KUALA LUMPUR -
Kementerian Pelajaran akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat
meneliti, mendapatkan penjelasan dan memberi maklum balas kandungan Laporan
Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata program selama dua hari itu, yang akan diadakan pada Oktober,
bertujuan menjemput pihak berkepentingan untuk melontarkan pandangan serta
perkongsian idea sebelum pelan itu dibentangkan kepada Kabinet dan
dimuktamadkan pada Disember.
"Masih terdapat ruang dan peluang untuk pihak berminat mengemukakan
perkara-perkara yang mereka fikir perlu dimasukkan di dalam pelan itu.
Perkataan kunci di dalam laporan ini ialah peningkatan kualiti bidang
pendidikan.
"Kalau cadangan itu dilihat boleh menambah baik kualiti pendidikan, kami bersedia
menerima dan memasukkan cadangan-cadangan di dalam laporan," katanya
kepada pemberita selepas membuat lawatan tinjau peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini hari
ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan
Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11
anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan
pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperinci anjakan yang
diperlukan untuk mencapai objektif itu.
Tambah Muhyiddin, kementerian juga akan mengadakan beberapa sesi
penerangan kepada semua peringkat masyarakat agar mereka mengetahui kandungan
pelan berkenaan, dan bidang mana pihak kerajaan memberi keutamaan.
"Kami akan cetak bahan penerangan yang mudah, dalam bahasa yang
mudah, agar ramai dapat memahami kandungan laporan itu," jelas beliau.
Muhyiddin berkata kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian
Pendidikan untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak
berkepentingan dan mengumpul maklum balas secara berterusan.
"Sebagai langkah susulan, kami mungkin akan menubuhkan jawatankuasa
pemantau yang terdiri daripada wakil kementerian, ibu bapa, dan ahli akademik
untuk memberi input dan pandangan dari semasa ke semasa tentang apakah yang
patut dilakukan dan bidang mana perlu diberikan lebih tumpuan," jelasnya.
Justeru itu, Muhyiddin berkata apa yang penting ialah setiap perakuan
perlu diambil kira daripada falsafah pendidikan dan bahasa pelajaran yang
dilaksanakan selama ini, dan apa-apa yang dilaksanakan mestilah sesuatu yang
praktikal dan munasabah, serta tidak lari daripada tujuan untuk mendapatkan
pendidikan yang berkualiti.
Beliau juga meminta orang ramai untuk membaca laporan awal itu sebelum
membuat sebarang kesimpulan atau keputusan.
Terdahulu, Muhyiddin ditemani Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri
Abd Ghafar Mahmud dan guru besar sekolah itu Puan Sarimah Ahmad, meninjau
seramai 89 pelajar menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan
Hisamuddin Alam Shah.
Muhyiddin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon UPSR, dan
berharap ibu bapa akan membantu memberi semangat dan dorongan agar anak mereka
boleh menumpukan perhatian kepada peperiksaan.
Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki UPSR di 8,284 pusat
peperiksaan di seluruh negara mulai semalam hingga Khamis. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan