PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata dalam memastikan pendidikan adil kepada semua peringkat golongan
masyarakat, dua prinsip utama diperjuangkan kerajaan iaitu meritokrasi
kecemerlangan dan keadilan sosial.
Beliau berkata adunan dua prinsip itu penting bagi
memastikan kejayaan pergerakan sosial mobiliti di negara ini terus dinikmati
semua pihak.
"Oleh itu kalau sistem kita tidak dapat memberi peluang
yang adil kepada golongan tersebut maka akan berlaku kepincangan dalam
masyarakat," katanya semasa berucap pada majlis sesi sembang Perdana
Menteri bersama Profesor dan Profesor Madya Institusi Pendidikan Tinggi Awam
(IPTA) di sini Khamis.
Program itu dihadiri ahli majlis Persatuan Akademik Malaysia
yang mewakili 30,000 golongan itu di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata justeru, salah satu kebanggaan
kerajaan selama ini ialah mobiliti sosial yang agak ketara dan cepat sekali
berlaku iaitu hanya dalam tempoh satu generasi sahaja.
"Mungkin juga ada di kalangan pensyarah dalam majlis
itu yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, pekebun kecil
dan kakitangan awam rendah tetapi kini menjawat jawatan tinggi jauh lebih
baik," katanya.
Najib berkata keadaan itu adalah disebabkan peluang mobiliti
sosial yang ada, peluang pendidikan serta pinjaman dan biasiswa membolehkan rakyat melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.
"Apa yang saya harapkan proses itu akan berterusan dan
saya bangga sekali mendengar anak kampung, anak daripada keluarga miskin
termasuk miskin di bandar berjaya kerana sistem pendidikan yang diperjuangkan
selama ini," katanya.
Perdana Menteri berkata pelbagai kemudahan disediakan dalam
bidang pendidikan termasuk subsidi yang cukup tinggi sehingga mencapai 90
peratus.
"(Harga) Barangan lain semua sudah naik...teh tarik,
roti canai naik tetapi yuran pendidikan tinggi tak pernah dinaikkan kerajaan
sampai sekarang walaupun kos semakin bertambah," katanya.
Selain biasiswa, katanya kerajaan sediakan pinjaman menerusi
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan jasa tabung itu amat
besar sekali dalam membantu semua peringkat masyarakat mendapat akses
pendidikan tinggi.
"Malangnya sejak kebelakangan PTPTN jadi kontroversi
pula sedangkan jasa tabung pendidikan itu tidak dapat dinafikan.
"Secara rasionalnya mana ada pendidikan percuma di
dunia, semua perlu dibayar, jadi kepada yang telah meminjam (PTPTN) adalah
menjadi satu kewajipan untuk membayar," katanya.
Perdana Menteri berkata untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara yang cemerlang kedua-dua prinsip itu mesti digabungkan dan semua
dasar yang dijalankan kerajaan mengambil kira keadilan sosial.
"Ia juga dirangka dengan penuh penelitian, mempunyai
prinsip serta asas perancangan dan bukan secara semberono sahaja kerana
kerajaan tidak mahu sekadar menaburkan janji tanpa menjana kekayaan,"
katanya.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan