Rabu, 12 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Tiga fasa pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025



PENYEDIAAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang diambil Kementerian Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah konsisten, berkesan, dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Menurut laporan awal pelan tersebut, fasa pertama yang diambil dalam penyediaan pelan itu adalah melibatkan kajian semula dan ujian menyeluruh tentang sistem pendidikan dengan membuat penilaian terperinci prestasi pendidikan selain memberi tumpuan terhadap keberhasilan murid.

Selain itu, tambah laporan berkenaan, fasa pertama turut mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini selain mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk dicontohi.

''Keberhasilan murid, penggerak utama, contoh kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual bersemuka, perbincangan berkumpulan dan bengkel merupakan antara kaedah yang digunakan pada fasa pertama penyediaan pelan tersebut.

''Hasil daripada kajian ini akan disahkan melalui proses penyemakan data (triangulasi) dengan beberapa sumber bebas seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia selain semua hasil tersebut dinilai secara kritikal oleh satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada kumpulan pemimpin kanan kementerian," kata laporan itu.

Tambah laporan tersebut, bagi fasa kedua penyediaannya, pelan itu memberi tumpuan kepada penyediaan laporan awal dengan menggunakan input yang diperolehi dalam fasa pertama bagi mengenal pasti bidang keutamaan.

Katanya, fasa kedua turut memperincikan program transformasi yang komprehensif mengenai dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh 13 tahun akan datang iaitu antara tahun 2013 hingga 2025.

''Fasa ini merangkumi Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan pada April hingga Julai tahun ini dalam mendapatkan maklum balas dari orang awam. Selain itu penyediaan Makmal Pendidikan GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan dari tahun 2013 hingga 2015 akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan Gelombang 1 pelan tersebut meliputi seluruh tempoh 2013 hingga 2025.

''Kementerian Pelajaran kemudian akan mengkaji semua cadangan daripada DNPN dan Makmal Pendidikan GTP 2.0 itu dengan teliti," menurut laporan itu lagi.

Laporan awal itu menambah bahawa fasa ketiga penyediaan pelan tersebut akan memberi tumpuan untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan dengan melibatkan rundingan serta penglibatan dengan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai laporan awal pelan berkenaan.

Katanya, rundingan awam secara meluas dan segala maklum balas itu akan disatukan pada penyerahan laporan akhir pelan berkenaan pertengahan Disember tahun ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan