Ahad, 13 Mei 2012

ISU BAHASA : Sekolah aliran Inggeris



Oleh Nazmi Yaakub

 Agenda kelompok tertentu diteruskan dalam Dialog Pendidikan Nasional

ANEH apabila masih ada pihak yang berpandangan sekolah aliran Inggeris yang diwujudkan pada zaman kolonial sebagai jawapan kepada usaha memperkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia

Malah, kelompok itu sanggup menggunakan perbandingan yang salah dengan mengaitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta agama sedangkan ia bukan saja dalam konteks yang salah, bahkan tidak bertepatan dengan sejarah.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata SJK Cina dan Tamil mewakili komponen rakyat Malaysia, manakala sekolah agama pula tidak wajar dipersoalkan kerana majoriti orang Melayu beragama Islam.

“Malah, sekolah agama di negara ini tidak mengetepikan dasar pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama berbanding sekolah aliran Inggeris yang dicadangkan lagi tidak diketahui apakah hala tujunya,” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementeriannya masih mengumpulkan pandangan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan dalam memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negara, Senator Dr S Ramakrishnan yang bertanyakan mengapa kerajaan tidak boleh berbuat demikian sedangkan SJK Cina dan Tamil serta sekolah agama dibenarkan wujud bersama-sama sekolah kebangsaan.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

“Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya.

Mengulas cadangan pihak tertentu agar kerajaan menubuhkan sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan, tetapi sekolah swasta boleh memilih apa juga bahasa.

Dr Awang berpendapat, pihak berkenaan perlu sedar bahawa tindakan mewujudkan sekolah aliran Inggeris akan membina jurang besar antara masyarakat luar bandar dengan bandar, selain golongan pertengahan dengan bawahan.

“Jika cadangan ini dilaksanakan ia akan menjejaskan dasar bahasa kebangsaan yang secara langsung bertentangan dengan usaha yang sudah dilakukan pelbagai pihak termasuk DBP dalam memperteguh dasar bahasa kebangsaan.

“Anak yang dihantar ibu bapa ke sekolah Inggeris tidak akan mengutamakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan saya yakin kesan besar sekolah Inggeris adalah melebarkan jurang perbezaan, sekali gus memperlihatkan kita tidak mempunyai dasar bahasa yang jelas,” tegasnya.

Pandangan Dr Awang turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron yang melihat cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris sebagai satu ironis.

“Selepas kita berjaya meraih kemerdekaan dan melepasi laluan berliku serta merungkai kekusutan sehingga berjaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, tentulah tidak wajar untuk kita kembali ke era penjajahan.

“Sudah terbukti sekolah kebangsaan dengan bahasa pengantar bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai sekolah yang baik dan bagus, tidak ada sebab untuk kita memberikan justifikasi untuk membuka ruang kepada sekolah aliran Inggeris,” katanya.

Mohd Khir turut menolak tanggapan yang menyamakan sekolah aliran Inggeris dengan kewujudan SJK Cina dan Tamil yang diasaskan sejak awal kemerdekaan atas persetujuan dan permuafakatan.

Alasan penubuhan sekolah Inggeris itu turut ditempelak Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.

“SJK Cina dan India serta sekolah agama ada asasnya, iaitu mewakili kumpulan etnik di negara ini dengan orang Cina dan India mempunyai hak untuk menuntut pendidikan dalam bahasa ibunda, manakala orang Melayu Islam inginkan pendidikan agama yang lebih terarah.

“Namun, sekolah Inggeris tidak perlu wujud untuk memenuhi hasrat mana juga kelompok kerana tidak ada kumpulan etnik sedemikian,” katanya yang juga ahli panel Dialog Pendidikan Nasional.

Prof Teo menolak tanggapan keperluan sekolah Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih meluas, sebaliknya menegaskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) berupaya memastikan dua bahasa itu diberi perhatian mengikut martabatnya.

“Pelaksanaan sekolah Inggeris tidak selari dengan nasionalisme Malaysia yang mengangkat bahasa sepunya, sekali gus boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan negara.

“Ini kerana bahasa Inggeris mempunyai prestij, kuasa dan glamor yang cukup hebat sehingga kita lihat kekuasaan bahasa Inggeris meranapkan beberapa bahasa besar dan kecil di dunia khususnya di negara dunia ketiga,” katanya.

Justeru, beliau hairan apabila ada dalam kalangan bangsa Melayu sendiri yang mengutarakan cadangan penubuhan sekolah Inggeris termasuk dalam Dialog Pendidikan Nasional, sekali gus menganggap cadangan itu tidak mempunyai pandangan yang jauh.

Tidak hairanlah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, menyifatkan cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris sebagai tindakan balik ke belakang.

“Sepatutnya usaha ditumpukan untuk memperkasa sekolah kebangsaan yang juga bermakna memastikan dasar MBMMBI berjalan serentak sehingga tidak lagi memerlukan kewujudan sekolah aliran Inggeris.

“Kewujudannya juga bertentangan dengan falsafah pendidikan dan Akta Pendidikan Negara yang menegaskan alat pengajaran adalah bahasa Melayu,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan