SISTEM pendidikan negara bakal memasuki fasa baru
apabila Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PPP 2013-2025) dilancarkan
semalam. Ia berasaskan 11 anjakan utama bagi memastikan transformasi pendidikan
bersifat futuristik dan jangka panjang bagi menyediakan modal insan cemerlang
untuk meningkat daya saing menghadapi cabaran termasuk di arena antarabangsa.
Rancangan yang
dilaksanakan sepanjang tempoh 13 tahun membabitkan tiga fasa (gelombang)
dijangka menjadikan sistem pendidikan Malaysia setaraf di negara maju. Fasa
pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, apabila keperluan
guru diberi penekanan serta pelajar diberikan tumpuan dalam pembangunan
kemahiran asas. Fasa kedua pula memberi fokus rancangan pelaksanaan berasaskan
perkembangan dan pencapaian semasa. Untuk gelombang ketiga pula, bermula 2020
hingga 2025, kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan.
Kita yakin pelan pembangunan pendidikan ini begitu menyeluruh dengan memberi
tumpuan kepada usaha melahirkan pelajar berkualiti bagi menghadapi cabaran masa
depan. Sebagai modal insan yang bakal mencorakkan negara pada masa depan, pelajar
hari ini harus memiliki pengetahuan luas, kemahiran berfikir, bakat
kepemimpinan, kebolehan bertutur pelbagai bahasa, beretika dan memberi
penekanan terhadap identiti kebangsaan.
Kita yakin anjakan
baru sistem pendidikan bakal meletakkan sekolah sebagai institusi berdaya saing
peringkat global, sekali gus memberi nilai tambah kepada generasi masa depan.
Pelbagai pihak yakin Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 akan mencapai
matlamat selaras usaha meletakkan Malaysia negara maju pada 2020.
Rakyat harus
menyahut seruan Perdana Menteri untuk bersama-sama menjayakan pelan ini dan berani untuk tidak
mempolitikkan bidang pendidikan sebaliknya membuat keputusan demi masa depan
anak yang lebih baik. Justeru, pelbagai pihak perlu bersama-sama memberi sumbangan dan membantu menjayakan pelan
pendidikan ini. Agenda pendidikan memerlukan keikhlasan bersama kerana
pelaburan masa depan bakal menentukan kedudukan generasi Malaysia menjelang
abad ke-21. Sehingga kini beberapa pakar pendidikan asing dan serantau memuji
pelan pembangunan pendidikan.
Korea Selatan dan
Singapura yang dianggap lebih maju sektor pendidikan mengalu-alukan pelan baru
itu. Tentu nilai tambah kepada sistem pendidikan yang kita amalkan sejak 1957
bukan saja bakal menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau, tetapi yang lebih
penting mampu meningkatkan semangat perpaduan dan toleransi rakyat berbilang
kaum.
Sumber : http : //www.bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan