Isnin, 27 Julai 2009

Yasmin pergi membawa aspirasi 1Malaysia

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

SEINGAT saya, hanya sekali saya bersemuka dengan Yasmin Ahmad dan berbual-bual dengannya.

Pertemuan kali pertama kira-kira empat tahun lepas itu merupakan kali pertama dan terakhir antara saya dengannya. Tiada lagi pertemuan secara empat mata dengannya selepas itu.

Namun, dari jauh, perkembangan kerjaya pengarah kelahiran Muar, Johor ini menarik perhatian saya. Dia bukan seperti pengarah filem arus perdana yang lain. Kerja Yasmin ialah menghasilkan naskhah-naskhah filem yang disukai oleh ibu dan ayahnya.

Pengarah yang meninggal dunia pada usia 51 tahun ini tidak pernah peduli, jauh sekali untuk berkecil hati kalau orang lain tidak suka dengan kerja-kerja seninya.

Apa yang paling utama buatnya ialah ibunya, Inom Yon dan bapanya, Ahmad Hashim gembira dengan hasilnya.

Itu sudah cukup membahagiakan karyawan berkelulusan ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom ini. Kerana itu, perasaan dan cita rasa orang lain bukan prioriti buat sutradara prolifik ini.

Bagaimanapun, Yasmin juga disifatkan sebagai seorang sutradara yang bertanggungjawab. Ini kerana dalam setiap karya seninya baik dalam filem mahupun iklan, Yasmin tidak pernah lupa menggabungkan elemen kasih sayang dan cinta selain sarat dengan latar masyarakat majmuk di negara ini.

Antara filem arahan beliau yang menggabungkan elemen-elemen itu ialah Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009).

Kalau itu belum cukup, Yasmin juga seorang yang tidak pernah berhenti daripada berfikir mengenai kerja.

Setiap hari dia bekerja memerah fikiran untuk menghasilkan hasil yang boleh dijadikan rujukan tidak kira sama ada ia dalam bentuk filem mahupun iklan-iklan komersial.

Lalu kerana itu, tidak hairanlah sehingga ke nafas yang terakhir, Yasmin masih bekerja, melakukan pembentangan kertas kerja mengenai kempen 1Malaysia yang mahu diusahakan secara kerjasama dengan TV3 serta penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Yasmin hanya sempat membentangkan idea kreatifnya untuk tempoh yang sangat singkat pada 23 Julai lalu sebelum dia pergi untuk selama-lamanya. Pemergian beliau menemui pencipta-Nya meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat kita.

Ketika kerajaan sedang giat memperhebatkan kempen 1Malaysia, Yasmin yang ditabal sebagai pengarah filem semua kaum pergi membawa bersama segala aspirasi yang sama dengan kerajaan yang selama ini menjadi pendiriannya dalam berkarya.

Lalu, pemergian pengarah itu selepas tiga hari koma akibat serangan strok sebetulnya kehilangan yang sangat besar buat negara.

Yasmin bukan calang-calang manusia yang pernah 'dilahirkan' oleh industri hiburan tanah air. Semalam, di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang, Selangor, kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir buatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Bukan saja kerabat seni daripada pelbagai kaum yang mengaguminya, bahkan yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandez dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar

"Saya sangat terharu melihat kehadiran rakan-rakan pelbagai kaum pada majlis pengkebumian beliau. Ini menandakan beliau sangat disayangi ramai," kata penyanyi dan pelakon Jaclyn Victor kepada Utusan Malaysia.

Kalau boleh, teringin benar saya untuk mengulangi sekali lagi waktu untuk membolehkan saya bertemu dan bercakap sendiri kepada Yasmin bahawa kreativitinya merentasi jauh pemikiran masyarakat.

Andai peluang itu ada, biarlah saya sendiri memberitahu Yasmin, industri hiburan masih memerlukan kehadirannya.

Pada masa yang sama, saya juga percaya, ada ramai lagi orang lain yang sedang berduka dengan pemergian Allahyarham mahu berbuat demikian.

Bahkan, mereka yang pernah tidak bersetuju dengan karya-karya seni Allahyarham ketika hayatnya juga pastinya akan berasa terkilan kerana tidak sempat untuk mengakui bahawa Yasmin adalah wajah sebenar industri sinema Malaysia.

Sayang sekali, semuanya sudah terlambat. Yasmin kini sudah berhijrah ke alam baru.

Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung :

"Sejak kecil lagi, saya selalu mengambil berat tentang unsur kemanusiaan. Saya mendapati, dalam kita mengejar kejayaan, kadang-kadang kita terlupa tentang asas-asas kemanusiaan seperti baik hati dan kasih sayang. Saya sentiasa mencuba untuk memasukkan perasaan ini dalam kesemua filem yang saya hasilkan, baik filem iklan atau filem di layar perak. Bagi saya, filem adalah peluang untuk mengingatkan manusia agar menjadi manusia semula"

(Yasmin Ahmad dalam satu temu ramah dengan seorang wartawan Berlin, Jerman, Tilman Baumgartel tahun lalu)

ISU KERANCUAN BAHASA

DBP boleh hukum pesalah bahasa

Oleh Nazmi Yaakub bhnews@bharian.com.my

Kuasa diperuntukkan termasuk denda, penjara

KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta DBP 1959 (Akta 213) yang di peringkat akhir pembetulan, difahamkan memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghukum pesalah bahasa, termasuk denda dan penjara.

Bagaimanapun, penguatkuasaannya dikatakan hanya dalam konteks rasmi dan tidak membabitkan urusan tidak rasmi kerana ia bukan bertujuan menafikan hak kebebasan berbahasa.
Sumber memberitahu Berita Harian, pindaan Akta DBP 1959 memberi kuasa menghukum pesalah bahasa tanpa mengehadkan kepada penggunaan bahasa Melayu di papan tanda dan iklan, tetapi turut membabitkan semua majlis rasmi yang memerlukan penggunaan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

"Kata kunci dalam memahami ruang lingkup menghukum pesalah bahasa dalam pindaan itu ialah rasmi dan kita juga memberi tumpuan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam atau mempunyai kepentingan awam," katanya kepada Berita Harian.

Pindaan juga akan melengkapkan tujuh kuasa kepada DBP dalam menggalakkan perkembangan bahasa dan kesusasteraan di negara ini, iaitu memberi arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata pindaan berkenaan kini pada peringkat akhir pembetulan selepas draf cadangannya diteliti Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

"Dokumen pindaan Akta DBP 1959 yang dihantar kepada Kementerian Pelajaran sudah diserahkan untuk pembetulan.

"Saya tidak perlu memperincikan komen Kementerian Pelajaran, kerana ia masih menjadi rahsia," katanya ketika ditemui di DBP di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa proses pindaan Akta DBP 1959 mengambil masa terlalu lama, walaupun Kabinet bersetuju memberi kuasa menghukum pesalah bahasa termasuk kesalahan pada papan tanda dan iklan kepadanya pada 2006.

Ketika itu, Kabinet memutuskan untuk memberi kuasa menghukum pesalah bahasa kepada DBP dengan meminda akta berkenaan, hasil memorandum bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (ketika itu)

Sejak 10 tahun lalu, lebih 212 premis dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kesalahan bahasa dalam iklan daripada segi ejaan atau penterjemahan, saiz huruf bahasa Melayu lebih kecil, tidak mengutamakan bahasa kebangsaan dan menggunakannya di bahagian atas papan iklan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ahad, 26 Julai 2009

PERSAHABATAN DALAM ISLAM


Bersama Mohd Zawawi Yusoh


PERSAHABATAN adalah satu nikmat, kerana ia adalah tanda keimanan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara."

Kita memang diajar berhati-hati memilih teman kerana silap pilih, kadangkala buruk akibatnya.

Persahabatan yang baik akan membawa kita ke syurga dan kalau tersilap, padah membawa ke neraka. Ada yang bertanya, kalau kita berkawan dengan yang baik saja manakala yang bermasalah dibiarkan saja, siapa pula yang akan mendidik dan menegurnya.

Sebenarnya sudah lama kita melakukan kesilapan dalam melayani seseorang. Remaja yang bermasalah sepatutnya didekati bukannya dipulau atau diboikot.

Cuma mendekati mereka ini memerlukan kekuatan prinsip yang utuh supaya kita yang mendekatinya terutama sesama remaja, agar kita tidak larut dan hanyut terlena serta tertipu kerana tidak kuat prinsip.

Pertemuan kali ini bukannya untuk memberi tip, bagaimana mendekati mereka yang bermasalah tetapi ingin bercerita keprihatinan ulama bergaul dengan niat mengubah mereka yang bermasalah.

Pada suatu hari Ibnu al-Mubarak berjumpa dengan seorang yang jahat pekerti dan rendah budinya dalam satu perjalanan.

Dia terus bergaul dengannya dan berjalan bersamanya walaupun terpaksa menanggung kesabaran atas pekertinya yang kurang menyenangkan itu.

Detik berpisah akhirnya tiba. Ibnu al-Mubarak menjadi sebak dan menangis. Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menerangkan:

"Aku menangis kerana masih sayang kepadanya. Aku terpaksa berpisah dengannya dalam keadaan dia belum dapat berpisah dengan kelakuannya yang buruk itu."

Apa yang kita boleh pelajari dari kisah terbabit ialah:

· Berkawanlah dengan sesiapa saja asalkan bertujuan untuk memperbaiki hubungan silaturahim serta mendekatkan diri kepada Allah.

· Bersabar dalam pergaulan adalah suatu kebajikan. Berusaha memperbaiki akhlak kawan satu kebajikan yang lain.

· Mencari kawan mudah tetapi mencari kawan yang sekata amat sukar.

· Perbaiki hubungan sesama manusia (hablum-minan-nas) di samping perbaiki hubungan dengan Allah (hablum-mina-Allah)

· Dua sahabat yang menangis lantaran berpisah kerana Allah akan dinaungi Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.

· Jangan mamandang keji terhadap seseorang kerana akhlaknya tetapi bersimpatilah di samping cuba untuk mengubah kelakuannya.

Berusaha dalam dakwah adalah tanggungjawab kita tetapi pemberian taufiq dan hidayah adalah di tangan Allah.

Berkawan dengan orang yang jahat akhlak adalah sebagai satu cara untuk menguji diri sejauh mana kesabaran dan kesediaan kita untuk memaafkannya.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Sabtu, 25 Julai 2009

Bahasa Melayu, bahasa Malaysia

Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

Apakah perbezaan sudah dilakukan dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara?

SESETENGAH pihak di negara ini menggunakan bahasa Malaysia ketika merujuk kepada bahasa Melayu tanpa menyedari bahawa istilah berkenaan tidak pernah mengambil tempat dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara dan penukaran terbabit menuntut pengorbanan besar daripada bangsa Melayu.

Profesor Sosiolinguistik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, berkata istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini masih kekal dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, meskipun sesetengahnya pemimpin politik dan rakyat merujuknya sebagai bahasa Malaysia.

“Pada 4 atau 5 Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan mengumumkan bahasa Melayu dirujuk sebagai bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri dan keesokan harinya, disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa terbabit,” ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada usaha menukar bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan, meskipun sudah ada penerbit swasta yang menerbitkan, meskipun hakikatnya bahan bercetak terbabit hanya boleh diterbitkan oleh Percetakan Negara.

“Saya dimaklumkan bahawa Perlembagaan Negara kini boleh dibeli di beberapa kedai buku negara ini dan istilah bahasa Melayu dalam bahan bercetak terbabit sudah ditukarkan ke bahasa Malaysia dalam naskhah yang diterbitkan oleh penerbit swasta,” katanya kepada Sastera ketika diminta mengulas istilah yang sepatutnya digunakan.

Baginya, istilah bahasa Melayu tidak boleh ditukarkan kepada bahasa Malaysia selagi usul tidak dibawa ke Dewan Rakyat dan kemudian dibawa ke Dewan Negara untuk didebatkan. Penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung.

Baginya apabila kerajaan mengumumkan pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ia dilakukan atas tujuan perpaduan kaum dan integrasi nasional dengan matlamat yang murni dan mulia daripada segi zahirnya, tetapi boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya kepada orang Melayu sebagai empunya bahasa.

Prof Teo mengingatkan, hakikatnya dalam bahasa turut terkandung terangkum artifak Melayu, institusi dan organisasi sosial orang Melayu, sikap Melayu, pemikiran dan emosi Melayu, falsafah orang Melayu, budaya Melayu, sejarah bangsa Melayu, sistem kepercayaan dan nilai bangsa Melayu yang terhimpun sejak turun-temurun.

“Saya tidak nafikan sekalipun dikenali sebagai bahasa Malaysia, ia tetap bahasa Melayu, tetapi apakah berbaloi bangsa terbabit mengorbankan pelbagai semangat dan citra yang terkandung di dalamnya. Apakah bukan Melayu memberi balasan yang setimpal dengan pengorbanan itu?” soalnya.

Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia dikatakan berbeza daripada Indonesia kerana bahasa rasmi negara jiran itu diangkat daripada kumpulan minoriti berbanding Jawa yang mendominasi Indonesia dan tidak timbul bantahan kerana ia ia boleh diterjemah sebagai suatu penghormatan besar kepada empunya bahasa.

“Mengikut fitrah linguistik, bahasa selalunya dinamakan mengikut bangsa yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda. Di Malaysia bangsa Melayu dominan dan paksi bangsa di negara ini. Jika namanya ditukar kepada bahasa Malaysia, maka hilang jati diri orang Melayu sebagai kelompok distingtif. Perkara ini perlu difikirkan,” jelasnya.

Timbalan Pengarah, Bahagian Ijazah Tinggi, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, berpendapat Malaysia sewajarnya menggunakan kaedah yang digunakan negara lain dalam penentuan bahasa mereka.

“Negara seperti Australia, England, Kanada dan New Zealand, semuanya menggunakan istilah standard iaitu bahasa Inggeris serta bukannya mengikut nama negara meskipun mereka ada loghat sebutan sendiri. Begitu juga dengan Jepun, Korea dan China. Jadi mengapa Malaysia memilih jalan berbeza,” katanya

Seperti Prof Teo, Dr Nor Hisham mengingatkan bahawa bahasa mewakili bangsa dan situasi bahasa Malaysia di negara ini berbeza daripada Indonesia yang mengangkat bahasa berdasarkan nama negara itu kerana sudah terbukti mereka berjaya mewujudkan bangsa Indonesia.

“Bahasa Indonesia tidak sama dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Indonesia difahami sebagai bahasa yang diucapkan di Riau, satu daripada wilayah di negara jiran itu. Di Malaysia pula bahasa Melayu adalah bahasa bangsa Melayu,” katanya.

Baginya, penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hakikatnya bagi membolehkan ia tidak melambangkan apa juga suku kaum di Malaysia, tetapi daripada segi realiti, hasrat terbabit tidak menjadi meskipun bangsa Melayu sanggup bertolak ansur ‘menggugurkan’ nama bangsanya.

Dr Nor Hisham mengajak semua pihak untuk menilai realiti di negara ini, iaitu meskipun sudah 52 tahun merdeka, rasa neutral kepada bahasa Malaysia gagal diperoleh daripada kalangan rakyat bukan Melayu dan kerana itu ada wajarnya istilah bahasa Melayu diguna pakai semula.

“Ada rakyat di negara ini yang mahu diiktiraf sebagai Bumiputera, meskipun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka dan tidak beragama Islam. Mereka mahu menuntut hak sebagai Bumiputera, tetapi enggan memakai baju Melayu sebagai busana kebangsaan, apalagi berbahasa Melayu,” tegasnya.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, pula melihat sama ada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tidak menjadi soal kerana kedua-dua bahasa terbabit, merujuk kepada bahasa yang sama.

“Dalam akademik ia akan dirujuk sebagai bahasa Melayu. Daripada segi perpaduan atau politik pula, ia dirujuk sebagai bahasa Malaysia. Jadi tidak salah istilah bahasa Malaysia digunakan. Saya dimaklumkan ketika bahasa Malaysia diperkenalkan dulu, akhbar berbahasa Cina menentangnya dan apabila ditukarkan ke bahasa Melayu juga ditentang,” ujarnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ditikam mati di mahkamah kerana bertudung


KEMATIAN Marwa Ali El-Sherbini menuntut pembelaan.


ADALAH malang bagi umat Islam pasti sahaja akan keluar pelbagai telahan negatif tentang mereka ini terutama dari penduduk di Barat dan semua ini berlaku hanya disebabkan pengaruh gejala Islamofobia yang diuar-uarkan oleh Barat. Mereka ini telah dicap kebanyakan penduduk Barat sebagai ekstremis atau jumud semata-mata kerana tidak mengikut rentak mereka dalam berpakaian.

Maka tidak menghairankan kenapa orang di Barat sering saja membuat persepsi negatif yang adakalanya di luar batasan kemanusiaan.

Oleh itu peristiwa yang berlaku terhadap Marwa Ali El-Sherbini, seorang wanita yang berasal dari Mesir dan kemudian berhijrah ke Jerman merupakan satu peristiwa yang menyayat hati namun pada masa yang sama membuktikan isi hati sebenar penduduk Barat terhadap orang Islam walaupun tidak semua hanya kerana terlalu dipengaruhi Islamofobia.

Siapa sebenarnya Marwa Ali El-Sherbini yang tiba-tiba menjadi ikon orang Islam yang tertindas di Barat. Beliau hanyalah orang biasa yang cuba menyara hidup dengan menumpang di sebuah negara asing untuk kemajuan diri dan keluarga.

Marwa yang dilahirkan pada 1977 di Mesir telah berpindah ke Jerman pada 2005. Pada 2008 beliau dan keluarga berpindah ke Dresden setelah suaminya Elwi Ali-Okaz mendapat kerja sebagai pengkaji di Institut Max Planck dan Marwa pada masa yang sama bekerja di Hospital Universiti Dresden. Namun pengakhiran hidupnya yang sangat menyayat hati telah membuka banyak mata tentang bahaya gejala Islamofobia di kalangan masyarakat Barat.

Peristiwa pembunuhan yang dilakukan terhadapnya di dalam mahkamah ketika memberi keterangan terhadap seorang lelaki yang bertindak memaki hamun dirinya kerana beliau adalah seorang beragama Islam dan bertudung merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akal setiap manusia yang siuman.

Segalanya bermula pada bulan Ogos 2008 apabila lelaki berkenaan Alex W. seorang warga Jerman tetapi dilahirkan di Perm Russia menjerit ke arah Marwa di sebuah padang permainan kanak-kanak di Dresden kerana bertelagah berebut menggunakan buaian untuk anak buahnya dengan anak lelaki Marwa.

Wanita berusia 32 tahun itu telah digelar sebagai pengganas Islam dan pelacur hanya kerana beliau memakai tudung. Kejadian tersebut berlaku untuk beberapa ketika walaupun terdapat antara pengunjung taman permainan cuba menghalang lelaki berkenaan. Dia hanya berhenti setelah polis datang tidak berapa lama kemudian.

Alex kemudiannya telah dituduh melakukan fitnah terhadap Marwa dan didapati bersalah oleh mahkamah serta didenda sebanyak 780 Euro. Semasa perbicaraan berlangsung Alex merayu hukuman dikurangkan kerana mendakwa manusia seperti Marwa bukanlah seorang manusia sebenar oleh itu dia tidak boleh dihina.

Akibat dari dakwaan secara terbuka ini, peguam bela telah merayu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap Alex. Oleh itu pendengaran rayuan kes ini diadakan di sebuah mahkamah di Dresden pada 1 Julai lalu.

Ketika kejadian tersebut lapan orang berada dalam mahkamah termasuklah tiga hakim, seorang pendakwaraya, Alex dan peguamnya serta Marwa, suaminya Elwi Ali Okaz dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun. Malangnya tiada sebarang pegawai keselamatan berada di situ dan tidak ada sebarang rutin pemeriksaan untuk memastikan tiada sebarang senjata merbahaya di bawa masuk ke dalam mahkamah.

Sebaik sahaja Marwa selesai memberikan keterangannya, Alex, bertindak meluru ke arah beliau sebelum menikamnya sebanyak 18 kali sambil menjerit "anda tidak layak untuk hidup". Suami beliau, Elwi yang cuba mempertahankan Marwa turut ditikam.

Melihat kejadian ini, mereka di dalam mahkamah bertindak memanggil seorang anggota polis yang sedang memberi keterangan di mahkamah berhampiran namun malangnya suami Marwa ditembak di kaki kerana anggota polis itu menyangka Elwi sebagai penyerang.

Elwi cedera parah akibat peristiwa ini dan berada dalam koma selama dua hari namun malangnya Marwa yang cedera parah mati ditempat kejadian. Lebih menyayatkan hati kematian Marwa ini turut membunuh anak yang dikandungnya berusia tiga bulan.

Alex telah ditangkap di tempat kejadian dan kini sedang ditahan reman untuk siasatan atas tuduhan membunuh Marwa dan cubaan bunuh terhadap Elwi. Namun lelaki kejam ini dilaporkan masih belum memberi sebarang pengakuan kepada pihak penyiasat dan perbicaraan dijangka akan berlangsung selewat-lewatnya pada hujung 2009 atau awal tahun 2010.

Peristiwa ini pada awalnya tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak media di Jerman dan ia hanya dilaporkan di halaman belakang akhbar-akhbar di sana.

Hanya setelah tunjuk perasaan panas yang dicetuskan oleh ribuan rakyat Mesir yang menetap di Jerman kerana menentang Islamofobia barulah kerajaan Jerman yang sebelum ini hanya mendiamkan diri menyatakan kesedihan dan kekesalan tentang pembunuhan Marwa.

Sesungguhnya peristiwa pembunuhan Marwa ini berpunca dari peningkatan kebimbangan Islamofobia yang semakin ketara terutama di negara Barat. Malah media-media utama di Mesir menyatakan kematian Marwa ini sebagai "mati syahid seorang pejuang berhijab".

Sememangnya gejala Islamofobia ini telah diwujudkan bagi meningkatkan semangat kebencian terhadap orang Islam dari mereka yang bukan beragama Islam. Cubaan menggambarkan orang Islam sebagai pengganas yang bertanggung jawab terhadap pelbagai kejadian dan kemusnahan di seluruh dunia merupakan satu tuduhan yang sangat dangkal dan berniat jahat.

Oleh itu usaha untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan terhadap umat Islam ini perlu dilakukan segera. Namun ini tidaklah bermaksud darah perlu dibayar dengan darah kerana ia akan hanya memburukkan lagi keadaan.

Jika tidak, adalah tidak menghairankan peristiwa pembunuhan seperti Marwa ini akan berulang malah mungkin lebih teruk lagi pada masa depan

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Mutu kerja selari prasarana kelas pertama

Oleh DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

MUTU penyampaian perkhidmatan awam sekali lagi mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara. Kali ini Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mutu penyampaian perkhidmatan awam yang cekap lagi berkesan. Menurut beliau, mutu perkhidmatan perlu ditingkatkan selari dengan pembangunan prasarana pejabat yang selesa yang dibangunkan oleh kerajaan.

Gesaan tersebut disuarakan semasa berucap sempena Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Alor Setar baru-baru ini.

Peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam sentiasa diberikan perhatian yang serius dalam usaha untuk memenuhi keperluan orang ramai selaras dengan dasar dan matlamat pembangunan negara. Selari dengan wawasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', agensi-agensi perkhidmatan awam perlu meletakkan kepuasan rakyat atau pelanggan sebagai fokus utama.

Perubahan-perubahan persekitaran yang semakin mencabar serta keperluan untuk meningkatkan daya saing memerlukan kepada sektor awam yang bersedia dan mampu untuk berubah daripada segi sikap dan minda. Kerajaan telah mengeluarkan peruntukan yang begitu besar untuk meningkatkan kemudahan prasarana. Namun kemudahan prasarana kelas pertama belum mampu menjamin mutu perkhidmatan kelas pertama.

Dalam konteks penyelidikan akademik, secara umumnya kajian mendapati keberkesanan organisasi seperti mutu perkhidmatan yang tinggi memerlukan kepada dua perkara pokok iaitu aspek teknikal dan aspek sosial.

Usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan prasarana seperti menyediakan bangunan pejabat yang moden, sistem komputer yang canggih lagi mesra, prosedur-prosedur yang kemas sering kali dirujuk sebagai aspek teknikal.

Untuk membolehkan mutu perkhidmatan yang cemerlang memang tidak cukup sekadar bergantung kepada aspek teknikal semata-mata. Aspek teknikal perlu dilengkapi dengan aspek sosial yang merujuk kepada nilai dan sikap murni di kalangan kakitangan sesebuah organisasi.

Terdapat beberapa bentuk nilai murni yang telah dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan. Antaranya sifat suka membantu, keprihatinan, kesedaran sivik, ketelitian dan kesanggupan menghadapi kesukaran. Aspek sosial ini mampu bertindak melengkapi aspek teknikal yang sedia ada. Berikut dihuraikan secara ringkas nilai-nilai murni tersebut.

Sifat suka membantu melibatkan kemahuan kakitangan untuk menghulurkan bantuan kepada rakan sekerja untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan tugas, membantu menyelesaikan tugas rakan sekerja yang terpaksa bercuti, memelihara kebajikan rakan sekerja serta membantu pelanggan-pelanggan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan segera.

Keprihatinan pula melibatkan usaha untuk mengelak daripada timbulnya sebarang masalah dengan rakan sekerja serta memelihara hak-hak rakan sekerja. Seseorang kakitangan yang prihatin akan memaklumkan rakan sekerja atau ketua jabatan sebelum mengambil sesuatu tindakan yang akan memberi kesan kepada pihak lain, bersopan santun serta memberikan layanan terbaik kepada aduan-aduan atau masalah pelanggan.

Kesedaran sivik melibatkan keinginan untuk terlibat secara aktif memajukan organisasi. Kakitangan yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi berupaya melaksanakan idea atau kaedah baru yang boleh membantu dalam memudahkan kerja serta menjimatkan penggunaan sumber-sumber kewangan dan tenaga manusia.

Ketelitian pula melibatkan kesanggupan untuk bekerja melebihi waktu yang ditetapkan tanpa mengharapkan ganjaran serta kesanggupan untuk keluar rehat lebih lewat demi menyelesaikan masalah pelanggan.

Operasi sesebuah organisasi juga kadang-kadang terganggu akibat kerosakan alat pendingin hawa, kerja ubah suai pejabat, gangguan sistem komputer dan sebagainya. Untuk mempertahankan mutu perkhidmatan sudah tentulah memerlukan kakitangan yang mampu untuk bertoleransi, berfikiran positif serta tidak merungut dengan masalah atau kesukaran yang timbul. Biarpun berhadapan dengan ketidakselesaan, kakitangan masih meletakkan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan.

Jika sesebuah organisasi mampu memiliki kakitangan yang memiliki nilai-nilai yang disebutkan di atas, bukan sahaja mutu perkhidmatan dapat ditingkatkan malahan piagam pelanggan akan benar-benar dipenuhi.

Memiliki kakitangan yang kaya dengan nilai-nilai murni akan menjadi aset organisasi yang sangat berharga. Jika aspek teknikal seperti teknologi dan kemudahan prasarana boleh dibangunkan dengan sumber kewangan, aspek sosial merupakan aset yang perlu dipupuk dan akan menjadi salah satu kekuatan dan kelebihan mana-mana organisasi. Pada hari ini organisasi perniagaan yang mencapai taraf dunia mempunyai sumber manusia yang memiliki nilai-nilai tersebut.

Nilai-nilai murni tersebut akan menjadi lebih subur jika sesebuah organisasi memiliki kepimpinan yang adil lagi saksama, hubungan yang baik di antara pihak atasan dan bawahan dan sikap saling mempercayai. Keperluan-keperluan kakitangan juga sentiasa diteliti dan cuba dipenuhi. Jika wujud suasana yang sedemikian, kakitangan akan 'membalas' kebaikan organisasi dengan memantapkan amalan nilai-nilai murni yang membawa manfaat kepada semua pihak. Semoga usaha-usaha menyediakan kemudahan kelas pertama akan terus mendapat sokongan secara total kakitangan awam dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara Perlis

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 24 Julai 2009

ISU KERANCUAN BAHASA

Bahasa rojak di televisyen Malaysia

SAYA kerap juga menonton berita bahasa Melayu televisyen Malaysia untuk mengikuti perkembangan ehwal semasa.

Namun saya dapati ada suatu keganjilan apabila kata-kata atau istilah khas dan terjemahan dituturkan. Misalnya, saya hairan mengapa apabila istilah-istilah atau kata nama khas disebut, ia tidak diterjemahkan sepenuhnya ke bahasa Melayu. Sebagai contoh apabila ia melibatkan angka, maka angka tersebut akan diucapkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya Airbus A380 disebut Airbus three-eight-zero, bukan Airbus tiga-lapan-kosong/sifar. Atau Flu H1N1 disebut Flu H-one-N-one, tidak pula Flu H-satu-N-satu. Ini setakat dua contoh sahaja, malah ada banyak lagi.

Yang menghairankan saya ialah apakah kaedah terjemahan bahasa yang digunakan editor/pengarang yang menetapkan kata-kata khas harus kekal disebut seperti dalam bahasa asalnya.

Jika itulah halnya, apakah tidak kita harus kekalkan sebutan White House atau Buckingham Palace dan tidak menyebutnya sebagai Rumah Putih atau Istana Buckingham?

Kalau alasan tidak boleh ubah sebutan seperti dari sumber asal, apakah kita tidak juga sebut Mercedes Benz S200 dalam bahasa Jerman dan Toyota L200 dalam bahasa Jepun ketika mengucapkan angka-angka dalam kata-kata tersebut?

Saya rasa berita televisyen Malaysia boleh ambil iktibar dari media elektronik bahasa Melayu Singapura seperti radio dan tv yang menterjemahkan ungkapan-ungkapan yang saya contohkan di atas dalam bahasa Melayu ketika menyebutnya.

Bedok, Singapura"

# RESPONS OLEH MENTERI YANG BERKENAAN :

Betulkan 'bahasa rojak' media elektronik

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my


JELEBU 24 Julai - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) memandang serius terhadap penggunaan 'bahasa rojak' di kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan amat memandang serius terhadap fenomena itu dan menyarankan semua media penyiaran termasuk semua stesen radio dan televisyen agar dapat membetulkannya segera.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas terhadap kritikan surat pembaca yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini mengenai penggunaan bahasa rojak dalam industri penyiaran tempatan.

''Kita perlu sensitif terhadap sebarang kritikan tentang penggunaan bahasa, namun kemurnian teguran ini memang dirasai dan saya sebagai antibahasa rojak berterima kasih dan gembira atas teguran ini."

''Saya juga menerima teguran pencinta bahasa dari Bedok, Singapura (mengenai perkara ini) dengan perasaan yang terbuka dan sebarang kesalahan akan diperbetulkan mulai sekarang." katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Projek Sekolah Angkat Bersama KPKK dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teriang, Siti Zaleha Sabudin.

Menurut Rais, menerusi teguran yang dibuat itu jelas memperlihatkan penggunaan bahasa rojak digunakan secara berleluasa dan beliau akan mengambil langkah segera untuk mengatasinya.

''Sebagai contoh, di dalam laporan ini juga diberitahu bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) ada menggunakan bahasa rojak yang menyebut angka Air Bus 380 dalam bahasa Inggeris dan bukannya tiga lapan kosong.

''Sekali imbas pandangan ini memang benar dan ini merupakan satu kesalahan bahasa," jelasnya.

Dalam pada itu, Rais memberitahu, dalam tempoh terdekat ini, beliau akan mengadakan pertemuan dengan juruhebah radio dan televisyen bagi menerangkan perkara tersebut.

Sumber : http://www.utusan.com.my/