KUALA LUMPUR - Kementerian
Kesihatan memandang serius trend peningkatan masalah kesihatan mental di
kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 15 tahun ke bawah di negara ini, kata
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, statistik
menunjukkan masalah kesihatan mental melibatkan golongan itu meningkat 13
peratus pada 1996, 19.4 peratus pada 2006 dan 20 peratus tahun lalu.
"Kita amat bimbang dengan
trend peningkatan masalah kesihatan mental remaja dan kanak-kanak kerana ia
dikhuatiri boleh membantutkan proses pembangunan kerana golongan ini merupakan
aset negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari
Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini hari ini.
Beliau menarik perhatian bahawa
golongan remaja dan kanak-kanak kini
dipengaruhi Internet dan teknologi komunikasi sehingga kurang
berinteraksi manakala ibu bapa yang sibuk bekerja pula memandang ringan peranan
mereka dalam memberi sokongan kepada anak-anak.
Justeru, beliau berkata,
kementeriannya akan berusaha menangani masalah itu termasuk dengan penyediaan
pelan tindakan strategik kebangsaan bagi kesihatan mental serta langkah
menambah bilangan Pusat Komuniti Kesihatan Mental di seluruh negara mulai tahun
hadapan.
Beliau berkata, pelan itu antara
lain menekankan aspek promosi kesihatan mental dan kerjasama pintar antara
pelbagai agensi serta penglibatan badan bukan kerajaan.
Menurutnya, langkah membuka lebih
banyak Pusat Komuniti Kesihatan Mental akan membolehkan pesakit menerima
rawatan dalam suasana lebih mesra dan berbeza daripada perkhidmatan kesihatan
mental yang terdapat di hospital.
Katanya, pusat berkenaan
menawarkan khidmat seperti terapi psikologi, kaunseling dan maklumat pendidikan
kesihatan di samping meningkatkan potensi pesakit dalam komuniti.
Pusat Komuniti Kesihatan Mental
pertama negara dilancarkan di Presint 11 Putrajaya tahun lalu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan