Sabtu, 30 Oktober 2010

ISU GEJALA MEROKOK : Perokok pentingkan diri abai kesihatan orang lain

Oleh : Karim Sulaiman

SAYA menasihati seorang rakan supaya berhenti merokok kerana perbuatan itu boleh memudaratkan kesihatan. Balas rakan tadi: "Kau tidak merokok, tetapi sakit juga." Sambungnya lagi: "Orang tidak merokok pun mati."

Apabila kita menasihati merokok itu membazir dan jika wang membeli rokok itu disimpan untuk keperluan lebih memerlukan, balasnya, kau tak merokok pun tak kaya. Memang susah hendak menasihati perokok kerana mereka pasti ada alasan untuk mempertahankan perbuatan buruk itu. Merokok terbukti membawa banyak mudarat, termasuk menyebabkan strok, serangan jantung, kanser, mati pucuk dan mengganggu hubungan seks. Bentangkan apa saja fakta keburukan merokok mereka mungkin mendengar, tetapi belum pasti menginsafinya.

Paling menyakitkan hati apabila perokok memberi jawapan: “Kalau mati aku, apa engkau hendak sibuk.” Memang kita perlu menjadi penyibuk kerana asap rokok itu turut membawa mudarat kepada orang di sekeliling atau perokok pasif.

Perokok pasif adalah orang yang dipaksa menyedut asap rokok basi daripada perokok. Kajian menunjukkan 60 hingga 70 peratus daripada asap rokok akan disedut oleh bukan perokok. Kajian saintifik turut membuktikan bahan kimia beracun dalam asap rokok basi adalah lebih tinggi berbanding yang disedut oleh perokok secara aktif.

Kesan paling teruk adalah kepada kanak-kanak. Anak yang didedahkan kepada asap rokok basi ini mengalami risiko lebih tinggi mengalami pelbagai masalah kesihatan. Mereka cenderung untuk mengalami masalah seperti batuk, asma serta jangkitan paru-paru dan telinga. Mereka mungkin terpaksa menghidap penyakit yang berpanjangan disebabkan terdedah kepada asap rokok basi. Mereka akan membesar dengan mempercayai merokok adalah tabiat normal. Daya fikiran mereka mungkin menjadi lembap dan akhirnya akan hidup sengsara. Adakah kita mahu melihat anak menderita kerana perbuatan bodoh ini. Justeru, perokok tidak seharusnya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain yang inginkan kehidupan lebih sihat.

Keputusan untuk berhenti merokok terletak pada diri perokok itu sendiri. Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit setiap tahun untuk menyedarkan rakyat bahaya merokok dan mengapa perlu berhenti merokok. Pelbagai usaha termasuk menaikkan harga rokok, menguatkuasakan undang-undang dan peraturan mengenai rokok dilakukan kerajaan, namun akhirnya terpulang kepada individu untuk tidak dan berhenti merokok. Begitu pun, kerajaan terutama melalui Kementerian Kesihatan tidak pernah berputus asa melaksanakan usaha menjadikan bumi Malaysia bebas daripada asap rokok.

Di sini, saya memetik fakta daripada laman sesawang Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan faedah berhenti dan tidak merokok :

  • Panjang umur. Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5,000 rakyat Malaysia setiap tahun.
  • Mengelakkan daripada bahan berbahaya. Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
  • Mencegah penyakit. Hampir 40 jenis penyakit berkaitan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik, strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit bahaya akibat tabiat merokok.
  • Kehidupan yang lebih sihat. Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selesema dan penyakit pernafasan lain berbanding perokok.
  • Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain.
  • Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak.
  • Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat.
  • Meningkatkan deria bau dan rasa
  • Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok.
  • Menjimatkan wang.
  • Melindungi alam sekitar. Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran.
  • Meningkatkan kesuburan.
  • Meningkatkan tahap ‘kelelakian’.

  • Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    Jumaat, 29 Oktober 2010

    ISU SOSIAL : Jangan kompromi keselamatan anak

    Oleh ROHANI IBRAHIM

    Hari Kanak-kanak dipersetujui oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) pada 1954. Lima tahun kemudian, PBB mengisytiharkan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November 1959. Namun sejak 1959, Malaysia menyambut Hari Kanak-Kanak pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober.
    Sambutan berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak dalam menentukan kesejahteraan mereka sebagai aset negara yang paling berharga.
    Pada hari ini daripada 28 juta penduduk Malaysia, kira-kira 40 peratus atau 11.2 juta penduduk merupakan kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah.
    Biarpun kanak-kanak di negara ini hidup dalam persekitaran yang aman damai tanpa diancam kebuluran atau pergolakan bersenjata seperti beberapa negara lain, pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.
    Antara masalah sosial yang membawa impak negatif kepada kanak-kanak di negara ini adalah masalah keganasan fizikal dan seksual, penderaan, kes kehilangan kanak-kanak dan buang bayi.
    Masalah lain yang menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan kanak-kanak di Malaysia sejak akhir-akhir ini termasuklah kes kanak-kanak yang didera sehingga mati oleh teman lelaki si ibu seperti kes yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari dan Allahyarham Aaliyah Aiman Hussin Abdullah serta kes bayi yang mati kerana pelbagai sebab di rumah pengasuh.
    Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, antara kesedaran yang perlu ditingkatkan ialah sikap segelintir ibu tunggal muda mengenai keselamatan anak perempuan mereka yang dengan mudah meninggalkan anak perempuan bersama teman lelaki.
    ''Saya ingin nasihatkan ibu tunggal supaya tidak terlalu mudah mempercayai orang lain untuk meninggalkan anak masing-masing ketika keluar bekerja. Sepatutnya, ibu tunggal mencari pendekatan lain seperti meninggalkan anak kecil dengan keluarga sendiri berbanding teman lelaki.
    ''Namun, mungkin keadaan itu berlaku disebabkan oleh tekanan hidup seperti masalah kewangan dan sebagainya yang menghalang ibu berkenaan daripada menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak.
    "Walau apa pun masalah yang dihadapi oleh ibu berkenaan, aspek keselamatan anak mereka perlu diberi keutamaan," jelasnya.
    Mengenai banyak kes bayi yang mati ketika dalam jagaan pengasuh pula, Meme berkata, kebanyakan pasangan bekerja memilih untuk meninggalkan anak mereka bersama pengasuh yang tinggal berdekatan rumah dan mengikut kemampuan masing-masing.
    ''Daripada maklumat yang JKM terima, terdapat pengasuh yang menjaga lebih seorang kanak-kanak, selain anak pengasuh itu sendiri. Bagaimanapun, di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, apabila seseorang pengasuh itu menjaga lebih daripada tiga orang kanak-kanak, mereka perlu berdaftar dengan JKM.
    ''Jika pengasuh berkenaan gagal mendaftarkan diri, ibu bapa yang menghantar anak mereka kepada pengasuh itu perlu memastikan pengasuh anak mereka berdaftar. Pendaftaran boleh dibuat di talian Nur 15999. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pengasuh anak mereka berdaftar," katanya.
    Meme menambah, apabila seseorang pengasuh itu berdaftar dengan JKM, pemantauan aspek kebersihan, makanan dan sebagainya akan dijalankan setiap enam bulan. Jika pengasuh berkenaan tinggal di rumah pangsa yang kecil dengan ruang terhad, mereka tidak akan dibenarkan menjaga terlalu ramai kanak-kanak.
    ''Setiap pengasuh yang mendaftar dengan JKM akan diberikan sebuah buku garis panduan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak. JKM turut menganjurkan program Pengasuhan Prihatin yang disertai oleh 1,082 pengasuh sepanjang tahun lalu. Program berkenaan bertujuan membantu pengasuh yang kebanyakannya suri rumah meningkatkan pendapatan melalui khidmat asuhan yang berkualiti," katanya.
    Kata beliau, mereka yang gagal mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
    Jelas Meme, sehingga kini belum ada pihak yang dihadapkan ke mahkamah di bawah akta berkenaan. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan sedang diambil untuk mendakwa beberapa pihak selepas ini.
    Mengenai kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada JKM pula, beliau berkata, kes seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan sumbang mahram mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.
    ''Pada tahun 2007, sebanyak 2,279 kes dilaporkan, diikuti dengan 2,780 pada 2008, 2,789 pada 2009 dan sehingga April 2010 sebanyak 1,010 kes dilaporkan.
    ''Semua ini adalah kes yang dilaporkan kepada JKM menerusi talian Nur 15999. Mungkin kes sebenar adalah lebih tinggi, namun tidak dilaporkan," katanya sambil menambah sebahagian besar daripada mereka yang mendera kanak-kanak ialah individu yang dikenali mangsa.
    Sementara itu, bagi kes kanak-kanak hilang pula, jelas Meme, sebanyak 1,064 laporan diterima pada 2007; 1,141 pada 2008 dan 1,050 pada 2009. Sejumlah 30 peratus hingga 40 peratus daripada kes berkenaan berjaya dikesan.
    Antara kes kanak-kanak hilang yang menggemparkan negara ialah Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.
    Mayatnya ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan pada 17 September 2007 iaitu 27 hari selepas kehilangannya. Sehingga hari ini, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum berjaya dikesan.
    Sementara Sharlinie Mohd. Nashar pula dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008.
    Jelas Meme, semua pihak perlu menjadikan kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai pengajaran dan menganggap keselamatan kanak-kanak sebagai tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak di bahu ibu bapa, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan semata-mata.
    ''Semua individu dewasa bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak," katanya.
    Berdasarkan perkembangan semasa, sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun lalu dan tahun ini memberikan penekanan kepada keselamatan golongan tersebut.
    ''Tema sambutan Hari Kanak-kanak pada tahun lalu ialah Keluarga Selamat, Kanak-Kanak Terpelihara, sementara tema sambutan kali ini ialah Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Setiap Individu," katanya.
    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI : Mendekati Makna Jalur Lebar

    Oleh Zulkiple Ibrahim

    KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Di kaca televiyen, layar perak serta juga poster dan kain rentang di jalan raya, masyarakat sudah pasti tidak akan terlepas pandang iklan yang begitu banyak mengenai 'jalur lebar'.

    Dan bagi mereka yang melangkah masuk hipermarket atau pusat membeli-belah, mereka tidak akan sunyi didekati jurujual yang menawarkan pelbagai pakej jalur lebar.

    Syarikat-syarikat telekomunikasi kini menawarkan pelbagai pakej jalur lebar yang diiringi banyak 'hadiah' serta insentif untuk menarik perhatian umum mengambil perkhidmatan mereka.

    Baru-baru ini penulis didatangi seorang jurujual yang menawarkan satu pakej jalur lebar.

    "Apa itu jalur lebar?" tanya penulis, sengaja menguji beliau.

    "Internet", jawab beliau ringkas.

    Tapi apakah sebenarnya jalur lebar?

    Bila ditanya, James Ng seorang pensyarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) memberikan jawapan ini:

    "Jalur lebar juga dikenali sebagai jalur luas. Ia satu jaringan komunikasi di mana keluasan jalur boleh digunakan untuk menghantar dan menerima pelbagai isyarat secara serentak".

    Dari aspek telekomunikasi, jalur lebar ialah satu julat atau lingkungan untuk frekuensi menyalurkan maklumat.

    "Ini bermakna lebih besar julat frekuensi yang ada, lebih banyak maklumat yang boleh dihantar pada satu-satu masa.

    "Jalur lebar juga digunakan sebagai istilah umum tentang pelbagai sambungan Internet".

    BANDINGKAN DENGAN LEBUH RAYA

    Bagi menerangkan jalur lebar dengan lebih mudah, Ng memberikan contoh sebuah lebuh raya.

    "Gambarkan tentang satu lebuh raya," kata beliau.

    "Lebuh raya yang hanya punya dua lorong, membolehkan hanya satu kenderaan lalu dari satu-satu arah pada satu masa. Tetapi dengan lebuh raya yang punya enam atau lapan lorong, lebih banyak kenderaan boleh lalu dari mana-mana arah pada satu masa. Jalur lebar bolehlah dianggap sama dengan lebuh raya dari aspek telekomunikasi".

    Pada umumnya, jalur lebar merujuk pada aspek telekomunikasi di mana terdapat julat atau lingkungan frekuensi besar yang boleh menyalurkan maklumat.

    "Bila ada julat frekuensi yang besar, pelbagai maklumat dalam pelbagai bentuk yang menggunakan gelombang berlainan boleh disalurkan secara serentak pada satu-satu masa. Sama seperti pelbagai kenderaan yang banyak dapat melalui lebuh raya dengan serentak".

    JENIS HUBUNGAN JALUR LEBAR INTERNET

    Menurut Ng, terdapat beberapa jenis jalur lebar dalam pasaran dan ada yang lebih mahal serta ada yang lebih 'cepat'.

    Katanya juga hubungan jalur lebar internet merupakan konsep baru yang diguna menggantikan konsep 'dial-up'.

    "Internet jalur lebar lebih cepat dan menawarkan beberapa kelebihan. Contohnya kelajuan lebih pantas bagi internet jalur lebar dibandingkan dengan internet yang menggunakan dial-up".

    Katanya terdapat 'Asymmetric Digital Subscriber Line (Talian Pelanggan Digital Asimetri) atau ADSL yang merupakan medium jalur lebar popular bagi pengguna internet komersil dan rumah.

    "Sesiapa yang punya talian telefon boleh menggunakan perkhidmatan ini. ADSL menggunakan talian telefon biasa".

    Juga terdapat 'Symmetric Digital Subscriber Line' (Talian Pelanggan Digital Bersimetri) atau SDSL. Perkhidmatan ini sama dengan perkhidmatan DSL yang ditawarkan syarikat telefon melalui talian telefon yang sedia ada.

    Bagaimanapun SDSL mempunyai kelajuan muat naik yang sama tinggi dengan muat turun dan lebih mahal daripada ADSL.

    ASDL ialah jalur lebar yang biasa digunakan. Perkhidmatannya ialah melalui talian telefon yang sedia ada dan melalui satu 'modem. Walaupun Internet sedang digunakan, pengguna masih boleh membuat atau menerima panggilan telefon.

    KABEL

    "Jika anda melanggan televisyen kabel, anda tahu isyarat televisyen disalurkan melalui kabel dari syarikat televisyen ke rumah anda. Sambungan internet jalur lebar anda melalui kabel ini.

    "Sambungan jalur lebar kabel sangat popular di Amerika dan di sesetengah pasaran lebih popular daripada ASDL," kata Ng.

    Kata beliau sejenis lagi sambungan jalur lebar ialah tanpa wayar.

    Ia lebih digunakan di kawasan luar bandar di mana ASDL dan sambungan kabel tidak wujud. Di sini, satu antena diletakkan di luar rumah yang menerima isyarat untuk komputer yang di dalam rumah.

    Talian telefon tidak diperlukan untuk sambungan jenis ini.

    TANPA WAYAR, SATELIT

    "Jika telefon boleh berfungsi tanpa wayar, begitu juga dengan jalur lebar," kata Ng.

    Kata beliau pengguna hanya perlu menyambungkan telefon bimbit mereka ke komputer riba dan komputer itu akan bertukar menjadi sebuah modem tanpa wayar.

    Data melalui jalur lebar juga boleh diterima melalui satelit. Jika berada di kawasan pedalaman, pengguna perlu menggunakan piring satelit untuk menerima data tetapi perkhidmatan ini tinggi kosnya kerana ia memerlukan piring khas serta juga peralatan satelit.

    Ia diperlukan di tempat yang tiada ADSL dan kabel.

    Pengguna komputer riba biasanya memilih jalur lebar tanpa wayar kerana terdapat lebih banyak kelebihan jika dibandingkan dengan hubungan jalur lebar yang lain sepert ADSL dan SDSL.

    Dengan kehadiran satu kad data, ia tidak lagi memerlukan modem dan wayar untuk sambungan internet. Sambungan jalur lebar ini datang secara 'plug in" (memasukkan plak) dan memang senang untuk digunakan.

    INISIATIF JALUR LEBAR

    Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dijangka merancakkan lagi transformasi sosial dan ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

    "Ia akan membantu negara menjadi lebih kompetitf melalui inovasi, kreativiti serta nilai tinggi dan kebebsan saluran maklumat," Dr Rais dilaporkan memberitahu media sebelum majlis pelancaran Inisiatif Jalur Lebar tersebut.

    Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan merupakan strategi komprehensif di mana komponen utamanya ialah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsan dan jalur lebar berkelajuan tinggi di Dataran Merdeka di sini pada 24 Mac lepas.

    Menurut laporan setakat Julai, lebih 37 peratus isi rumah Malaysia mempunyai kemudahan sambungan jalur lebar. Ini bersamaan kira-kira 2.4 juta rumah daripada 6.3 juta rumah di Malaysia.

    Untuk mencapai sasaran penembusan 50 peratus isi rumah menjelang hujung tahun ini, sejumlah satu juta rumah lagi perlu mempunyai sambungan jalur lebar.

    Sumber : http : //www.bernama.com.my/

    Khamis, 28 Oktober 2010

    Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu ditubuhkan


    KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu dalam usaha memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkesan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

    Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, melalui penubuhan bahagian itu, ia bukan sahaja dapat memperkasa dan memperhebatkan bahasa Melayu malah meningkatkan populariti bahasa kebangsaan di semua peringkat.

    Malah beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya bahasa Melayu diguna pakai dalam setiap urusan termasuk dalam mesyuarat rasmi serta seminar.

    "Sekiranya orang Melayu sendiri tidak megah atau berasa malu untuk memperjuangkan bahasa ibundanya sendiri sudah tentu bahasa dan budaya Melayu tidak akan maju," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Melayu Bandar: Menongkah Cabaran Merubah Penghidupan di sini hari ini.

    Buku tersebut sebuah kajian tentang sosiobudaya masyarakat Melayu yang dihasilkan oleh mahasiswa dari China, HanXiao @ Indah ketika menuntut di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM) dan ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

    Rais berkata, penubuhan bahagian itu juga sekali gus dapat membantu agensi seperti Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan institusi pengajian tinggi (IPT) menjayakan amalan dan kempen program bahasa.

    Ini kerana katanya, agensi seperti DBP hanya tertumpu kepada kerja-kerja penerbitan, menyelidik bahasa dan memperkenalkan istilah baru manakala Kementerian Pelajaran pula hanya memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah.

    Justeru kata beliau, adalah menjadi tugas kementerian untuk menjadi tonggak dalam memainkan peranan menguar-uar dan menjayakan program kempen bahasa.

    Dalam pada itu beliau berkata, usaha mempopularkan bahasa Melayu juga amat penting bagi menggalakkan penyertaan golongan bukan Melayu dalam memperkasakan bahasa kebangsaan.

    Oleh itu jelasnya, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan bagi menggalakkan penghasilan buku-buku dalam bahasa kebangsaan di samping menerbitkan buku-buku berkualiti tinggi.

    Katanya, sebuah panel akan diwujudkan bertujuan meneliti kriteria yang ditetapkan sebelum mengagihkan peruntukan kepada universiti untuk kemudahan kepada penulis menghasilkan buku-buku yang mempunyai nilai sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat.

    Di samping itu jelasya, tesis-tesis penting khususnya berkaitan aspek kebudayaan dan nilai budi bahasa juga akan dinilai untuk diterbitkan.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    Rabu, 27 Oktober 2010

    MALAYSIA KE-43 MAKMUR DI DUNIA

    Oleh Anwar Hussin
    anwarhussin@bharian.com.my


    Indeks Legatum 2010 letak negara ke-8 termakmur di Asia Pasifik


    KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga ke-43 daripada 110 negara di dunia yang tersenarai dalam Indeks Kemakmuran berdasarkan laporan terkini Legatum Prosperity Index 2010 yang disediakan Legatum Institute
    Pada peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga kelapan mengikut kajian sama dilakukan badan bebas berkenaan.

    ‘The Prosperity Index’ atau Indeks Kemakmuran memberikan penekanan kepada asas ekonomi, kesihatan, kebebasan, sistem pentadbiran, keselamatan, pendidikan, peluang perniagaan dan hubungan sosial boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan tahap kebahagiaan rakyatnya.

    Legatum Institute adalah badan bebas berpangkalan di United Kingdom yang memberi fokus kepada kajian bebas dan sokongan dasar bagi mempromosikan kebebasan individu, politik dan ekonomi di negara seluruh dunia.

    Menariknya, corak pemilihan indeks kemakmuran oleh institut ini ialah ahli panel tidak hanya melihat kepada pembangunan ekonomi semata-mata seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga tujuh bidang seperti keusahawanan dan peluang perniagaan, sistem pentadbiran, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebebasan individu dan modal sosial.

    Hasil kajian badan itu mengekalkan kedudukan Malaysia seperti tahun lalu, melalui tujuh bidang berkenaan iaitu ekonomi di tangga ke-21; keusahawanan dan peluang perniagaan (34); sistem pentadbiran (34); pendidikan (45); kesihatan (44); keselamatan (52); kebebasan individu (90) dan hubungan sosial (90).

