Rabu, 20 Jun 2012

ISU SUKAN : Serbegeth Singh Pengarah Bola Sepak Blackburn Rovers


Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR - Bekas pemain pertahanan kebangsaan Serbegeth Singh dilantik sebagai pengarah bola sepak kelab divisyen satu England, Blackburn Rovers, mulai musim depan.

Laporan Daily Mail United Kingdom semalam mendedahkan pemilik Blackburn yang berasal dari India, Venky mengesahkan Serbegeth, yang turut dikenali sebagai Shebby, diberikan tanggungjawab tersebut.

Salah satu tugas Shebby kelak ialah bertindak sebagai orang tengah untuk Venky dan pengurus kelab itu, Steve Kean.

Shebby disifatkan arif tentang Liga Perdana Inggeris sebagai pengulas di saluran televisyen berbayar.

Shebby, 43, dijangka meninggalkan kerjayanya sebagai pengulas bola sepak sebuah saluran televisyen tempatan tersebut untuk menggalas cabaran baru itu.

Beliau merupakan bekas pemain kebangsaan Malaysia dari 1978 hingga 1996.

Shebby juga merupakan ketua pasukan Kuala Lumpur dan membantu pasukan berkenaan menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin berkata, pemilihan Shebby sesuatu yang baik buat negara dan bekas pemain itu.

Kata Hamidin, melalui jawatan yang bakal disandang oleh Shebby, ia diharap dapat memberikannya lebih banyak idea sekali gus mampu membantu pembangunan sukan bola sepak tanah air.

"Saya bangga apabila mengetahui berita ini.

"Saya percaya ada sesuatu yang istimewa pada Shebby sehingga membolehkannya terpilih mengisi jawatan penting itu.

"Ini juga membuktikan bahawa bekas pemain bola sepak kita mempunyai kualiti tersendiri untuk berjaya di peringkat lebih tinggi," katanya ketika dihubungi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan