Jumaat, 15 Mei 2009

PENDIDIKAN BERTERAS FITRAH

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

FITRAH ciptaan manusia ialah menjadi hamba kepada Allah SAW. Berasaskan kepada fitrah itu, maka umat Islam perlu membentuk jati diri berasaskan keimanan kepada-Nya. Dunia perlu dibangunkan berdasarkan perundangan dan peraturan di dalam al-Quran dan hadis. Ilmu dan pendidikan yang sempurna berperanan penting dalam pembentukan jati diri umat Islam.

Ciptaan manusia adalah terlalu unik dan pelbagai. Ia bertujuan memudahkan manusia mengendalikan urusan hidup secara terurus bagi membangun dunia sebagai persinggahan yang indah sebelum ke alam akhirat.

Manusia mempunyai perbezaan dalam akal fikiran, perasaan dan cita rasa. Kepelbagaian ini menyebabkan manusia mempunyai perbezaan corak kehidupan dan minat.

Perbezaan dan kepelbagaian ini merupakan perancangan Ilahi. Oleh itu, umat Islam sepatutnya memahami bahawa mereka akan menjadi umat paling baik jika mereka mendidik dan mengasuh anak-anak berasaskan kepada fitrah manusia diciptakan.

Setiap anak yang dilahirkan dihiasi oleh Allah dengan bakat dan kebolehan tertentu. Bakat anugerah Allah itu jika dipupuk dan diasuh sebaik mungkin, akan menjadikan umat Islam menguasai pelbagai kepakaran. Ia merupakan asas pendidikan Islam.

Masyarakat Islam kadang-kala membuat kesilapan dalam penafsiran kebijaksanaan dan kepintaran kanak-kanak dan pelajar. Pencapaian akademik dalam bentuk kecemerlangan sewaktu peperiksaan sering ditafsirkan sebagai kebijaksanaan. Mereka yang gagal dalam peperiksaan dianggap sebagai "bodoh dan kurang berkemampuan".

Sedangkan tidak semua manusia yang dicipta itu mempunyai bakat yang sama. Ibu bapa dan guru-guru dapat memahami bakat kanak-kanak dengan melihat cara mereka berfikir, bertindak dan berbicara. Gelagat dan tingkah laku mereka perlu diteliti dan dikaji supaya bakat yang dimiliki oleh mereka diperkembangkan mengikut fitrah mereka diciptakan.

Kanak-kanak dan pelajar yang tidak berminat dan kurang berjaya dalam akademik tidak sepatutnya dipaksa menuntut ilmu yang tidak diminati oleh mereka kerana ia bertentangan dengan fitrah ciptaan mereka.

Penilaian kebolehan para pelajar perlu dilihat dalam bidang mata pelajaran yang diambil oleh mereka secara keseluruhan bukan hanya menekankan sesuatu bidang sahaja. Tindakan begini boleh membantutkan pelajar untuk mengembangkan bakat dan kepakaran yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Kesilapan dalam penilaian kebolehan para pelajar dalam ilmu pengetahuan merupakan faktor utama yang menyebabkan negara menghadapi krisis pengangguran, bertambahnya bilangan remaja berkeliaran sehingga terjerumus dalam gejala tidak bermoral.

Oleh itu, sistem pendidikan perlu berasaskan kepada dua aspek utama iaitu mendidik para pelajar memahami kehendak rohani dan fizikal. Pendidikan rohani secara teori dan praktikal membolehkan pelajar mengimbangkan jiwa dan pemikiran mereka apabila berada dalam kegelisahan, kekecewaan dan penderitaan. Mereka tidak akan menjadi liar dan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri dan masyarakat. Pendidikan kerohanian boleh membentuk anak-anak dan pelajar menjadi mantap dan kental dalam mempertahankan prinsip hidup sebagai orang yang beriman dan mulia.

Pendidikan yang berasaskan kepada kehendak fizikal adalah berkaitan dengan kepelbagaian kepakaran dalam bidang ilmu sehinggalah kepada peringkat menjadi petani, nelayan dan buruh kasar. Para pelajar yang tidak berminat dalam bidang akademik, terkenal dengan kelasakan sepatutnya dimasukkan ke sekolah tentera dan polis sejak kanak-kanak lagi. Bakat lasak dan keberanian memberi gambaran kepada ibu bapa dan guru bahawa kanak-kanak ini akan menjadi wira dalam mempertahankan negara jika bakat dan minat mereka diasuh sejak kecil lagi. Bakat begini amat penting dalam latihan ketenteraan dan pertahanan negara.

Rasulullah SAW dan para sahabat amat prihatin mengasuh kanak-kanak, sama ada lelaki dan perempuan menjadi lasak dan berani. Menunggang kuda dan memanah merupakan satu latihan lasak yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Latihan begini boleh membentuk remaja lelaki dan wanita menjadi orang yang mempunyai jiwa kental dalam mempertahankan negara dan masyarakat.

Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pertahanan perlu bekerjasama dalam mengembangkan bakat dan minat kanak-kanak dan remaja yang tidak berminat dalam bidang akademik.

Kanak-kanak dan pelajar dalam kategori ini sepatutnya diberi pendidikan dalam bentuk pergerakan fizikal, kemantapan mental dan kerohanian. Ilmu pengetahuan yang diajar kepada mereka adalah berkaitan dengan sejarah dunia, kepahlawanan dunia, strategi mempertahankan negara, politik dan seumpamanya. Ilmu-ilmu begini amat penting diserapkan ke dalam minda remaja dalam golongan ini kerana ia boleh membentuk mereka menjadi orang yang amat prihatin terhadap keselamatan masyarakat dan negara. Sekolah dan institusi melatih remaja dan lelaki dan wanita berkaitan dengan ilmu kepahlawanan amat penting bagi memperkukuhkan kedudukan politik dan keselamatan negara.

Kanak-kanak yang lemah dalam bidang akademik dan mempunyai personaliti yang agak pasif perlu diberi latihan dan pendidikan berkaitan dengan kemahiran pertukangan, jahitan, kesenian, pertanian dan ilmu-ilmu yang membolehkan mereka berdikari dan mencari nafkah hidup. Ia sekali gus membantu negara menonjolkan keindahan Islam melalui kreativiti mereka. Kanak-kanak dalam golongan ini dianugerahkan oleh Allah dengan bakat seni dan kehalusan yang mampu mengeluarkan barang-barang yang unik dan indah. Oleh itu usah diasak pemikiran mereka dengan ilmu-ilmu akademik yang tidak diminati dan dicapai oleh akal fikiran mereka.

Latihan dan proses memperkembangkan bakat perlu dilakukan ketika mereka di peringkat kanak-kanak dan remaja. Ilmu dalam perspektif Islam adalah luas dan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Kepelbagaian bakat dan minat merupakan satu bentuk ciptaan Allah. Ini kerana untuk membangun dan membina tamadun yang tinggi, manusia memerlukan kepelbagaian peranan dan kepakaran. Buruh juga memainkan peranan penting bagi menghasilkan pengukuhan bangunan dan pekerjaan yang memerlukan tenaga dan titik peluh. Oleh itu taraf dan status manusia di sisi Allah ialah ketaqwaan bukan wang dan pangkat.

Allah tidak menjadikan kesemua manusia mempunyai bakat menjadi pemimpin, sarjana dan kepakaran yang sama kerana jika ini merupakan fitrah ciptaan Allah maka dunia akan hancur kerana masing-masing berebutrebut untuk menjadi pemimpin dan menjawat jawatan tinggi.

Oleh itu sistem pendidikan negara sepatutnya dikaji semula supaya kanak-kanak yang nakal dan lasak tidak memilih jalan hidup menjadi pelumba haram di jalan raya kerana bakat dan keberanian mereka tidak disalurkan ke arah latihan dan pendidikan sejajar dengan "bakat" berkenaan.

PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM

Sumber : http://www.utusan.com.my/

TAFSIRAN BARU TENTANG GURU


DEFINISI BARU GURU

Guru itu bukan lagi lilin
yang menyuluh
sedang diri sendiri
dibiar terbunuh

Bukan juga api pelita
membuat udara berjelaga
semakin kelam
dan mungkin juga padam
di tengah malam

Guru itu bagiku
mentari di siangnya
dan purnama di malamnya
menyuluh dengan cahayanya
bukan dengan apinya

Guru itu menilai
bukan dengan jari dan jelir
tetapi dengan dhamir dan fikir

Guru itu mengajar
bagaimana belajar
menjadi insan terpelajar
sedang dia sendiri tekun mendengar
bukannya cakap berdegar

Nukilan: Abd Bashid Harun

Sumber:http://gurubashid.com/

Khamis, 14 Mei 2009

PENDIDIKAN ABAD KE-21

Aristotle pernah menyatakan bahawa nasib sebuah empayar bergantung kepada pendidikan belia. Segala kekuatan atau kelemahan yang diperhatikan dalam masyarakat berkait rapat dengan jenis pendidikan yang kita beri kepada pemuda-pemudi kita. Selanjutnya, apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan ‘Education is that which remains, when one has forgotten all that he learned in school’? (Pendidikan adalah apa yang tertinggal, setelah seseorang lupa apa yang dipelajari di sekolah.) Bukankah kenyataan itu bersifat ironik? Barangkali kenyataan itu mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan setakat mengisi ilmu ke dalam kepala murid seperti kita mengisikan air ke dalam baldi. Sebaliknya, lebih-lebih lagi dalam zaman sekarang, pendidikan seharusnya mengupayakan seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu (ASK-Attitude, Skill and Knowledge) untuk melakukan sesuatu perkara-perkara yang perlu dan patut dilakukan dalam konteks persekitaran yang sentiasa berubah dan semakin menjadi ‘rata’ (The World is Flat, Thomas L. Friedman).


Mengikut Laporan UNESCO (Report Of The International Commission On Education For The Twenty First Century), pendidikan yang berterusan sepanjang hidup harus berasaskan empat tonggak, iaitu: ‘Learning to know’ (belajar untuk tahu); ‘Learning to do’ (belajar untuk buat); ‘Learning to live together’ (belajar untuk hidup bersama) dan ‘Learning to be’ (belajar untuk menjadi). Pada peringkat asas, pendidikan seharusnya dapat memberi seseorang kanak-kanak pendedahan kepada pengetahuan yang luas dan pelbagai sebelum dispesifikkan secara mendalam dalam bidang-bidang tertentu. ‘Belajar untuk tahu’ membantu seseorang membina satu spektrum ilmu yang membolehkan dia memilih bidang yang sesuai dengan lebih jitu. Ilmu di sini juga merangkumi cara belajar—sesuatu kemahiran yang begitu diperlukan untuk memudahkan seseorang menikmati peluang-peluang belajar yang begitu banyak dari pelbagai sumber. Ilmu yang diperoleh harus seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan ilmu itu. ‘Belajar untuk buat’ bukan dihadkan kepada kemahiran operasi atau mekanikal sahaja tetapi merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan untuk menangani situasi-situasi yang tidak dijangka, kerja berpasukan, menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks sosial dan kerja.


Kita semua perlu kerap mengingatkan diri kita sendiri bahawa, tidak kira betapapun perbezaan kita dari segi bangsa, agama, status sosial, ekonomi, politik atau aspek-aspek yang lain, kita hidup di atas planet yang sama. Lambat –laun, suka atau tidak suka, secara langsung atau tidak langsung, masalah orang lain akan menjadi masalah kita juga. Berjaya atau tidak sistem pendidikan untuk melatih ‘belajar untuk hidup bersama’ jelas dilihat dari hal-ehwal semasa yang berlaku di sekitar kita. Satu sistem pendidikan, dari penggubalan dasar, pembentukan struktur pentadbiran, perjawatanan, sehingga ke pelaksanaan di peringkat sekolah, dengan sendirinya menjadi satu model (sama ada baik atau tidak) kepada pendidikan yang berunsurkan ‘belajar untuk hidup bersama’ . Usaha membawa pendidikan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi dapat diperhatikan dari aspek pemupukan saling kesefahaman antara satu sama lain, apresiasi kepada keperluan saling bergantung (interdependence), pengurusan konfik dengan semangat saling menghormati nilai-nilai pluralistik dan saling kesefahaman yang mementingkan keharmonian. Di peringkat sekolah, pemupukan nilai dan kemahiran tersebut perlu digiatkan melalui pendekatan yang lebih holistik. Dalam konteks ini, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat secara umumya, ada peranan untuk membimbing mereka yang terperangkap di dalam konflik kefahaman antara apa yang dipelajari dengan realiti. Mereka perlu diberi keyakinan bahawa konflik itu lebih merupakan persepsi yang diakibatkan oleh prejudis dan akan menjadi berkurangan apabila mereka membesar dan memperoleh lebih banyak ilmu. Keyakinan positif ini harus diberi, tidak kira tahap keyakinan diri kita, demi untuk mencipta satu masa depan yang lebih cerah apabila kita semua benar-benar dapat hidup bersama.


Selanjutnya, ‘belajar untuk menjadi’ menuntut satu usaha pendidikan yang gigih ke arah membangunkan modal insan yang mempunyai keperibadian yang halus, boleh bertindak dengan lebih autonomi, berkebolehan membuat penilaian atau pertimbangan yang lebih adil, rasional dan jitu, mempunyai tanggungjawab kendiri yang lebih tinggi dan membolehkan potensi individu seseorang itu berkembang dengan optimum. Sekali lagi, perkara ini merupakan satu usaha padu yang mencabar, yang memerlukan koordinasi semua pihak dan semua peringkat yang koheren dan realistik. Kualiti pemimpin dan guru menjadi penentu kejayaan yang penting. Juga, semua sekolah mempunyai unsur-unsur yang berlainan yang kadang-kadang menyebabkan kaedah acuan ala kilang tidak terlaksana. Tahap ‘autonomi’ yang berpatutan diberi kepada sekolah akan mempengaruhi usaha untuk menyemaikan budaya pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam kalangan murid melalui program mengikut acuan tersendiri.Saling kesefahaman tentang hakikat ini dan pengupayaan yang dibenarkan di sekolah akan memudahkan poses ‘belajar untuk menjadi’. Perkara ini perlu ditegaskan kerana kejayaan ‘belajar untuk menjadi’ amat dipengaruhi oleh suasana yang kondusif yang memberi ruang dan peluang untuk pekembangan individulistik dan tanpa melalui ‘centralised mass command’ yang terlalu kerap.


Akhir sekali, yang paling mencabar ialah bagaimana merealisasikan segala yang dinyatakan di atas supaya ilmu pengetahuan diterjemahkan kepada amalan, amalan dijadikan budaya, budaya membawa kejayaan, seruan menjadi realiti. Apa yang kurang daripada itu ialah retorik sahaja.


Sumber: http://thinkingallowed1.blogspot.com/

PENANDA WACANA UNTUK PENULISAN KARANGAN

i) Penanda permulaan karangan
a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

ii) Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

iii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala

iv) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

v) Penanda menghuraikan contoh
a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

vi) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)

a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

viii) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

ix) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa ..........

Sumber: http://mindasasterabahasa.blogspot.com/

KOMITMEN GURU TINGKATKAN SISTEM PENDIDIKAN

Oleh MARZITA ABDULLAH

KUALITI sistem pendidikan tidak boleh mengatasi kualiti guru-guru. Dengan perkataan lain guru yang sebenarnya menjamin kualiti sistem pendidikan di sesebuah negara.

Laporan Mckinsey ini diakui oleh semua sistem pendidikan di seluruh dunia. Oleh itu, falsafah ini selaras dengan tema Hari Guru Kebangsaan 2009 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa. Guru berkualiti adalah suatu kemestian dan bukan lagi keistimewaan dalam konteks pendidikan di negara ini.

Ini juga ditekankan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datin Asariah Mior Shaharuddin bahawa berkualiti itu mesti ada dalam diri seseorang guru.

“Guru berkualiti itu ialah seorang guru yang sentiasa berkualiti pada masa ini dan masa depan dan untuk menjamin sistem pendidikan kita kekal berkualiti, guru kita perlu sentiasa relevan dengan cabaran semasa dan akan datang, ini suatu kemestian jika kita hendak berjaya dan mencapai hasrat Wa wasan 2020,” tegasnya.

Kementerian Pelajaran katanya bertang gungjawab menghasilkan guru berkualiti dan kerana guru berkualiti menjamin ‘kemenjadian’ pelajar dari segi prestasi dan sahsiah.

“Ini juga ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu kemenjadian adalah outcome yakni kita menekankan tentang pencapaian, hasilnya bukan output. Misalnya kita latih seratus orang kita keluarkan seratus orang tetapi outcome ataupun kesannya adalah kepada pelajar. Kalau guru itu berkualiti maka pelajar akan menjadi insan yang kamil dan cemerlang,” katanya.

Berdasarkan tema Guru Pembina Negara Bangsa ini juga beliau melihat peranan guru amat penting dalam membina negara bangsa justeru pelancaran buku Standard Guru Malaysia (SGM) pada 16 Mei ini amat penting dalam memenuhi tuntutan kualiti berkenaan.

SGM menekankan tiga stan dard yang harus menjadi pe gangan bagi guru iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Guru akan membuat penarafan kendiri dengan melihat instrumen, melihat dirinya berbanding dengan standard yang telah dimaktubkan dalam SGM. Keperluan penarafan kendiri adalah untuk guru me nambah baik kualiti diri dan tugas masing-masing.

“Mereka menggunakan instrumen ini boleh mengetahui di mana diri dia, dia boleh berusaha mencapai standardnya yang kita tetapkan. Guru sendiri ataupun pihak-pihak tertentu boleh juga membuat penilaian terhadap guru,” katanya.

Namun tegas Asariah, SGM bukan suatu penilaian untuk menghukum guru dan bukan untuk dikuatkuasakan tetapi hanya untuk diuar-uarkan bahawa guru di negara ini mempunyai standard kualitinya sendiri seperti gu ru di negara lain terutama negara maju.

Guru yang baik adalah guru yang sentiasa mahu mempertingkatkan diri dan akan me lihat di mana diri mereka dalam sistem. Bagi guru yang sering tertanya tentang ‘berkualiti’, apa standard yang mereka perlu ada maka SGM adalah petunjuknya.

Walaupun pembikinan SGM berasaskan ne gara luar namun penanda arasnya dibangun kan dalam konteks dan budaya serta amalan nilai-nilai masyarakat negara ini.

Melahirkan guru berkualiti dan guru cemerlang pokok pangkalnya adalah bermula daripada pengambilan calon dan latihan yang diikuti oleh guru-guru berkenaan. Justeru kata Asariah, pengambilan guru yang ber kualiti bukan sahaja dengan kelayakan aka demik tetapi mengenal potensi seseorang itu yang boleh digilap untuk menjadi guru yang berkesan.

“Untuk itu calon perlu me lalui ujian Malaysian Teacher Selection Test (MTest). Perkara yang kita tekankan ialah dari segi kematangan fikiran dan dalam MTeST itu ada satu komponen iaitu Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK), yang me nekankan aspek yang kita kenal pasti daripada guru-guru selain adanya Malaysia Educations Selection Inventory (MEdSI) oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA)’’ katanya.

Kementerian Pelajaran sen tiasa berusaha mencari jalan untuk menambah baik cara pengambilan guru-guru baru dan mengenal pasti calon yang ada potensi untuk dibangunkan sebagai insan guru yang berkesan.

Selain daripada ujian ini, calon-calon juga dikehendaki menghadiri temu duga untuk mengenal pasti kebolehan berkomunikasi, kematangan berfikir, cara menyampaikan idea dan berhujah dan ini telah diperke nalkan sejak 10 tahun yang lalu.

Kini Kementerian Pelajaran sendiri amat berbangga bahawa trend permohonan guru tidak lagi menjadikan profesion keguruan sebagai pilihan akhir. Apatah lagi baru-baru ini bagi permohonan bagi Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) banyak calon yang memohon adalah mereka yang mempunyai keputusan SPM cemerlang malah memperoleh keputusan 13 1A.

“Mereka meletakkan pilihan keguruan se bagai pilihan pertama berbanding lapan pilihan yang lain. Bagi saya, itu telah mem perlihatkan kejujuran dan keikhlasan mereka untuk menjadi guru,” katanya.

Jika di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), guru menjalani latihan dan apabila mereka keluar menjadi guru baru, mereka terus dinilai melalui Program Jaminan Kualiti yakni apabila ditempatkan di sekolah. Di sana mereka wajib meminta dinilai oleh guru besar dalam tempoh enam bulan pertama mereka ditempatkan di sekolah.

Mereka dinilai daripada personaliti, P&P, kokurikulum dan aspek pengurusan dan dari semasa ke semasa Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti akan memantau prestasi guru.

“Selepas enam bulan guru besar akan me mulangkan semula borang penilaian kepuasan pelanggan kepada IPGM dan kita me nganalisis, apakah pandangan Guru besar terhadap prestasi guru-guru ini selama enam bulan,” katanya.

Dan untuk itu IPGM telah menetapkan kualiti standard bahawa guru baru mesti melepasi sekurang-kurangnya 80 peratus daripada standard kualiti guru permulaan yang ditetapkan.

Pada 2008, guru keluaran IPGM telah me lepasi standard kualiti guru permulaan yang ditetapkan dan ini memenuhi keperluan MS ISO 9001:2000 Kementerian Pelajaran.

Menyedari latihan praperkhidmatan itu ti dak boleh menjamin seorang guru untuk kekal berkualiti berkhidmat dalam tempoh 30 tahun akan datang maka program latihan dalam perkhidmatan guru amat penting agar mereka sentiasa mempertingkatkan kema hiran dan pengetahuan.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, Kemen terian Pelajaran menyediakan peluang untuk guru menambah ilmu, mendapatkan kemahiran dan kursus motivasi agar mereka peka tentang tugas dan tanggungjawab dan ke cintaan mereka terhadap profesion ini.

Mulai tahun lalu, Ketua Pengarah Pela jaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sendiri telah mengarahkan peruntukan terus kepada sekolah untuk melaksanakan latihan dalam perkhidmatan berasaskan sekolah.

Tahun ini sahaja, kira-kira RM47 juta telah diperuntukkan kepada semua sekolah untuk sekolah menjalankan latihan di samping kur sus yang diadakan oleh IPGM dan pihak lain.

Dengan peruntukan itu guru besar melalui jawatankuasa latihan perkhidmatan peringkat sekolah akan membuat analisis keperluan la tihan dalam kalangan guru mengenai bidang yang diperlukan oleh guru dan pada pandangan Guru besar memang guru itu memerlukannya.

Mereka boleh mendapat khidmat dari IPGM atau pensyarah untuk datang ke se kolah melaksana kursus atau menghantar guru mengikuti kursus yang diperlukan.

Kata Asariah, cabaran untuk melahirkan guru yang berkualiti adalah tanggungjawab bersama dan masyarakat tidak boleh meletakkannya kepada satu-satu pihak sahaja sebaliknya semua pihak bertanggungjawab, misalannya pihak IPGM bertanggungjawab melahirkan guru permulaan yang berkualiti.

Apabila guru ini ditempatkan di sekolah, sekolah pula perlu menyambut dan menyokong agar guru ini dapat melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya. Justeru IPGM mengalu-alukan maklum balas daripada guru besar dan pengetua mengenai perkara yang perlu ditambah baik.

“Ini kesedaran kita. Setelah keluarkan pro duk kita, kita hantar kepada pelanggan. Pelanggan beri maklum balas apa yang perlu ditambah baik dan kita mengharapkan pihak sekolah terus membimbing guru.

“Maklumlah guru yang baru ini, walaupun sudah menjalani latihan selama empat tahun mereka perlu masa menyesuaikan diri. Untuk itu mereka memerlukan bimbingan yang berterusan daripada pihak sekolah,” katanya.

Menurut beliau, latihan permulaan tidak mencukupi sebaliknya guru perlu latihan berterusan untuk pengetahuan, kemahiran dan sikap tentang cara mereka perlu ber depan dan menangani cabaran semasa.

Justeru, kata Asariah, sokongan, komitmen, kerjasama dan keterbukaan semua warga pendidik menyahut cabaran itu merupakan kunci kejayaan warga pendidik dan sistem pendidikan itu sendiri.

Sumber:http://www.utusan.com.my/

Rabu, 13 Mei 2009

JENAYAH DALAM KALANGAN PELAJAR DAN REMAJA (PUNCA DAN CARA MENGATASI)

Hari ini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelajar dan remaja. Kejadian jenayah tersebut telah menggambarkan keseriusan kejadian jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja. Semakin hari kes-kes jenayah ini semakin berleluasa.lsu ini sungguh memalukan memandangkan negara kita sekarang merupakan negara yang sedang pesat membangun. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja dan apakah masalah ini dapat diatasi?


Jika dikaji begitu banyak punca berlakunya kes-kes jenayah dalam kalangan remaja. Antaranya ialah didikan yang kurang sempurna daripada ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa ialah orang yang paling dekat dan yang paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah dalam kalangan anak-anak. Pada zaman teknologi maklumat dan globalisasi sekarang, mereka sentiasa sibuk bekerja dalam mengisi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna. Inilah punca utama yang menyebabkan akhlak pelajar-pelajar dan remaja runtuh. Natijahnya mereka tergamak melakukan jenayah berat seperti merogol, membunuh, menyamun, dan peras ugut.


Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di tempat-tempat tertentu seperti pasar raya sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya untuk menemani mereka. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka, mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya jika mereka tersalah pilih rakan sudah pasti mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya remaja mudah terikut-ikut perangai rakan. Di sinilah berpuncanya kegiatan jenayah seperti peristiwa membakar sekolah, kes ragut, dan sebagainya.


Selain itu, media massa juga menjadi punca kegiatan jenayah dalam kalangan remaja. Tidak dinafikan kemudahan seperti Internet, e-mel, televisyen, dan radio memudahkan kita untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat, dan berhibur. Akan tetapi banyak juga kesan-kesan negatif daripada kemudahan ini jika tidak dimanfaatkan dengan betul, contohnya, menyalahgunakan internet untuk memalsukan data-data penting, menonton gambar-gambar lucah, dan sebagainya yang akan mendorong mereka untuk melakukan jenayah seperti rogol, bunuh, pengedaran pil-pil khayal, dan dadah.


Namun begitu, segala jenayah di atas dapat dibendung jika perhatian dan pendekatan yang lebih diberikan kepada remaja-remaja tersebut. Contohnya, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula daripada rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan buruk.


Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana sememangnya remaja mudah ter- pengaruh dengan kawan-kawan mereka. Di sini, ibu bapa mesti tahu dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh media massa juga hendaklah dibendung. Pelajar hanya perlu mengetahui maklumat-maklumat yang hanya berkaitan dengan pelajaran sahaja. Cara sebegini dapat menghasilkan pelajar bermaklumat sekali gus dapat membendung jenayah dalam kalangan remaja.


Selain itu, pihak sekolah juga perlu memantapkan lagi disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahau. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah, atau memukul pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Ibu bapa pelajar juga harus ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal dalam mengatasi masalah yang lebih serius. Kuat kuasa undang-undang hendaklah diperketatkan. Remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori bagi memberikan pengajaran kepada remaja-remaja lain.


Kesimpulannya, pelajar-pelajar haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen, khemah kerja, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin kegemilangan negara. Sekali gus, perkara sedemkian dapat memberi pengajaran kepada mereka. Golongan tersebut juga perlu mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.

Sumber: http: // mazlan66.wordpress.com/

Selasa, 12 Mei 2009

RAWAT PESAKIT DENGAN SENTUHAN PROFESIONAL


Oleh RUSINAH SIRON

HARI Jururawat Antarabangsa yang diraikan pada setiap 12 Mei telah disambut semalam. Profesion jururawat adalah mulia dan perlu disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat. Jadi setiap masyarakat harus memberi penghormatan kepada jururawat supaya mereka terus berkhidmat dengan beretika dan prihatin terhadap pesakit-pesakit.Peranan jururawat terkandung dalam perkataan JURURAWAT itu sendiri yang mempunyai makna dan maksud yang tersirat dan tersurat bagi menjelaskan peranan dan tugas seorang jururawat.

J - Jari Jemari
Jari jemari jururawat yang lembut melayan pesakit merupakan satu rangsangan ke arah penyembuhan pesakit dengan lebih cepat. Sentuhan jari jemari jururawat yang lemah lembut sangat penting bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada pesakit.
Jari jemari jururawatlah yang menyuapkan ubat ke mulut pesakit yang kritikal, membetulkan alatan pesakit, menyelimutkan pesakit dan pelbagai lagi rawatan dan perhatian jururawat kepada pesakitnya.

U - Usaha
Jururawat perlulah sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya. Jururawat adalah pembantu setia kepada doktor. Jururawat perlu berusaha membantu doktor dan pesakit dengan semangat dan usaha yang jitu tanpa rungutan dan bantahan terhadap pekerjaan yang diamanahkan kepadanya.
Usaha murni jururawat membantu pesakit sangat dipandang tinggi oleh pesakit khususnya dan masyarakat amnya.

R - Rawat
Tugas utama jururawat adalah merawat pesakit yang telah didiagnosa sakitnya oleh para doktor. Tugas merawat meliputi pelbagai kaedah rawatan. Ada jururawat yang kreatif dengan bercerita dan memotivasi pesakit dengan kata-kata yang manis dan merdu didengar oleh telinga pesakit agar pesakit cepat sembuh. Ada yang merawat dengan pelbagai kaedah perubatan yang dicadangkan oleh doktor. Pesakit lumpuh akan sentiasa didorong untuk berjalan dan dilatih dengan baik agar dia mampu bergerak sedikit dan diberi harapan.

U - Umpama Lilin
Masih ingatkah kita kepada nama besar dalam dunia kejururawatan iaitu Florence Nightingale yang sepanjang hayatnya merawat dan membantu pesakit. Pada waktu malam Nightingale melawat setiap katil pesakit dengan menggunakan lilin di wad pesakit yang serba kekurangan.
Layanan Nightingale yang penuh keikhlasan dan kemurnian hati itu menjadi simbol bahawa dunia kejururawatan adalah profesion yang penuh dengan nilai murni bagi membantu pesakit untuk pulih dan membina kehidupan baru.

R - Respons
Seorang jururawat itu perlulah sentiasa memberi respons kepada masalah dan pertanyaan pesakit yang dikemukakan kepadanya. Respons yang diberikan oleh jururawat kepada pesakitnya perlu mempunyai hemah dan etikanya agar pesakit tidak terkejut atau terkedu dengan jawapan yang diberikan oleh jururawat.
Contohnya jika pesakit yang mempunyai penyakit kritikal bertanya kepada jururawat, "Puan, macam mana dengan sakit saya, ada peluangkah atau tidak untuk sembuh", jururawat yang kasar akan menjawab dengan kasar "sakit macam awak ni memang tak ada peluang nak hidup lama". Tetapi jururawat yang kaya dengan hemah dan budi bahasa akan menjawab dengan lembut, "Insya-Allah, setiap sakit ada ubatnya, bersabarlah, kami akan menjaga encik dengan baik". Begitulah yang dikatakan respons yang baik yang perlu jururawat berikan kepada pesakit.

A - Amalan
Seorang jururawat perlu memberi perhatian kepada amalan sebagai jururawat yang baik seperti berbudi bahasa dan berlembut dalam tingkah laku dengan pesakit, mempunyai keperibadian yang baik dari segi penampilan dan imej. Bermanis muka dan kaya dengan senyuman kepada pesakit. Datang tepat pada masa, mempunyai integriti yang tinggi terhadap kerahsiaan dan rekod pesakit. Seorang jururawat perlu sentiasa memberi perhatian kepada pesakitnya dan tidak sesekali menyakiti dan bersikap sombong kepada pesakit. Seorang jururawat perlu mempunyai etika, profesionalisme, cekap dan amanah.

W - Wibawa
Seorang jururawat yang berwibawa sangat diperlukan dan diyakini oleh doktor dan pesakit. Jururawat yang berwibawa tahu dengan benar dan tepat tugasan yang perlu dijalankan tanpa perlu banyak merujuk dan diajar oleh doktor. Adalah amat memalukan jika jururawat itu pula diajar tentang tugas dan peranannya oleh pesakit. Jururawat yang berwibawa perlu mempunyai sikap ingin belajar dan memperbaiki tugas yang dijalankannya. Jururawat yang berwibawa juga akan sentiasa memberi komitmen, kreativiti dan keikhlasan dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai jururawat.

A - Aspirasi
Bukan semua orang boleh menjadi jururawat kerana tugas itu bukan mudah. Dia bukan sahaja merawat pesakit tetapi juga membawa bersama nilai dan aspirasi organisasi tempat ia bekerja. Aspirasi hospital dan klinik-klinik di mana jururawat bertugas perlu dipraktikkan bagi merealisasikan aspirasi tersebut dengan jayanya.

T - Teras
Teras kepada tugas jururawat adalah integriti dalam menjalankan tugas. Pesakit sebagai pelanggannya adalah fokus utama dalam menjalankan tugas dengan penuh integriti. Teras kejayaan kepada tugas kejururawatan adalah tekun dalam menjalankan tugas, tepat masa dalam kedatangan dan merawat pesakit, tahan cabaran dalam menjalankan tugas serta menjaga kerahsiaan dokumen dan rekod pesakit mengikut kehendak dan keperluan organisasi.
Para jururawat perlu memahami dengan jelas tugas dan peranan sebagai jururawat agar tidak terdapat rungutan dan komplen daripada masyarakat bahawa jururawat tidak menjalankan peranannya dengan baik dan berkesan.

Kepada semua jururawat, Selamat Hari Jururawat dan rawatlah pesakit dengan sentuhan emosi dan fizikal yang profesional.

Prof. Madya Dr. Rusinah Siron
Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan, UNITEN

Sumber:http://www.utusan.com.my/