Khamis, 8 November 2012

ISU SOSIAL : Jalan keluar membentuk jiwa remaja


Oleh : HASAN AL-BANNA MOHAMED

Zaman remaja hanya datang sekali sahaja bagi setiap manusia yang hidup di dunia sementara ini. Alam remaja merupakan usia peralihan dan era puncak bagi kehidupan seseorang yang dipenuhi pelbagai tribulasi.

Jika mereka mampu atasi dugaan yang penuh onak duri, nescaya akan lahirlah suatu kuasa besar sebagai agen transformasi dalam mereformasikan sesebuah negara bangsa. Golongan ini dianggap sebagai ‘pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara’. Remaja juga diistilahkan oleh kebanyakan pakar psikologi dan kaunseling sebagai individu yang mula akil baligh (berakal dan cukup umur) - dalam lingkungan 13 tahun sehingga mencapai usia 24 tahun.

Sekiranya dalam tempoh umur tersebut kehidupan mereka goyah atau hilang arah, maka pasti akan bergelumang dengan noda dan akhirnya pincanglah  pembangunan sesebuah keluarga, komuniti dan negara pada masa hadapan.

Namun anak remaja yang sanggup mendepani pelbagai cubaan, kecekalan dan keteguhan iman serta takwa dalam diri akan terselamat daripada fitnah  besar. Contohnya, golongan Ashabul Kahfi (para pemuda dalam gua) yang tercatat dalam al-Quran (Surah al-Kahfi, ayat 10 hingga13) - menceritakan betapa kuatnya tahap kemanisan iman mereka pada waktu itu sehingga sanggup menjauhkan diri daripada pemerintah yang zalim serta persekitaran yang penuh dengan gejala negatif; lalu tinggal dan tertidur di dalam sebuah gua.

Begitu juga dengan Sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup mendaki gunung dan bukit untuk ber‘uzlah’ (menjauhkan diri) daripada kebejatan sosial jahiliyah pada zaman Baginda SAW demi beribadat kepada ALLAH SWT dengan penuh kekhusyukan.

Cuba kita teliti pula pada zaman moden ini terhadap gerak langkah dan gaya hidup remaja Muslim, sama ada di bandar mahupun desa. Pada tahun lepas sahaja, statistik mencatatkan 3,203 kes jenayah membabitkan remaja dalam negara kita. Jumlah tersebut membimbangkan ramai pihak jika tidak diambil tindakan sewajarnya, malah kadangkala masyarakat mudah menyalahkan mereka atas apa dilakukan.

Kita sering mendengar remaja terlibat gejala rempit, gengster, gothic, bohjan, bohsia, pengkid, kes rogol, lari dari rumah, menggugurkan kandungan dan membuang bayi, merokok, menghisap dadah, terbabit dalam kes perzinaan dan pelacuran, rompakan atau pembunuhan.

Apakah ini menggambarkan bahawa institusi pendidikan kita sudah tidak lagi terkesan kepada anak remaja? Apakah pendidik, ibu bapa atau masyarakat yang harus dipersalahkan seratus peratus? Adakah persekitaran yang membuatkan mereka berani bertindak sedemikian?

Atau sudahkah mereka hilang pedoman yang sebenar?

Persoalan-persoalan tersebut pasti terjawab apabila kita kembali kepada dasar ajaran Islam yang hakiki dengan merujuk panduan-panduan jelas dalam memberi pendidikan kepada anak-anak kita. Perkara yang paling utama harus diambil tindakan segera ialah semua pihak hendaklah menggembleng tenaga, jiwa dan raga dalam memberikan perhatian kepada anak remaja.

Bermula dalam komuniti keluarga terlebih dahulu dengan mengkoreksi diri setiap ibu bapa dengan persoalan... ‘Adakah mereka sudah memberikan didikan agama yang sepatutnya terhadap anak-anak?’ Pernahkah ditanya dengan anak-anak tentang perasaan, kesihatan, pelajaran, kawan-kawan dan seumpamanya? Adakah kita pernah mengusap kepalanya atau mengucup mereka dengan rasa kasih sebagai seorang bapa atau ibu? Jika belum, lakukanlah sekarang sebelum terlambat!

Sepatutnya kitalah terlebih dahulu mempelajari ilmu-ilmu keagamaan dan kemahiran keibubapaan selumat yang mampu.

Bukan terhenti setakat itu sahaja, ibu bapa juga perlulah memahami konflik jiwa remaja dengan memberikan perhatian teliti terhadap perubahan diri anak-anak seperti fizikal, emosi, mental, sosial dan moral.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Md Zin dalam Seminar Bersama Remaja di Universiti Malaya; punca terjadinya kebejatan sosial remaja ialah kegagalan menguasai kekuatan asas hidup berakhlak dan pengaruh negatif teknologi maklumat.

Di samping itu, kita juga perlu menyedari terhadap empat pengaruh besar yang mengesani peribadi dan tingkah laku remaja iaitu pengaruh ibu bapa sendiri, pengaruh kawan-kawan, teman istimewa dan terakhir adalah pengaruh guru-guru atau kaunselor. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Komen