Isnin, 16 September 2013

ISU KENEGARAAN : Cintai negara asas perpaduan kaum


Oleh : Tan Sri Rozali Ismail

TAHUN ini adalah tahun ke-50 penubuhan Malaysia. Kerajaan sentiasa mengharapkan rakyat bersatu padu, mengerat hubungan pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Namun jelas sekali tahap keharmonian yang diidamkan itu tidak kesampaian. Negara dilanda fitnah, demonstrasi, peningkatan jenayah samseng dan kongsi gelap. Semuanya berlaku gara-gara sentimen perkauman yang melampau. Tambahan pula semangat patriotik semakin luntur dan rakyat tidak lagi segan silu mengecam Malaysia di dalam dan luar Negara.

Bagi memupuk semangat patriotik, sambutan kemerdekaan 31 Ogos lalu telah membawa tema 'Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku'. Sesungguhnya kerajaan Malaysia mengajak 30 juta rakyatnya yang berbilang kaum bersama-sama berganding bahu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran. Di samping itu, rakyat juga diminta memperkasa semangat cintakan negara kerana ia adalah tunjang perpaduan bagi mengekal kestabilan dan meneruskan kelestarian pembangunan negara.

Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna yang berlaku pada awal tahun ini memberi pengajaran bahawa tanggungjawab mempertahan maruah dan kedaulatan negara bukan saja terletak di bahu pasukan keselamatan. Rakyat Malaysia telah bersama-sama mengutuk pencerobohan pengganas Sulu yang mendakwa Sabah milik mereka, tetapi telah digadaikan oleh kerajaan British menerusi Perjanjian Brooke 1888. Usaha mempertahan bumi berdaulat itu perlu diteruskan dengan menentang kuasa asing yang sedang menghasut segelintir rakyat supaya melakukan pelbagai demonstrasi jalanan agar tercetusnya 'Arab Spring' di negara ini, lantas memudahkan mereka masuk serta menjajah Malaysia.

Ketika pasukan keselamatan menyabung nyawa membenteng sempadan negara daripada dibolosi anasir subversif, masyarakat perlu memperkukuhkan perpaduan dengan memupuk semangat cintakan negara.

Semangat itu perlu diterjemah dan dizahirkan dalam urusan seharian agar perpaduan yang terjalin selama ini terus berkekalan kerana ia menjadi kunci yang membebaskan kita dari belenggu penjajahan mental dan fizikal. Mengeratkan perpaduan antara kaum bukan sekadar mengunjungi sahabat dan taulan di musim perayaan, menziarahi kematian atau bersama-sama mengikuti program percutian dan riadah. Ia boleh dijalin dengan lebih akrab menerusi kerjasama dan perkongsian ekonomi.

Kaum yang menguasai 80 peratus kekayaan negara sepatutnya lebih mesra mengajak kaum lain bersama-sama 'menyemai dan menuai' kegiatan ekonomi. Realiti yang berlaku hari ini ialah mereka yang memonopoli dagangan bank, industri pembuatan dan perkhidmatan tidak mahu berkongsi kekayaan itu dengan bangsa lain, kecuali memenuhi kuota 30 peratus peluang pekerjaan bagi memenuhi syarat pemerintah. Sebaliknya mereka terus menerus mendesak kerajaan agar melupuskan semua dasar ekonomi yang diberi kepada bangsa majoriti yang masih terkial-kial menapak dalam bidang perniagaan walaupun sudah bebas penjajahan selama 56 tahun.

Perbezaan jurang ekonomi yang jauh itu mengakibatkan perpaduan antara masyarakat semakin melebar. Kesannya, apa jua usaha yang dilakukan untuk mengeratkan semangat perpaduan menemui jalan buntu.

Lebih parah lagi sekelumit rakyat yang remuk hati telah menggadai maruah peribadi dan negara untuk bersekongkol dengan kuasa asing, berusaha meranapkan Malaysia menerusi pelbagai tindakan yang bercanggah dengan prinsip perpaduan nasional.

Malaysia sebenarnya negara bertuah kerana dikurniakan hasil bumi dan tanah yang subur bagi menampung kehidupan penduduk berbilang bangsa dan agama. Apa yang merisaukan adalah negara menghadapi sedikit gangguan daripada pihak tertentu yang mahu mengancam kestabilan sosial dan politik. Masyarakat terutama generasi muda cuba diserapkan dengan dakyah yang boleh melunturkan semangat kesetiaan kepada negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan telah membawa keamanan kepada negara sejak merdeka. Dalam tempoh itu Malaysia hanya diuji dengan tragedi berdarah 13 Mei 1969 sahaja. Kehidupan harmoni di Malaysia dikagumi dunia. Ketika keganasan etnik sedang merebak di seluruh dunia, Malaysia dinobatkan sebagai negara 'multi racial' paling selamat di rantau Asia Tenggara. Lebih dari itu, suara Malaysia juga didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Bagi mewakili PBB, Malaysia membawa misi keamanan di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006).

Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembleng bersama untuk menjadikan Malaysia benar-benar cemerlang. Sepanjang usia merdeka, pertumbuhan ekonomi negara juga didapati berkembang pesat. Dengan memiliki asas ekonomi dan pelaburan yang kukuh, negara tidak terlalu bergantung kepada persekitaran global.

Buktinya, ekonomi negara mampu bertahan dengan baik ketika beberapa negara di dunia kini dilanda muflis akibat serangan krisis kewangan.

Perkembangan ekonomi Malaysia yang cukup konsisten juga telah merancakkan banyak sektor termasuk pelancongan. Pencapaian itu pasti berterusan jika rakyat Malaysia terus mendokong konsep perpaduan dan integrasi nasional yang menghasilkan keamanan. Justeru, rakyat Malaysia perlu bersama-sama memperkasa semangat cintakan negara dan mempertahan kedaulatan Malaysia.


Penulis ialah Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu (MAPEM)

Sumber : http : //www. utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen