Rabu, 16 Mac 2011

ISU ANTARABANGSA : Tsunami cetus risiko bencana teknologi baru

Oleh Dr Ibrahim Komoo
bhnews@bharian.com.my

Impak gempa bumi Tohoku 'kejutan' kepada rakyat Jepun

GEMPA bumi Tohoku berukuran magnitud 9.0 berlaku pada 11 Mac 2011, jam 2.46 petang waktu tempatan yang berpusat di perairan timur laut kepulauan Jepun adalah suatu gempa mega luar dugaan, walaupun bagi masyarakat Jepun. Bukan kerana mereka tidak menduga, tetapi gempa bumi ini adalah yang terbesar pernah dialami Jepun sejak manusia mempunyai peralatan moden mengukur kekuatan gempa. Ia juga adalah gempa bumi keempat terbesar di dunia sejak 1900.

Gempa bumi tercetus apabila kepingan Lautan Pasifik yang bergerak dengan kadar 83mm/tahun menusuk masuk ke bawah kepulauan Jepun sepanjang jalur pertemuan dua kepingan, iaitu zon subduksi. Pergerakan berterusan dan halangan oleh kepingan Eurasia menyebabkan patahan atau sesaran berlaku, membebaskan tenaga gempa (seismos) yang sangat besar.

Patahan pada kepingan lautan yang menghasilkan gempa bumi ditafsirkan sepanjang lebih 500km dengan anjakan ke atas antara dua hingga tiga meter. Pergerakan serta-merta kepingan lautan mengangkat badan air sehingga menghasilkan tsunami bersifat global. Oleh kerana, kedudukan punca gempa (epipusat) hanya sekitar 130km dari pantai, tsunami bergerak dan melanda pesisir Jepun kurang 30 minit selepas kejadian gempa bumi.

Melihat fotografi impak tsunami di persisiran pantai yang terhampir, seperti di bandar Sendai dan Minamisanriku, kemusnahan sangat dahsyat dan amat menyayat hati. Tinggi ombak tsunami dianggarkan mencapai 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah, ia mampu menenggelami bangunan kurang daripada empat tingkat. Tsunami membawa bersama dan memusnahkan apa saja objek sepanjang laluannya.

Ke arah Lautan Pasifik, tsunami bergerak dengan kelajuan lebih 500km sejam. Dalam tempoh sekitar enam jam saja, ia sudah sampai di kepulauan Hawaii dengan ketinggian ombak sekitar 1.7 meter. Laporan dari Taiwan dan kepulauan Filipina menjelaskan ketinggian ombak tsunami semakin mengecil dan impaknya sudah berkurangan. Walaupun, ombak tsunami sampai ke pesisiran Amerika Utara dan Selatan, Australia dan New Zealand, ombak tsunami semakin kecil dan tidak meninggalkan impak ketara. Malaysia bernasib baik, di samping terkawal kerana pentas Sunda yang cetek, kita turut dilindungi kepulauan Filipina.

Gempa bumi juga diikuti gegaran kuat, membabitkan bangunan tinggi di bandar besar, khususnya Tokyo dan bandar berhampiran epipusat. Bagi kebanyakan yang tinggal di Tokyo, ini adalah gegaran paling menakutkan pernah mereka alami. Walaupun, banyak kerosakan kecil seperti cermin dan hiasan bangunan pecah dan beberapa bangunan kecil runtuh, sebahagian besar bangunan tinggi yang dibina dengan mengambil kira impak gegaran gempa bumi, dapat bertahan tanpa kerosakan strukturnya. Ini adalah satu kejayaan masyarakat moden Jepun yang beradaptasi dengan bencana alam.

Gempa bumi sangat besar seperti ini turut diikuti gempa bumi susulan. Dalam masa 72 jam selepas gempa bumi ini, lebih 150 gempa bumi susulan berlaku dan yang terbesar direkodkan berukuran magnitud 6.8. Dalam keadaan biasa, ini adalah gempa bumi besar yang boleh mencetus bencana tersendiri. Kejadian gempa bumi susulan adalah maklumat sains penting dan lazimnya dikaitkan dengan keadaan kepingan lautan yang mengalami patahan masih aktif untuk mencari keseimbangan. Gempa bumi susulan boleh berlarutan beberapa minggu hingga bulan lamanya.

Gempa bumi yang diikuti tsunami ini mencetus risiko bencana teknologi baru, iaitu kerosakan dan letupan reaktor nuklear di Fukushima Daiichi. Empat daripada reaktor mengalami letupan kerana sistem penyejukan gagal. Gempa bumi menyebabkan bekalan elektrik terputus sehingga menjejas sistem penyejukan loji. Tsunami pula merosakkan sistem penyejukan sokongan. Akibatnya reaktor menjadi terlalu panas, penghasilan hidrogen daripada wap air yang menjadi punca letupan. Ketidakstabilan reaktor nuklear di Fukushima masih pada tahap kritikal dan boleh mengundang bencana radiasi dahsyat. Pembinaan reaktor nuklear yang lazimnya mampu bertahan gegaran gempa bumi besar ternyata masih kurang selamat.

Gempa bumi Tohoku ini ternyata meninggalkan impak sangat hebat kepada masyarakat Jepun, iaitu sebuah masyarakat yang sangat berpengalaman dan bersedia menghadapi bencana gempa bumi dan tsunami. Sehingga catatan ini ditulis, lebih 2,000 nyawa dilaporkan terkorban, lebih 10,000 orang hilang dan kemungkinan turut terkorban, lebih 500,000 penduduk dipindahkan dan lebih 1.5 juta penduduk dalam keadaan tertekan akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air. Keseluruhan rakyat Jepun masih dalam keadaan bimbang sekiranya tragedi radiasi nuklear berlaku. Ini tidak termasuk beberapa bandar di pesisiran pantai musnah dilanda tsunami. Bencana, kematian dan kerosakan harta masih terus meningkat. Anggaran awal menunjukkan kerugian harta benda melebihi RM500 bilion.

Apa yang dapat kita pelajari daripada bencana gempa bumi ini? Walaupun bagi masyarakat Jepun yang berpengalaman menghadapi bencana alam gempa bumi masih dapat memberikan beberapa maklumat baru. Umpamanya:

  • Gempa bumi masih sukar diramal, khususnya magnitud, kedudukan epipusat dan bila akan berlaku. Gempa bumi mega berukuran 9.0 pada skala Richter memang tidak diduga. Ini pertama kali masyarakat Jepun berhadapan gempa bumi sebesar itu. Oleh itu, impaknya kepada komuniti, harta benda dan keselamatan awam adalah situasi baru yang mereka sedang hadapi;

  • Ternyata tsunami besar, melebihi ketinggian 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah yang dibangunkan sebagai penempatan, impaknya sangat luar biasa. Tiada apa yang dapat bertahan daripada kemusnahan tsunami. Sebuah bandar seperti Minamisanriku musnah sama sekali dilanda tsunami;

  • Gempa bumi mencetuskan tsunami dan kedua-duanya pula boleh bertindak mewujudkan bencana teknologi seperti kegagalan reaktor nuklear dan kebakaran. Bencana alam lazimnya mencetus bencana lain – gempa bumi mencetus tsunami dan gegaran akibat gempa bumi serta tsunami menyebabkan kerosakan loji nuklear dan gegaran juga menyebabkan runtuhan bangunan, kebakaran dan kemusnahan pelbagai infrastruktur awam.

    Bagi masyarakat Malaysia, kita harus berdoa agar bencana ini dapat diharungi dengan tabah oleh masyarakat Jepun. Semoga tragedi ini diatasi segera, dapat mengurangkan risiko bencana sebaik mungkin dan membangun negara mereka ke arah masyarakat bersemangat kental. Bagi masyarakat Malaysia, jadilah rakyat yang sentiasa bersyukur kerana sentiasa dilimpahi rahmat dan dilindungi bencana alam.

    Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Bencana Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/
  • ISU PENDIDIKAN : Guru perlu tingkat kemahiran sejajar perubahan

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Anugerah Emas Terbaik Keseluruhan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada Muhammad Solehuddin Abdul Rani (kanan) pada majlis Konvokesyen Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Rabu. Memerhatikan ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Haili Dolhan (dua dari kiri).

    PUTRAJAYA: Golongan pendidik di negara ini perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan berusaha meningkatkan serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan persekitaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, jika usaha tidak dibuat untuk bergerak seiring dengan perkembangan ilmu, tenaga pendidik akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia dan melahirkan generasi berwibawa.

    Berucap pada istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta golongan pendidik menguasai ilmu dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu, membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar.

    "Jika dahulu, guru mengajar tulis baca, mengatasi masalah buta huruf sebagai tugas hakiki, kini cabaran yang digalas oleh guru jauh lebih berat.

    "Realitinya, masyarakat kini memerlukan guru berkualiti tinggi daripada sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek," katanya.

    Muhyiddin mengingatkan guru bertauliah tidak merasakan ilmu yang dipelajari mencukupi, sebaliknya memahami konsep Pengetahuan Kandungan Pedagogi serta melaksanakan tugasnya dengan penuh bertanggungjawab.

    "Bidang pendidikan memberikan sumbangan besar dan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah negara. Hakikat ini lebih relevan lagi dalam era siber di mana kemajuan dan kejayaan anak bangsa bergantung kepada penguasaan ilmu dan teknologi.

    "Oleh itu peranan dan tanggungjawab guru dan pendidik hari ini semakin penting dan kritikal berbanding pada masa dahulu. Jadilah seorang guru yang mampu berfikir secara kritis, menulis secara persuasif, berfikir dan memberi pendapat secara logik serta mengatasi masalah rencam yang dihadapi oleh murid-murid pada masa ini.

    "Hakikatnya tenaga pendidik perlu sedar peranannya dalam mengasuh pemimpin dan tenaga kerja masa depan ke arah memacu pembangunan Malaysia," katanya.

    Seramai 1,987 penuntut Institut Pendidikan Guru seluruh negara menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan pada konvensyen pertama itu. - BERNAMA

    ISU ANTARABANGSA : LIMA KRISIS NUKLEAR TERBURUK DALAM SEJARAH DUNIA

    1. CHERNOBYL - 26 APRIL, 1986

    DIANGGAP sebagai krisis nuklear terburuk dunia dan satu-satunya kemalangan nuklear yang dilabel pada tahap ketujuh skala kejadian nuklear antarabangsa, iaitu tahap tertinggi . Letupan kuat berlaku semasa ujian sistem di reaktor nombor 4 di loji Chernobyl, Ukraine dan membebaskan debu radioaktif ke udara. Jumlah radioaktif yang terbebas adalah 400 kali ganda melebihi pengeboman di Hiroshima. 4000 orang dilaporkan terkorban.

    2. KSYHTYM - 29 SEPTEMBER, 1957

    BERLAKU di bandar Ksyhtym pada zaman Kesatuan Soviet. Selepas Perang Dunia Kedua, Soviet ketinggalan di belakang Amerika Syarikat dari segi senjata nuklear dan mula membina loji nuklear secara tergesa-gesa. Sistem penyejukan di salah sebuah loji yang mengandungi 70 – 80 tan bahan buangan radioaktif gagal berfungsi menyebabkan suhu meningkat sebelum meletup mencemarkan kawasan seluas 800 kilometer persegi , 10, 000 orang telah dipindahkan dan 20 orang terkorban akibat barah yang disebabkan pendedahan kepada radiasi.

    3. PULAU THREE MILE -28 MAC, 1979

    BENCANA nuklear terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat ini berlaku di Pulau Three Mile, Pennsylvania. Sebuah injap kecil dibuka bagi merendahkan tekanan di dalam reaktor tetapi gagal berfungsi dan tidak dapat ditutup semula, menyebabkan air penyejukan bocor dan teras reaktor menjadi panas sehingga membebaskan gas radioaktif. Keadaan berjaya distabilkan dan tiada sebarang kematian dilaporkan.

    4. WINDSCALE – 10 OKTOBER, 1957

    Selepas Perang Dunia Kedua, Britain yang tidak mahu ketinggalan dalam pembinaan senjata nuklear melancarkan program membina bom atom secepat mungkin. Di Windscale, Cumberland, teras reaktor nuklear terbakar tetapi berjaya dipadamkan. Namun, sinaran radiasi telah dibebaskan ke udara dan menyebabkan 240 orang menghidap barah.

    5.TOKAIMURA – 30 SEPTEMBER , 1999

    KRISIS nuklear di Jepun ini bertempat di sebuah pusat memproses uranium di wilayah Ibaraki. Pekerja yang tidak mahir meletakkan terlalu banyak uranium di dalam tangki menyebabkan pembebasan radiasi. Dua pekerja terkorban dalam insiden ini.

    Nota Hujung :

    Pihak berkuasa keselamatan nuklear Perancis (ASN) semalam berkata, insiden letupan ke atas sebuah loji nuklear di Jepun dikelaskan pada tahap 5 atau tahap 6 mengikut skala antarabangsa dan dianggap berada pada tahap bahaya.

    Tahap keselamatan dalam insiden letupan di loji tenaga nuklear di Fukushima itu boleh disamakan dengan tahap keselamatan dalam kejadian kebocoran di loji tenaga nuklear di Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979.Tahap risiko keselamatan tenaga nuklear mengikut skala antarabangsa diukur pada tahap 1 hingga tahap 7.

    Anggaran risiko dalam kemalangan di loji Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu, mengikut penilaian ASN berdasarkan data yang disediakan oleh agensi keselamatan nuklear Jepun menunjukkan ia berada pada tahap 4.

    Semalam, seramai 11 orang dilaporkan cedera apabila berlaku letupan gas hidrogen berikutan letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu.

    Kejadian itu memburukkan lagi krisis nuklear di negara matahari terbit itu ekoran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda negara itu disusuli dengan tsunami besar, pada Jumaat lalu.

    Selasa, 15 Mac 2011

    Tip menjadi seorang guru yang sentiasa dekat di hati pelajar?

    Bagaimana menjadi seorang guru yang sentiasa dekat di hati pelajar? Sebagai panduan ada 10 tip bagaimana anda boleh menjadi seorang guru yang dihormati dan disayangi oleh pelajar anda.

    1.Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa hadir ke sekolah : Tempat seorang guru ialah bersama-sama pelajarnya di dalam kelas, jika seorang guru itu tiada bersama-sama pelajarnya bermakna guru itu tidak mengajar. Seseorang guru mungkin terpaksa meninggalkan kelas atau pelajarnya atas sebab-sebab rasmi atau peribadi, tetapi adalah dinasihatkan jangan terlalu kerap. Mungkin ada ketikanya anda berasa kurang sihat, jika tidak serius, cuba hadirkan diri ke sekolah. "Guru tetap" yang kurang sihat adalah 10 kali lebih baik dari "Guru ganti" yang sihat. Kehadiran tetap menjadi satu kemestian. Berbanggalah dengan rekod kedatangan yang sempurna.

    2.Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa ada apabila diperlukan : Anda perlu membantu pelajar setiap masa. Ini bermaksud sebelum waktu sekolah, waktu rehat dan selepas sekolah. Anda tidak perlu melakukannya sepanjang masa. Mulakan dengan dua hari seminggu sebagai contoh. Beritahu mereka waktu dan hari di mana mereka boleh berjumpa anda untuk tujuan berbincang. Jika ada keperluan dan mendapat sambutan, bolehlah ditambah menjadi tiga atau empat hari seminggu, itupun jika ia tidak TERLALU membebankan. Anda akan menjadi guru terbaik kepada pelajar. Bantulah mereka.

    3.Guru yang dekat di hati pelajar kenal pelajar mereka secara lebih dekat : Berbual dengan mereka semasa mengajar. Apakah muzik kegemaran mereka? Rancangan TV? Filem? Berbual dengan mereka di luar bilik darjah, di kantin atau di pondok bacaan. Lebih banyak anda tahu mengenai mengenai mereka, lebih mudah anda untuk menguasai diri dengan mereka. Adalah lebih mudah berbual dengan mereka ketika sedang mengajar. Kaitkan topik pengajaran dengan kehidupan mereka sebagai satu cara memulakan perbualan dengan mereka. Selain itu, hafal dan ingat nama mereka secepat mungkin.

    4.Guru yang dekat di hati pelajar perlu kenal ibu bapa pelajar : Dapatkan nombor telefon ibu bapa pelajar. Cuba hubungi mereka sekali sekala, jika mampu, hubungi sekerap mungkin. Anda tidak perlu berbual lama, sekadar bertanya khabar dan tunjukkan anda mengambil berat mengenai anak mereka dan pelajaran mereka. Hubungan ini secara tidak langsung akan membantu prestasi pelajar. Prestasi mereka akan meningkat dan akan lebih bersopan apabila mereka tahu anda mengenali dan sering berbual dengan ibu bapa mereka.

    5.Guru yang dekat di hati pelajar tahu apa yang mereka ajar : Jika anda tidak tahu mengenai sesuatu topik, bagaimana anda mahu mengajar? Guru perlu membuat persediaan secukupnya sebelum memasuki kelas. Sebaiknya, bersedialah sebaik sahaja anda menulis rancangan mingguan anda. Percayalah, jika anda mengajar tanpa persediaaan secukupnya, anda akan merasa menyesal setelah anda meninggalkan kelas anda. Jadi pastikan anda bersedia sebelum memasuki kelas.

    6.Guru yang dekat di hati pelajar menghadiri setiap acara sekolah : Pastikan anda sentiasa hadir dalam setiap acara di sekolah, seperti perhimpunan, sukan sekolah dan hari penyampaian hadiah. Kehadiran anda di setiap acara berkenaan akan menunjukkan kepada pelajar anda bahawa anda mengambil berat tentang mereka dan sentiasa menyokong kegiatan yang mereka sertai.

    7.Guru yang dekat di hati pelajar tinggal dalam kejiranan sekolah : Jika anda tidak tinggal dalam kawasan kejiranan sekolah, anda boleh mendekati pelajar yang tinggal dalam kejiranan sekolah dengan cara membeli belah atau makan di kedai makan berhampiran sekolah selepas waktu sekolah atau pada hujung minggu. Mungkin ada ibu bapa pelajar yang menjalankan perniagaan berhampiran sekolah atau pelajar sendiri membeli belah belah di kedai berkenaan. Cuba pantau kehidupan mereka. Lebih kerap pelajar melihat anda, maka akan lebih baik kelakuan dan sikap mereka di dalam kelas. Mereka akan melihat anda sebagai sebahagian daripada mereka.

    8.Guru yang dekat di hati pelajar makan di kantin sekolah : Di sesetengah sekolah, ada guru yang sering makan di luar kawasan sekolah atau membawa bekal dari rumah dan makan di bilik guru sahaja. Cubalah bersama mereka di kantin, makan bersama mereka di kantin. Sebagai contoh berbual mengenai makanan kegemaran mereka dan bagaimana mereka membelanjakan wang poket mereka setiap hari. Mana tahu, mungkin ada pelajar anda yang sering meminggirkan diri pada waktu rehat.

    9.Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa berlaku adil : Sentiasa harapkan yang terbaik daripada pelajar anda, tetapi pada masa yang sama anda perlu fleksibel. Tidak semua pelajar mampu menjadi yang terbaik. Berlaku adil tidak semestinya menjadikan anda tegas atau terlalu berlembut. Secara mudahnya, anda perlu menilai dan melayan pelajar berdasarkan kemampuan mereka.

    10.Guru yang dekat di hati pelajar tidak mudah hilang sabar : Tahan kemarahan kerana semuanya akan berlalu. Jangan terbawa-bawa dengan rasa geram dan emosi. Pelbagai perkara boleh berlaku di dalam bilik darjah. Tangani masalah di dalam bilik darjah secara profesional. Mengambil tindakan mengikut emosi dan secara melulu hanya akan memburukkan keadaan dan akan memberi kesan kepada karier anda di kemudian hari.

    Sumber : Portal Pendidikan Pahang (http://www.malaysia-osc.com/)

    ISU BAHASA : Pencerobohan bahasa gugat jati diri nasional

    Oleh Teo Kok Seong
    bhnews@bharian.com.my

    Bahasa Melayu mampu jadi agen menyatupadukan bangsa

    DALAM Malaysia cuba membentuk dan mengekalkan jati diri nasional, sudah tentu bahasa mempunyai peranan. Untuk ini, pengetahuan dan penguasaan terhadap satu bahasa yang dikongsi bersama adalah penting. Menerusi penggunaan bahasa sebegini di seluruh pelosok negara, perpaduan bulat dalam kalangan rakyat boleh dicapai. Ini dapat dilakukan antaranya melalui jati diri nasional yang dimiliki semua lapisan dan sektor rakyat selepas dipupuk melalui penggunaan satu bahasa yang dituturkan serta difahami bersama.

    Sebaliknya, penggunaan pelbagai bahasa, lebih-lebih lagi untuk tujuan rasmi dalam majlis formal, termasuk pendidikan, dilihat sebagai menghalang proses perpaduan yang ingin dipupuk, selain merintangi proses pembentukan jati diri nasional yang dihasratkan. Berdasarkan ideologi nasionalisme bahasa, promosi hanya satu bahasa untuk tujuan nasionalistik, iaitu penyatupaduan dan wahana komunikasi rasmi negara, khususnya dalam sistem pendidikan negara, didapati berjaya membentuk dan mengekalkan jati diri nasional.

    Pemilihan hanya satu bahasa untuk membentuk jati diri nasional walaupun di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang diamalkan di merata tempat, baik di Asia mahu di Barat memang terbukti kejayaannya. Dalam konteks ini, penggunaan bahasa Melayu yang didapati amat berkesan untuk menonjolkan jati diri nasional, bukan saja perlu diteruskan. Malah, ia perlu dipertingkat dari semasa ke semasa supaya keutuhan bentuk dan amalan berbahasa Melayu dapat sentiasa dipelihara.

    Sehubungan ini, tindakan memperkenal semula penggunaan bahasa penjajah yang walaupun kini adalah bahasa perhubungan dunia dengan nilai pragmatik yang amat tinggi, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya semacam bahasa rasmi negara adalah langkah ke belakang dari segi nasionalisme budaya. Nasionalisme budaya amat mementingkan warisan budaya dan bahasa pribumi sendiri.

    Nasionalisme budaya menegaskan peri pentingnya sebuah komuniti politik yang merdeka, mengamalkan resam dan tertib yang sama, selain memiliki idealisme sosial yang sama, daripada budaya dan bahasa sendiri. Justeru orientasinya yang sebegini, nasionalisme budaya juga dikenali sebagai nasionalisme jati diri. Dengan ini, nasionalisme budaya ataupun jati diri ini mengutamakan kesatuan serta kualiti kehidupan rakyat yang diasaskan sepenuhnya kepada warisan budaya dan bahasa negara berkenaan.

    Untuk sesebuah komuniti politik terus menjadi perkasa dan bersatu padu, semua ahli di dalamnya perlu bukan saja memiliki nilai asas yang sama mengenai budaya dan bahasa negara, tetapi berkongsinya supaya ia dapat dikekalkan dengan lebih baik lagi. Ini penting bukan saja untuk memelihara, tetapi memperkasa satu bentuk kelainan budaya atau jati diri nasional yang didapati tidak sama dengan yang dipamerkan komuniti politik lain.
    Kelainan atau jati diri inilah yang mendorong komuniti berkenaan untuk terus maju dan membandingkan segala kemajuan yang dicapainya itu dengan yang dijangkau komuniti lain. Dalam hal ini, semua kemajuan itu diasaskan sepenuhnya kepada nilai, simbol, sejarah, aspirasi dan tradisinya sendiri.

    Sehubungan ini, tindakan Malaysia pada 2003 untuk menggunakan kembali bahasa Inggeris, khususnya di sekolah bagi mengajar sains dan matematik melalui Dasar PPSMI, selepas bahasa Melayu berjaya digunakan sebagai bahasa ilmu untuk beberapa tempoh lamanya adalah keputusan yang kurang bijak. Tindakan ini boleh memberi banyak implikasi buruk kepada bahasa Melayu, khususnya sikap negatif terhadapnya.

    Antaranya kedudukan bahasa Melayu dilihat lemah sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya sebagai bahasa rasmi negara, sehingga perlu digantikan dengan bahasa lain yang lebih berprestij. Lebih mudarat lagi ialah tindakan seperti ini menjejaskan proses pembentukan dan pengekalan jati diri nasional yang tidak selalunya mudah dan lancar dalam sebuah negara pelbagai etnik yang mengamalkan pelbagai budaya pula.

    Walaupun tindakan ini ditarik balik, manakala pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran ini dikendalikan seperti sedia kala dengan menggunakan bahasa Melayu semula selaku bahasa pengantar utama, kesannya dalam bentuk persepsi bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu sepenuhnya, akan terus tinggal dalam minda sesetengah pihak di negara ini untuk satu tempoh yang lama.

    Kesan ini yang terbaru dapat dilihat pada ucap utama pada satu forum yang berjudul ‘Past Wisdom for Future Direction’. Pemidatonya menyelar mereka yang menentang Dasar PPSMI dengan mengatakan penggunaan bahasa Inggeris semula itu, tidak sekali-kali bersifat tidak patriotik. Beliau juga menyentuh peri pentingnya bahasa Inggeris pada zaman globalisasi ini dan memberi amaran Malaysia akan ketinggalan jika ia terus enggan menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan berkenaan.

    Tuntutan kepenggunaan terhadap bahasa Inggeris yang begitu tinggi ketika ini tidak dapat disangkal. Namun, adakah itu kaedahnya untuk rakyat Malaysia menguasai lingua franca dunia serta bahasa ibunda sains dan teknologi itu? Dalam hal ini, bukan saja impak terhadap jati diri linguistik rakyat, tetapi kejayaan bahasa Melayu memajukan bangsa dan negara Malaysia, selain menyatupadukan rakyat yang berasal daripada pelbagai etnik perlu diambil kira dengan serius.

    Sudah pasti kita mempunyai pilihan lebih bijak sifatnya untuk tujuan integrasi yang lebih banyak dengan pasaran antarabangsa yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris. Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBM-MBI) yang menggantikan Dasar PPSMI, adalah respons bestari bagi menyahut tuntutan tinggi untuk menguasai bahasa Inggeris.

    Dalam keghairahan mengembalikan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara sebagai antara bahasa pengantarnya, ada sesetengah pihak daripada kalangan etnik Melayu sendiri mengesyorkan bahasa dunia itu dijadikan alat pemersatu bangsa Malaysia. Bahasa Inggeris bersifat neutral etnik di negara ini yakni ia bukan bahasa leluhur mana-mana kumpulan utama di Malaysia.

    Hasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan kemajuan bangsa dan negara melalui Dasar PPSMI, walaupun adalah satu penyelewengan dalam pembentukan dan pengekalan jati diri nasional, sebetulnya adalah lebih mulia daripada hasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan pemersatuan sosial di Malaysia. Dalam konteks begini, ia sesungguhnya adalah satu pencerobohan yang amat hina sifatnya terhadap jati diri nasional yang sudah, sedang dan akan terus dibentuk dan dikekalkan di negara ini.

    Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    ISU SUKAN : Azizul, Nicol cipta gemilang

    Oleh Jumiati Rosly jumiati@bharian.com.my

    Kekalkan anugerah Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan

    TAHUN 2010 menyaksikan sekali lagi jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dinobatkan Olahragawan Kebangsaan manakala ratu skuasy, Nicol Ann David merakam sejarah memenangi gelaran Olahragawati Kebangsaan buat kali kelapan di majlis Anugerah Sukan Negara 2010, malam tadi.
    Pemilihan jaguh keirin itu sekali gus menjadikan satu-satunya pelumba basikal yang memenangi anugerah tertinggi negara itu buat kali kedua berturut-turut selepas Ng Jo Ngan memenanginya pada 1970, Allahyarham Daud Ibrahim (1971), Rosman Alwi (1985), M Kumaresan (1987), Shahrulneeza Razali (1999) dan Josiah Ng (2004).

    "Menang buat kali pertama tahun lalu sudah menggembirakan saya apa lagi memenanginya buat kali kedua. Anugerah ini sangat bermakna kerana dapat mengubat kekecewaan saya tidak dapat menyertai Kejohanan Trek Dunia pada bulan ini berikutan kecederaan.

    “Saya bersukan pun sebenarnya bukan untuk mengejar wang ringgit tetapi ini adalah bidang yang saya minati dan saya buat secara ikhlas,” kata Azizul yang menerima ganjaran RM10,000 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Kejayaan pelumba berusia 23 tahun itu bersandarkan kejayaannya meraih ranking pertama dalam acara keirin pada siri Piala Trek Dunia serta memenangi pingat emas Sukan Asia di Guangzhou bagi mengetepikan calon pilihan lain seperti Lee Chong Wei (badminton), Alex Liew (bowling), Sazali Samad (bina badan) dan Norshahrul Idlan Talaha (bola sepak).

    Bagi Olahragawati Kebangsaan, kejayaan Nicol membolot anugerah itu buat kali kelapan menjadikannya sebagai atlit wanita paling banyak memenangi anugerah berprestij itu dalam sejarah sejak diperkenalkan pada 1966 dengan kali ini mengetepikan jaguh terjun, Pandelela Rinong, Elaine Koon (gimnastik) dan Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak).

    “Saya gembira menang lagi...tiada jalan pintas untuk capai kejayaan. Saya harap atlit muda lain juga dapat mencipta nama untuk negara,” katanya yang turut bangga memenangi anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan terbaik atas kejayaan meraih emas di Sukan Asia dan gangsa di Kejohanan Berpasukan Dunia di New Zealand.

    Sementara itu, kejayaan skuad hoki senior kebangsaan memenangi perak di Sukan Asia di Guangzhou buat pertama kalinya dalam temasya empat tahun sekali itu membolehkan skuad itu menjulang anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan 2009.

    Sumbangan jurulatih skuad hoki lelaki, Stephen Van Huizen dan Tai Beng Hai turut diiktiraf apabila kedua-duanya memenangi anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan.

    INFO: Senarai pemenang anugerah 2010

    Olahragawan Kebangsaan Azizulhasni Awang (Berbasikal)
    Olahragawati Kebangsaan Nicol Ann David (Skuasy)
    Pasukan Lelaki Kebangsaan Skuad Hoki
    Pasukan Wanita Kebangsaan Skuasy - Nicol Ann David, Delia Odette Arnold, Sharon Wee dan Low Wee Wern
    Olahragawan Paralimpik Kebangsaan Zul Amirul Sidi Abdullah (Renang)
    Olahragawati Paralimpik Kebangsaan Nabilah Ahmat Sharif (Badminton)
    Jurulatih Lelaki Kebangsaan Stephen Van Huizen dan Tai Beng Hai (Hoki)
    Jurulatih Wanita Kebangsaan Tiada Pemenang
    Anugerah Kepimpinan Kebangsaan Prof Datuk W Y Chin (Snuker & biliard)
    Anugerah Tokoh Sukan Tiada Pemenang
    Anugerah Khas Datuk Lim Teong Kiat (Badminton) dan Datuk Nashatar Singh Sidhu (Olahraga)

    Sumber : http : // www.bharian.com.my/

    ISU PENDIDIKAN : Memperkemas kurikulum pembelajaran ICT

    Harapan negara untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran pada masa depan boleh dicapai melalui kurikulum pembelajaran berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sentiasa dikemas kini serta 'bebas' daripada elemen peperiksaan.

    Sekiranya falsafah ini gagal dihayati maka proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) ICT akan melahirkan 'robot' yang hebat dalam mengingat dan menghafal sahaja.

    Hal ini disebabkan guru akan 'menyuap' murid dengan pengetahuan asas mengoperasi komputer dan menggunakan perisian pemprosesan perkataan di samping mengenali peranti serta perkakasan komputer sahaja.

    Manakala murid pula sibuk menyalin nota dan kurang terlibat dengan aktiviti yang memerlukannya mengeluarkan idea kreatif apatah lagi untuk berinovasi.

    Lebih malang apabila teknologi yang diajar sudah ketinggalan zaman seperti penggunaan disket untuk menyimpan data dan bukannya pendrive.

    Sepatutnya murid didedahkan kepada penggunaan aplikasi atau perisian yang melibatkan reka bentuk, grafik, animasi serta imej tiga dimensi (3D).

    Bimbing dan ajar murid dengan pengetahuan asas menggunakan perisian tersebut. Kemudian beri tugasan bertema yang memerlukan kreativiti dan imaginasi mereka seperti menghasilkan watak adi wira, mencipta kenderaan masa depan atau membuat alat kegunaan peribadi.

    Berikan kebebasan untuk murid mencipta dan berinovasi waima yang dihasilkan itu sekadar orang lidi.

    Untuk rujukan, dalam Youtube banyak animasi orang lidi dan ia berjaya menarik ratusan ribu tontonan. Sila buat carian menggunakan pivot sebagai kata kunci.

    Terbukti, rupa bentuk yang dihasilkan tidak penting. Apa yang utama ialah penjelasan atau rasional di sebalik setiap karya tersebut.

    Oleh sebab itu, murid perlu mempersembahkan hasil ciptaan mereka kepada kelas.

    Ia secara tidak langsung membolehkan murid menguasai pelbagai kemahiran termasuk meningkatkan keyakinan diri untuk berucap di depan khalayak.

    Bahkan dalam usaha menyiapkan tugasan, murid boleh melayari Internet secara berpandu untuk mencari maklumat, membuat rujukan dan perkongsian sumber.

    Murid boleh sama ada memuat naik hasil kerja mereka atau memuat turun bahan mengikut keperluan.

    Sekiranya aspek ini diberi keutamaan, pengetahuan asas mengenai komputer seperti menyimpan (save), menyalin (copy), menampal (paste) dan mencetak akan dapat dipelajari tanpa perlu satu topik khusus. Ia juga akan menjadikan P&P ICT lebih berfaedah dan praktikal.

    Mulai tahun ini, murid tahun satu hingga tahun empat mempelajari pengetahuan asas pengkomputeran melalui topik Literasi ICT dalam subjek Bahasa Inggeris. Topik ini akan diajar pada bulan Jun hingga Julai depan.

    Selain itu, subjek Pendidikan Seni juga boleh menjadi platform untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif. Ia perlu diintegrasikan dengan penggunaan ICT dan tidak terbatas kepada kaedah lukisan manual sahaja.

    Faktor ini perlu diberi pertimbangan serius kerana realiti dunia pekerjaan memerlukan pelukis dan kartunis yang mempunyai kemahiran dalam ICT.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/