Isnin, 16 November 2009

SOALAN PECUTAN AKHIR BAHASA MELAYU KERTAS SATU

SOALAN PRAKTIS BESTARI JAWAB UNTUK JAYA 2009

PRAKTIS JUJ (SET 1)

1 Anda sebagai ahli sidang redaksi majalah sekolah telah mewawancara Pengetua sekolah anda tentang usaha-usaha pihak sekolah bagi merealisasikan Polisi Sekolah Selamat.

Tuliskan wawancara anda itu selengkapnya.

2 “Otak yang cerdas lahir daripada badan yang sihat”. Oleh itu, generasi kini perlu dididik untuk mengamalkan amalan pemakanan seimbang.

Bincangkan peranan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mengamalkan amalan pemakanan seimbang.

3 Kampung anda berpotensi untuk dimajukan sebagai pusat industri kraftangan yang terkenal.

Anda bercadang untuk menulis surat kepada pihak yang berkenaan bagi menyatakan keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di kampung anda dan cadangan-cadangan bagi menjadikan kampung tersebut sebagai pusat industri kraftangan.

Tulis surat itu selengkapnya.

4 Peningkatan jenayah antarabangsa semakin membimbangkan masyarakat dunia pada hari ini. Sebagai warganegara yang prihatin anda terpanggil untuk menyuarakan pandangan tentang langkah-langkah yang berkesan bagi membanteras jenayah antarabangsa.

Berikan pandangan anda.

5 Peribahasa “carik-carik bulu ayam , lama-lama bercantum juga ” bermaksud perkelahian sesama keluarga itu akhirnya berbaik juga.

Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa di atas.

PRAKTIS JUJ (SET 2)

1 Penubuhan unit bimbingan dan kaunseling di setiap sekolah bertujuan mendorong pelajar untuk mencapai kecemerlangan. Jelaskan peranan unit bimbingan dan kaunseling di sekolah dalam usaha membantu anda dan rakan-rakan menjadi pelajar yang cemerlang

2 Langkah –langkah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat lebih berkesan sekiranya dimulakan dari rumah.

Bincangkan peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa dalam usaha menyemai semangat perpaduan yang jitu dalam diri anak-anak

3 Tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menabung untuk masa hadapan masih rendah.

Tulis sebuah rencana tentang faedah menabung dan usaha-usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menabung untuk masa hadapan.

4 Peperangan yang berlaku di serata dunia telah mendatangkan kemusnahan dan kesengsaraan terhadap penduduk negara-negara yang terlibat.

Huraikan peranan masyarakat dan pertubuhan dunia dalam usaha membantu mangsa peperangan tersebut.

5 Anda telah membaca sebuah novel yang begitu menyentuh perasaan dan berhasrat menulis ulasan berkaitan novel tersebut untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.

Tuliskan ulasan anda selengkapnya.

PRAKTIS JUJ (SET 3 )

1 Kejayaan dan kecemerlangan anak-anak bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah tetapi juga di pihak ibu bapa dan masyarakat di persekitarannya.

Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan di atas.

2 Sektor pelancongan domestik semakin berkembang dan telah memberikan sumbangan yang besar terhadap ekonomi negara. Sehubungan dengan itu, pelbagai langkah telah dijalankan oleh pihak kerajaan dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan domestik.

Seorang kenalan anda di luar negara inginkan penjelasan tentang usaha-usaha yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan dalam hal ini. Balas surat rakan anda itu.

3 Pembangunan yang sistematik melalui kawalan ekosistem, kawalan pemotongan bukit, saliran dan pembetungan serta penguatkuasaan peraturan mampu mencegah kejadian bencana alam daripada berlaku.

Berikan ulasan anda tentang pernyataan di atas.

4 Negara-negara serantau perlu bekerjasama untuk menangani penularan penyakit berjangkit dengan lebih berkesan.

Bincangkan bentuk-bentuk kerjasama yang dapat dijalankan untuk menangani permasalahan ini.

5 Cogan kata “ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” menggambarkan peri pentingnya peranan golongan muda sebagai aset kekuatan negara.

Bincangkan kepentingan golongan muda dalam merealisasikan hasrat pemimpin negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

STRATEGI BELAJAR BERKESAN MENJELANG PEPERIKSAAN


Setiap pelajar inginkan apa-apa yang dipelajari itu akan mendatangkan kesan. Belajar secara berkesan bukanlah dikira jumlah jam belajar atau berapa banyak perkara yang dapat dihafal. Belajar secara berkesan perlulah mengandungi 3 komponen tindakan sebagaimana berikut:

1. MENGULANG KAJI: Kebiasaannya apabila menyebut perkataan ulang kaji ramai pelajar menganggapkan tindakan yang perlu dilakukan hanyalah terhad pada pembacaan sahaja. Tindakan mengulangkaji sebenarnya dapat dilakukan dengan beberapa cara termasuk menyemak semula apa yang telah dipelajari, memahami konsep, menghafal formula atau istilah yang penting, menganalisis isi-isi penting atau mengenal pasti kelemahan dan kekeliruan yang dihadapi serta mencatat semula isi-isi tersebut dalam bentuk nota ringkas, peta minda, peta konsep atau pengurusan grafik.

2. MERUJUK: Merujuk bahan tambahan, bertanya dengan guru atau berbincang dengan rakan adalah amat penting dalam proses mengulang kaji. Rujukan boleh dilakukan melalui bahan cetak seperti buku rujukan, akhbar dan majalah. Pendidikan Utusan adalah merupakan satu contoh yang baik sebagai bahan untuk pelajar-pelajar membuat rujukan. Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web seperti Portal Pendidikan Utusan (www.tutor.com.my) yang secara khusus memberi maklumat tentang mata pelajaran utama peperiksaan awam. Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web yang mengandungi maklumat yang boleh dicari melalui enjin pencari maklumat (contoh: www.yahoo.com)

3. MEMBUAT LATIHAN: Latihan boleh dilakukan dalam bentuk latih tubi, kuiz, soal jawab atau menganalisis soalan-soalan tahun lalu serta merangka jawapannya.

Ketiga-tiga komponen di atas perlulah diintegrasikan agar proses belajar dapat dialami secara lebih berkesan tanpa berasa bosan, tertekan atau mengantuk.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Bersiap sedia hadapi banjir, tanah runtuh

MUSIM banjir sudah kembali. Minggu lepas, negeri sebelah Pantai Timur dilanda banjir. Minggu ini nampaknya giliran negeri sebelah utara Pantai Barat.

Kedatangan banjir sudah boleh diramal. Di mana banjir akan berlaku juga boleh dijangka.

Berdasarkan pengalaman tahun-tahun terdahulu, masalah banjir kerap berlaku pada November hingga Disember iaitu musim tengkujuh di negara kita.

Hakikatnya semua rakyat Malaysia sepatutnya sudah tahu bila banjir akan berlaku dan apa persediaan yang perlu dibuat untuk menghadapinya. Ketika hujan turun hampir setiap hari, maka elok kita mengingatkan penduduk di kawasan yang berhampiran sungai dan yang kerap berlaku banjir supaya membuat persiapan awal.

Kita percaya, Kerajaan Pusat dan negeri sudah membuat persediaan dari segi sistem yang mencukupi untuk menghadapi bencana banjir yang bukan asing bagi kita.

Justeru, kepekaan dan tahap kewaspadaan mereka yang terbabit sepanjang musim tengkujuh ini amat dituntut bagi mengelakkan keadaan 'sudah jatuh ditimpa tangga.'

Jika setiap orang mengambil langkah berhati-hati, sudah tentu angka korban banjir dapat dikawal. Perkara paling penting, kecuaian akibat terlepas pandang mesti dielakkan bagi menjamin keselamatan anak-anak. Ini kerana kelalaian boleh mengundang padah di musim banjir.

Sifat kanak-kanak yang kebanyakannya masih menganggap banjir sebagai 'pesta air' menuntut pemantauan berterusan oleh anggota keluarga. Membiarkan mereka mandi-manda di sungai semasa musim banjir seolah-olah membiarkan anak-anak menempah maut.

Kita percaya kerajaan berusaha menangani masalah banjir dengan menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan. Bukan itu sahaja, kerajaan juga gigih menghulur bantuan kepada mangsa.

Namun, mungkin tiba masanya bantuan bukan hanya diberi kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Sebaliknya, bantuan perlu dihulurkan kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat banjir seperti petani dan penoreh getah.

Walaupun rumah mereka tidak ditenggelami banjir tetapi tanaman mereka di kebun musnah. Golongan yang terjejas pendapatan seperti ini perlu dibantu.

Mungkin satu perkara yang perlu kita ingat di musim hujan ini ialah kejadian tanah runtuh. Jangan kerana tertumpu lebih pada bencana banjir, kita kurang menyedari bahawa tanah runtuh juga boleh terjadi terutama di kawasan penempatan di tanah tinggi dan lereng bukit.

Berdasarkan peristiwa lalu, kejadian tanah runtuh di negara kita berlaku serentak pada musim tengkujuh. Kepada penduduk kawasan tanah tinggi dan pihak berkuasa tempatan, rajin-rajinlah membuat pemantauan kawasan kediaman. Ambil tindakan segera jika ada tanda-tanda struktur tanah berhampiran rumah tidak kukuh.

Alangkah baiknya jika dalam keadaan begini, kita tidak perlu lagi mendengar rintihan dan rungutan daripada mangsa banjir atau tanah runtuh, di samping aduan berhubung kelemahan usaha bantuan.

Oleh itu, kita berharap musim tengkujuh sekarang tidak membawa cerita sedih.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/