Isnin, 1 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Pembelajaran sepanjang hayat


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Tiga laluan strategik bina jalur pembelajaran

Apabila menamatkan alam persekolahan, kita bayangkan berakhirnya ‘dunia buku dan belajar dan ‘merdeka’ daripada  dunia itu.

Legakan perasaan pelajar

Dari satu perspektif, ia baik kerana melegakan perasaan pelajar dan graduan selepas sekian lama berulit dengan buku, kertas kerja dan peperiksaan.

Tetapi dari sudut lain pula, ia menanamkan kefahaman bahawa belajar cuma berlaku di alam berkenaan dan untuk mendapatkan sijil kelulusan saja.

Apabila masuk ke alam pekerjaan, minat belajar terus pudar dan perbincangan berkaitan dengannya tidak lagi menjadi tumpuan.

Pemahaman inilah yang perlu diperbetulkan kerana belajar tiada had masa dan tempoh. Sebenarnya semakin kita belajar semakin banyak yang kita tidak ketahui.

Menurut Sayyid Qutb dalam Tafsirnya Fi Zilal al-Quran, ilmu Allah itu tidak terbatas luasnya dan tidak mampu dijangkau semuanya oleh manusia. Oleh itu, hendaklah kita tidak bersikap sombong dengan sentiasa ingin mendalaminya. Apa saja yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan perlu dipelajari sama ada secara formal atau tidak kerana ia adalah tuntutan Islam.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tuntutlah ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad”, jelas menunjukkan Islam menyarankan pembelajaran sepanjang hayat.

Tiga laluan strategik

Saya mahu berkongsi tiga laluan strategik dalam membina jalur pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang boleh dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan termasuklah dunia kerjaya.

Pertama, tentukan matlamat yang ingin dicapai dalam kerjaya. Dengan matlamat kerja yang jelas dan berasaskan pencapaian yang tinggi, pekerja akan berusaha mempelajari kaedah dan kemahiran untuk mencapainya.

Di sinilah laluan pembelajaran secara formal seperti mengikuti kursus, bengkel dan ceramah atau secara tidak formal melalui pembacaan, perkongsian pengalaman, perbincangan dan pandangan daripada rakan dan pakar diperoleh.

Kerja bersandarkan nasib dan tidak berdasarkan pengetahuan, amat dibenci dalam Islam. Ibarat pepatah Melayu, "untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Matlamat dapat mengelakkan kerja yang dilakukan menjadi sia-sia, merugikan serta tidak diketahui arah tuju haluannya.

Matlamat kerja

Penentuan matlamat kerja sangat penting dalam Islam kerana ia juga menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT.

Justeru itulah kita disunatkan untuk berdoa: “Ya Tuhan Kami kurniakanlah bagi kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat serta jauhkanlah kami daripada seksaan api neraka”.

Kedua, laluan pembelajaran sepanjang hayat juga boleh berlaku melalui usaha memupuk keseronokan bekerja.

Keseronokan bekerja bukan sekadar untuk menjamin penghasilannya, tetapi di sepanjang usaha itu banyak pengetahuan boleh dipelajari kadangkala tanpa disedari.

Contohnya, untuk menimbulkan keseronokan, seseorang pekerja atau majikan akan mengenal pasti perkara yang boleh menimbulkan minat dan mengelakkan kebosanan seperti mewujudkan suasana persekitaran bilik atau dekorasi dan susun atur perabot dalam ruang pejabat yang bersih, cantik dan kemas.

Usaha mengenal pasti bahan, kualiti perabot dan dekorasi pejabat untuk tujuan membuka ruang pengetahuan yang lain pula daripada bidang kerja.

Ketiga, menghargai pandangan rakan, majikan dan pelanggan dan belajar daripada kejayaan dan kegagalan orang lain. Ia adalah laluan percuma untuk pekerja mempelajari sesuatu yang baik. Ia boleh diperoleh sama ada melalui mesyuarat, perbincangan meja bulat mahupun aduan dan maklum balas.

Malah, kesanggupan untuk belajar daripada kesilapan adalah guru yang paling efektif. Sabda Rasulullah SAW “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu”. (Riwayat Muslim).

Kejayaan orang lain seperti kemampuan membuat keputusan yang tepat, inovasi dan idea kreatif adalah contoh yang boleh dipelajari asalkan ia diperoleh dengan cara yang benar dan halal.

Justeru, sama ada disedari atau tidak, ketiga-tiga faktor ini mampu menjadi tapak dan membuka laluan menimba pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang bermanfaat untuk merealisasikan pembelajaran sepanjang hayat di tempat kerja.

Setiap yang berlaku dalam kehidupan itu tiada yang sia-sia, penuh hikmah dan mampu menjadi wasilah untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Cuma bergantung sejauh mana kita mengamati, menghayati dan menerimanya sebagai input untuk memberi pelajaran dan pengajaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan