Isnin, 16 September 2013

ISU PENDIDIKAN : ‘Ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan ‘membahayakan’ perkembangan pelajar


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Sukar untuk menafikan hakikat bahawa sebahagian besar ibu bapa masih menganggap keputusan peperiksaan adalah aspek terpenting dalam menentukan kejayaan masa depan pelajar.

Meskipun, transformasi dunia pendidikan negara sudah dipelbagaikan dalam mekanisme tertentu termasuk meng­gabungkan nilai kemahiran sebagai antara prasyarat penilaian pembangunan pelajar, kejayaan akademik masih dijadikan penanda aras utama.

Malah, ketaasuban pada keputusan peperiksaan biarpun pada aspek lain ada kelebihannya, namun masih dikhuatiri mampu meninggalkan impak sampingan, sekali gus melahirkan golongan pelajar seperti robot yang diprogramkan dengan kecemerlangan menerima arahan, tetapi gagal berfikir sendiri.

Justeru, sejauh manakah keberkesanan usaha untuk membantu pelajar, masyarakat dan ibu bapa agar menerima hakikat bahawa keputusan peperiksaan hanya sebahagian proses menjana kecemerlangan?

Bagaimana mahu meyakinkan bahawa masih banyak lagi aspek lain boleh dijadikan penanda aras bagi mengukur erti kejayaan dan bukan sekadar bergantung harap pada akademik semata-mata?

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Pe­ngerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd  Noh Dalimin berkata ‘ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan sebagai penentu utama masa depan pelajar sukar diubah melainkan mereka memahami bahawa aspek itu boleh ‘membahayakan’ perkembangan diri anak-anak.

Menurutnya, tidak salah meletakkan peperiksaan sebagai pengukur kejayaan, namun sikap itu boleh memberi tekanan hingga membantutkan perkembangan normal lain yang seharusnya dinikmati pelajar.

“Adakalanya ibu bapa tidak sedar tindakan itu satu penyeksaan kepada anak (pelajar) kerana mereka dinafikan hak untuk menikmati perkara lain dalam hidup.

“Memang tidak salah ibu bapa menzahirkan hasrat untuk melihat kecemerlangan, namun mesti tahu cara atau batasnya.

“Jangan berterusan memberikan tekanan atau meletakkan sasaran untuk anak, kerana dikhuatiri timbul pula masalah lain,” katanya.

Katanya, kebiasaannya pelajar turut meletakkan sasaran untuk meraih keputusan cemerlang, malah ada desakan lebih daripada ibu bapa.

“Dalam aspek ini, ibu bapa adalah pihak yang lebih mendesak dan ternyata ia memang tidak baik untuk perkembangan emosi anak.

“Ibu bapa diminta memberi peluang anak meniti kedewasaan dan kematangan. Kejayaan bukan hanya melalui peperiksaan atau akademik saja, tapi juga boleh digilap berdasarkan kelebihan diri dalam aspek lain,” katanya.

Beliau turut mengakui ibu bapa di negara ini masih melihat akademik sebagai kewajaran utama berbanding kemahiran lain.

“Itulah masalah atau dilema sektor pendidikan negara kita kerana ibu bapa masih kuat dibelenggu mentaliti sedemikian, sedangkan aspek kemahiran juga ada peranannya dalam sistem pendidikan negara.

“Cuma kita kurang ‘mengiktirafnya’ berbanding negara lain di dunia. Namun, Kementerian Pelajaran tetap berusaha mengubah persepsi itu seperti menaikkan taraf sekolah teknik dan vokasional kepada kolej supaya ibu bapa nampak ada nilai lain yang boleh membentuk kejayaan,” katanya.

Ditanya sama ada mentaliti sedemikian boleh diubah, sedang­kan masyarakat sudah tepu dengan pemikiran itu, beliau berkata perubahan boleh dibuat, tetapi mengambil masa lama.

Budaya peperiksaan akuinya, sudah sebati dalam sistem pendidikan negara dan sudah menggantikan budaya ilmu.

“Bagaimanapun, usaha mengubahnya sudah dilakukan sedikit demi sedikit seperti perubahan yang dibuat pada sistem pentaksiran negara.

“Sebagai contoh, di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah ada elemen sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bukan saja menilai pelajar menerusi peperiksaan bertulis tapi kerja projek, kajian luar dan amali.

“Pengenalan ini selari hasrat kementerian untuk membangunkan modal insan seimbang serta memperluaskan pendidikan lebih holistik,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa sistem peperiksaan masih relevan bagi menilai keupayaan pencapaian pelajar terutama dari segi pemahaman terhadap proses pembelajaran dan pengajaran.

“Peperiksaan masih relevan kerana di situlah kita boleh menilai sejauh mana hasil pemahaman pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

“Cuma pengubahsuaian dan penambahbaikan dalam sistem atau format peperiksaan perlu dilakukan bagi melahirkan pelajar yang mampu menjana kecemerlangan dalam seluruh aspek global,” katanya me­ngakui antara impak negatif yang ketara menerusi sistem peperiksaan ialah budaya menghafal untuk peperiksaan.

“Pelajar memang giat belajar, tapi bukan untuk memahami, sebaliknya menghafal demi menjawab dalam peperiksaan selain melupakan perkara yang gigih dipelajari sebaik tamat peperiksaan.

“Dengan kata lain, sistem pendidikan kita hanya menggalakkan budaya menghafal bukannya pemikiran menyebabkan pelajar lebih cenderung bergantung kepada jawapan contoh, hafalan dan soalan ramalan berbanding memahami konsep dan teori.

“Ini yang kebanyakannya berlaku menyebabkan peperiksaan tidak boleh dijadikan penanda aras kepada keupayaan pelajar sebaliknya budaya ilmu perlu diterapkan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa konsep peperiksaan adalah untuk me­ngesan perkembangan pelajar secara menyeluruh mengenai prestasi mereka dalam mencapai sasaran pembelajaran, untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran dari semasa ke semasa, me­ngetahui keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, memantau kemajuan serta merangsang pencapaian lebih tinggi, selain mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.

“Konsep peperiksaan boleh dilihat dari tiga sudut, iaitu penilaian untuk pembelajaran, penilaian sebagai pembelajaran dan penilaian pembelajaran.

“Sebab itu, banyak pembaharuan sudah dibuat supaya golongan sasaran celik mata dan minda bahawa sistem pendidikan kita sudah tidak lagi terlalu berfokus pada peperiksaan tapi budaya mendapatkan ilmu,” katanya.

Sumber : http: //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan