Khamis, 8 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Insentif bantu tingkat pelajar aliran sains


Cadangan potongan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif jika anak mereka belajar dalam aliran sains boleh menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang berkenaan. Selain insentif itu, biasiswa atau dermasiswa yang bakal ditawarkan kepada pelajar berkenaan juga akan menggalakkan mereka menceburi bidang sains sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Bagaimanapun matlamat kerajaan itu hanya mampu dicapai jika pelajar sekarang mempunyai minat mendalam dalam sains. Untuk itu kementerian perlu menjalankan kajian teliti bagi mengenal pasti punca sebenar pelajar tidak berminat aliran sains terutama pelajar Melayu. Sehingga kini rungutan pelajar dan ibu bapa perlu diambil kira termasuk dari segi kaedah pengajaran, kemudahan makmal serta kekurangan guru pakar terutama di luar bandar dan pedalaman.

Ibu bapa tentu mengharapkan jaminan aliran sains membantu anak mereka berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi. Kemerosotan jumlah pelajar aliran sains sepatutnya tidak berlaku kerana dasar pengambilan adalah 60 peratus sains dan teknikal serta 40 peratus sastera atau dengan nisbah 60:40. Walaupun matlamat ini sudah lama disasarkan tetapi bilangannya masih rendah iaitu sekitar 20 peratus bagi calon yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang.

Pelbagai usaha sedang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan bilangan pelajar sains kepada 60 peratus, termasuk menerima pakai 15 cadangan daripada jawatankuasa kumpulan pakar dianggotai universiti dan ahli akademik. Kerajaan mensasarkan peningkatan pelajar aliran sains sekurang-kurangnya 10 peratus pada 2014. Harapan itu boleh dicapai jika pelajar dan ibu bapa diberi penerangan jelas mengenai hala tuju aliran sains dan keperluan tenaga mahir bagi menjayakan Wawasan 2020. Sebelum ini segelintir pelajar aliran sains yang menamatkan pengajian peringkat tinggi mendakwa sukar mendapat pekerjaan berbanding rakan mereka di aliran sastera. Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengatasi tanggapan itu. Kita yakin perancangan rapi Kementerian Pelajaran di samping pelbagai insentif dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sendiri bakal mengimbangi sains tulen dan sains sosial. Malaysia yang maju dan makmur pada masa depan bermula daripada cendekiawan dan ilmuwan sains, sastera, agama dan teknologi. Keragaman pencapaian dalam pelbagai sektor bakal menyempurnakan sebuah negara maju yang kaya dengan pelbagai kepakaran. Justeru, insentif kerajaan bagi merangsang pertambahan pelajar aliran sains sepatutnya dilihat secara positif demi masa depan bersama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan