TEMERLOH : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) melupuskan pinjaman pendidikan sebanyak RM475.046 juta kepada
16,959 graduan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama sehingga 31 Mei
lepas.
Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, daripada
jumlah itu, seramai 12,529 pelajar dikecualikan daripada membayar balik
pinjaman bernilai RM359.26 juta apabila pinjaman mereka ditukarkan kepada
biasiswa.
Katanya, seramai 4,430 bekas pelajar tahun 2005, 2006 dan
2007 yang lulus cemerlang dengan mendapat Ijazah Sarjana kelas pertama turut
menikmati pengecualian itu yang membabitkan peruntukan RM116.2 juta.
"Sebelum ini graduan cemerlang ini tidak mendapat
pengecualian tersebut tetapi kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk
mengecualikan mereka daripada membayar balik pinjaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
menyampaikan Wang Pendahaluan Pembiayaan (WPP) kepada 124 pelajar kawasan
Parlimen Kuala Krau yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam tahun
ini di sini, Jumaat.
Ismail, yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, berkata kerajaan
membelanjakan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun bagi pinjaman kepada
pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggai awam dan swasta dan sehingga
31 Mei lalu, PTPTN telah memberi pinjaman kepada 1.98 juta pelajar membabitkan
peruntukan RM44.18 bilion.
Menurutnya, kerajaan tidak bercadang memberhentikan
pemberian pinjaman itu bagi melahirkan lebih ramai rakyat berilmu untuk
mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
Dalam perkembangan yang sama, beliau menafikan tuduhan pihak
tertentu kononnya konsep syariah pinjaman dan pembayaran Ujrah PTPTN adalah
zalim dan memberikan tekanan kepada bekas pelajar untuk membayar balik pinjaman
tersebut.
Beliau berkata, akibat terpengaruh dengan dakyah tersebut
yang disebar secara meluas dalam internet dan tulisan blog, ramai bekas pelajar
enggan menukar status pinjaman mereka daripada konvensional kepada konsep
Ujrah.
"Mereka yang terpengaruh dengan tulisan blog tersebut
dinasihatkan supaya menghubungi PTPTN untuk mendapatkan gambaran sebenar
mengenai konsep Ujrah yangmenguntungkan kerana mereka hanya perlu membayar
pinjaman dengan dikenakan satuperatus sahaja untuk urusan pentadbiran,"
katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan