Jumaat, 1 Februari 2013

Akta Kanak-Kanak 2001 : Penguatkuasaan Semula Tugas Dan Tanggungjawab Ibu Bapa Atau Penjaga?


Oleh : Jal Zabdi bin Mohd Yusoff & Zulazhar bin Tahir

Pengenalan

Kanak-kanak merupakan aset negara yang sangat penting kerana kepada merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di masa hadapan. Kanak-kanak juga adalah golongan yang perlu diberi perlindungan kerana di dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada mereka menjadi mangsa atau terlibat dengan perlakuan jenayah. Menyedari hakikat ini, maka pertimbangan utama di dalam segala tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak adalah kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan. Ini boleh dilihat di dalam pelbagai undang-undang yang terdapat di negara ini. Walau bagaimanapun, permasalahan mengenai kanak-kanak masih terus berlaku di merata tempat sama ada di dalam atau luar negara. Dalam hal ini kita sering mendengar atau membaca bahawa terdapat kanak-kanak yang diabaikan, ditinggalkan di perhentian bas, di bawah pokok, ada yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa penjagaan sewajarnya. Kita juga mendengar bahawa perlakuan jenayah oleh kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Jika dulunya perlakuan jenayah oleh kanak-kanak hanyalah jenayah yang kecil atau petty offences tetapi pada masa sekarang terdapat kanak-kanak yang berani melakukan rompakan bersenjata, merogol bahkan ada yang berani membunuh.

Persoalannya sekarang ialah siapakah yang harus dipersalahkan jika perkara ini berlaku kepada kanak-kanak di negara ini? Apa yang pasti ialah kanak-kanak ini tidak harus dipersalahkan seratus peratus kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor yang di luar kawalan mereka. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang diketahui umum pihak yang terlibat secara langsung dengan pembesaran dan pembangunan diri kanak-kanak adalah ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga telah diberi tugas dan tanggungjawab utama untuk membentuk keperibadian anak-anak kerana mereka mempunyai impak yang besar terhadap perkembangan anak-anak di dalam jagaan mereka. Ibu bapa atau penjaga adalah mereka yang saban hari bercampur gaul dan sentiasa berada di sisi anak-anak. Oleh itu, pasti banyak perkara yang dipelajari oleh anak-anak itu daripada orang yang menjaganya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:

Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan suci (menganut agama yang benar iaitu Islam), kedua orang tuanyalah yang kemudiannya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.(Hadis riwayat Abu Hurairah r.a.)

Apa yang jelas daripada hadis di atas ialah ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu merupakan orang yang sangat penting dalam mencorakkan masa hadapan anak-anak di dalam jagaan mereka termasuklah menentukan keadaan persekitaran di mana kanak-kanak itu akan dibesarkan. Sehubungan dengan itu, di dalam artikel ini, penulis akan cuba mengupas isu yang mencakupi tugas dan peranan ibu bapa atau penjaga ke atas anak yang berada di bawah jagaan mereka.

Dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik seperti Diana Baumrind, SM Dornbusch dan Stanley Coopersmith didapati cara bagaimana seseorang kanak-kanak itu dibesarkan akan mempengaruhi personaliti dan pembangunan sahsiahnya.  Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa atau penjaga mereka lebih berkecenderungan untuk terlibat dalam pelbagai masalah sosial. Menyedari hakikat bahawa keluarga merupakan satu institusi penting di dalam pembentukan masyarakat yang dinamik, maka kerajaan harus campur tangan dari awal apabila telah dikenal pasti bahawa terdapat kaitan di antara masalah sosial dan hubungan kekeluargaan. Campur tangan ini adalah penting untuk mengelak keruntuhan sesuatu masyarakat secara keseluruhan. Di dalam hal ini kerajaan boleh memainkan peranannya dengan menggubal undang-undang yang mengenakan kewajipan tertentu atas ibu bapa atau penjaga bagi menjaga kebajikan, kepentingan atau kesejahteraan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak Di Peringkat Antarabangsa

Kewujudan undang-undang yang memperuntukkan perlindungan terhadap kanak-kanak bukanlah satu perkara yang baru. Sejarah menunjukkan bahawa beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan England telah mempunyai undang-undang dan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak bagi melindungi kanak-kanak yang didera atau diabaikan seawal abad ke 17 dan 18. Kebangkitan sentimen mengenai isu kanak-kanak yang didera telah memuncak kembali pada awal tahun 1960an berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan oleh Dr Henry Kempe iaitu seorang pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat. Sejak dari itu, kesedaran dan usaha untuk menangani masalah mengenai kanak-kanak telah diperhebatkan.

Menyedari hakikat bahawa masa depan kanak-kanak semakin terancam, sama ada oleh perbuatan individu atau perbuatan mereka sendiri atau kegagalan pihak kerajaan mengambil langkah positif ke arah memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak, maka satu inisiatif positif telah digerakkan oleh masyarakat antarabangsa untuk meletakkan kepentingan kanak-kanak di landasan yang sepatutnya. Inisiatif ini boleh dilihat di dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasikan oleh hampir semua negara di dunia ini. Malaysia merupakan antara negara yang telah menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Antara perkara penting di dalam Konvensyen ini ialah pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak ke atas beberapa perkara asas iaitu hak untuk hidup, hak kepada pembangunan, hak untuk dilindungi daripada pengaruh yang merosakkan, penderaan dan eksploitasi dan akhir sekali hak untuk bersama dengan keluarga, kebudayaan dan kehidupan sosial.

Artikel 5 dan 19(1) Konvensyen Hak Kanak-Kanak berbunyi:

Artikel 5:
States Parties shall respect the responsibilities, rights and duties of parents or, where applicable, the members of the extended family or community as provided for by local custom, legal guardians or other persons legally responsible for the child, to provide, in a manner consistent with the evolving capacities of the child, appropriate direction and guidance in the exercise by the child of the rights recognized in the present Convention.

Artikel 19
1. States Parties shall take all appropriate legislative, administrative, social and educational measures to protect the child from all forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect or negligent treatment, maltreatment or exploitation, including sexual abuse, while in the care of parent(s), legal guardian(s) or any other person who has the care of the child.

Jika kita merujuk kepada artikel 5, adalah dipersetujui bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab di dalam pemeliharaan kanak-kanak dan ini harus dihormati oleh kerajaan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama Konvensyen ini melalui artikel 19 menekankan pentingnya kerajaan sesebuah negara untuk mengambil langkah-langkah perlu sama ada dalam bentuk perundangan, pentadbiran, langkah sosial serta ekonomi untuk melindungi kanak-kanak itu daripada penderaan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak di Malaysia

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia juga boleh dilihat seawal tahun 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991. Walau bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap kanak-kanak dan juga mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (selepas ini akan disebut Akta 611) dan telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002. Tajuk panjang Akta 611 berbunyi:

Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya. Akta 611 merupakan satu Akta yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, prosedur perbicaraan, hukuman dan sebagainya.

Tanggungjawab Undang-Undang

Semua pihak mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing sama ada tanggungjawab dari segi moral atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka. Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan di dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya telah diperkemaskan di dalam Akta 611. Apa yang pasti, antara tujuan utama peruntukan-peruntukan seumpama ini dimasukkan adalah supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.

a) Tugas Untuk Memaklumkan

Akta 611 melalui seksyen 28(1) telah mengenakan tugas kepada ahli-ahli keluarga kanak-kanak untuk memaklumkan kepada Pelindung jika mereka mempunyai alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks. Rasional ahli-ahli keluarga kanak-kanak dikenakan tugas untuk memaklumkan tentang kemungkinan seseorang kanak-kanak itu didera adalah kerana mereka merupakan antara pihak yang dekat dengan kanak-kanak tersebut. Mereka ini juga berkemungkinan besar mengetahui kenapa seseorang kanak-kanak itu didera. Tambahan pula, perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak atau keganasan rumah tangga merupakan jenayah belakang tabir yang berlaku jauh daripada pengetahuan pihak lain. Oleh itu, ahli-ahli keluarga kanak-kanak itu sebenarnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mengetahui jika berlaku sebarang penderaan terhadap kanak-kanak yang mendiami rumah yang sama. Seksyen 2 Akta 611 mendefinisikan anggota keluarga sebagai "termasuklah ibu bapa atau penjaga atau seseorang anggota keluarga luas yang merupakan seorang anggota rumah". Seksyen 2 juga mendefinisikan anggota rumah sebagai seseorang yang pada lazimnya tinggal serumah dengan seorang kanak-kanak. Peruntukan ini amnya mensasarkan kepada sesebuah rumah tangga yang mempunyai ahli yang ramai atau di mana sesebuah extended family itu tinggal. Oleh itu, adalah diharapkan dengan pengenaan tugas ini sekurang-kurangnya masalah penderaan terhadap kanak-kanak boleh dikesan pada peringkat yang lebih awal dan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Kegagalan mana-mana ahli keluarga itu untuk memaklumkan perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku di dalam rumah yang didiaminya merupakan satu kesalahan. Namun begitu, jika disabitkan, ahli keluarga yang berkenaan boleh dilepaskan dengan bon atas syarat-syarat yang ditentukan oleh mahkamah. Hanya setelah ahli keluarga ini tidak mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan di dalam bon berkenaan, barulah mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

b) Kehadiran Ibu bapa atau Penjaga Semasa Perbicaraan

Seksyen 88(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa jika seseorang kanak-kanak dituduh atas apa-apa kesalahan, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah memerintahkan supaya ibu dan bapa kanak-kanak tersebut hadir ke mahkamah kecuali Mahkamah berpuashati bahawa adalah tidak munasabah untuk mengehendaki kehadiran mereka. Peruntukan mengehendaki ibu bapa atau penjaga hadir di mahkamah semasa perbicaraan adalah satu peruntukan mandatori. Hal ini telah dijelaskan di dalam kes Sia Yik Hung v Public Prosecutor. Di dalam kes ini, Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa kegagalan Majistret untuk memanggil ibu bapa ke mahkamah sedangkan ia diperlukan mengikut seksyen 9 Akta Mahkamah Juvana adalah suatu "failure of justice". Menurut Mahkamah, perkataan "and shall" adalah peruntukan mandatori.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu keluar daripada mahkamah. Keadaan ini mungkin berlaku apabila mahkamah berasa bahawa perintah sedemikian adalah perlu untuk kepentingan kanak-kanak itu. Bagi ibu bapa atau penjaga yang gagal untuk menghadirkan diri di Mahkamah Kanak-Kanak apabila mereka dikehendaki berbuat demikian ia merupakan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

c) Penyempurnaan Bon Kelakuan Baik

Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman-hukuman tertentu apabila kesalahan telah dibuktikan terhadap seorang kanak-kanak tersebut. Sebagai kuasa tambahan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon bagi kelakuan baik kanak-kanak itu. Mahkamah Kanak-Kanak juga mempunyai kuasa untuk mengenakan satu atau lebih daripada syarat-syarat tambahan di bawah kepada bon berkenaan dan antaranya ialah:

a) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah melaporkan diri di jabatan kebajikan atau balai polis yang berhampiran dengan kediaman ibu bapa atau penjaga pada lat tempoh yang telah ditetapkan oleh mahkamah;
b) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan oleh pusat-pusat tertentu;
c) Bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu berunding dengan guru, guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali sepanjang tempoh bon jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan;
d) Jika kanak-kanak itu dihantar ke sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, maka ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh mahkamah atau.
e) Atau apa-apa syarat lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ketika menjalankan lawatan ke Sekolah Henry Gurney menunjukkan bahawa kurangnya ibu bapa atau penjaga melawat anak-anak mereka yang ditempatkan di sekolah berkenaan. Antara alasan yang telah diberikan ialah kekurangan wang dan jarak sekolah berkenaan yang jauh dari rumah mereka. Sehubungan dengan itu, pihak Suhakam telah mencadangkan supaya Jabatan Penjara Malaysia memberikan subsidi atau bantuan perjalanan kepada ibu bapa kanak-kanak ini dan juga menyediakan tempat penginapan kepada mereka yang datang daripada jauh. Ini adalah kerana sokongan dan dorongan daripada ahli-ahli keluarga adalah penting untuk memberangsangkan pemulihan penghuni-penghuni Sekolah Henry Gurney ini.

Menyedari hakikat bahawa kebanyakan ibu bapa atau penjaga tidak melawat anak mereka yang dihantar ke Sekolah Henry Gurney, maka kerajaan telah memutuskan untuk menjadikan lawatan sebagai satu tanggungjawab statutori ibu bapa atau penjaga. Lantaran daripada itu, ibu bapa atau penjaga yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang telah dinyatakan di dalam seksyen 93(1) Akta 611, jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 dan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh memerintahkan supaya jaminan dilucuthakkan. Walau bagaimanapun, hak untuk didengar hendaklah diberikan kepada ibu bapa atau penjaga sebelum perintah di bawah seksyen 93(1) Akta 611 boleh dibuat, melainkan dapat dibuktikan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu setelah dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian atau tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah.

d) Pemeliharaan dan Penjagaan Yang Sepatutnya Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, maka mahkamah antara lain boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Peruntukan mengenai penyempurnaan bon ini adalah untuk memastikan kanak-kanak berkenaan bebas daripada sebarang bentuk penderaan. Ia juga merangkumi keadaan di mana terdapat pengabaian atau pertelingkahan antara kanak-kanak itu dengan ibu bapa atau penjaganya. Selain itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh membuat perintah supaya kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan itu diletakkan di bawah jagaan seseorang yang layak atau sesuai, atau membuat perintah supaya kanak-kanak itu diletakkan di bawah jagaan seorang Pelindung atau orang lain yang dilantik oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, atau membuat perintah meletakkan kanak-kanak berkenaan di tempat selamat, atau bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa, mencari ibu bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu.

Apabila Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat perintah seperti yang dinyatakan di atas, beberapa arahan atau syarat sampingan boleh dibuat oleh mahkamah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu. Antara arahan atau syarat berkenaan adalah:

a) bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu yang ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat-pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian;
b) jika kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat selamat, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak; atau
c) jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah berunding dengan guru atau guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.

Kesimpulan yang dapat dibuat apabila perintah-perintah seperti di atas dikenakan teratas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu adalah supaya orang-orang yang sepatutnya rapat dengan kanak-kanak itu tidak menjauhkan diri dari kanak-kanak apabila kanak-kanak tersebut dihantar ke tempat-tempat tertentu. Kehadiran ibu bapa atau penjaga boleh menjadi perangsang kepada kanak-kanak itu untuk meneruskan kehidupan mereka kerana kehadiran ibu bapa atau penjaga itu menunjukkan bahawa mereka masih dihargai. Dalam kes Public Prosecutor v Nazarudin bin Ahmad & Ors, tertuduh ketiga telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk ditempatkan di Penjara Taiping dan bukannya Penjara Kajang. Menurut Yang Arif Hakim, sungguhpun mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penjara manakah seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan akan ditempatkan, tetapi mengambil kira faktor bahawa umur tertuduh yang masih muda dan ahli keluarganya berada di Taiping, maka dicadangkan supaya dia di hantar ke Penjara Taiping. Menurut Yang Arif Hakim:

Visitation and constant contact by the family are crucial for a person of such young age serving a prison sentence. A term of imprisonment in such a situation without constant family contacts may have the adverse social problem of making a person of such youth and immaturity become a hard core criminal.

Sungguhpun kes di atas melibatkan pesalah muda yang dijatuhkan hukuman penjara tetapi mahkamah masih berpendapat lawatan dan pertemuan yang berterusan oleh ahli keluarga adalah sangat perlu kepada pesalah muda yang sedang menjalani hukuman penjara. Dari segi analogi, perkara yang sama juga diperlukan apabila seseorang kanak-kanak itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau Pusat Pemulihan iaitu lawatan dan perhubungan yang berterusan dengan ahli keluarga. Menurut Profesor Chiam Heng Keng:

The importance of imparting to children the message that adults care and desire to be of assistance will go a long way in reducing incidence of juvenile delinquency. Underlying every individual is the need to be loved, accepted and to belong. This need is so strong that if it is not possible to have this need be fulfilled in acceptable ways, the individual will seek its gratification by hook or by crook.

Our reaction to the juvenile delinquents should not be one of accusation. Instead, we should look for ways to restore them.

Pengenaan tanggungjawab undang-undang ini ke atas ibu bapa atau penjaga sebenarnya adalah untuk mengelak kanak-kanak ini kembali melakukan perbuatan jenayah apabila mereka dibebaskan kelak. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Profesor Abdul Hadi Zakaria, perlakuan kanak-kanak boleh diperbaiki dengan meningkatkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain.  Ini adalah perlu kerana apabila kanak-kanak yang ditahan dibebaskan kelak mereka mungkin mengalami masalah untuk menyesuaikan diri mereka kecuali masyarakat dapat menerima mereka. Berdasarkan kajian yang dijalankan di pusat akhlak, hanya 35.7 peratus sahaja gadis yang berada di pusat akhlak dilawati oleh keluarga mereka setiap bulan. Manakala 14.3 peratus yang lain dilawati sekali dalam dua hingga tiga bulan, 14.3 peratus berikutnya menerima lawatan sekali bagi setiap lima hingga lapan bulan manakala yang lain langsung tidak dilawati sepanjang tempoh mereka berada di pusat akhlak berkenaan.

Di samping itu, terdapat beberapa kategori pelatih yang tidak dibenarkan menerima pelawat. Walau bagaimanapun, perhubungan dengan ahli keluarga atau kawan masih boleh dibuat melalui surat. Berdasarkan kajian yang dijalankan, hanya 14.3 peratus pelatih menerima sekurang-kurangnya sepucuk surat pada setiap bulan. Manakala 48.9 peratus pelatih langsung tidak pernah menerima surat sepanjang mereka berada di pusat akhlak. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, ada pelatih menyatakan bahawa ahli keluarga telah "membuang" mereka ataupun ahli keluarga berasa bahawa tanggungjawab mereka telah beralih kepada kerajaan apabila kanak-kanak berkenaan ditahan di pusat akhlak. Tanggapan seumpama ini adalah salah dan harus dikikis oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu. Tanggungjawab terhadap kanak-kanak berkenaan masih tidak berubah iaitu terletak di bahu ibu bapa atau penjaga. Peranan kerajaan atau agensi-agensi yang berkenaan adalah untuk membantu memulihkan kanak-kanak yang bermasalah dan ibu bapa atau penjaga perlu menyuntik sesuatu yang sangat penting iaitu kasih sayang dan perhatian keluarga. Apabila gandingan antara agensi-agensi  kerajaan dan ibu bapa atau penjaga ini berjalan dengan lancar, maka hasilnya sudah pasti akan lebih memuaskan daripada membiarkan kanak-kanak ini tanpa kasih sayang yang sewajarnya dari ahli keluarga.

Memandangkan bahawa tugas ini merupakan tanggungjawab undang-undang maka kegagalan mana-mana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu untuk mematuhi arahan atau syarat yang telah dikenakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah satu kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 jika didapati bersalah.

e) Tanggungjawab Untuk Tidak Menganiaya, Mengabai, Membuang atau Mendedahkan Kanak-kanak

Penderaan terhadap kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, emosi atau seksual bukanlah satu perkara yang baru di negara ini. Ada kanak-kanak yang dirogol oleh bapa kandung, bapa tiri, datuk, abang dan sebagainya. Ada kanak-kanak yang didera dengan pelbagai cara yang tidak pernah terfikir oleh manusia normal - penderaan ini boleh dilakukan oleh seorang ibu bapa atau penjaga ke atas anak-anak mereka. Lantaran itu, seksyen 31(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang mempunyai tugas pemeliharaan seorang kanak-kanak, menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak itu dianiaya, diabai, dibuang atau didedah hingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau seksual, maka orang berkenaan telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 31 Akta 611. Akta 611 juga telah memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu dianggap mengabaikan kanak-kanak itu jika tidak menyediakan kepada kanak-kanak berkenaan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi sekiranya beliau berupaya mempersediakan perkara-perkara di atas. Jika seseorang itu didapati bersalah di bawah seksyen 31 Akta 611, maka hukuman yang berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya. Selain itu, mahkamah juga boleh memerintahkan orang berkenaan menyempurnakan bon kelakuan baik.

f) Kanak-Kanak Digunakan Sebagai Pengemis dan Lain-lain

Penggunaan kanak-kanak sebagai pengemis bukanlah satu fenomena yang baru kerana di banyak tempat, terutamanya di kawasan bandar, kanak-kanak digunakan untuk mengemis atau menjaja. Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran di mana kanak-kanak digunakan untuk menjaja di tepi-tepi jalan tanpa menghiraukan bahaya yang datang. Terdapat keadaan di mana kanak-kanak telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi memungut derma atas pelbagai tujuan. Menyedari hakikat bahawa perlakuan ini adalah sangat berbahaya kepada keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak maka satu peruntukan yang khusus telah dimasukkan di dalam Akta 611. Seksyen 32 Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang termasuk ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana kanak-kanak itu mengemis atau meminta sedekah dengan cara menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa untuk jualan atau menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang seperti loteri haram, perjudian atau lain-lain aktiviti yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

g) Membiarkan Kanak-Kanak Tanpa Pengawasan

Terdapat banyak kes yang mengakibatkan bencana kepada kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di rumah atau di dalam kenderaan. Pada 18 April 2001, tiga orang kanak-kanak telah terkorban dalam satu kejadian kebakaran. Dalam kejadian ini, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun telah terbunuh apabila terjatuh daripada sebuah pangsapuri. Kanak-kanak ini dilaporkan keluar untuk mencari ibunya tetapi gagal. Manakala seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan bapanya telah dilarikan oleh pencuri yang cuba mencuri kereta berkenaan. Begitu juga dengan kejadian di mana tiga orang kanak-kanak berserta ibu mereka yang sedang sarat mengandung mati di dalam kereta kerana terhidu gas karbon dioksida yang berlebihan. Di dalam kejadian berkenaan, bapa kanak-kanak berkenaan telah meninggalkan anak-anaknya dan juga isteri di dalam kereta dengan penghawa dingin yang terpasang selama beberapa jam.

Permasalahan ini cuba diratifikasikan dengan memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang meninggalkan kanak-kanak itu tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan atau pemeliharaan yang berpatutan untuk satu tempoh yang lama, atau meninggalkan kanak-kanak berkenaan di dalam keadaan yang tidak berpatutan, melakukan kesalahan di bawah seksyen 33 Akta 611 dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan ini lebih menjurus ke arah mengelakkan kecuaian di pihak ibu bapa atau penjaga yang mengambil sikap kurang berhemat atau berhati-hati. Peruntukan ini bukan hanya untuk ibu bapa atau penjaga yang meninggalkan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka di dalam kereta tetapi juga dihujahkan terpakai kepada mereka yang meninggalkan anak-anak tanpa penjagaan di dalam rumah.

h) Sumbangan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga tidak hilang hanya kerana anak mereka telah diperintahkan supaya diletakkan di bawah jagaan orang yang layak, atau kerana kanak-kanak berkenaan dihantar ke asrama akhlak, sekolah yang diluluskan, Sekolah Henry Gurney, institusi atau pusat yang diluluskan atau diletakkan di tempat perlindungan. Mengikut seksyen 108 Akta 611, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang membuat perintah seperti di atas boleh mengeluarkan satu perintah sampingan iaitu mengarahkan ibu bapa atau penjaga membuat apa-apa sumbangan atau sumbangan bulanan setelah mengambil kira keadaan kemampuan ibu bapa atau penjaga. Perintah sumbangan seperti di dalam seksyen 108(1) Akta 611 juga hanya boleh dibuat setelah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak memberi peluang kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut peluang untuk didengar.

Perintah sumbangan ini juga boleh dihapuskan, diperbaharui atau diubah jika permohonan telah dibuat oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan, Pelindung atau pegawai akhlak. Sesuatu perintah sumbangan yang telah dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah berkuatkuasa selama kanak-kanak itu berada di bawah pemeliharaan seseorang yang layak. Bagi kanak-kanak yang berada di institusi yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, perintah sumbangan ini akan terus berkuatkuasa sehingga kanak-kanak itu tidak lagi berada di bawah pemeliharaan orang yang sedang menjaga tempat perlindungan, asrama akhlak, sekolah diluluskan, Sekolah Henry Gurney atau institusi atau pusat yang diluluskan itu.

Apabila ibu bapa atau penjaga dengan sengaja mengengkari perintah sumbangan ini, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh dengan waran mengarahkan supaya amaun yang tertunggak itu dilevi dengan cara yang diperuntukkan oleh undang-undang. Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh menjatuhkan hukuman penjara sebagai alternatif, iaitu satu bulan penjara bagi satu bulan sumbangan yang masih belum dibayar. Walau bagaimanapun, tempoh pemenjaraan berkenaan akan tamat apabila amaun sumbangan yang kena dibayar itu telah dijelaskan.

i) Pembayaran Pampasan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika seseorang kanak-kanak dituduh dengan kesalahan yang boleh dikenakan denda dan pampasan atau kos atau kedua-duanya, dan mahkamah berpendapat bahawa kes berkenaan boleh diselesaikan sebaik-baiknya dengan mengenakan kesemua atau mana-mana penalti di atas selain daripada hukuman lain, maka mahkamah boleh memerintahkan supaya denda yang dikenakan itu atau award pampasan atau kos itu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Walau bagaimanapun, perintah ini tidak akan dibuat jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah ataupun mereka tidak terlibat dalam membantu menyebabkan perlakuan kesalahan berkenaan kerana cuai dalam memelihara kanak-kanak berkenaan dengan sewajarnya. Di dalam kes Public Prosecutor v Saiful Afikin bin Mohd Firus, responden yang merupakan seorang pesalah muda telah mengaku salah di atas tuduhan mematikan orang dengan salah. Pada masa melakukan kesalahan berkenaan beliau berumur 16 tahun. Mahkamah Juvana yang mendengar kes berkenaan telah membuat beberapa perintah dan antaranya adalah supaya penjaga beliau membayar sebanyak RM 1,500.00 kepada keluarga mangsa sebagai pampasan. Seksyen 13 Akta Mahkamah Juvana memperuntukkan bahawa apabila mahkamah mendapati bahawa kesalahan terhadap kanak-kanak itu adalah terbukti, mahkamah boleh membuat beberapa arahan yang termasuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar pampasan. Sebelum ibu bapa atau penjaga diarahkan untuk membayar pampasan, hak untuk didengar hendaklah diberikan. Walau bagaimanapun, di dalam kes ini, ibu kanak-kanak berkenaan tidak ditanya tentang pembayaran pampasan ini. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Juvana telah melakukan satu kesilapan yang serius dan menjadikan arahan tersebut tidak sah.

Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati kesalahan terhadap kanak-kanak berkenaan telah terbukti atau kanak-kanak itu mengakui fakta yang mewujudkan kesalahan, maka mahkamah boleh membuat perintah yang mengehendaki ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan membayar pampasan atau kos atau memberi jaminan bagi kelakuan baik kanak-kanak berkenaan. Apabila ibu bapa atau penjaga memberi jaminan berkelakuan baik bagi seorang kanak-kanak, maka salah satu syarat di dalam seksyen 93(1) Akta 611  boleh dikenakan ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Kegagalan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mematuhi syarat-syarat jaminan tersebut boleh menyebabkan jaminan yang diberikan itu dilucuthakkan.


Kesimpulan

Apa yang jelas daripada peruntukan-peruntukan yang telah dibincangkan di atas adalah bahawa tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tidak akan terlepas jika kanak-kanak di bawah jagaan mereka terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah. Kini ibu bapa atau penjaga diajak bersama-sama untuk membantu menangani masalah sosial yang dialami oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Adalah tidak adil kepada semua pihak jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu bersikap "lepas tangan" selepas anak mereka didapati melakukan sesuatu kesalahan. Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga juga harus menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin dan mengelak daripada sebarang perbuatan penderaan, pengabaian dan kecuaian yang boleh mengakibatkan penderitaan sama ada dari segi fizikal atau emosi kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Pengenaan tugas dan tanggungjawab melalui undang-undang ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak merupakan satu kaedah untuk memastikan kanak-kanak yang telah terlibat dengan jenayah atau yang menjadi mangsa deraan tidak terus hanyut dan menderita. Walau bagaimanapun, menuding jari semata-mata tidak akan membantu, sebaliknya semua pihak harus bekerjasama bagi mengatasi segala masalah yang berkaitan dengan kanak-kanak. Tujuan dan matlamatnya adalah jelas iaitu supaya kanak-kanak di negara ini dapat hidup di dalam keadaan yang sempurna dan sejahtera.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

Sumber : http://www.commonlii.org/my/journals/JMCL/2005/6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan