Khamis, 15 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Teknik mengajar negara maju wajar dicontohi ubah sistem pendidikan


SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya sistem pendidikan negara dirombak sememangnya tepat pada masanya, seiring dengan arus perubahan dan pemodenan yang dialami negara. Sudah tentu ia sejajar dengan proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran akan datang. Sistem yang ada sekarang yang mengkehendaki pelajar menghafal mata pelajaran dan mengalihkannya ke kertas peperiksaan sudah lapuk ditelan zaman.

Sistem tersebut tidak menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif seperti yang diamalkan di pusat pengajian tinggi di negara maju. Seperti pernah dikatakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz sistem pendidikan yang baik haruslah menerapkan tiga nilai, iaitu kebolehan menulis dan membaca (literacy), kebolehan mengira (numeracy) dan ilmu berfikir (operacy). Kita bersetuju dengan pandangan Ungku Aziz bahawa dalam usaha mengkaji semula sistem pendidikan itu, adalah wajar kita melihat pengalaman negara lain. Walaupun tidak perlu meniru sepenuhnya, namun mungkin teknik mengajar yang digunakan negara maju yang terbukti berkesan boleh ditimba sebagai contoh dalam mewujudkan daya pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar kita.

Kita mengakui walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan Malaysia, namun dunia pada masa depan adalah berbeza dan sebagai negara membangun, kita perlu membuat persediaan ke arah itu. Oleh itu penyediaan sumber manusia ke arah pencapaian Wawasan 2020 sudah pasti memerlukan pembaharuan dalam sistem pendidikan terutama cara kita belajar dan mengajar. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kira-kira 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada masa depan masih belum wujud sekarang. Dalam hubungan ini kita memerlukan kaedah bagaimana untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang ada untuk menyelesaikan masalah dan mengamalkan pemikiran di luar kotak, yang bukan amalan rutin biasa.

Justeru Projek I-Think yang dilaksanakan kerajaan untuk memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovasi pada peringkat sekolah rendah dan menengah seharusnya diperluaskan lagi bagi meliputi semua sekolah dalam masa terdekat. Menerusi program seumpama, adalah diharapkan keupayaan murid untuk memahami sesuatu konsep dan mengaplikasinya dapat membantu mereka menghadapi apa jua cabaran pada masa depan dengan lebih yakin tanpa sebarang keraguan. Ia adalah permulaan penting dalam menaikkan mutu sistem pendidikan negara sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan