BARU-BARU ini, ramai yang
terkejut dengan pengumuman kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia
dinaikkan kepada RM8,000 daripada caj RM4,511 yang dikenakan sebelum ini.
Dalam hal ini golongan yang
pening kepala ialah pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai anak
kecil. Ini kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada amah untuk menjaga anak
mereka sambil melakukan kerja sampingan seperti mengemas rumah, memasak dan
mencuci pakaian sepanjang ketiadaan mereka di rumah.
Ada cakap-cakap mengatakan disebabkan
perkara ini ramai golongan isteri yang berstatus ibu terutamanya yang mempunyai
anak kecil mahu berhenti kerja untuk menjaga anak-anak sambil menguruskan rumah
tangga.
Tetapi bagi pasangan yang
berpendapatan rendah, sekiranya si isteri berhenti kerja, ia akan mendatangkan
masalah kepada pasangan tersebut kerana mereka memerlukan antara satu sama lain
untuk menampung keluarga.
Inilah dilema yang dihadapi oleh
pasangan suami isteri yang hidup bergantung dengan amah apabila kos pengambilan
tersebut dinaikkan.
Bagaimanapun, golongan tersebut
disarankan supaya tidak pening-pening kepala dan mengambil keputusan
terburu-buru seperti berhenti kerja. Kenapa? Sebab ada jalan alternatif yang
boleh difikirkan untuk mengatasi masalah tersebut.
Caranya adalah menghantar anak ke
Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska). Ia bukanlah satu cadangan yang baru, tetapi
boleh dipertimbangkan dalam keadaan sebegini.
Menariknya, mana-mana pasangan
ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan isi rumah perkapita RM500 dan ke bawah
boleh memohon subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak Taska untuk anak yang
berusia di bawah empat tahun sebanyak RM150 hingga RM250 sebulan dan bagi
kanak-kanak OKU sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan.
Mungkin ramai yang tidak
mengetahui permohonan untuk mendapatkan subsidi yuran ini telah dibuka sejak
April tahun ini untuk membantu golongan berpendapatan rendah bagi membiayai kos
pengasuhan anak-anak di Taska swasta.
Bukan itu sahaja, bagi
mengurangkan beban penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah pula,
mereka berpeluang menikmati subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan
bagi setiap anak yang di hantar ke taska tempat kerja yang berdaftar dengan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata pemberian subsidi
oleh kerajaan melalui kementerian yang diterajuinya itu secara tidak langsung
membantu rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos pengambilan amah.
"Dengan adanya subsidi ini,
diharap beban rakyat akan berkurangan dan mereka mengambil peluang ini untuk
menghantar anak-anak ke Taska tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan
pembantu rumah untuk menjaga anak-anak yang memerlukan kos yang tinggi,"
kata beliau.
Tambah Rohani, bagi mendapatkan
subsidi ini pengusaha taska atau ibu bapa atau penjaga kanak-kanak boleh
mengemukakan permohonan dengan mudahnya melalui cara memuat turun borang YP1
yang terdapat di laman sesawang JKM di www.jkm. gov.my.
Pada masa sama, Rohani berkata,
menjelang hujung tahun ini kerajaan mensasarkan sebanyak 1,000 buah lagi Taska
baharu didaftarkan dengan JKM bagi menampung bilangan kemasukan kanak-kanak ke
Taska yang semakin meningkat.
Jelas beliau, ini merupakan
inisiatif kerajaan di bawah Dasar Bajet 2013 dan Program Transformasi Kerajaan
2.0 (GTP 2.0).
"Melalui inisiatif ini,
pengusaha Taska baharu yang berdaftar dengan JKM akan diberikan geran permulaan
sebanyak RM3,000 bagi Taska di rumah dan RM10,000 hingga RM20,000 bagi Taska
institusi yang dikendalikan oleh swasta sebagai insentif untuk membiayai kos
operasi Taska berkenaan.
Selain itu, Rohani juga
memberitahu cara yang paling penting untuk mengatasi masalah kenaikan kos
pengambilan pembantu rumah ialah dengan menukar mindset masing-masing.
"Kita selalu berfikiran
bahawa khidmat amah amat penting bagi menguruskan rumah tangga kita dan perkara
ini menunjukkan kita terlalu bergantung kepada mereka sehingga mereka boleh
demand harga jika ingin mengambil mereka bekerja.
"Apa kata ubah mindset kita
dengan menganggap bahawa amah tidak penting dan berfikiran bahawa banyak lagi
cara lain untuk bantu kita menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak.
Dengan cara ini, kita boleh mengelakkan beban daripada membayar kos pengambilan
amah yang tinggi," jelas beliau.
PENULIS ialah Setiausaha
Akhbar Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan