Jumaat, 1 Mac 2013

ISU SOSIAL : Kes dera kanak-kanak 2012 meningkat 17.8%


KUALA LUMPUR - Kes penderaan kanak-kanak pada tahun lalu meningkat 17.8 peratus kepada 285 kes berbanding 242 kes pada tahun 2011, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), PDRM ACP Hamidah Yunos berkata, berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun menjadi mangsa penderaan tertinggi dalam tempoh dua tahun iaitu 136 tahun lepas berbanding 117 pada 2011.

"Bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, sebanyak 99 orang didera berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun sebanyak 50 orang berbanding 43 orang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, statistik merekodkan kes penderaan tertinggi mengikut negeri ialah Selangor dan Johor, masing-masing 67 kes diikuti Pulau Pinang (25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak (15), Melaka (13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah (8), Terengganu (4) dan Perlis (3).

Penasihat undang-undang Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA), Profesor Dr Gopenathan Raman Nair berkata, antara punca yang dikenal pasti menyebabkan penderaan kanak-kanak berlaku ialah 'perasaan cemburu' seorang bapa terhadap anak tirinya sehingga menyebabkan penderaan teruk dan kematian seseorang kanak-kanak.

"Perasaan cemburu boleh menyebabkan tekanan perasaan yang melampau sehingga seseorang bapa itu melakukan tindakan luar kawalan.

"Perasaan cemburu itu berlaku apabila bapa tiri tersebut merasakan kasih sayang ibu terhadap anaknya berlebihan berbanding dirinya dan disebabkan perasaan cemburu itu juga, seseorang bapa akan merasa tertekan sehingga terdorong untuk mendera," katanya.

Gopenathan berkata, kes seperti itu juga berlaku akibat tekan jiwa kerana tidak mempunyai anak kandung.  

"Kesukaran seorang lelaki itu untuk mendapat anak kandung menyebabkan dia berasa tertekan dan akan melepaskan perasan marah terhadap anak tirinya," katanya.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) R.Jeevan pula berkata untuk mengatasi masalah ini, langkah pencegahan awal perlu dilakukan iaitu dengan kerjasama semua pihak.

"Kerjasama antara semua pihak sangat penting untuk langkah pencegahan awal iaitu jiran, guru, sahabat, dan adik-beradik mangsa perlu bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kes seperti itu berlaku....walaupun kes itu adalah pertama kali berlaku terhadap mangsa, ia perlu dilaporkan bagi mengelakkan penderaan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Sebelum ini beberapa kes seperti itu berlaku sehingga membawa kepada kecederaan teruk dan kematian.

Antaranya ialah kisah di Alor Gajah Melaka pada 11 Oktober 2011 apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas cedera di bahagian paru-paru akibat didera oleh bapa tirinya.

Pada Jun 2012 pula, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian punggung dan jari dipercayai didera oleh bapa tirinya di Kampung Gong Machang, Besut Kuala Terengganu.

Kedua-dua kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Manakala kes terbaharu dilaporkan media pada 13 Dis 2012 iaitu seorang individu memuat naik ke laman sosial Facebook kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didera bapa tirinya dan kes itu dipercayai berlaku dua bulan sebelum video itu disebarkan.

Susulan kejadian itu, suspek berusia 32 tahun, dihukum penjara selama 12 bulan.

Individu didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan