STATISTIK terkini menunjukkan sebanyak 133 kematian dicatatkan di seluruh negara akibat demam denggi sejak 1 Januari 2010. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 84 kes kematian yang dilaporkan untuk tempoh sama tahun lalu. Jumlah kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara juga meningkat iaitu sebanyak 45,106 kes berbanding 39,711 kes dalam tempoh yang sama pada 2009.
Senario ini menunjukkan betapa bahayanya demam denggi dan perlu ditangani dengan segera agar tidak terus meragut nyawa. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat agar segera membanteras penularan wabak berbahaya ini. Memandangkan angka kematian terus meningkat, adalah diharapkan 2011 yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi diisytihar sebagai tahun banteras denggi habis-habisan. Atau tahun anti-aedes oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sejak penyakit demam denggi mula dikesan, ia menunjukkan peningkatan yang seiring dengan pertambahan kawasan bandar, pembangunan dan peningkatan kepadatan penduduk.
Antara tanda-tanda penyakit ini ialah demam kuat yang mengejut dan berterusan, bintik-bintik merah pada kulit, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Sehingga kini masih belum terdapat vaksin siap untuk demam denggiflavivirus dan kita lebih disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif.
Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air seperti dalam bekas bunga terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik, manakala penggunaan kelambu dan juga semburan (fogging) juga boleh membantu. Nyamuk aedes senang dikenali dengan belang hitam putih pada badan dan kakinya dan kebiasaannya menggigit pada awal pagi dan waktu senja.
Nyamuk ini juga membiak dalam air jernih yang bertakung sama ada di dalam atau di luar rumah. Antara tempat pembiakan di dalam rumah ialah dalam akuarium, pasu bunga, timba, tempayan serta kolam (kolah) mandi.
Di luar rumah pula nyamuk ini membiak dalam tayar buruk, tempurung kelapa, botol atau gelas pecah yang mengandungi air, longkang yang tersekat serta salur air hujan. Peningkatan kes demam denggi dan jumlah kematian di negara kita mutakhir ini boleh dirumuskan berpunca daripada kurangnya tahap kesedaran, kelalaian sendiri serta sikap tidak peduli dalam kalangan masyarakat.
Kita masih dengan budaya tidak mempedulikan sesuatu perkara sehingga ia kena pada kita atau kaum keluarga. Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius sama serius dengan penularan wabak denggi dalam masyarakat kita. Budaya ini jika tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri akan terus meragut lebih banyak lagi nyawa.
Justeru, kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku dalam persekitaran. Tidak salah dalam hal begini kita mengambil tahu 'tepi kain orang lain' asalkan ia untuk kesejahteraan dan keselamatan bersama. Masyarakat perlu sedar bahawa isu demam denggi ini amat serius serta bahaya dan ia perlu ditangani dengan segera.
Dalam hal ini kita wajar memuji langkah-langkah pencegahan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak KKM dan beberapa agensi lain yang berkaitan sebagai usaha berterusan menyedarkan masyarakat serta membendung penularan virus ini mahupun pembiakan aedes. KKM misalnya mengadakan pelbagai program kesedaran seperti 10 minit dalam seminggu, Jom Ganyang Aedes dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang lain termasuk pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat.
Tetapi jika masih tiada kesedaran dan sokongan menyeluruh daripada masyarakat, ia tidak akan berjaya. Senario ini jelas menunjukkan tahap keseriusan pihak kerajaan dalam membendung wabak denggi. Namun statistik yang terus meningkat membuktikan bahawa keberkesanan pelbagai program yang dianjurkan selama ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan. Ia kerana sikap masyarakat sendiri yang tidak memandang serius penularan demam denggi.
Malah Kempen Media Pencegahan Denggi oleh KKM sebagai usaha untuk menyebarkan mesej dan maklumat tentang bahaya demam denggi juga dilihat masih belum cukup untuk menyedarkan masyarakat.
Pembanterasan nyamuk aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga mahupun masyarakat setempat.
Tindakan seperti membuang sampah terutamanya ke dalam longkang yang akhirnya menyebabkan aliran longkang tersekat dengan timbunan sampah dan rumput perlu dielakkan. Di samping itu, sebarang jenis takungan air baik di dalam mahupun di sekitar kawasan luar rumah juga perlu dielakkan. Kita juga perlu berubah dari sikap pengotor kepada pembersih. Hanya kebersihan secara hakiki mampu membendung pembiakan nyamuk aedes ini dari terus bermaharajalela.
Di samping bergantung kepada tindakan pencegahan daripada KKM dan agensi berkaitan, masyarakat juga perlu bertindak sendiri secara proaktif. Misalnya mengenalpasti lokaliti-lokaliti yang berpotensi sebagai hot spots dan segera melakukan aktiviti pembersihan dan gotong-royong secara bersepadu. Dalam masa yang sama kita juga berharap tindakan penguatkuasaan dan pemantauan serta hukuman diperhebatkan oleh semua agensi yang terbabit.
Pemilik premis baik rumah kediaman mahupun perniagaan yang didapati membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dikompaun serta merta tanpa pilih kasih. Dalam hal ini kompaun maksimum RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang sedia ada dilihat masih rendah dan belum cukup menggerunkan pemilik premis. . Adalah disyorkan agar nilai kompaun ini dikaji semula dan dinaikkan ke satu nilai yang lebih besar serta ditambah dengan hukuman penjara yang setimpal.
Disyorkan juga supaya Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengawal Denggi (2009-2013) yang dilancarkan pada April 2009 disemak semula dan dimantapkan mengikut keadaan semasa agar memberikan impak yang maksimum. Kesimpulannya, walau apa pun tindakan mahupun program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama setiap individu dalam masyarakat kita.
Justeru, masyarakat perlu berganding bahu dengan berusaha secara bersepadu dan bertindak dengan segera untuk membendung penularan wabak ini. Marilah kita berazam dan bertekad untuk membanteras habis-habisan nyamuk aedes pada 2011 ini dan isytihar tahun berkenaan sebagai tahun anti-aedes.
PENULIS ialah Penolong Pendaftar Kanan,
Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan