Isnin, 3 Disember 2012

Tiga tokoh akademik terima Anugerah Merdeka 2012




Oleh AQMAR ALLADAD

KUALA LUMPUR – Tiga tokoh akademik menerima Anugerah Merdeka 2012 atas sumbangan cemerlang kepada negara menerusi kepakaran dalam bidang masing-masing malam tadi.

Mereka ialah Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 81, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock, 78, dan Dr. Engkik Soepadmo, 76.

Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Filharmonik di sini.

Setiap penerima anugerah memperoleh hadiah wang tunai RM500,000, trofi dan sijil.

Turut hadir Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka 2012; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Syed Muhammad Naquib menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ilmuwan Terunggul kerana peranannya sebagai seorang pemikir Islam kontemporari.

Beliau merupakan profesor pelawat terhormat di Pusat Kajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun Universiti Teknologi Malaysia.

Soon Hock yang juga Presiden Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia pula, dipilih bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan penyelidikan dan pembangunan kimia serta teknologi minyak kelapa sawit.

Engkik yang merupakan profesor ekologi di Universiti Malaya dipilih bagi kategori Sumbangan Cemerlang Kepada Rakyat Malaysia.

Beliau yang berasal dari Indonesia menjalankan penyelidikan secara khusus dalam kepelbagaian spesies, struktur dan fungsi ekologi hutan hujan tropika yang kompleks di Asia terutamanya di Malaysia.

Najib dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kerajaan memberi jaminan akan meneruskan polisi dan pelaburan yang menyokong dasar ekonomi berasaskan ilmu sains serta teknologi.

Beliau selaku penaung Anugerah Merdeka berkata, usaha itu harus dilaksanakan bertujuan membantu penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur teknologi maklumat seiring dengan negara maju.

“Malaysia perlu bersedia untuk bersaing dengan negara maju. Para pekerja, pelajar dan pedagang harus memainkan peranan untuk berjaya di mata dunia. Saya yakin penerima-penerima anugerah hari ini akan mengesahkan yang ia perlu bermula dengan pembelajaran,” katanya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan