Ahad, 2 Mei 2010

PROGRAM SIRIH PULANG KE GAGANG SMKTPPTM

Pelajar perintis SMKTPPTM bergambar kenang-kenangan bersama-sama guru-guru yang hadir.


Program Sirih Pulang Ke Gagang SMKTPPTM 2010, anjuran Persatuan Bekas Pelajar Panglima telah diadakan dengan jayanya semalam. Walaupun kehadiran pelajar tidak begitu ramai ( kira-kira 200 orang sahaja) tetapi pertemuan tahunan tersebut amat bermakna kerana dapat menemukan saya bukan sahaja dengan bekas-bekas pelajar sekolah ini malahan dengan rakan-rakan guru yang pernah berkhidmat bersama di sini. Ada antara mereka yang telah berpencen, dinaikkan pangkat menjadi pengetua, berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri, bertukar sekolah dan sebagainya. Terasa manis mengimbas kembali saat-saat itu...

(Terima kasih kepada AJK Alumni yang telah bertungkus-lumus dari saat-saat awal sehingga program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya). Tahniah!!!

Sabtu, 1 Mei 2010

Catatan Usman Awang penuh pesanan


MAZLAN NORDIN

JARANG ada buku dalam bahasa Melayu dengan terjemahan serentak pelbagai bahasa. Demikian Sahabatku buku khas memaparkan 12 buah puisi Usman Awang yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan bahasa Iban.

Lalu dalam kata pengantar oleh anaknya, Lyna Usman, dicatat pengalamannya semasa masih muda: "Hidupnya susah, kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang".

Oleh kerana itu, ayah hanya dapat bersekolah hingga darjah enam sahaja. Apabila Perang Dunia II meletus, dia menjadi petani, kemudian diambil pihak komunis untuk menjadi buruh paksa. Setelah tamat perang, dia mohon kerja sebagai seorang polis.

Beliau mendapat banyak bahan bacaan ketika menjadi polis apabila berkenalan dengan ramai guru sekolah di Melaka, ketika itu. Mereka dengan senang hatinya meminjamkan buku-buku sastera kepada ayah. Bagi seorang yang dahagakan bahan penulisan yang baik, ini adalah satu peluang emas. Dari sini penghayatan dan bakat penulisannya diasah dan digilap sehingga beliau mula membuahkan perasaannya di atas kertas dengan penanya.

Beliau memilih puisi untuk meluahkan kandungan isi hati dan mindanya. Demikian antara catatan Lyna. Pada tahun 1954 Usman Awang menulis puisi berjudul Bahasa Bonda:


Tersusun indah menjadi madah

jauh mengimbau menjangkau pulau

ayun beralun lembut membuai

jauh meresap mendakap damai.


Ada ketika marak menyala

memercik api semangat bangsa

meletus gemuruh menyadap segala

menjadi alat perjuangan merdeka.


Seribu tingkah membawa lagu

mainan gadis diusik rindu

senjata teruna menawan cinta

pusaka rakyat pendukung budaya.


Seribu bahasa kita bicara,

manakan sama bahasa bonda.


Beliau kemudian berkhidmat dengan Utusan Melayu di Singapura bersama Keris Mas dan Asraf. Menjadi ketua ialah Samad Ismail dan kesemuanya berperanan dalam penubuhan ASAS 50. Lantas berlaku debat mengenai "Seni untuk seni dan seni untuk masyarakat".

Selanjutnya beliau berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1955 beliau menulis puisi berjudul Tanah Melayu (Malaya dalam bahasa Inggeris). Antara lain disebut:


Kita rakyat di bumi jantung ini

tiada beza dalam segala apa jua

penanam padi atau buruh memberi tenaga

terkepung dalam semboyan muluk "demokrasi".


Ketika penekanan jauh sampai ke tulang

dengarlah jeritan keras tani di ladang

dengarlah teriakan gemuruh buruh di kilang

sama bersatu sederap barisan bangun berjuang!

Puisinya memupuk perhubungan akrab antara kaum seperti dalam puisi Anak Jiran Tionghua. Antara yang ditulis:

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar

kilat matanya memanggil Iskandar

siapa lalu siapa berkaca

melihat keduanya bergurau senda.


Anak Tionghua kelahirannya di sini

di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi

ia bisa bercerita untuk siapa saja

di sini tanahnya dan ibunya bersemadi.


Bumi tercinta resapkan wahyumu

jantung mereka adalah langitmu

darah mereka adalah sungaimu

nafas mereka adalah udaramu.


Juga menarik ialah Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar. Antaranya:


Tuan Datuk Bandar

kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung

pada suatu pagi yang manis dan ranum

di atas bangunan Parlimen yang kosong.


Seluruh kaum burung telah diwakili

oleh para cerdik pandainya, kecuali

perwakilan burung gagak yang sibuk dengan urusan kematian

penembakan, bangkai hanyut di Sungai Klang.


Puisi Mereka Telah Bangkit ditulis pada tahun 1967:


Mereka telah bangkit

dari buku yang dibacanya

dan tembok yang melindunginya

dengan bendera dan lilit kepala.


Mereka telah bersuara

dari bumi tanah air yang subur

demi Islam yang mengajar hidup berani

demi janji yang kini telah dimungkiri.


Mereka sekarang telah bangkit

di tengah-tengah gelombang zaman

dari keperibadian yang telah ditindas

untuk masa depan warisan keturunan.


Dari bahasa lidah zaman hidup kita

kebangkitan ini dipancang detik batu-tanda

untuk pelaksanaan: Satu Bahasa

yang berdaulat menyinar mutiara.


Pada kulit buku pula diulangi:


Bilakah semua warganegara mendapat hak layanan dan keadilan yang sama dikenal dengan satu rupa nama: Bahasa Malaysia?

Ertinya beliau dari dulu lagi "prescient", iaitu mengetahui lebih dahulu akan hal-hal yang akan terjadi pada masa akan datang. Sahabatku dalam bahasa Iban ialah Bakihku.

Setelah menjadi anggota polis beliau memakai nama samaran Tongkat Warrant. Selain daripada anugerah Sasterawan Negara (1983) beliau juga menerima SEA Write Award (1982) dan Doktor Kehormat (Persuratan) Universiti Malaya (1983). Beliau meninggal dunia pada 29 November 2001.

Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 30 April 2010

Relevankah lagi peribahasa 'jangan jaga tepi kain orang'?

Oleh ABU BAKAR YANG

Dalam masyarakat Melayu, ada satu pepatah terkenal yang menggambarkan sikap peduli masyarakat terhadap hal ehwal orang lain. Ia sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam perbualan harian berbanding dengan pepatah lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah 'jangan jaga tepi kain orang' yang membawa maksud, jangan ambil peduli hal orang lain.

Persoalannya, adakah pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Lebih-lebih lagi, bagi orang Islam adakah pepatah itu selaras dengan tuntutan agama? Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya, bergantung dari sudut mana kita melihatnya.

Sekiranya pepatah 'jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang, maka memang layak pepatah ini diamalkan.

Ini adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang lain. Ini mengumpat namanya dan diharamkan oleh agama. Bahkan al-Quran telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini di dalam surah al-Hujurat, sebahagian daripada ayat ke-12, yang maksudnya: "Janganlah setengah daripada kamu mengumpat setengah yang lain…"

Begitu juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia membawa maksud menjauhi sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita oleh Islam supaya menjauhi sifat 'tajassus' atau mengintip dengan tujuan untuk mencari keaiban dan keburukan orang yang tersembunyi.

Buruknya amalan mengumpat dan sifat 'tajassus' ini telah membuatkan Rasulullah SAW sendiri mengingatkan kita supaya menjauhi sifat-sifat ini dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya" - (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Namun apa yang ingin dilihat di sebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah ia masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ia terpaksa diubah dari 'jangan jaga tepi kain orang' kepada 'tolong jaga tepi kain orang'. Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti suatu masa dahulu.

Di mana salah satu puncanya adalah runtuhnya institusi kejiranan dan lemahnya institusi kekeluargaan. Jiran sudah tidak lagi mengenali jirannya dan saudara-mara pun jarang sekali ingin bersemuka dan bertanya khabar.

Rasa bertanggungjawab terhadap jiran tetangga dan saudara-mara sudah semakin terhakis dalam budaya hidup masa kini. Dan antara penyebab yang membawa kepada tidak lagi berasa bertanggungjawab kepada permasalahan masyarakat dan kejiranan itu ialah menggunakan alasan 'jangan jaga tepi kain orang' sebagai jalan mudah untuk menidakkan rasa tanggungjawab.

Sedangkan banyak perkara di dalam masyarakat kita hari ini menuntut supaya kita lebih bertanggungjawab, dan banyak hal dapat diselesaikan sekiranya sikap ingin tahu dan ingin bertanggungjawab ini disuburkan, dan secara tidak langsung pepatah 'jaga tepi kain orang' perlu diketengahkan semula.

Contoh ketara yang boleh ditonjolkan ialah seperti kes-kes buang bayi, penderaan dan penculikan terhadap kanak-kanak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Dalam kehidupan moden dan era globalisasi ini, kita tidak dapat menafikan adanya manusia yang bertopengkan iblis dan bernafsukan syaitan.

Jika tidak, masakan timbul kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak seperti yang dapat kita lihat di dada-dada akhbar saban hari. Semua yang berlaku ini memberikan kita satu amaran jelas bahawa para ibu bapa dan setiap anggota masyarakat perlu lebih peka dan mengambil tahu terhadap persekitaran masyarakat serta keselamatan anak-anak kita dan anak-anak jiran kita.

Rasa tanggungjawab dan kepekaan ini mungkin boleh menyelamatkan masyarakat kita daripada terus diceroboh dengan masalah pembuangan bayi, mendera anak-anak ataupun pedofilia yang sering mengambil kesempatan daripada kecuaian dan kelalaian ibu bapa.

Dalam kes penculikan anak-anak umpamanya, kita tidak dapat menafikan bahawa mungkin para ibu bapa tidak dapat mengawal dan memberikan tumpuan seratus peratus kepada anak-anaknya, apatah lagi bagi mereka yang mempunyai ramai anak.

Namun para ibu bapa juga perlu memahami bahawa anak-anak kecil, bahkan anak-anak yang sudah meningkat remaja tidak berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri, dan inilah peluang yang sering dinantikan oleh golongan pedofilia ini.

Seperti mana yang dikatakan oleh Sabri Abd. Rahman, Pengerusi Gabungan Bertindak Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak, bahawa anak-anak kecil mahupun yang sudah meningkat remaja sebenarnya masih tidak berupaya untuk melindungi diri mereka sendiri.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa tidak boleh mengandaikan kanak-kanak tidak kira berapa peringkat umur mereka berupaya untuk menjaga diri sendiri dan paling penting, tidak dibiarkan berada di luar mahupun di dalam rumah tanpa ada pengawasan orang lebih dewasa.

Menurut beliau, tiada istilah tempat yang benar-benar selamat untuk kanak-kanak. Statistik menunjukkan kejadian seperti ini iaitu penculikan termasuk jenayah keganasan dan penderaan terhadap kanak-kanak boleh berlaku di mana saja termasuk di rumah yang kononnya dianggap selamat. Justeru, mereka perlu lebih berhati-hati dan tidak memandang remeh isu keselamatan kanak-kanak.

Mesej jelas daripada senario kehidupan masyarakat kita ini menggambarkan bahawa mahu tidak mahu rasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran hidup kini mesti diwujudkan semula.

Dan pepatah 'jangan jaga tepi kain orang' perlu diubah kepada 'tolong jaga tepi kain orang' sekiranya kita inginkan suasana yang lebih aman dan selamat.

Malangnya, kita seringkali tidak mahu dilabelkan sebagai penyibuk. Tetapi tahukah kita dengan menjadi 'tukang sibuk' dan suka jaga tepi kain orang inilah, mungkin suatu hari ia dapat menyelamatkan nyawa insan kecil yang mungkin anak jiran kita atau mungkin juga anak kita sendiri.

Kita tidak dapat menggambarkan betapa wajah-wajah ibu bapa yang dirundung malang ini saban hari meratapi kehilangan anak kesayangan mereka, kesakitan demi kesakitan dan penderitaan demi penderitaan.

Bagi menghadapi gejala yang semakin membarah ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu unit baru khas untuk menangani kes-kes seperti ini. Usaha ini, seharusnya dipuji dan disokong oleh semua pihak. Cuma yang menjadi persoalan kita hari ini ialah bagaimana pula dengan tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati sahaja atau mungkin ada peranan yang boleh kita mainkan.

Sebagai ahli masyarakat yang prihatin, kita boleh menjadi pemberi maklumat kepada unit khas ini supaya kes-kes yang melibatkan kanak-kanak dapat diuruskan dengan lebih cepat dan berkesan. Untuk mendapatkan maklumat, maka kita perlu kepada 'tukang sibuk' dan menjadi orang yang suka menjaga tepi kain orang.

Menjadi 'tukang sibuk' dan suka menjaga tepi kain orang ini pula bukanlah bererti mencari maklumat yang bukan-bukan yang tidak ada hubung kait dengan masalah yang dihadapi. Memadailah dengan maklumat yang sesuai dan cukup untuk disampaikan kepada pihak polis bagi melicinkan urusan siasatan mereka.

Justeru dengan meningkatnya kes-kes pembuangan bayi, dan kemunculan penjenayah yang zalim, kejam dan sadis di dalam masyarakat, wajar bagi kita untuk kembali mengukuhkan institusi kejiranan dan kekeluargaan kita.

Kerjasama yang mantap sangat perlu antara kita sebagai ahli masyarakat dengan pihak yang diberi kuasa. Mungkin kita adalah daripada kalangan orang yang prihatin tetapi takut untuk dilabelkan sebagai tukang sibuk dan suka menjaga tepi kain orang.

Namun, ini hanyalah andaian kita terhadap orang lain, kerana hakikatnya realiti kehidupan masyarakat kita sendiri sudah sedar betapa 'menjaga tepi kain orang' yang kena pada tempatnya adalah satu tanggungjawab yang perlu disuburkan semula agar menjadi budaya sihat yang membawa kepada kesejahteraan kita semua.

Penulis ialah Felo Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 28 April 2010

Hukuman melampau bukan cara mendidik

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org


Jabatan Pelajaran patut pantau tindakan guru disiplin sekolah


APAKAH sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita? Beberapa perlakuan guru sekolah terhadap murid mereka dalam tempoh beberapa hari ini menimbulkan persoalan mengenai tahap kualiti guru. Apa tidaknya jika seorang murid berusia 14 tahun yang dirogol bukan saja tidak mendapat simpati daripada pengurusan sekolahnya, malah dihukum pula dengan menurunkan kelasnya.

Tidak cukup dengan itu, statusnya sebagai seorang pengawas pun ditarik balik. Akibatnya, bukan saja gadis malang ini menghadapi trauma dirogol, malah sekolahnya sendiri menghukumnya dan memencilkannya hingga membuatnya berat untuk kembali ke sekolah. Apa jenis pengurusan sekolah yang kita ada sekarang ini ?

Apakah yang boleh kita harapkan untuk anak kita sekiranya wujud pengurusan jelek seperti ini yang bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah memberi gambaran bahawa tidak berhati perutnya mereka itu.

Dalam pada itu, ada pula berita mengenai sikap ganas dan tidak berhati perut seorang guru disiplin terhadap muridnya yang didapati bersalah kerana lambat masuk sekolah atau mengenakan pakaian yang dianggap tidak mematuhi peraturan. Satu kes ialah mengenai seorang pelajar Tingkatan Lima yang menghadapi pelbagai masalah di rumah berikutan kematian bapanya yang memberikan tekanan untuk hidup bagi keluarga malang ini.

Gadis itu mempunyai hanya dua ‘camisole’, satu berwarna putih dan satu lagi berwarna merah muda. Pada satu hari dia terpaksa memakai pakaian dalamnya itu yang berwarna kerana yang putihnya belum kering selepas dibasuh. (Murid ini mempunyai hanya dua helai pakaian itu saja). Disebabkan kesalahan ini, dia ditampar dan dipaksa menanggalkan camisolenya yang digantung dalam bilik guru itu untuk tatapan ramai.

Seorang lagi rakannya yang memakai coli berbintik dipaksa oleh guru disiplin itu menanggalkan colinya dan terpaksa berada dalam kelas tanpa coli. Tidak diberitakan pula apakah sekolah itu sekolah perempuan atau sekolah bercampur. Jika peristiwa itu berlaku di sekolah perempuan hukumannya itu tidaklah seteruk ia berlaku di sekolah campuran.

Tidakkah guru ini prihatin terhadap maruah seseorang hatta muridnya? Bagi saya orang macam ini tidak layak menjadi guru disiplin. Malah tidak layak jadi guru pun. Dia ini tidak tahu untuk bertindak sebagai seorang pendidik.

Menghukum seseorang murid tidak kiralah bagaimana teruk sekali pun kesalahannya bukanlah dengan cara memalukannya. Ini bukanlah satu usaha mendidik namanya. Lebih baik guru disiplin ini cari kerja lain saja.

Dalam pada itu, berita mengenai wujudnya golongan samseng di sekolah juga tidak putus-putus mendapat ruang dalam akhbar. Terakhir mengenai bagaimana seorang murid Tingkatan Dua yang juga seorang anak yatim dikelilingi rakan sekelasnya (perempuan) ketika kawan rakannya itu merogolnya dalam bilik darjah.

Diberitakan juga, itu bukanlah kali pertama dia dirogol. Murid malang itu kemudian dimasukkan sebatang pensel pula dalam kemaluannya. Apa sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita ini? Kononnya mahu memantapkan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan. Apakah begini caranya untuk mendapatkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan?

Yang utamanya ialah memastikan semua guru sekolah itu terdiri daripada mereka yang benar-benar berdedikasi dan boleh diharapkan menjadi pendidik berwibawa dan tahu bagaimana hendak menangani pelbagai kerenah murid.

Tetapi apabila ada segelintir saja guru yang sebenarnya tidak layak menjadi guru yang boleh memberikan didikan terbaik bagi murid mereka, maka nama baik sesebuah sekolah itu hatta nama baik keseluruhan sekolah kebangsaan sendiri boleh tercemar. Guru tidak prihatin ini boleh diumpamakan sebagai nila yang setitik itu.

Inilah masalahnya apabila sekolah mempunyai guru seperti itu. Mereka ini bukan saja tidak tahu bagaimana hendak mendidik, tidak tahu bagaimana hendak berikan motivasi dan dalam pada itu, tidak prihatin pula terhadap masalah yang terpaksa dihadapi murid khususnya yang mengharungi kesempitan hidup kerana menghadapi pelbagai kekurangan.

Umum mengetahui kerjaya ini bukanlah menjadi satu profesion pilihan di kalangan ramai yang menjadi guru. Ada antara mereka ini menjadi guru bukan kerana mahu menjadi pendidik, tetapi kerana tidak berjaya mendapatkan pekerjaan lain.

Begitu pun, apabila sudah diterima masuk jadi guru, dia hendaklah sedaya upaya berusaha menjadi seorang guru dan pendidik berwibawa dan penuh dedikasi. Saya akui memang ramai berusaha ke arah demikian untuk menjadi guru yang amat dedikasi dan berusaha memberikan pendidikan terbaik kepada murid mereka.

Malangnya ada pula sejumlah guru yang tidak langsung tahu bagaimana hendak menjadi pendidik jauh sekali pendidik berkaliber. Seperti guru disiplin ini yang sedikit pun tidak tahu bagaimana hendak menjaga maruah muridnya. Malah dia ini sengaja pula mahu memalukan mereka itu.

Ini juga menimbulkan persoalan bagaimana seseorang guru itu dipilih menjadi guru disiplin. Khabarnya buat masa ini pemilihan bergantung kepada guru besar atau pengetua sesebuah sekolah. Tidak tahulah pula apakah sudah ada kriteria yang harus diikuti sekolah apabila hendak melantik seseorang guru menjadi guru disiplin.

Katanya, pemilihan dibuat mengikut urutan mukanya apakah dia seorang yang berperwatakan cenge dan kelihatan garang. Jika inilah kriterianya, maka tidak hairanlah kenapa guru ini hanya tahu menghukum saja. Bukan untuk mencari sebab musabab murid membuat kesalahan dan berusaha menangani masalah dihadapi murid dan memberikan kaunseling.

Mungkin bagi guru ini dia tidak bertanggungjawab mencari punca kenapa seseorang murid bertindak demikian. Diakui majoriti guru memang berdedikasi.

Tetapi apabila wujud watak yang jelas tidak langsung prihatin terhadap kesulitan murid atau tidak mahu tahu latar belakang dan pelbagai hal yang murid terbabit terpaksa tempuhi, apakah ini tidak menampakkan bahawa ada guru yang tidak patut terus membabitkan diri dalam profesion ini?

Dalam pada itu, timbul pula persoalan mengenai Jabatan Pelajaran. Ini adalah kali ketiga dalam bulan ini saya menulis mengenai pelajaran dalam kolum ini. Malangnya tiada sedikit pun reaksi jabatan itu terhadap pelbagai persoalan yang ditimbulkan. Kita lihat pula apakah akan ada reaksi terhadap apa yang dibangkitkan kali ini.

Jika tidak ada juga apa pun reaksi mereka, jelaslah mereka ini tidak ambil kisah atau kata orang tidak ambil ‘pot’ terhadap apa yang dibangkitkan. Tulislah apa yang kamu mahu kami tidak peduli. Apa sangat ia hanyalah satu pandangan oleh seorang yang sudah bersara yang tidak mempunyai apa-apa pun pengaruh.

Kami akan tetap terus saja dengan apa yang kami lakukan selama ini. Apakah ini yang sedang berlaku di Jabatan Pelajaran dan sekolah kita?

Datuk Rejal Arbee ialah Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www. bharian.com.my/

Kaedah penentuan harga menurut Islam

Islam tidak melarang peniaga mengambil untung tetapi jangan sampai menindas pengguna. - Gambar hiasan


HARGA memainkan peranan penting dalam menentukan keuntungan kepada penjual. Semakin tinggi harga barang, maka semakin tinggi keuntungan yang diraih oleh entiti yang mengeluar, menjual dan memasarkan barangan tersebut.

Namun, ramai yang tidak memahami bahawa setiap kali mereka menaikkan harga barang, maka semakin meningkat bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Maknanya keuntungan yang berlipat-kali ganda akan mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

Islam amat menitikberatkan keadilan dan kesaksamaan. Ia selaras dengan salah satu sifat Allah, iaitu Maha Adil. Sekiranya diperhatikan dan diselidiki secara mendalam terhadap hukum-hakam Allah, kita akan mendapati bahawa terdapat banyak nilai-nilai Islam yang dipaparkan secara tersurat dan tersirat.

Allah SWT berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri ataupun ibu bapamu dan kaum keluargamu. Jika ia kaya ataupun miskin, Allah lebih mengetahui keadaan keduanya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu memutar belitkan, atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan. (An-Nisa': 135)

Sejajar dengan itu, Islam juga mengharamkan kezaliman. Bahkan, Allah menegah daripada cenderung atau menyokong perbuatan zalim walaupun ia dilakukan oleh orang lain.

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (Hud: 113)

Dalam membicarakan kaedah penentuan harga, sebenarnya tiada dalil dari nas al-Quran dan hadis secara jelas yang khusus menyentuh tentangnya.

Namun, kita boleh menggunakan garis panduan umum berdasarkan prinsip menegakkan keadilan dan menolak kezaliman sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum ini.

Maka kaedah paling tepat dalam penetapan harga ialah jangan sampai menyebabkan ada pihak yang dizalimi.

Harga yang diletakkan kepada sesuatu barang yang ingin dikeluarkan jangan sampai menindas pengguna dan jangan mengabaikan hak penjual untuk mendapatkan keuntungan.

Sebaliknya, ia mestilah berada di pertengahan. Ini sejajar dengan sifat 'ibadurrahman (hamba Allah) yang bersifat pertengahan dalam melakukan perbelanjaan sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran: Dan (hamba-hamba itu) apabila berbelanja tidak boros dan tidak kedekut, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqan : 67)

Penetapan harga juga perlu berdasarkan kualiti dan kuantiti sesuatu produk. Di sinilah pentingnya kejujuran dan ketelusan di pihak peniaga atau penjual.

Kadang-kadang ada di antara kita yang sanggup meniru atau menciplak produk lain sehingga seakan-akan sama.

Lalu diletakkan harga yang sama untuk mengabui pengguna.

Maka berlakulah suasana yang tidak harmoni di antara pihak penjual dan pembeli. Justeru, letakkanlah harga berdasarkan kualiti sebenar barangan tersebut.

Janganlah disebabkan keghairahan meraih keuntungan yang berlipat kali ganda, kita sanggup menipu para pengguna.

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)

Namun begitu, kita perlu menyedari bahawa turun-naik harga berlaku akibat daktiviti permintaan dan penawaran di pasaran. Salah seorang ulama tersohor dalam bidang fiqh dan siasah syar'iyyah, Ibn Taimiah (1263-1328) mempunyai gagasan yang jelas tentang persoalan menetapkan harga.

Ibn Taimiah atau nama sebenarnya Taqiad-Din Abul Abbas Ahmad ibn Abd. al-Halim ibn Abd. as-Salam Ibn Taymiya al-Harrani menekankan bahawa sesiapa sahaja termasuk kerajaan tidak boleh terlibat dalam mengaturkan harga.

Ia perlu diserahkan kepada proses normal yang bersandarkan aktiviti pasaran semasa.

Teori yang sama juga dikemukakan oleh Adam Smith (1723-1790) melalui karyanya Wealth of Nation iaitu menyerahkan penentuan harga kepada pasaran bebas. Beliau mengkritik pihak kerajaan yang cuba masuk campur dalam proses penetapan harga.

Pada pandangan saya, kita perlu meraikan harga pasaran dalam menetapkan harga produk yang ingin dijual sekiranya produk-produk sama atau hampir sama spesifikasinya sudah wujud di pasaran.

Namun, kadang-kala pihak kerajaan juga perlu campur tangan dalam meletakkan harga. Contohnya harga siling sesuatu barangan keperluan harian untuk menyeimbangkan keperluan pengguna dan kehendak peniaga-peniaga.

Tanpa kawalan ini, maka peniaga yang tamak pastinya akan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan perasaan dan bebanan pengguna.

Namun begitu, penjual diharus menaikkan sedikit harga melebihi harga pasaran jika produk tersebut mempunyai nilai tambah (value added). Ini menyebabkan produk berkenaan mempunyai perbezaan dan keistimewaan berbanding dengan produk-produk yang sama di pasaran.

Sebagai contoh, harga sebuah rumah di sebuah lokasi adalah RM150,000. Namun, kerana pemilik rumah itu mahu menjualnya bersama dengan perabot beserta reka bentuk dan dekorasi yang sangat cantik, maka beliau diharuskan menjualnya dengan harga RM200,000 atau lebih.

Islam tidak mengehadkan nisbah untung yang boleh diambil oleh pihak penjual. Sebagai contoh, sekiranya rumah yang dibeli dengan harga RM50,000 pada 10 tahun dahulu, mungkin dapat dijual dengan harga RM1 juta pada masa sekarang.

Banyak faktor yang boleh menyebabkan aplikasi tersebut diharuskan. Antaranya, pembangunan yang pesat di kawasan tersebut atau lokasi yang strategik seperti adanya pasar raya, pengangkutan awam, sekolah dan kemudahan hospital. Oleh itu, permintaan terhadap rumah di kawasan tersebut meningkat.

Rasulullah SAW pernah membenarkan peniaga meningkatkan keuntungan sehingga melebihi 100% dari harga asal.

Ini dapat dilihat melalui Hadis Urwah Al-Bariqi; Sesungguhnya Nabi SAW memberi Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung. (riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadis ini jelas memaparkan bahawa Urwah al-Bariqi telah membeli dua ekor kambing tersebut dengan harga setengah dinar. Namun, beliau menjualnya pula dengan harga satu dinar iaitu 100 peratus nilai untung yang diambil. Rasulullah SAW telah mengiktiraf perbuatan tersebut dan mendoakan Urwah al-Bariqi.

Kesimpulannya, penetapan harga banyak bergantung kepada kejujuran dan ketelusan penjual di samping melihat harga pasaran semasa.

Maka janganlah kita terlalu tamak untuk mendapatkan keuntungan berlebihan sehingga sanggup untuk menaikkan harga barang secara melampau-lampau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 27 April 2010

INI BAHASAKU

Sejahtera kita membina bahasa
bahasa ibunda dijunjung mulia
tamadun bangsa rapi dijaga
agar bangsa dipandang mulia
kita bina bangsa bermaruah
jiwa kita berbudi bahasa
jujur mulia sejahtera segala
Malaysia berdaulat
bahasanya penuh keramat.

IJAMALA M.N,
Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 25 April 2010

Perkukuh institusi keluarga

Oleh MOHAMAD ABDULLAH

Berita seorang pelajar sekolah dirogol di dalam bilik darjah oleh rakan sekolahnya, pelajar remaja dirogol sekumpulan lapan orang dan beberapa kes bunuh diri dari kalangan orang Melayu Islam amat mengganggu kita kebelakangan ini. Terbaru, remaja belasan tahun didapati menggantung diri.

Melihat senario itu, nampaknya bilik darjah kini tidak lagi selamat. Rakan-rakan sekolah tidak lagi boleh dipercayai. Agama tidak lagi menjadi pendinding dalam tindakan. Tekanan perasaan dan perasaan keterasingan membawa padah apabila nyawa sendiri menjadi taruhan.

Tidak perlu menuding jari. Yang terjadi telah terjadi. Tidak mustahil esok, ahli keluarga terdekat kita yang menjadi mangsa. Tatkala itu, kita akan tahu betapa sakit, pedih dan sedihnya berhadapan dengan situasi itu.

Oleh kerana itu, semua pihak harus prihatin terhadap apa yang terjadi. Ini adalah antara isu-isu yang mungkin tidak terfikir dek akal kita selama ini. Kita hanya membaca dan menggeleng kepala terhadap apa yang terjadi kepada orang lain tanpa kita duga yang ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Apakah tindakan yang wajar kita sama-sama lakukan selepas ini? Pertama, ia harus bermula dari dalam rumah. Kukuhkan institusi keluarga, tanamkan perasaan kasih sayang, sikap prihatin dan melihatnya sebagai amanah Tuhan yang tidak harus diabaikan. Kesibukan bagaimana sekali pun dalam mencari rezeki bukan alasan untuk abaikan keluarga.

Anak-anak lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri, walaupun terdapat juga yang lahir secara terpaksa atau tidak diminta. Dalam sebuah unit keluarga, biasanya anak lahir daripada hasrat bersama.

Seperti mana kita menghargai kasih sayang ibu bapa dan keluarga, maka kita juga bertanggungjawab dan memegang amanah besar dalam memberikan dan berkongsi kasih sayang dan amanah terhadap anak-anak kita.

Menyayangi anak-anak dan keluarga bukan sahaja bermakna memenuhi keperluannya, tetapi juga mengawasi, mengambil berat, mengambil tahu dan sentiasa tahu perkembangan anak-anak dan ahli keluarga.

Ini bermakna, ibu bapa berperanan untuk memastikan anak-anak dan anggota keluarganya sentiasa dalam sejahtera, malah juga mensejahterakan anggota masyarakat seluruhnya.

Selain itu, para pemimpin institusi yang ada harus memainkan peranan yang sewajarnya. Bukan sahaja institusi sekolah, malah juga institusi agama dan institusi-institusi lainnya.

Institusi sekolah dan warganya harus tidak sentiasa bersikap menghukum, tetapi mendidik. Guru-guru harus menjadi role model kepada anak-anak. Agak malang apabila sesekali terdengar berlaku pergaduhan guru-guru yang disaksikan murid dan pelajar, sikap guru yang tidak sesuai dengan institusi sekolah dan pendidikan dan pelbagai isu lain.

Kita faham tekanan yang dihadapi oleh para pendidik kita. Malah kita juga melihat pelbagai ganjaran yang diberikan untuk membantu para pendidik kita. Namun yang paling penting adalah profesionalisme guru dan roh 'pendidik' dan 'guru' harus diberikan keutamaan.

Guru dan pendidik bukan lagi seperti mana zaman tahun 60-an yang berkhidmat secara sukarela dan mempunyai minta mendalam terhadap pembangunan ilmu anak bangsanya.

Justeru, institusi sekolah dan pendidikan harus membangunkan sistem yang berupaya mendidik anak-anak kita, sehinggalah ke institusi pengajian tinggi untuk memahami dan menghayati kepentingan terhadap isu-isu yang berkaitan sama ada secara formal atau pun di luar bilik darjah.

Malah di institusi pengajian tinggi kita, aktiviti-aktiviti pelajar harus menumpukan kepada usaha ini melalui begitu pertubuhan dan persatuan yang ada. Anak-anak muda kita harus diberikan kefahaman mendalam tentang kesan dan natijah yang berlaku dalam setiap tindakan yang dilakukan secara jangka panjang.

Begitu juga dengan institusi agama termasuk institusi masjid yang ada hampir di setiap mukim dan kampung di negara kita. Institusi agama harus berupaya untuk berjalan seiring dengan anak-anak kita tanpa sebarang prejudis.

Biar bagaimanapun tingkah laku anak-anak kita, tanpa mengira sesiapa, mereka perlu dibuat kawan dan dibimbing.

Jiwa anak-anak dan remaja harus dilihat dalam konteks keremajaan dan zaman yang dilalui tanpa perlu membandingkan mereka dengan zaman dan tingkah laku kita pada zaman kita sebagai anak-anak dan remaja.

Para imam, ustaz dan cerdik pandai agama kita harus sentiasa mempunyai empati yang tinggi terhadap jiwa anak-anak kita. Menyalahkan mereka, memandang buruk dan melihat mereka dengan pandangan hina dan menghukum, tidak akan menyelesaikan masalah.

Lihat bagaimana stigma yang ada dalam masyarakat terhadap para penagih dadah serta mereka yang menghidapi HIV/AIDS yang dipandang hina dan tidak dipedulikan oleh anggota masyarakat dan keluarga sehingga menyebabkan ramai yang terus hidup dalam dunianya sendiri.

Kesilapan yang masyarakat lakukan adalah kita enggan berkawan dan memahami mereka. Dalam banyak keadaan, anak-anak dan remaja, malah juga orang dewasa hilang haluan dan pertimbangan apabila tiada tempat mengadu, tiada teman untuk mendengar dan berkongsi masalah, manakala kemurungan menjadi antara petanda awal yang menjerumuskan mereka dalam membuat keputusan yang mungkin di luar jangkaan kita.

Selain itu, badan-badan sukarela perlu menggerakkan tenaga dan usaha mereka untuk bersama-sama mendekati anak-anak, remaja, malah mereka yang berhadapan dengan masalah.

Di negara ini, kita mempunyai banyak badan sukarela yang berteraskan pelbagai kepentingan dan kumpulan masyarakat. Dalam banyak keadaan, cadangan yang diberikan adalah penguatkuasaan dan pengukuhan pelbagai agensi kerajaan.

Namun, keprihatinan dalam mengurangkan masalah yang ada harus digerakkan oleh badan-badan sukarela dan anggota masyarakat seluruhnya. Konsep gotong royong, berderau, khidmat masyarakat dan pelbagai lagi adalah antara aktiviti yang harus digerakkan secara besar-besaran.

Setiap pihak harus melihat isu-isu sosial sebagai masalah bersama yang harus diselesaikan bersama. Ia adalah isu bersama yang patut melibatkan semua pihak, bukan khusus kepada kumpulan tertentu.

Pada masa yang sama, agensi-agensi amanah harus terus memberikan sokongan dalam semua usaha yang dilakukan secara berterusan. Mereka yang berada di agensi-agensi amanah perlu menunaikan amanah yang diberi tanpa putus asa demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Kes rogol, buang bayi, bunuh diri serta jenayah-jenayah lainnya hanya dapat dikurangkan dengan adanya tindakan holistik yang melibatkan semua pihak. Ia bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita semua.

Dalam perkara itu, ibu bapa dan keluarga adalah unit terpenting dalam memastikan kesejahteraan semua, sebagai pemerhati sekali gus mengambil tindakan awal untuk mengelakkan masalah menjadi lebih runcing. Kasih sayang yang mendalam perlu menjadi alat utama untuk mengikat kita sebagai satu unit sosial yang kukuh dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku.

Anak-anak, malah kita sendiri mungkin melakukan kesilapan, tetapi dengan adanya bimbingan dan kasih sayang yang mendalam, ia boleh diselesaikan supaya anak-anak tidak terus hanyut serta mengambil keputusan yang menimbulkan kesusahan kepada dirinya, mahu pun mereka yang berada di sekelilingnya. Kasih sayang harus dikongsi dan dirasai bersama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/