    Rumusan kajian ini meletakkan asas ekonomi serta keusahawanan dan peluang perniagaan serta sistem pentadbiran dilihat sangat kukuh tetapi kebanyakan bidang lain berada dalam keadaan sederhana.

    Kajian itu meletakkan Norway pada kedudukan pertama, manakala Zimbabwe pula di tangga yang terakhir.

    Singapura pula negara Asia Tenggara yang menduduki tempat tertinggi berbanding negara jirannya dengan menduduki tempat ke-17 sama seperti tahun lalu, manakala Thailand pula tangga ke-52 (naik dua anak tangga daripada tangga 54), Filipina turun daripada 61 ke-64 dan Vietnam turun daripada 50 ke-61.

    Jepun adalah negara Asia yang menduduki tempat tertinggi tahun ini, iaitu tempat ke-18 susut dua anak tangga berbanding tahun lalu, manakala China di tangga ke-58, manakala India (88).

    Namun mengejutkan kedudukan Hong Kong yang merosot kepada kedudukan ke-20, sedangkan dua tahun lalu menduduki antara 10 negara makmur di dunia dengan menduduki tempat kelapan.

    Sumber : //www.bharian.com.my/

    ISU ANTARABANGSA : BENCANA "BERKEMBAR" MELANDA INDONESIA

    GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.
    Runtuhan rumah dan kenderaan penduduk yang hancur akibat Letusan Gunung Merapi di Dusun Kinahrejo, Desa Umbulharjo, Cangkringan, Sleman, Di Yogyakarta, Rabu (27/10/2010).


    YOGYAKARTA - Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat kepada 31 orang selepas gunung berapi itu meletus dan memuntahkan debu serta batuan panas sehingga 1.5 kilometer ke udara di wilayah Sleman, Yogyakarta, kelmarin.

    Antara yang terkorban termasuk bayi berusia dua bulan, seorang wartawan portal berita Indonesia, seorang sukarelawan Palang Merah tempatan dan ’penjaga’ gunung, Mbah Maridjan.

    Pakar gunung berapi negara itu mengeluarkan amaran awal mengenai letusan Gunung Merapi dan pihak berkuasa telah memindahkan puluhan ribu penduduk di kawasan itu ke pusat perlindungan sementara.

    Menurut media Indonesia, mangsa letusan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan sumbangan sebanyak Rp2.4 juta (RM840) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.

    Sementara itu, gempa bumi bawah laut mencetuskan ombak tsunami yang membunuh sekurang-kurangnya 272 orang penduduk di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera, Isnin lalu.

    Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang memusnahkan 10 kampung dan hampir 500 penduduk dilaporkan masih hilang.

    Helikopter yang membawa pasukan penyelamat bersama bantuan perubatan dan makanan mula tiba di pulau itu, semalam.

    Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

    ISU GEJALA MEROKOK : BILANGAN PEROKOK MUDA MERISAUKAN

    Oleh Liow Tiong Lai

    SAYA rasa sangat terganggu apabila melihat anak muda belasan tahun menghisap rokok, lebih-lebih lagi apabila orang dewasa menghisap rokok di depan kanak-kanak dan remaja.


    Saya naik marah kerana perbuatan mereka yang sudah dewasa itu merosakkan segala usaha dan langkah pihak berkuasa kesihatan serta penganjur gerakan tidak merokok untuk mendidik anak muda tentang bahaya merokok.

    Segala mesej kami tentang bahaya yang boleh membawa maut akibat merokok musnah apabila kanak-kanak melihat orang dewasa yang mereka hormati dan kagumi, terutama sekali ibu bapa mereka, saudara mara atau guru menghisap rokok di depan mereka.

    Anak-anak itu tentu akan berkata: “Jika mereka boleh hisap, tentu kita pun boleh.”

    Bolehkah kita menyalahkan mereka?

    Nenek saya mati akibat kanser kerana dia seorang perokok. Tragedi yang berlaku dalam keluarga saya sendiri ini menjadi peringatan kepada saya dan anak-anak bahawa tembakau boleh membunuh. Saya lega, tiada siapa dalam keluarga saya menghisap rokok, membolehkan saya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain.

    Tabiat menghisap rokok telah disifatkan sebagai satu ‘wabak tidak perlu buatan manusia’. Betapa tepatnya gambaran ini! Ia satu tabiat yang langsung tidak membawa faedah. Sebaliknya, membawa keburukan kepada diri sendiri, orang di sekeliling anda dan juga negara seluruhnya.

    Anda mungkin akan berkata saya sengaja membesar-besarkan hal ini. Mana boleh seorang perokok membawa keburukan kepada satu negara? Tapi fikirkanlah, bersama tiga juta perokok lain di Malaysia, anda sedang menyumbang kepada beban ekonomi yang sangat besar kepada negara.

    Kemungkinan anda kerap jatuh sakit adalah lebih besar. Begitu juga kemungkinan anda menderita penyakit kronik yang memerlukan rawatan seumur hidup. Rawatan ini tidak murah. Anda akan sering tidak dapat pergi kerja atau mungkin tidak dapat bekerja bagi tempoh yang panjang.

    Banyak duit negara akan habis kerana penyakit yang anda hidapi. Satu kajian mendapati beban kos merawat kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit lain yang berkaitan dengan tabiat merokok ialah RM2,924.8 juta setahun.

    Itu belum lagi mengambil kira kerugian yang dialami oleh syarikat apabila pekerja tidak datang bekerja kerana sakit akibat penyakit yang ada kaitan dengan merokok. Bagaimana pula dengan kerugian akibat kebakaran yang berpunca daripada api rokok? Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, pada tahun 2000 kerugian akibat kebakaran di seluruh dunia mencecah AS$27 bilion (RM102.6 bilion).

    Semua kos ini akhirnya datang dari kocek anda juga sama ada anda membayar beribu-ribu ringgit setahun bagi merawat masalah merokok anda atau duit daripada cukai yang anda bayar digunakan bagi membiayai beban yang terpaksa ditanggung oleh sistem kesihatan dan ekonomi negara.

    Sesungguhnya, sebelum anda jatuh sakit, anda sudah pun membuang duit dengan tabiat buruk merokok. Dianggarkan, tiga juta perokok dewasa di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Ia seperti membakar RM8.59 juta sehari.

    Golongan muda juga membelanjakan jumlah wang yang sangat banyak untuk merokok iaitu RM270,000 sehari. Sebab itulah kerajaan menaikkan harga rokok kotak 20 batang sebanyak 70 sen. Tujuannya supaya mereka merasai kesan kenaikan itu,

    Memandangkan perokok muda mula berjinak dengan rokok ketika berusia 13 tahun, kita perlu menyekat mereka daripada mula lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa kemungkinan perokok muda berhenti merokok atau mengurangkannya apabila harga rokok dinaikkan adalah dua hingga tiga kali ganda lebih daripada perokok dewasa.

    Sejak tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan semua kotak dan bungkusan rokok membawa amaran kesihatan dalam bentuk gambar. Tujuan gambar ngeri ini serta deskripsi akibat merokok kepada kesihatan adalah untuk menyekat godaan membeli rokok.

    Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana tarikan rokok adalah jauh lebih menggoda daripada apa jua mesej pendidikan yang kita sampaikan. Kanak-kanak dan remaja memuja selebriti yang merokok dan begitu mudah terpikat kepada gaya yang dianggap menarik.

    Tapi kami di Kementerian Kesihatan tidak akan berputus asa. Biar apa juga cabaran yang kami hadapi. Kita semua perlu berusaha dengan lebih kuat dan mencari jalan lebih kreatif dalam menangani cabaran itu. Ini kerana taruhannya amat besar, iaitu kesihatan generasi akan datang.

    Merokok bukan hanya merosakkan hidup anda, ia turut merosakkan hidup semua orang di keliling anda. Keluarga, anak-anak serta sahabat handai turut terseksa kerana menyedut asap rokok yang anda hembus dan terpaksa menanggung beban penyakit anda.

    Jika anda seorang anak muda, janganlah mula merokok. Belum sempat anda sedar, anda sudah pun ketagih. Anda hanya membohongi diri jika anda fikir anda boleh meninggalkannya apabila anda mahu. Terdapat mereka yang telah merokok selama berpuluh-puluh tahun dan masih berkata: “Esok saya akan berhenti.”

    Esok mungkin datang membawa kanser paru-paru, serangan jantung atau strok. Mungkin juga esok tidak datang.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/