Rabu, 2 September 2009

Belasungkawa: Negara kehilangan tokoh kehakiman disegani


Abdul Hamid sumbang idea mantapkan perundangan negara sepanjang 39 tahun

TUN Abdul Hamid Omar yang meninggal dunia semalam akan dikenang sebagai tokoh kehakiman negara disegani semua pihak. Bekas Ketua Hakim Negara itu adalah individu penting yang menyaksikan dan terbabit secara langsung dalam perjalanan institusi kehakiman dan perundangan negara selama 39 tahun sebelum persaraannya pada 1995.

Beliau juga akan diingati sebagai individu yang mempengerusikan tribunal enam ahli yang bertanggungjawab memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berikutan krisis kehakiman negara pada 1988. Usaha Allahyarham memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah membolehkan beliau dianugerahkan Tokoh Dewan Masyarakat pada 1991.

Abdul Hamid, 80, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, di ibu negara pada jam 10 pagi semalam akibat kegagalan ginjal. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Azian Aiyub Ghazali dan empat anak Azizuddin, Ainuddin, Hanizah dan Hanizan.


Abdul Hamid dilahirkan pada 25 Mac 1929 di Kuala Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kangar dan Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, sebelum mengikuti pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London pada 1955 dan dilantik peguam pada November tahun yang sama.

Sekembalinya dari luar negara, Allahyarham memulakan kerjaya sebagai Majistret dan kemudian menjadi Yang Dipertua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, Raub, Taiping dan Seremban dalam tempoh Mei 1956 hingga Disember 1959. Pada Januari 1960, beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya di Perak sebelum dilantik Penasihat Undang-Undang Negeri di Perak, Terengganu dan Pulau Pinang daripada Mac 1961 hingga Oktober 1967.

Pada 1 November 1967, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1968, Hakim Mahkamah Persekutuan (1980) dan Hakim Besar Malaya (1984). Allahyarham dilantik Hakim Mahkamah Agung sempena pembukaan Mahkamah Agung pada 1 Januari 1985.

Pada November 1988, Allahyarham dilantik Ketua Hakim Negara sebelum bersara pada 25 Mac 1995 dan dilantik semula ke jawatan itu bagi tempoh enam bulan. Allahyarham juga pernah menjadi penggubal undang-undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara pada 1968.

Allahyarham juga menulis tiga buku mengenai perundangan dengan judul pertamanya The Judiciary in Malaysia diterbitkan pada 1994, buku kedua Off the Bench (1995) dan On the Bench mengenai corak kehakiman beliau di Mahkamah Tinggi (1996).

Selain menjadi individu penting dalam institusi kehakiman, Abdul Hamid juga seorang yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO). Beliau pernah memegang jawatan Penasihat dan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit (PBSM) Malaysia, Presiden Persatuan Kusta Malaysia, Penaung Yayasan Cancerlink dan Presiden Kehormat Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Allahyarham juga adalah ahli seumur hidup PBSM.

Abdul Hamid juga membuktikan ketokohannya dalam pentadbiran sukan, dengan memegang jawatan Presiden Persatuan Golf Malaysia, Presiden Kelab Golf Diraja Selangor dan Naib Pengerusi Persatuan Golf Asia Pasifik. Antara jawatan lain yang pernah dipegang Allahyarham ialah Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama selama tiga tahun bermula Jun 1976, pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam (1977-1980), Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia (1978), Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (1988) dan Profesor Kehormat Universiti Teknologi Malaysia (1993). - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan