menggerakkan kerajaannya. Jika itu berlaku, sudah tentu dia akan gagal melakukan pembaharuan seperti yang dituntut rakyat. Akibat daripada kegagalan itu tentunya buruk. Antara kemungkinannya ialah rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Mursi perlu segera mengembali kestabilan negara itu yang sejak 16 bulan lalu terumbang-ambing. Apabila sudah stabil, barulah dia boleh memacu Mesir ke peringkat lebih tinggi dan menjadikan negara itu sebagai sebuah negara Islam yang dihormati dan bukan sekadar boneka kuasa besar dunia terutama AS.

1 ulasan:

  1. Kita doakan dia tabah dan mampu membawa Mesir ke arah paradigma yang baru.

    Pada saya, Mohammed Morsi mempunyai karisma yang tersendiri. Jauh di sudut hati saya, saya berharap dia dapat mengubah cara negara itu menangani isu penutupan pintu sempadan Mesir dan tebing Gaza.

    Mesir juga harus menjadi negara yang disegani oleh barat, bukannya kerajaan boneka seperti mana Iraq yang kini masih bergelut dengan huru- hara

    BalasPadam