Ahad, 31 Oktober 2010

ISU PENDIDIKAN : SEJARAH BANTU KITA FAHAMI AKAR UMBI TAMADUN BANGSA

Oleh Mohd Ayob Abd Razid
ayop_60@yahoo.com


Langkah jadi subjek wajib lulus pada 2013 bantu generasi muda nilai kemanusiaan, tingkat penghayatan patriotisme


SEJARAH adalah satu cabang ilmu yang berasal dari Yunani pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Karya yang mula-mula dianggap sebagai penulisan sejarah ialah Histories, ditulis oleh Herodotus yang dianggap sebagai 'bapa sejarah'.

Karya Herodotus ini membawa maksud penyelidikan atau penyiasatan. Ia diterjemahkan oleh G Rawlinson dengan judul The Persians Wars. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh The Modern Library, New York pada 1942.

Dalam bahasa lain, sejarah dikenali seperti berikut iaitu historia di negara Latin, history (Inggeris); storia (Itali), historie (Perancis), geschichte (Jerman), gescheiedenis (Belanda), shih (Cina), itihasa dan purana (Hindu) dan tarikh (Arab). Dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia disebut sejarah (syajarah) yang diambil daripada perkataan Arab ‘syajaratun’ yang bererti pohon, keturunan atau asal-usul.

Sejarah adalah berkaitan dengan perkara atau peristiwa yang sebenar sudah berlaku (Sir John Seely). Ia merakamkan pengalaman kehidupan manusia dalam masyarakat yang bertamadun (G Renier). R G Collingwood menganggap semua sejarah ialah sejarah pemikiran (idea manusia). Lewis Namier pula menyebut bahan atau mauduk yang menjadi perhatian sejarah ialah mengenai tindakan manusia sehingga mencetuskan peristiwa mengikut keadaan dan masa.

Islam sangat memberi perhatian terhadap sejarah. Misri A Muchsin dalam Filsafat Sejarah Islam (Ar-Ruzz Press, Jogjakarta, 2002) menyebut sekitar dua pertiga daripada keseluruhan ayat al-Quran memiliki nilai atau norma sejarah yang mana al-Quran berbicara mengenai perubahan dalam masyarakat yang sangat ditentukan oleh kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Dalam konteks ini, al-Quran berbicara sebab khusus terjadinya perpecahan sosial bangsa yang sudah terlalu jauh menyimpang daripada sendi kebenaran hakiki.

Sejarah sebagai satu ilmu memerlukan kepada penyiasatan dan penyelidikan mengenai peristiwa masa lampau berdasarkan bukti yang ditemui. Daripada bukti atau sumber itu, maka pentafsiran sejarah akan dilakukan oleh sejarawan. Jacob Burchharht menyebut bahawa sejarah ialah pentafsiran berdasarkan kepada sumber. Ini bermakna sejarah ialah pencarian untuk mendapatkan kebenaran, hakikat dan penujuan manusia (Arnold Toynbee).

Dalam konteks ini, Edward Carr menyebut bahawa sejarawan mempunyai dua tugas utama iaitu menyingkap fakta penting dan menyingkirkan fakta historis (bukan fakta sejarah). Sejarawan harus dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan (pembohongan) sumber sejarah. Ibnu Khaldun sangat tegas dalam perkara mengenai fakta sejarah. Beliau menegaskan sejarawan perlu melakukan dua perkara penting, iaitu memberi pemikiran mendalam terhadap berita mengenai sesuatu peristiwa dan membuat kajian terhadap kebenaran dan kejujuran penutur (pencerita) dan penulis berita itu.

Ilmu sejarah adalah ilmu yang menggunakan pendekatan ilmu sosial. Hasil daripada metodologi kajian sejarah itu membolehkan ahli sejarah melakukan interpretasi sejarah terhadap peristiwa yang dikaji. Interpretasi itu pula bergantung kepada dari segi mana sejarawan itu melihatnya, dimensi mana yang diperhatikan serta undur mana yang diungkapkannya. Misalnya, jika ia menggunakan pendekatan politikologis sudah pasti sejarawan itu akan meneliti atau menyoroti pertentangan kekuasaan, ideologi politik, struktur politik dan jenis pemerintahan serta kepemimpinan.

Yang pasti, dalam apa jua pendekatan yang digunakannya, pengkaji sejarah memerlukan pengetahuan mengenai konsep dan teori ilmu sosial seperti antropologi, sosiologi, geografi, politik, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, falsafah dan ilmu sosial yang lain. Malah, dalam keadaan tertentu pengkaji sejarah memerlukan bantuan ilmu fizik dan kimia untuk membuat penilaian mengenai bahan berkaitan fosil, batu bata, bahan purba dan dokumen lama yang dikajinya itu.

Pada sekitar 1920-an, ahli sejarah Perancis yang terdiri daripada aliran ‘Annales’ dianggap berjaya meletakkan ilmu sejarah sebagai ilmu bersifat saintifik dengan sempurna apabila berjaya menggunakan kaedah kuantitatif serta menghuraikan secara sahih peranan pelbagai faktor penyebab seperti geografi, struktur sosial dan pemikiran. Justeru, penulisan sejarah yang dihasilkan oleh ahli sejarah Annales telah memberikan satu nafas baru kepada pengajian ilmu sejarah dengan memperluaskan sudut pandangan ahli sejarah, baik dari segi ruang lingkup mahupun perkaedahan (R Suntharalingam, 1987).

Sebenarnya, bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam pengajian sejarah, terlalu banyak cakupan ilmu sejarah yang perlu dikuasainya. Misalnya, seseorang penuntut atau pengkaji dalam pengkajian falsafah sejarah perlu memahami mengenai dasar dan persoalan falsafah sejarah, perkembangan pensejarahan (Timur dan Barat), perkembangan falsafah sejarah mengikut periodisasi, epistemologi sejarah, ontologi sejarah, teleologi sejarah, kosmologi sejarah, eskatologi sejarah, nomologi sejarah dan aksiologi sejarah.

Apakah fungsi sejarah? Apakah sejarah itu hanya dilihat sebagai satu nostalgia ataupun romantisisme yang digunakan sebagai satu pelarian seperti yang ditanggapi oleh orang yang bukan ahlinya. Ibnu Khaldun menyatakan bahawa ilmu sejarah adalah ilmu yang dikaji oleh pelbagai bangsa dan generasi untuk mengetahui mengenai kerajaan dan negara serta perubahan yang terjadi dalam sesuatu masyarakat itu.

Melalui sejarah, sesuatu bangsa itu dapat mengenali mengenai akar umbi serta jatuh bangunnya bangsa itu. Daripada peristiwa sejarah itu jugalah kita dapat memahami dan mengenali hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa supaya boleh diambil pengajaran daripadanya. Nouruzzaman Shiddiqie dalam pengantar Sejarah Muslim (Nurcahaya, Yogyakarta, 1983) menyebut sejarah sebagai peristiwa masa lampau bukan sekadar memberi maklumat mengenai terjadinya peristiwa itu, tetapi juga memberi interpretasi atas peristiwa yang berlaku dengan melihat kepada hukum sebab akibat untuk dijadikan pengajaran.

Sejarah mampu memperteguhkan semangat dan ketahanan sesuatu bangsa dalam menghadapi krisis atau kekacauan dalam kehidupan semasa. Melalui pengalaman sejarah, ia dapat menyediakan arah garis tertentu serta membina keyakinan dan harapan masa depan yang lebih menyakinkan. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihasilkan di negara kita adalah didorong oleh pengalaman sejarah bangsa Melayu yang mengalami keterbelakangan dalam penyertaan ekonomi moden kesan daripada dasar yang diamalkan penjajah. Ia adalah berkaitan dengan kesan dan akibat daripada perjalanan sejarah kolonial di negara kita.

Bagi bangsa yang tidak memberikan perhatian kepada sejarahnya, ia akan kehilangan arah dan identiti kerana perilaku, pemikiran dan tindak tanduknya sudah tersasar dan terputus daripada sejarah akar umbi bangsanya. Hakikatnya, apabila kita meneliti negara dan masyarakat kita, maka kita dapati bahawa negara dan masyarakat kita yang wujud hari ini banyak dikenali melalui pelbagai simbol dan lembaga kenegaraan yang ada hubungannya dengan pensejarahan negara. Justeru, sejarah nasional wajib menjadi sebahagian daripada unit sejarah dalam pengajian sejarah tanah air.

Pada hemat saya, sejarah tradisional tanah air mampu membawa kita mengenal akar umbi ketamadunan bangsa, manakala sejarah moden tanah air yang berkembang pada abad ke-19 dan 20 pula mampu memupuk semangat kita untuk meneruskan pembinaan negara bangsa yang mempunyai identiti dan jati diri yang kukuh.

Kita juga perlu memahami bahawa proses dan perjalanan sejarah tanah air tidak dapat dipisahkan daripada proses sejarah makro antarabangsa yang dalam keadaan, masa dan ruang tertentu turut mempengaruhi banyak aspek pensejarahan tanah air seperti aliran ideologi, politik, nasionalisme, perdagangan, kemasukan teknologi baru dan migrasi bangsa dari negara luar. Proses sejarah itu telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam proses pensejarahan negara.

Kesimpulan, pengajian sejarah akan menjadikan generasi kita memahami proses pembinaan negara bangsa, membangun intelektual, menghargai usaha dan sumbangan tokoh tanah air, membina nilai kemanusiaan serta membentuk warga negara yang patriotik. Melalui penghayatan terhadap pengalaman sejarah tanah air akan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin membabitkan diri dalam proses pembinaan negara bangsa secara aktif dan produktif di atas penghayatan patriotisme yang tinggi terhadap tanah air.

Justeru, keputusan kerajaan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah mulai 2014 sangat dialu-alukan.

Penulis ialah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 30 Oktober 2010

ISU ANTARABANGSA : Lingkaran musibah

Oleh : Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my


Gempa bumi, tsunami dan letusan Merapi melanda Indonesia hampir serentak


ANDAI mahu diukur dari segi kedudukan, kestabilan muka bumi dan kekerapan ditimpa bencana alam, Indonesia mungkin paling layak berada di tempat teratas senarai negara paling tidak selamat untuk diduduki. Jika diteliti, sukar rasanya untuk republik itu melepasi tempoh setahun tanpa ada satu pun bencana mencelah.

Namun apa yang dihadapi negara jiran itu kali ini sesuatu yang jauh berbeza daripada kebiasaan kerana tiga musibah datang hampir serentak. Semuanya kerana kedudukan republik berkenaan dalam Lingkaran Api Pasifik.

Isnin lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di Sumatera, sekali gus mencetuskan tsunami dan keesokannya pula, Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius.

Setakat Khamis lalu, bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dan mencipta ombak besar setinggi tiga meter dilapor melenyapkan beberapa kampung dan mengorbankan hampir 300 nyawa manakala angka korban angkara gunung berapi Merapi mencecah puluhan orang.

Pakar gunung berapi berkata, ketika mereka tidak boleh menidakkan letusan lebih ganas, ia mungkin berterusan sebagai siri letupan kecil seperti yang berlaku Selasa lalu.

“Jika keadaan berterusan seperti ini untuk beberapa waktu, kita akan melihat letusan yang perlahan dan panjang,” kata penyelidik gunung berapi, Gede Suantika.

Seperti Kepulauan Aleutian di Alaska yang bertaburan dengan gunung berapi, kepulauan Indonesia juga terletak di sempadan bawah laut antara dua plat paling besar dalam kerak bumi.

Dalam kes Indonesia, kerak plat Australia terletak di bawah kerak plat Eurasia yang membentuk kubu Sunda. Pergeseran kedua-dua plat memanaskan batu ke tahap cair, membekalkan magma yang membesar untuk membentuk gunung berapi serta mencetuskan gempa bumi.

Zon sama mengeliling Pasifik, mewujudkan rangkaian gunung berapi yang memanjang dari Andes sehingga Pasifik Barat, lalu membentuk Lingkaran Api.

Risiko keseluruhan rantau itu membuatkan sebahagian pakar gempa bumi berjaga sepanjang malam kerana ia juga mengandungi sebahagian zon yang membentuk ketegangan selama lebih 200 tahun. Jika ia dibebaskan dalam satu keadaan, gempa boleh mencecah 8.5 pada skala Richter yang boleh mencetuskan gempa bumi amat kuat.

Bahagian itu berpusat di bawah Pulau Siberut di Padang. Pada September 2009, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda persisiran pantai Padang.

Sekali pandang, ia menepati corak gempa bumi pada ukuran sama yang berlaku sepanjang bahagian lain di pantai itu sejak 2004 apabila gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter menggegarkan utara Sumatera, menyebabkan anggaran 231,000 kematian secara langsung atau tidak langsung kerana tsunami yang merebak ke seluruh Lautan Hindi.

Sebahagian penyelidik berkata, mereka mengesyaki siri apa yang dikatakan gempa bumi lemah yang mewakili zon berkenaan sekadar menyesuaikan diri untuk berubah dalam corak tekanan yang disebabkan gegaran pada 2004.

Bagaimanapun, menurut sepasukan pakar gempa bumi yang berada di situ, gegaran pada 2009 tidak memberi kesan dalam mengurangkan ketegangan yang sudah terbina selama 200 tahun.

Menulis dalam jurnal Nature Geoscience, Januari lalu, pasukan berkenaan memberi amaran bahaya gempa bumi berukuran lebih 8.5 pada skala Richter masih ada di sepanjang segmen di Padang.

Sebarang harapan gempa bumi Isnin lalu mungkin mengurangkan ketegangan, nyata tersasar. Berdasarkan maklumat awal mengenai lokasi dan kedalaman pecahan, gempa itu berlaku amat jauh daripada ketegangan yang tercetus berhampiran Padang.

Indonesia dikelilingi pulau yang dianggarkan berjumlah 17,504 buah dan dengan kedudukan geografi yang meletakkan republik itu di titik pertembungan tiga plat yang mempunyai pergerakan tersendiri dengan arah bertentangan, lalu menyebabkan kumpulan tenaga tidak boleh dibendung, sekali gus mencetuskan gempa bumi.

INFO: Tragedi bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Indonesia

  • Gempa bumi Toba di Sumatera Utara
    Gempa bumi gunung berapi yang dianggap terbesar dalam sejarah dunia berlaku kira-kira 450,000 tahun lalu. Ia disebabkan aktiviti magma yang selalunya berlaku sebelum letusan gunung berapi. Aktiviti yang semakin memuncak akan menyebabkan letupan yang juga mengakibatkan gempa bumi. Kesan gempa bumi itu membentuk Danau Toba yang kini terkenal sebagai destinasi pelancongan.

  • Gempa bumi di Jawa
    Juga gempa bumi gunung berapi yang berlaku di pergunungan Jawa Timur dengan ukuran 6 hingga 6.8 pada skala Richter, kira-kira 1,770 tahun lalu. Gegaran menyebabkan letusan Gunung Sumeru dan tragedi ini meragut 6,000 nyawa serta menghasilkan hujan debu selama empat hari di seluruh kawasan tengah hingga Jawa Timur. Gunung Sumeru dianggap gunung berapi paling aktif sehingga sekarang.

  • Gempa bumi 25 November 1833
    Ia menyebabkan wujudnya segmen Kubu Sumatera di sepanjang 1,000 kilometer di tenggara. Perkara sama berlaku dalam gempa bumi pada 26 Disember 2004. Ia mencetuskan tsunami yang melanda pantai barat Sumatera, kawasan paling hampir dengan pusat gegaran ialah Pariaman hingga Bengkulu.

  • Letusan gunung berapi Krakatoa
    Apabila Krakatoa meletup pada Ogos 1883, ia menyamai kuasa bom atom. Letusan dapat didengar sehingga beribu kilometer, menggegarkan seluruh Lautan Pasifik, menyebabkan seluruh ‘pulau Krakatau’ tenggelam dan turut membawa bersama 100 pulau sekitarnya. Bencana itu membunuh 36,000 orang, kebanyakannya disebabkan tsunami. Debu letusan sampai hingga ke New York, menyebabkan penurunan suhu seluruh dunia untuk tempoh hingga setahun.

  • Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    ISU ANTARABANGSA : Bencana berganda di Indonesia

    DEBU Gunung Merapi melanda di sekitar Jalan Kaliurang menuju ke Gunung Merapi dan menyelubungi sehingga 10 kilometer dari bandar Yogyakarta.

    Kesan kerosakan akibat tsunami di kepulauan Menatawai.

    Oleh Hafizahril Hamid

    KAMI bukan sahaja dikejutkan dengan kejadian tsunami malah bot yang kami naiki berlanggar dengan bot lain dan kemudian terbakar.

    “Dalam keadaan cemas itu kami sangat bernasib baik kerana masih selamat walaupun terpaksa berada di permukaan laut selama berjam-jam,” kata Rob Marino dari Australia, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tsunami yang melanda kepulauan Mentawai, Isnin lepas.

    Kejadian tsunami tersebut berlaku akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut.

    Kejadian gempa itu yang berlaku kira-kira 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai pada pukul 9.42, (10.42 malam waktu Malaysia) telah mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda perkampungan di beberapa buah pulau.

    Kejadian gempa ini telah diikuti dengan sekurang-kurangnya 14 gegaran susulan dengan gempa terkuat pad 6.2 skala Richter.

    Setakat ini sekurang-kurangnya lebih hampir 500 orang terbunuh sementara 200 lagi masih hilang manakala 200 rumah di 10 buah kampung dan sebuah resort pelancongan popular di kalangan peluncur ombak musnah akibat tsunami.

    Menurut saksi, ombak besar telah menghempas bot nelayan dan rumah sebelum dihanyutkan sejauh setengah kilometer ke darat.

    Pegawai pengurusan bencana, Harmensyah berkata, tsunami berlaku ketika berpuluh-puluh nelayan berada di laut dan mayat mereka ditemui terapung atau tersadai di pantai.

    Pengasas SurfAid International, Dr. Dave Jenkins, pertubuhan kesihatan bukan berasas keuntungan yang mengendalikan pulau itu, menyatakan kemusnahan yang berlaku adalah lebih besar daripada apa yang dilaporkan.

    Namun kali ini tindakan pantas telah berjaya mengawal keadaan dari menjadi lebih teruk. Kapal-kapal tentera laut yang sarat dengan ubat-ubatan dan makanan serta helikopter yang membawa pasukan penyelamat telah bergegas ke rangkaian pulau tersebut.

    Bagaimanapun ombak bergelora dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, memaksa penduduk kampung mengusahakan perkara keperluan secara sendiri selama hampir dua hari.

    Menurut ketua daerah Edison Saleho, disebabkan tidak cukup orang untuk menggali kubur, mayat-mayat mangsa masih bergelimpangan di pantai dan jalan raya manakala nelayan turun ke laut untuk mencari mangsa terselamat.

    Harmensyah memberitahu terdapat mayat-mayat mangsa ditemui dalam keadaan bengkak akibat lama ditinggalkan di pantai dan sekitar perairan rangkaian kepulauan Mentawai.

    Pegawai bencana pula gagal memasuki kampung-kampung di kepulauan Mentawai, destinasi popular peluncur ombak yang biasanya memakan masa 12 jam perjalanan menggunakan bot.

    Selain itu timbul kemarahan orang ramai yang berang berikutan kegagalan sistem amaran awal tsunami berfungsi.

    Sistem berkenaan yang bernilai berjuta-juta dolar dan dipasang selepas tragedi tsunami 2004, rosak sebulan yang lalu akibat tidak diselenggara dengan betul.

    Meletus

    Lebih malang lagi setelah menyaksikan beberapa ramalan dilakukan, akhirnya Gunung Merapi yang menyimpan 1001 misteri akhirnya meletu pada Selasa lepas.

    Gunung Merapi yang terletak di Daerah Sleman, Yogyakarta, memulakan letusan pertamanya hanya kira-kira selepas senja.

    Sebelum itu gunung berkenaan dilihat mengeluarkan bunyi berderam-derum dan berkeriut selama beberapa jam.

    Dua hari kemudian letusan sama berulang, kali kedua dalam tempoh dua hari. Letusan kali ini lebih dahsyat kerana debu panas dihambur lebih tinggi sehingga 3,500 meter.

    Setakat ini lebih 30 terbunuh dengan kebanyakan dari mereka melecur 45 hingga 90 peratus dan dilitupi debu gunung berapi.

    Hanya dalam tempoh seminggu, dua bencana besar melanda Indonesia, sebuah negara yang sering saja mengejutkan dunia dengan kejadian alam yang menggemparkan.

    Ada saja bencana besar yang melanda sama ada tsunami, gempa bumi atau letusan gunung berapi berlaku saban tahun mungkin sebagai dugaan dan ujian dari tuhan terhadap penduduknya.

    Pastinya semua kita masih teringat bagaimana ngerinya kejadian tsunami yang melanda Aceh dan mengorbankan ratusan ribu nyawa dan memusnahkan sama sekali bandarnya.

    Namun hakikatnya kejadian letusan Gunung Merapi ini merupakan hanya sekelumit kejadian alam memandangkan terdapat 129 gunung berapi yang aktif bertaburan merentasi 17,500 buah pulau di republik ini.

    Gunung Merapi setinggi 2,914 meter yang terletak 400 kilometer di timur Jakarta, adalah gunung berapi paling aktif daripada 69 gunung berapi yang mempunyai sejarah letusan di Indonesia.

    Semua gunung ini mudah meletus serta dilanda gempa bumi kerana lokasinya yang terletak di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik.

    Letusan kali terakhir Gunung Merapi pada Jun 2006 mengorbankan dua orang namun letupan paling banyak meragut nyawa berlaku pada 1930 dengan angka kematian melebihi 1,300 orang.

    Bagaimanapun hasil tindakan pantas pihak berkuasa telah menyelamatkan banyak nyawa apabila mengarahkan beribu-ribu penduduk berpindah dari zon bahaya dalam lingkungan 10 kilometer pada Isnin lalu, selepas meningkatkan paras amaran Gunung Merapi kepada merah.

    Dikatakan hampir 29,000 orang kini berada di tempat perlindungan sementara di sekitar bandar Yogyakarta namun nasib beribu-ribu lagi penduduk yang enggan berganjak sangat dikhuatiri.

    "Kira-kira 6,000 hingga 7,000 penduduk masih berada di kaki Gunung Merapi dalam lingkungan 10 kilometer dari puncak. Kebanyakannya tidak mengambil kisah tentang hal ini malah merasakan gunung berapi itu tidak akan meletus.

    "Malah jika meletus sekalipun, mereka berpendapat kediaman mereka tidak akan terjejas," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono.

    Menarik untuk diperkatakan di sini, selain Gunung Merapi, Indonesia juga mungkin menghadapi ancaman kemungkinan meledaknya beberapa gunung berapi lain seperti Sinabung di Pulau Sumatera dan Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda.

    Aktif

    Contohnya Gunung Sinabung telah meletus beberapa kali iaitu pada 29 Ogos, 3 September dan 7 September lepas telah meletus mengakibatkan seorang lelaki warga emas terkorban akibat sesak nafas terhidu debu beracun.

    Gunung berkenaan dikesan semakin aktif sejak 27 Ogos memaksa 12,000 penduduk dipindahkan ke khemah-khemah sementara.

    Abu yang dihasilkan menjejaskan pandangan sebahagian kota Medan sehingga menyebabkan Lapangan Terbang Polonia terpaksa ditutup.

    Selain itu Gunung Anak Krakatau yang terkenal kerana keunikannya kerana muncul dari dasar laut selepas kira-kira 40 tahun Gunung Krakatau meledak telah mulai aktif mengeluarkan asap.

    Mengimbau kembali letupan Krakatau pada 1883, dikatakan limpahan lavanya telah mengorbankan 36,000 nyawa selain menyebabkan tsunami. Bunyi letupannya saja kedengaran sehingga ke Pulau Rodrigues di Afrika iaitu sejauh 4,653 kilometer.

    Kini selepas hampir 130 tahun kejadian itu berlaku, Anak Krakatau semakin aktif dan membesar dengan purata pertumbuhannya sekitar 20 inci sebulan menjadikannya lebih tinggi sekitar 20 kaki dan lebih lebar 40 kaki dalam setahun.

    Antara punca yang menyebabkannya semakin tinggi ialah disebabkan oleh bahan yang dikeluarkan gunung berapi itu.

    Ketika ini ketinggian Anak Krakatau mencapai sekitar 230 meter dari aras laut. Sementara Gunung Krakatau sebelumnya setinggi 813 meter dari permukaan laut.

    Masih belum dapat dipastikan bila gunung ini akan meletup tetapi ahli geologi meramalkan ia bakal meletup pada tahun 2015 hingga 2083.

    Melihat kepada apa yang berlaku di negara jiran kita ini adalah sesuatu yang menyayat hati melihat penderitaan dan kesengsaraan berterusan mereka yang serumpun.

    Lebih membanggakan Malaysia adalah antara negara pertama yang pantas menghulurkan bantuan.

    Ketika ini tanggungjawab ini dipikul oleh 40 anggota sukarelawan Malaysia terdiri daripada pelajar perubatan Malaysia di Universiti Sebelas Maret dan Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta yang bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia bagi membantu mangsa bencana alam.

    Nyata sifat kemanusiaan dan kesedaran tentang semangat serumpun yang ditunjukkan negara ini melebihi sifat keji yang dilemparkan mereka yang cuba merungkai keistimewaan hubungan kedua-dua negara ini.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU GEJALA MEROKOK : Perokok pentingkan diri abai kesihatan orang lain

    Oleh : Karim Sulaiman

    SAYA menasihati seorang rakan supaya berhenti merokok kerana perbuatan itu boleh memudaratkan kesihatan. Balas rakan tadi: "Kau tidak merokok, tetapi sakit juga." Sambungnya lagi: "Orang tidak merokok pun mati."

    Apabila kita menasihati merokok itu membazir dan jika wang membeli rokok itu disimpan untuk keperluan lebih memerlukan, balasnya, kau tak merokok pun tak kaya. Memang susah hendak menasihati perokok kerana mereka pasti ada alasan untuk mempertahankan perbuatan buruk itu. Merokok terbukti membawa banyak mudarat, termasuk menyebabkan strok, serangan jantung, kanser, mati pucuk dan mengganggu hubungan seks. Bentangkan apa saja fakta keburukan merokok mereka mungkin mendengar, tetapi belum pasti menginsafinya.

    Paling menyakitkan hati apabila perokok memberi jawapan: “Kalau mati aku, apa engkau hendak sibuk.” Memang kita perlu menjadi penyibuk kerana asap rokok itu turut membawa mudarat kepada orang di sekeliling atau perokok pasif.

    Perokok pasif adalah orang yang dipaksa menyedut asap rokok basi daripada perokok. Kajian menunjukkan 60 hingga 70 peratus daripada asap rokok akan disedut oleh bukan perokok. Kajian saintifik turut membuktikan bahan kimia beracun dalam asap rokok basi adalah lebih tinggi berbanding yang disedut oleh perokok secara aktif.

    Kesan paling teruk adalah kepada kanak-kanak. Anak yang didedahkan kepada asap rokok basi ini mengalami risiko lebih tinggi mengalami pelbagai masalah kesihatan. Mereka cenderung untuk mengalami masalah seperti batuk, asma serta jangkitan paru-paru dan telinga. Mereka mungkin terpaksa menghidap penyakit yang berpanjangan disebabkan terdedah kepada asap rokok basi. Mereka akan membesar dengan mempercayai merokok adalah tabiat normal. Daya fikiran mereka mungkin menjadi lembap dan akhirnya akan hidup sengsara. Adakah kita mahu melihat anak menderita kerana perbuatan bodoh ini. Justeru, perokok tidak seharusnya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain yang inginkan kehidupan lebih sihat.

    Keputusan untuk berhenti merokok terletak pada diri perokok itu sendiri. Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit setiap tahun untuk menyedarkan rakyat bahaya merokok dan mengapa perlu berhenti merokok. Pelbagai usaha termasuk menaikkan harga rokok, menguatkuasakan undang-undang dan peraturan mengenai rokok dilakukan kerajaan, namun akhirnya terpulang kepada individu untuk tidak dan berhenti merokok. Begitu pun, kerajaan terutama melalui Kementerian Kesihatan tidak pernah berputus asa melaksanakan usaha menjadikan bumi Malaysia bebas daripada asap rokok.

    Di sini, saya memetik fakta daripada laman sesawang Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan faedah berhenti dan tidak merokok :

  • Panjang umur. Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5,000 rakyat Malaysia setiap tahun.
  • Mengelakkan daripada bahan berbahaya. Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
  • Mencegah penyakit. Hampir 40 jenis penyakit berkaitan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik, strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit bahaya akibat tabiat merokok.
  • Kehidupan yang lebih sihat. Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selesema dan penyakit pernafasan lain berbanding perokok.
  • Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain.
  • Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak.
  • Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat.
  • Meningkatkan deria bau dan rasa
  • Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok.
  • Menjimatkan wang.
  • Melindungi alam sekitar. Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran.
  • Meningkatkan kesuburan.
  • Meningkatkan tahap ‘kelelakian’.

  • Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    Jumaat, 29 Oktober 2010

    ISU SOSIAL : Jangan kompromi keselamatan anak

    Oleh ROHANI IBRAHIM

    Hari Kanak-kanak dipersetujui oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) pada 1954. Lima tahun kemudian, PBB mengisytiharkan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November 1959. Namun sejak 1959, Malaysia menyambut Hari Kanak-Kanak pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober.
    Sambutan berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak dalam menentukan kesejahteraan mereka sebagai aset negara yang paling berharga.
    Pada hari ini daripada 28 juta penduduk Malaysia, kira-kira 40 peratus atau 11.2 juta penduduk merupakan kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah.
    Biarpun kanak-kanak di negara ini hidup dalam persekitaran yang aman damai tanpa diancam kebuluran atau pergolakan bersenjata seperti beberapa negara lain, pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.
    Antara masalah sosial yang membawa impak negatif kepada kanak-kanak di negara ini adalah masalah keganasan fizikal dan seksual, penderaan, kes kehilangan kanak-kanak dan buang bayi.
    Masalah lain yang menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan kanak-kanak di Malaysia sejak akhir-akhir ini termasuklah kes kanak-kanak yang didera sehingga mati oleh teman lelaki si ibu seperti kes yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari dan Allahyarham Aaliyah Aiman Hussin Abdullah serta kes bayi yang mati kerana pelbagai sebab di rumah pengasuh.
    Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, antara kesedaran yang perlu ditingkatkan ialah sikap segelintir ibu tunggal muda mengenai keselamatan anak perempuan mereka yang dengan mudah meninggalkan anak perempuan bersama teman lelaki.
    ''Saya ingin nasihatkan ibu tunggal supaya tidak terlalu mudah mempercayai orang lain untuk meninggalkan anak masing-masing ketika keluar bekerja. Sepatutnya, ibu tunggal mencari pendekatan lain seperti meninggalkan anak kecil dengan keluarga sendiri berbanding teman lelaki.
    ''Namun, mungkin keadaan itu berlaku disebabkan oleh tekanan hidup seperti masalah kewangan dan sebagainya yang menghalang ibu berkenaan daripada menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak.
    "Walau apa pun masalah yang dihadapi oleh ibu berkenaan, aspek keselamatan anak mereka perlu diberi keutamaan," jelasnya.
    Mengenai banyak kes bayi yang mati ketika dalam jagaan pengasuh pula, Meme berkata, kebanyakan pasangan bekerja memilih untuk meninggalkan anak mereka bersama pengasuh yang tinggal berdekatan rumah dan mengikut kemampuan masing-masing.
    ''Daripada maklumat yang JKM terima, terdapat pengasuh yang menjaga lebih seorang kanak-kanak, selain anak pengasuh itu sendiri. Bagaimanapun, di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, apabila seseorang pengasuh itu menjaga lebih daripada tiga orang kanak-kanak, mereka perlu berdaftar dengan JKM.
    ''Jika pengasuh berkenaan gagal mendaftarkan diri, ibu bapa yang menghantar anak mereka kepada pengasuh itu perlu memastikan pengasuh anak mereka berdaftar. Pendaftaran boleh dibuat di talian Nur 15999. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pengasuh anak mereka berdaftar," katanya.
    Meme menambah, apabila seseorang pengasuh itu berdaftar dengan JKM, pemantauan aspek kebersihan, makanan dan sebagainya akan dijalankan setiap enam bulan. Jika pengasuh berkenaan tinggal di rumah pangsa yang kecil dengan ruang terhad, mereka tidak akan dibenarkan menjaga terlalu ramai kanak-kanak.
    ''Setiap pengasuh yang mendaftar dengan JKM akan diberikan sebuah buku garis panduan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak. JKM turut menganjurkan program Pengasuhan Prihatin yang disertai oleh 1,082 pengasuh sepanjang tahun lalu. Program berkenaan bertujuan membantu pengasuh yang kebanyakannya suri rumah meningkatkan pendapatan melalui khidmat asuhan yang berkualiti," katanya.
    Kata beliau, mereka yang gagal mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
    Jelas Meme, sehingga kini belum ada pihak yang dihadapkan ke mahkamah di bawah akta berkenaan. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan sedang diambil untuk mendakwa beberapa pihak selepas ini.
    Mengenai kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada JKM pula, beliau berkata, kes seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan sumbang mahram mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.
    ''Pada tahun 2007, sebanyak 2,279 kes dilaporkan, diikuti dengan 2,780 pada 2008, 2,789 pada 2009 dan sehingga April 2010 sebanyak 1,010 kes dilaporkan.
    ''Semua ini adalah kes yang dilaporkan kepada JKM menerusi talian Nur 15999. Mungkin kes sebenar adalah lebih tinggi, namun tidak dilaporkan," katanya sambil menambah sebahagian besar daripada mereka yang mendera kanak-kanak ialah individu yang dikenali mangsa.
    Sementara itu, bagi kes kanak-kanak hilang pula, jelas Meme, sebanyak 1,064 laporan diterima pada 2007; 1,141 pada 2008 dan 1,050 pada 2009. Sejumlah 30 peratus hingga 40 peratus daripada kes berkenaan berjaya dikesan.
    Antara kes kanak-kanak hilang yang menggemparkan negara ialah Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.
    Mayatnya ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan pada 17 September 2007 iaitu 27 hari selepas kehilangannya. Sehingga hari ini, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum berjaya dikesan.
    Sementara Sharlinie Mohd. Nashar pula dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008.
    Jelas Meme, semua pihak perlu menjadikan kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai pengajaran dan menganggap keselamatan kanak-kanak sebagai tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak di bahu ibu bapa, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan semata-mata.
    ''Semua individu dewasa bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak," katanya.
    Berdasarkan perkembangan semasa, sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun lalu dan tahun ini memberikan penekanan kepada keselamatan golongan tersebut.
    ''Tema sambutan Hari Kanak-kanak pada tahun lalu ialah Keluarga Selamat, Kanak-Kanak Terpelihara, sementara tema sambutan kali ini ialah Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Setiap Individu," katanya.
    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI : Mendekati Makna Jalur Lebar

    Oleh Zulkiple Ibrahim

    KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Di kaca televiyen, layar perak serta juga poster dan kain rentang di jalan raya, masyarakat sudah pasti tidak akan terlepas pandang iklan yang begitu banyak mengenai 'jalur lebar'.

    Dan bagi mereka yang melangkah masuk hipermarket atau pusat membeli-belah, mereka tidak akan sunyi didekati jurujual yang menawarkan pelbagai pakej jalur lebar.

    Syarikat-syarikat telekomunikasi kini menawarkan pelbagai pakej jalur lebar yang diiringi banyak 'hadiah' serta insentif untuk menarik perhatian umum mengambil perkhidmatan mereka.

    Baru-baru ini penulis didatangi seorang jurujual yang menawarkan satu pakej jalur lebar.

    "Apa itu jalur lebar?" tanya penulis, sengaja menguji beliau.

    "Internet", jawab beliau ringkas.

    Tapi apakah sebenarnya jalur lebar?

    Bila ditanya, James Ng seorang pensyarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) memberikan jawapan ini:

    "Jalur lebar juga dikenali sebagai jalur luas. Ia satu jaringan komunikasi di mana keluasan jalur boleh digunakan untuk menghantar dan menerima pelbagai isyarat secara serentak".

    Dari aspek telekomunikasi, jalur lebar ialah satu julat atau lingkungan untuk frekuensi menyalurkan maklumat.

    "Ini bermakna lebih besar julat frekuensi yang ada, lebih banyak maklumat yang boleh dihantar pada satu-satu masa.

    "Jalur lebar juga digunakan sebagai istilah umum tentang pelbagai sambungan Internet".

    BANDINGKAN DENGAN LEBUH RAYA

    Bagi menerangkan jalur lebar dengan lebih mudah, Ng memberikan contoh sebuah lebuh raya.

    "Gambarkan tentang satu lebuh raya," kata beliau.

    "Lebuh raya yang hanya punya dua lorong, membolehkan hanya satu kenderaan lalu dari satu-satu arah pada satu masa. Tetapi dengan lebuh raya yang punya enam atau lapan lorong, lebih banyak kenderaan boleh lalu dari mana-mana arah pada satu masa. Jalur lebar bolehlah dianggap sama dengan lebuh raya dari aspek telekomunikasi".

    Pada umumnya, jalur lebar merujuk pada aspek telekomunikasi di mana terdapat julat atau lingkungan frekuensi besar yang boleh menyalurkan maklumat.

    "Bila ada julat frekuensi yang besar, pelbagai maklumat dalam pelbagai bentuk yang menggunakan gelombang berlainan boleh disalurkan secara serentak pada satu-satu masa. Sama seperti pelbagai kenderaan yang banyak dapat melalui lebuh raya dengan serentak".

    JENIS HUBUNGAN JALUR LEBAR INTERNET

    Menurut Ng, terdapat beberapa jenis jalur lebar dalam pasaran dan ada yang lebih mahal serta ada yang lebih 'cepat'.

    Katanya juga hubungan jalur lebar internet merupakan konsep baru yang diguna menggantikan konsep 'dial-up'.

    "Internet jalur lebar lebih cepat dan menawarkan beberapa kelebihan. Contohnya kelajuan lebih pantas bagi internet jalur lebar dibandingkan dengan internet yang menggunakan dial-up".

    Katanya terdapat 'Asymmetric Digital Subscriber Line (Talian Pelanggan Digital Asimetri) atau ADSL yang merupakan medium jalur lebar popular bagi pengguna internet komersil dan rumah.

    "Sesiapa yang punya talian telefon boleh menggunakan perkhidmatan ini. ADSL menggunakan talian telefon biasa".

    Juga terdapat 'Symmetric Digital Subscriber Line' (Talian Pelanggan Digital Bersimetri) atau SDSL. Perkhidmatan ini sama dengan perkhidmatan DSL yang ditawarkan syarikat telefon melalui talian telefon yang sedia ada.

    Bagaimanapun SDSL mempunyai kelajuan muat naik yang sama tinggi dengan muat turun dan lebih mahal daripada ADSL.

    ASDL ialah jalur lebar yang biasa digunakan. Perkhidmatannya ialah melalui talian telefon yang sedia ada dan melalui satu 'modem. Walaupun Internet sedang digunakan, pengguna masih boleh membuat atau menerima panggilan telefon.

    KABEL

    "Jika anda melanggan televisyen kabel, anda tahu isyarat televisyen disalurkan melalui kabel dari syarikat televisyen ke rumah anda. Sambungan internet jalur lebar anda melalui kabel ini.

    "Sambungan jalur lebar kabel sangat popular di Amerika dan di sesetengah pasaran lebih popular daripada ASDL," kata Ng.

    Kata beliau sejenis lagi sambungan jalur lebar ialah tanpa wayar.

    Ia lebih digunakan di kawasan luar bandar di mana ASDL dan sambungan kabel tidak wujud. Di sini, satu antena diletakkan di luar rumah yang menerima isyarat untuk komputer yang di dalam rumah.

    Talian telefon tidak diperlukan untuk sambungan jenis ini.

    TANPA WAYAR, SATELIT

    "Jika telefon boleh berfungsi tanpa wayar, begitu juga dengan jalur lebar," kata Ng.

    Kata beliau pengguna hanya perlu menyambungkan telefon bimbit mereka ke komputer riba dan komputer itu akan bertukar menjadi sebuah modem tanpa wayar.

    Data melalui jalur lebar juga boleh diterima melalui satelit. Jika berada di kawasan pedalaman, pengguna perlu menggunakan piring satelit untuk menerima data tetapi perkhidmatan ini tinggi kosnya kerana ia memerlukan piring khas serta juga peralatan satelit.

    Ia diperlukan di tempat yang tiada ADSL dan kabel.

    Pengguna komputer riba biasanya memilih jalur lebar tanpa wayar kerana terdapat lebih banyak kelebihan jika dibandingkan dengan hubungan jalur lebar yang lain sepert ADSL dan SDSL.

    Dengan kehadiran satu kad data, ia tidak lagi memerlukan modem dan wayar untuk sambungan internet. Sambungan jalur lebar ini datang secara 'plug in" (memasukkan plak) dan memang senang untuk digunakan.

    INISIATIF JALUR LEBAR

    Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dijangka merancakkan lagi transformasi sosial dan ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

    "Ia akan membantu negara menjadi lebih kompetitf melalui inovasi, kreativiti serta nilai tinggi dan kebebsan saluran maklumat," Dr Rais dilaporkan memberitahu media sebelum majlis pelancaran Inisiatif Jalur Lebar tersebut.

    Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan merupakan strategi komprehensif di mana komponen utamanya ialah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsan dan jalur lebar berkelajuan tinggi di Dataran Merdeka di sini pada 24 Mac lepas.

    Menurut laporan setakat Julai, lebih 37 peratus isi rumah Malaysia mempunyai kemudahan sambungan jalur lebar. Ini bersamaan kira-kira 2.4 juta rumah daripada 6.3 juta rumah di Malaysia.

    Untuk mencapai sasaran penembusan 50 peratus isi rumah menjelang hujung tahun ini, sejumlah satu juta rumah lagi perlu mempunyai sambungan jalur lebar.

    Sumber : http : //www.bernama.com.my/

    Khamis, 28 Oktober 2010

    Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu ditubuhkan


    KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu dalam usaha memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkesan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

    Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, melalui penubuhan bahagian itu, ia bukan sahaja dapat memperkasa dan memperhebatkan bahasa Melayu malah meningkatkan populariti bahasa kebangsaan di semua peringkat.

    Malah beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya bahasa Melayu diguna pakai dalam setiap urusan termasuk dalam mesyuarat rasmi serta seminar.

    "Sekiranya orang Melayu sendiri tidak megah atau berasa malu untuk memperjuangkan bahasa ibundanya sendiri sudah tentu bahasa dan budaya Melayu tidak akan maju," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Melayu Bandar: Menongkah Cabaran Merubah Penghidupan di sini hari ini.

    Buku tersebut sebuah kajian tentang sosiobudaya masyarakat Melayu yang dihasilkan oleh mahasiswa dari China, HanXiao @ Indah ketika menuntut di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM) dan ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

    Rais berkata, penubuhan bahagian itu juga sekali gus dapat membantu agensi seperti Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan institusi pengajian tinggi (IPT) menjayakan amalan dan kempen program bahasa.

    Ini kerana katanya, agensi seperti DBP hanya tertumpu kepada kerja-kerja penerbitan, menyelidik bahasa dan memperkenalkan istilah baru manakala Kementerian Pelajaran pula hanya memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah.

    Justeru kata beliau, adalah menjadi tugas kementerian untuk menjadi tonggak dalam memainkan peranan menguar-uar dan menjayakan program kempen bahasa.

    Dalam pada itu beliau berkata, usaha mempopularkan bahasa Melayu juga amat penting bagi menggalakkan penyertaan golongan bukan Melayu dalam memperkasakan bahasa kebangsaan.

    Oleh itu jelasnya, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan bagi menggalakkan penghasilan buku-buku dalam bahasa kebangsaan di samping menerbitkan buku-buku berkualiti tinggi.

    Katanya, sebuah panel akan diwujudkan bertujuan meneliti kriteria yang ditetapkan sebelum mengagihkan peruntukan kepada universiti untuk kemudahan kepada penulis menghasilkan buku-buku yang mempunyai nilai sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat.

    Di samping itu jelasya, tesis-tesis penting khususnya berkaitan aspek kebudayaan dan nilai budi bahasa juga akan dinilai untuk diterbitkan.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/