Rabu, 7 Mac 2012

ISU EKONOMI : Lipat ganda usaha cari kekayaan


Oleh Mohd Ali Muhamad Don
bhagama@bharian.com.my


SENARAI 40 individu terkaya di Malaysia bagi 2012 yang dilaporkan oleh majalah kewangan dan perniagaan Forbes, baru-baru ini sudahpun diketahui umum. Daripada 10 individu yang menduduki senarai teratas, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary berada di tempat ketujuh sekali gus satu-satunya individu Muslim yang tersenarai sebagai 10 orang terkaya di Malaysia. Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa umat Islam masih jauh ketinggalan dari aspek pemilikan kekayaan harta duniawi. Walaupun ia bersifat sementara tetapi sebenarnya sangat signifikan dalam memelihara maruah agama dan peradaban Islam sejagat.

Justeru Islam sangat menggalakkan umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kebahagiaan juga kemewahan hidup di dunia, dalam masa sama perbuatan meminta-minta dan terlalu berharap kepada orang lain adalah ditegah lagi memalukan.
Malah dengan pembabitan setiap Muslim dalam pelbagai profesion yang dihalalkan, umat Islam berupaya keluar daripada kancah kemiskinan yang kemungkinan merosakkan akidah dan kepercayaan mereka.

Dari Hakim bin Hizam ra, katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta).

Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai minta-minta) Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon ditetapkan (agar tidak ada bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.”

Oleh itu, setiap Muslim diseru untuk melipatgandakan usaha bagi mencapai status hidup mewah ataupun sekurang-kurangnya berada di atas paras kemiskinan bagi melaksanakan tuntutan agama yang berkaitan dengan aspek kewangan dan punca pendapatan yang kukuh.

Dengan memiliki harta melebihi paras nisab, umat Islam berupaya untuk menunaikan zakat yang diwajibkan. Ia sekali gus dapat dimanfaatkan oleh asnaf yang memerlukan dalam usaha untuk mengubah taraf hidup mereka.

Golongan miskin misalnya boleh diberikan bantuan zakat untuk memulakan perniagaan yang akhirnya apabila beroleh keuntungan, mereka pula berkewajipan membayar zakat harta yang difardukan.

Kaedah seperti ini jika berjaya dilaksanakan dengan sistematik boleh menjadikan mekanisme terbaik untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Islam.

Kewajipan menunaikan fardu haji juga turut tertakluk dengan syarat memiliki tambang perjalanan pergi dan balik juga sara hidup bagi orang di bawah tanggungan yang berada di tanah air.

Tanpa sumber pendapatan yang kukuh pasti sukar untuk melaksanakannya. Ini di tambah lagi dengan situasi ekonomi semasa yang memungkinkan pertambahan kos bagi menunaikan fardu haji dari setahun ke setahun.

Selain itu terdapat juga galakan agama yang berkaitan dengan harta seperti sedekah, hibah, wakaf dan lain-lain. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi pasti sukar untuk melaksanakannya.

Malah boleh jadi umat Islam terdedah pula kepada aktiviti pinjaman haram akibat tidak cukup pendapatan bagi menyara keluarga dan kehidupan seharian.

Untuk bergelar hartawan Muslim pastinya tidak mudah. Segala peraturan dan ketetapan syariat mesti dipatuhi agar segala aktiviti ekonomi dan pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadat dan beroleh keberkatan daripada-Nya.

Antaranya niat kena benar, kegiatan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak memudaratkan. Setiap Muslim juga tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab agama seperti solat dan menunaikan zakat dalam mengejar kemewahan.

Begitu pula nilai akhlak Islam seperti jujur, amanah dan bertimbang rasa perlu sentiasa menjadi perhiasan diri. Sikap buruk seperti sombong dan mementingkan diri sendiri hendaklah dijauhi dalam usaha merapatkan jurang sosial antara golongan miskin dan kaya.

Kalangan hartawan Muslim turut diseru supaya tidak lokek membantu usaha kemasyarakatan seperti sumbangan untuk mengimarahkan surau dan masjid, juga rumah kebajikan dan anak yatim.

Dengan cara ini mudah-mudahan segala punca rezeki akan dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWT malah jika diperkenankan boleh saja dikurniakan rezeki tanpa disangka-sangka.

Salah faham terhadap pemilikan harta dan kemewahan dunia juga perlu ditangkis. Ini kerana terdapat segelintir Muslim yang tidak memahami hakikat sebenar zuhud sehingga kelihatannya mereka seperti orang yang tidak punya apa-apa sedangkan mampu untuk mengadakannya. Perbuatan menolak dunia secara total seperti ini tidak bertepatan dengan kehendak Islam sebenar yang akhirnya mengundang pandangan serong terhadap Islam.

Asas yang perlu dititiberatkan adalah memenuhi keperluan untuk diri sendiri dan orang yang di bawah tanggungan dengan niat ibadat tanpa menunjuk-nunjuk dan membazir.

Dari Abu Ishaq dari Abu Ahwash dari ayahnya berkisah: ‘Pada satu hari aku datang kepada Rasulullah SAW, ketika Baginda melihatku memakai pakaian compang camping, maka Baginda bertanya padaku: “Adakah kamu masih mempunyai harta?” Jawabku: ‘Ya, aku masih mempunyai semua jenis harta yang diberikan Allah padaku’.

Sabda Baginda: “Bila kamu mempunyai harta, maka hendaklah kamu memperlihatkan nikmat Allah itu dalam dirimu.” (Hadis riwayat al-Nasai’e)

Perlu juga difahami skop kaya dalam Islam terlalu luas. Ia tidak hanya terhad kepada aspek materialistik dan kebendaan saja. Kaya ibadah, kaya budi pekerti dan kaya senyuman juga perlu diusahakan.

Apalah gunanya harta dan kemewahan yang ada jika bersikap buruk seperti sombong dan membanggakan diri. Perangai buruk seperti ini pastinya merugikan memandangkan harta adalah milik mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa memberi kepada sesiapa yang dikehendaki dan Maha Berkuasa pula untuk mengambilnya pada bila-bila masa.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan