JIKA diibaratkan sebagai seorang
manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan
kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan
banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.
Demikianlah juga dengan Malaysia.
Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan
rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang
dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain,
kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah,
lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.
Resam kehidupan, ujian yang
datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti
tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara
ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.
Antaranya termasuklah
bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya
bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme,
liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau
doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan
sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup
punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia
terjalin.
Hal ini mengambil kira hakikat
dunia kini telah tiada sempadan atau batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan
pandangan dan menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai
wadah seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.
Dengan yang demikian, matlamat
memelihara masyarakat daripada musibah yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama
itu harus terlaksana melalui tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan.
Dengan kata-kata lain, segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum
langkah menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam
hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian
kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya prinsip menyeru
kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat sebagai lebih utama dan
berkesan.
Tindakan ini tidak lain selain
bertujuan membina perisai atau benteng diri yang teguh dalam menghadapi
pelbagai bentuk ancaman yang melanda pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh,
daya ketahanan tinggi yang dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada
dilanda sesuatu penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.
Perhatian utama terhadap aspek
pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan
sebagainya itu perlu disusuli penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang
digunakan selama ini. Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan
pendidikan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah
dilanda perubahan pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut
gagal menarik minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang
disampaikan? Apatah lagi untuk menghayatinya.
Malang sekali jika sedemikian
banyak ruang dan masa diperuntukkan bagi menyampaikan ajaran agama; daripada
pendidikan pada setiap peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program
keilmuan di corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran
tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya sebahagian
kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah beralih kepada ideologi
dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam media baharu.
Sungguh menyedihkan jika
kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada anggota
masyarakat hanya kerana kelemahan pada kaedah atau pendekatannya. Sedangkan
kebatilan pula dengan mudah menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah
disebabkan kehebatan kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan
oleh Khalifah Ali k.w. bahawa kebenaran yang
diperjuangkan secara tidak tersusun akan dapat ditewaskan oleh kebatilan yang
disusun secara sistematik.
Dengan yang demikian, seluruh
institusi yang terlibat seperti pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah,
termasuk media perlu menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi
memastikan kaedah penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan
nafas baharu dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar,
seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun, pendekatan
baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata menurut selera
masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan pengajaran, iaitu bagi
meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta tahap keilmuan dan memperluas
ufuk pemikiran mereka.
Golongan ilmuwan dan agamawan
secara khususnya harus menyedari bahawa mahu tidak mahu, mereka telah pun
berada dalam medan persaingan untuk mendapatkan perhatian besar masyarakat
awam. Jika perkara ini tidak diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang
yang ditinggalkan mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk
merebut peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki
daya tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan rujukan
dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sememangnya
pada dasarnya, masyarakat awam memikul tanggungjawab untuk merujuk kepada
mereka, iaitu sebagaimana diperintahkan al-Quran.
Kecenderungan untuk menjadikan
mereka sebagai rujukan sudah tentu pula didorong oleh keyakinan terhadap
kewibawaan yang dibentuk oleh sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun
sekiranya, kewibawaan yang dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan
kepercayaan masyarakat untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah
yang bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu.
PENULIS ialah Pegawai
Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan