Oleh : Prof Dr Teo
Kok Seong
Pemberian peruntukan tambahan
RM500 juta dalam Belanjawan 2013 untuk mempertingkat kemahiran mengajar dalam
kalangan pendidik untuk empat subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Sains dan Matematik, amat dialu-alukan. Ia bertujuan mengembangkan
kemahiran berfikiran kritis dalam kalangan pelajar oleh guru.
Sehubungan ini, Sejarah yang
diangkat menjadi subjek teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025, perlu turut dimasukkan dalam latihan perguruan ini. Selain
subjek wajib, ia antara kurikulum penting yang dapat memupuk asas dan
perspektif nasional yang dikongsi bersama. Kemahiran berfikir aras tinggi
sebagai aspirasi penting dalam PPPM, akan cuba dicapai melalui tiga cara.
Pertama, dengan penguasaan kemahiran berfikiran kreatif dan inovatif, pelajar
diajar untuk memperoleh kepandaian menjana prospek baharu, selain mencipta
gagasan dan pengetahuan baru.
Kedua, melalui penguasaan kemahiran menyelesaikan
masalah dan menaakul, pelajar dilatih untuk bersedia berdepan dengan sebarang
masalah, yang kemudian diselesaikan selepas menaakul dengan kritis dan logik,
agar keputusan yang dibuat itu bernas.
Ketiga, melalui penguasaan
kemahiran keupayaan belajar, pelajar diasuh untuk memiliki ketangkasan
mendorong diri sendiri untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat mereka, bagi
menjadi warga yang berpengetahuan.
Diakui bidang ini tidak
dirangkumi dalam sistem pendidikan negara sebelum ini. Justeru, pelajar kita
didapati bukan saja tidak mampu menerapkan ilmu yang diperoleh. Tetapi yang
lebih mudarat lagi mereka gagal berfikir secara kritis, khususnya dalam konteks
akademik baru.
Sehubungan latihan ini,
sesetengah pihak meragui kemampuan guru dalam memperoleh kemahiran begini untuk
diri mereka sendiri, sebelum disampaikan kepada pelajar. Dalam hal ini, kita
harus meyakini keupayaan guru yang sudah memiliki ilmu mengenai bidang
pengkhususan masing-masing, selain ilmu pelajar yang berbagai-bagai dari segi
kecerdasan dan lain-lain, serta ilmu pedagogi untuk pendidikan yang berkesan.
Apabila setiap kali subjek Sains
dan Matematik disentuh dan kali ini dalam konteks pengajaran kemahiran berfikir
aras tinggi melalui dua subjek ini, sebahagian daripada masyarakat yang
kepingan dan fanatik dengan bahasa Inggeris, menggunakan kesempatan ini untuk
cuba mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) yang sudah dimansuhkan. Alasan yang sama diberikan dan mereka
yang menyokong pemansuhannya pula akan memberi hujah yang sama.
Sehubungan ini, sudah tiba
masanya PPSMI ini dilupakan dan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh
Bahasa Inggeris (MBMMBI) dikembangkan.
Hal ini sebenarnya ditekankan
dalam PPPM melalui Anjakan Kedua yang akan memastikan setiap pelajar memiliki
kecekapan yang sama dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, iaitu kedua-duanya
saling melengkapi sebagai bahasa kemajuan. Untuk ini, bahasa Melayu adalah
bahasa ilmu, bahasa Inggeris pula adalah bahasa sumber ilmu.
Dari segi ilmu linguistik, bahasa
Melayu kini adalah bahasa moden, yakni bahasa yang mampu mengungkapkan segala
macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam apa-apa juga bidang ilmu.
Justeru, dengan upaya sebegini, kita tidak perlu meragui, apatah lagi
mempertikai kehandalannya untuk mengendalikan sistem pendidikan negara.
Bahasa Melayu atau bahasa
Inggeris, dari segi linguistik, adalah wahana komunikasi, dengan cara dan pola
masing-masing yang boleh dengan jayanya digunakan untuk menyampaikan gagasan
pemikiran kritis, selain yang logik, oleh penggunanya yang kreatif dan
inovatif. Maka tidak timbullah persoalan bahawa bahasa Inggeris lebih ekspresif
sifatnya berbanding bahasa Melayu.
Sifat ini, yakni kebolehan
menyatakan perasaan, fikiran dan seumpamanya, dengan baik dan lancar,
sesungguhnya terletak pada kecekapan berbahasa seseorang itu dan tidak
semata-matanya pada sistem bahasa. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu
yang kreatif dan inovatif berjaya menghasilkan ungkapan Ini sabun baharu. Ini
baharu sabun yang indah lagi bermaklumat untuk tujuan pengiklanan sesuatu
barangan.
Kita harus meyakini keupayaan
bahasa Melayu untuk terus mendidik anak bangsa yang mampu bersaing di persada
dunia.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan