Oleh : Fadzlena Jafar
Universiti di Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok 200 universiti
terbaik dunia bagi sesi 2012/2013 seperti yang dikeluarkan majalah Times Higher
Education (THE), baru-baru ini.
Meskipun ada dalam kalangan tokoh akademik yang berpendapat senarai
kedudukan universiti dunia berkenaan tidak mencerminkan mutu sebenar universiti
tempatan atau boleh dijadikan penanda aras kerana ada unsur ‘pilih kasih’
daripada pihak tertentu yang berkepentingan, kegagalan universiti Malaysia itu
harus dijadikan sempadan memandangkan beberapa universiti Asia semakin kukuh
dalam senarai itu. Universiti terbaik Asia, Universiti of Tokyo yang berada
pada kedudukan ke-30 bagi sesi lalu, umpamanya naik kepada kedudukan ke-27,
manakala institusi pengajian tinggi (IPT) di negara jiran, National University
of Singapore (NUS) melonjak ke tangga ke-29 daripada kedudukan ke-40 sesi lalu.
Malah, Nanyang Technological University Singapore yang ditubuhkan pada 1981
kini berada pada tangga ke-86 berbanding 169 tahun lalu.
Peningkatan ketara
Secara keseluruhan senarai 400 universiti terbaik dunia THE menunjukkan
peningkatan ketara kebanyakan universiti di Asia khususnya China, Korea Selatan
dan Taiwan, tetapi sebaliknya Jepun yang mempunyai jumlah universiti paling
banyak dalam senarai itu perlu berwaspada apabila kebanyakannya turun daripada
kedudukan sesi lalu, melainkan Universiti of Tokyo.
Peningkatan mendadak IPT di rantau ini mungkin menimbulkan kebimbangan
Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) meskipun senarai 10 universiti terbaik
THE itu masih lagi dimonopoli negara Barat iaitu tujuh universiti AS dan tiga
universiti di United Kingdom (UK).
Pengarang THE, Phil Baty, turut mengakui hakikat berkenaan. Beliau
berpendapat peningkatan universiti Asia dalam kedudukan universiti terbaik
dunia itu menggambarkan kebangkitan tahap pendidikan di rantau ini khususnya
dengan pelaburan tinggi yang diperuntukkan kebanyakan negara di Timur untuk
tujuan pendidikan.
China, misalnya yang memberi tumpuan khusus dalam pembangunan universiti
bertaraf dunia dengan menyediakan pelaburan besar sudah membuktikan komitmennya
apabila berjaya mencapai matlamat berkenaan. Dua universiti utama China, Peking
University dan Tsinghua Universiti berada dalam kelompok 60 universiti terbaik
dunia.
Pada 2010, dana untuk penyelidikan bagi universiti di China mencecah RM36
bilion mengatasi UK yang memperuntukkan dana sebanyak RM33 bilion bagi tujuan
penyelidikan dan inovasi di IPT. Difahamkan peruntukan dana penyelidikan khusus
untuk IPT di China meningkat 15 peratus setiap tahun, membuktikan kesungguhan
negara itu dalam memacu ekonominya berasaskan inovasi.
Sedia peruntukan besar
Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan turut menyediakan peruntukan
besar khususnya bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D)
berimpak tinggi yang menjadi antara syarat bagi berada dalam senarai berkenaan.
Beberapa negara lain seperti Australia dan Brazil juga kini memberi tumpuan
khusus kepada pelaburan untuk R&D berimpak tinggi dengan menyediakan
peruntukkan berbilion ringgit. Brazil pada tahun lalu mengumumkan dana
penyelidikan bernilai RM39 bilion bagi institusi akademiknya menjalankan
pelbagai R&D.
Dalam hubungan ini, peruntukan sebanyak RM600 juta untuk lima universiti
penyelidikan (RU) di Malaysia seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet
2013, Jumaat lalu mungkin dilihat begitu kecil nilainya.
Bagaimanapun, daripada satu sudut, jumlah berkenaan mungkin memadai
memandangkan ia diperuntukkan hanya untuk lima IPT berbanding peruntukan RM36
bilion di China yang dibahagikan untuk 200 IPT di negara berkenaan.
Seperti negara maju lain, Malaysia kini juga sedang memacu ekonomi berasaskan
inovasi dan peruntukan berkenaan diharap dapat membantu negara mencapai
matlamat terbabit.
Peranan sektor korporat
Begitu pun, matlamat untuk meningkatkan inovasi menerusi IPT tidak boleh
dibebankan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya pihak korporat boleh
berganding bahu menyumbang dalam pembangunan R&D menerusi hubungan industri
dengan menyediakan penajaan universiti pilihan.
Pada masa yang sama, setiap universiti di negara ini wajar mengambil peluang
diberikan dengan memanfaatkan peruntukan berkenaan untuk menghasilkan R&D
yang bertaraf an tarabangsa, sekali gus dapat meningkatkan taraf universiti
tempatan supaya lebih dikenali dan dihormati di mata dunia.
Penyenaraian universiti dalam kelompok universiti terbaik dunia tidak hanya
bersandarkan kepada jumlah R&D berimpak tinggi, sebaliknya pelbagai perkara
lain turut dipertimbangkan termasuk jumlah akademia yang berijazah Doktor
Falsafah (PhD) dan berkepakaran tinggi dalam pelbagai bidang serta penawaran kursus
kritikal.
Hakikatnya, Malaysia menerusi Kementerian Pengajian Tinggi sudah melaksana
dan memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan kecemerlangan pendidikan
tinggi yang dapat membantu universiti tempatan setanding universiti terbaik
dunia.
Kini terpulang kepada semua warga kampus, sama ada kakitangan akademia
mahupun bukan akademia serta mahasiswa untuk menggembleng tenaga membawa
universiti masing-masing ke matlamat yang ditetapkan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan