Datuk Seri Dr Ali
Hamsa
KUALA LUMPUR : Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam
Swasta, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ali Hamsa, 57, pada Selasa
diumumkan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru berkuat kuasa mulai 24 Jun
2012.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Selasa
berkata beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan tamat kontrak
perkhidmatannya pada 23 Jun ini.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah
memperkenankan pelantikan Ali, kata kenyataan itu.
Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955,
berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan
Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental
Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.
Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik
pada 5 Januari 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan
Perindustrian.
Beliau mempunyai pengalaman kerja yang sangat luas di Unit
Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 16 Disember 1997 hingga 21
April 2009.
Di jabatan itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah
Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National
Transformation & Advancement sebelum menjawat tugas sebagai Ketua Pengarah,
UKAS, JPM pada 22 April 2009.
"Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan atas segala
khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha
Negara khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian Perkhidmatan
Awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan
negara yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya," kata kenyataan itu. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan