Rabu, 6 Julai 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Ubah penggodam jadi pejuang siber negara

Oleh HUSIN JAZRI

PADA 14 Jun 2011, Malaysia dikejutkan oleh ancaman penggodaman daripada kumpulan antarabangsa yang memanggil diri mereka 'The Anonymous'.

Kumpulan ini amat dikenali kerana serangan-serangan siber yang berjaya dilakukan sebelum ini seperti serangan ke atas Sony Playstation dan beberapa perbankan ternama dunia.

Tidak hanya menumpukan serangan kepada sasaran yang bersifat komersial, serangan juga dilakukan oleh kumpulan yang sama terhadap negara-negara berdaulat seperti Tunisia, Mesir, Turki dan yang terbaru adalah laman web CIA serta laman web kerajaan dan Pejabat Perdana Menteri Brazil.

Kumpulan ini menamakan diri mereka 'the internet freedom fighter' (pejuang kebebasan Internet) dan akan menyerang sasaran yang terpilih terutamanya yang dilihat melaksanakan 'internet censorship' dan sekatan muat naik dan turun.

Mereka biasanya akan dibantu oleh penggodam tempatan yang menjadi penyokong setia. Kumpulan ini turut bekerjasama dengan satu lagi kumpulan yang menamakan diri mereka 'the LulzSec' yang dilihat mempunyai kemahiran penggodaman yang tinggi.

Tiada siapa yang menyangka bahawa Malaysia dipilih menjadi sasaran kumpulan ini. Namun tindakan kerajaan menyekat 10 laman file sharing yang dikenal pasti melaksanakan muat naik dan turun bahan-bahan cetak rompak yang melanggar undang- undang negara telah menarik minat mereka untuk melancarkan 'Operation Malaysia'.

Natijah daripada serangan ini, sejumlah laman web kerajaan dan swasta telah digodam. Biarpun jumlah sebenar sukar ditentukan, namun yang pasti jumlahnya agak besar seperti yang dinyatakan oleh media- media tempatan.

Pada penilaian saya, pemilihan Malaysia sebagai sasaran kumpulan ini adalah berpunca daripada maklumat tidak tepat yang disampaikan oleh kumpulan tempatan yang menjadi 'mata dan telinga' kumpulan ini. Lebih menyedihkan, walaupun ancaman serangan siber dikeluarkan oleh kumpulan ini pada 14 Jun lalu, akan tetapi yang melakukan serangan dan penggodaman kebanyakannya adalah anak tempatan sendiri.

Malah, sehingga serangan berkurangan pada 20 Jun 2011, fakta menunjukkan kumpulan 'Anonymous' luar negara tidak menyerang langsung, malah mereka lebih dikejutkan oleh perlakuan penggodam tempatan yang bagaikan berpesta untuk menggodam sistem-sistem komputer di negara ini.

Apa yang lebih menarik, peringkat umur penggodam tempatan kebanyakannya dianggarkan di bawah 25 tahun, masih muda dan baru tamat pengajian di peringkat universiti dan baru memasuki alam pekerjaan. Berbeza sikap dengan sesetengah negara lain yang mana penggodam tempatan, mereka menentang sebarang campur tangan asing, tetapi penggodam di Malaysia bersikap sebaliknya.

Mungkin juga sudah sampai masanya, kita semua mengambil iktibar daripada insiden ini. Pihak kerajaan dan swasta perlu berganding bahu memulakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam tempatan bertujuan menjadikan mereka lebih patriotik, produktif dan bersikap lebih positif.

Hasil daripada program ini, ia dapat menjadikan mereka sebahagian daripada tenaga mahir negara yang boleh membantu pembangunan dan mempertahankan negara di alam siber dalam jangka masa panjang. Adalah baik juga sekiranya diwujudkan Pasukan Simpanan Siber yang dianggotai oleh pejuang-pejuang siber negara yang boleh dilatih secara sistematik dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan tahap kepakaran mereka.

Pasukan ini boleh dijadikan elemen bantuan ketika negara diancam dan diserang di alam siber. Agensi seperti CyberSecurity Malaysia bersedia untuk melaksanakan program ini jika diberi kepercayaan dan mendapat mandat daripada kerajaan serta masyarakat.

Kerjasama kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam ini amatlah diperlukan supaya ancaman dan serangan siber ini dapat dikurangkan sebanyak mungkin kerana kesannya merugikan semua pihak.

Pada masa sama, kita juga perlu memahami bahawa kebanyakan penggodam ini datangnya dalam kalangan mereka yang bijak pandai dan berpotensi dibentuk menjadi insan yang lebih bertanggungjawab sekiranya program ini dibuat secara berkesan dan menarik minat generasi muda terutamanya Generasi-X.

Jika berjaya, program ini boleh dikembangkan ke peringkat global dan Malaysia boleh dicontohi dunia dalam memperkenalkan pendekatan pendidikan yang inovatif dalam menyelesaikan cabaran tanpa sempadan ini.

Program sebegini juga berpotensi untuk menjana lebih banyak tenaga profesional keselamatan siber yang berpendapatan tinggi yang diperlukan oleh Malaysia khususnya dan dunia tanpa sempadan amnya.

LT. KOL. (B) DATUK HUSIN JAZRI ialah Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, agensi Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 5 Julai 2011

ISU BAHASA : Ejaan DBP tidak seragam?

Oleh Norhidayah Che Din
bhsastera@nstp.com.my

KETIDAKSERAGAMAN ejaan di antara Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Dalam Talian yang menjadi pedoman pengguna bahasa Melayu untuk merujuk ejaan paling tepat bagi sesuatu perkataan didakwa menjadi punca berlakunya kekeliruan.

Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Datuk Adilah Shek Omar menegur perkara terbabit selepas mendapati ejaan sesetengah perkataan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Dalam Talian berbeza.
“Singkatan Yang Berbahagia dalam Kamus Dewan Edisi Keempat misalnya YBhg., manakala dalam laman sawang, YBhg dieja tanpa titik. Hal ini mengelirukan pengguna yang sememangnya sudah keliru. Perlu ada satu pendirian dalam menentukan sistem ejaan,” katanya pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-Isu Bahasa Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Rusli Abd Ghani ketika diminta mengulas perkara terbabit berkata, ketidakseragaman dalam ejaan disebabkan oleh gaya penerbitan dan tidak memudaratkan penggunaan bahasa.

“Dalam hal ini, sebenarnya tidak ada pedoman dalam penggunaan titik. Apa yang penting ia selaras dalam satu wacana dan bergantung kepada penulis sama ada mahu menggunakannya atau tidak. Misalnya singkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) tidak ada titik adalah disebabkan oleh permintaan pihak istana,” jelasnya.

Pada wacana itu, Adilah turut menegur ketidakseragaman ejaan dalam media massa memberi kesan besar kepada golongan muda yang mudah terpengaruh dan ia diburukkan lagi oleh sikap sesetengah pihak yang memandang remeh pada kesilapan ejaan dan tatabahasa, selagi maksud difahami.

“Dalam akhbar harian arus perdana, kita akan temui perkataan komersial dieja komersil, dekad menjadi dekat dan atlet dieja atlit. Ejaan hak cipta dieja hakcipta dan kru (krew). Begitu juga kesalahan penggunaan kata sendi nama. Lebih mendukacitakan nama negara juga salah.

“Walaupun perkara ini dilihat kecil, namun secara tidak langsung ia mencacat dan membantutkan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Kemurnian bahasa Melayu baik ejaan, sebutan dan tatabahasa perlu diberi perhatian jika rakyat Malaysia benar-benar mahu memartabatkannya?” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

PERISTIWA BAHASA : Malam Bahasa Jiwa Bangsa

Oleh Saadiah Ismail

Khalayak dikejutkan dengan laungan

KETIKA khalayak sedang asyik menunggu siapa yang akan membuka tirai Malam Bahasa Jiwa Bangsa di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini, tiba-tiba suasana bertukar kecoh apabila dikejutkan dengan laungan sekumpulan lelaki yang menjunjung keranda yang tertera tulisan Perlembagaan 152.

Laungan, “Ayuh kita berarak ke Parlimen. Kita bakar Perlembagaan 152. Ayuh!”, kedengaran beberapa kali ketika kelompok terbabit berlari menuju ke atas pentas dan lakonan sekumpulan lelaki berkenaan benar-benar mengejutkan khalayak, tetapi serentak itu kesedaran mereka bangkit.

Program anjuran DBP bersempena sambutan ulang tahun DBP ke-55 sebahagian daripada usaha untuk menunjukkan DBP masih relevan dan tema memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sengaja diangkat bagi membuktikan bahasa jiwa bangsa akan terus dipertahankan.

Suasana kembali tenang apabila murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur, tampil beramai-ramai mendendangkan lagu rakyat kanak-kanak, Bangau Oh Bangau, selain khalayak terpegun dengan persembahan mereka ekoran busana unik dan comel yang mereka gayakan dalam pelbagai pergerakan.

Tidak ketinggalan, khalayak Malam Bahasa Jiwa Bangsa turut terpegun dengan persembahan deklamasi puisi, Ng Chin Tze yang juga pemenang Pertandingan Pidato Festival Bahasa dan Sastera 2009 dan 2011 kerana nyata pelajar itu begitu fasih berbahasa Melayu.

Persembahan puisi berirama oleh lapan juruhebah Klasik Nasional, AIFM, AsyikFM dan MINNALFM, tidak kurang menarik dan bertambah segar ketika mereka menyanyikan lagu Bahasa Jiwa Bangsa dengan penuh bersemangat sehingga mempesonakan khalayak.

Gabungan juruhebah pelbagai kaum, Melayu, Cina, India dan Orang Asli, melahirkan kesepakatan melalui puisi yang disampaikan dalam gabungan bahasa mewakili kaum masing-masing dengan penekanan bahasa kebangsaan perlu dikekalkan, turut mencuri perhatian.

Malam puisi itu turut diserikan dengan persembahan Pembaca Berita RTM merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Jessica Ong dengan puisi, Cintaku Kepadamu, Bahasa Melayuku yang disifatkan penuh dengan keindahan.

Bahasaku itu indah rupanya
namun, kadangkala tajamnya ibarat pedang
menghiris dan membunuh perasaan
jika ujaran di luar kehalusan budi bahasa
jika tindakan di luar adab santun Melayu
pasti bahasa membunuh jati diri bangsa.

Justeru, saat indah bahasaku kian luntur
cintaku kepadamu Bahasa Melayuku
tak akan terhakis oleh rempuhan globalisasi
kerana aku adalah wasilahmu
lambang kekuatan warisan zaman.


Kesetiaan kepada bahasa Melayu oleh Dr Jessica disambut tokoh Persatuan Siam Malaysia, Suwanlerd Pro Pau yang beraksi dengan Rimbun Bahasa, tetapi beliau membuka bicara dengan perkataan sawadikap yang bermaksud selamat bertujuan menyatakan keturunannya.

Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman, mendendangkan puisinya, Rahsia Bahasa Pertiwi yang membuktikan betapa bahasa Melayu mampu berfungsi dalam pelbagai bidang.

Aku membeli kebijaksanaan ilmu
menikmati lazat pemikiran
dalam bahasa falsafah ini.

Aku menjual kesantunan budi
memperaga anggun warisan
dalam bahasa sopan ini.

Aku membaca luka sukma
merawat sengsara perasaan
dalam bahasa kemanusiaan ini.

Aku menarik berbilang dagang
meninggi ekonomi pertiwi
dalam bahasa komersial.

Aku menghirup damai abadi
menikmati tenang emosi
dalam bahasa toleransi.

Dakaplah bahasa pertiwi dengan berahi
berbantalkan keyakinan
atas ranjang pemodenan.


Tidak ketinggalan, Malam Jiwa Bangsa turut dihidang dengan persembahan bertenaga Pemenang Anugerah Artis Antarabangsa Terbaik Kodak Theatre, Hollywood, Ikhwal Hafiz Ismail yang mendendangkan Seroja dan Umpan Jenak di Air Tenang dengan penuh bersemangat.

Persembahan Johan Bintang Asli Kebangsaan 2000 dan 2006, Asmidar Ahmad yang menyampaikan lagu Songkok Mereng dan Sekuntum Bunga di Tepi Danau, mendapat tepukan gemuruh dengan hampir semua penonton turut sama menyanyikan lagu berkenaan.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz turut mempamerkan bakatnya dengan mendeklamasikan Balada Orang Kehilangan Jiwa, manakala Naib Pengerusi Ahli Lembaga DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, pula beraksi dengan Good Morning Putrajaya.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail, mengajak khalayak berkongsi kehebatan orang dulu kala ketika beraksi di pentas sehingga khalayak yang pandai menilai maksud tersirat di sebalik puisinya akan berasa betapa kerdilnya insan hari ini.

Nenek moyangku yang tidak pernah meminta
selain kain buruk berikan kami
buat menyapu si air mata
tidak memandang intan permata
mengejar gunung yang tidak berlari
menanti bulan jatuh ke riba.

Siapakah pencipta Seri Mersing?
bertambah pilu hati yang runsing
penyusun madah Jalak Lenteng
sedikit tidak beruntung lagi
patah hati terus merajuk
membawa diri ke hutan belukar
Siti Payung bertambah malang
ke mana pergi dihina orang.

Mengapakah kau menyembunyikan nama
adakah ia tidak penting bagimu
dan siapa pula yang mengajar bangsaku
untuk membiarkan namanya
kata dan maksud Melayu
dihilangkan satu persatu.


Johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi 2007 dan 2008, Badrulhisham Abdul Hamid, mencuri perhatian khalayak dengan suara jantannya ketika melagukan puisi sehingga khalayak berasa seolah-olah sedang menghadiri persembahan sebuah konsert.

Tiga tokoh tersohor tanah air, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2010, Zaen Kasturi; Sasterawan Negara (SN) Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan SN Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, turut beraksi di pentas puisi dengan Zaen memilih Samudera Kata.

Dengan bahtera itulah, ya dengan bahtera itulah
kita terkadang leka mencipta rumus demi rumus
duga demi duga, tanya demi tanya
tentang pelayaran jauh hingga terkadang -kadang
pulau impian itu tenggelam timbul disihir samudera.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 4 Julai 2011

ISU KENEGARAAN : Kebebasan mengeluarkan fikiran

oleh Syahredzan Johan

Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai kebebasan dan hak yang dijamin Perlembagaan. Hak ini secara amnya terkandung di dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan merangkumi pelbagai aspek seperti kesamarataan, kebebasan beragama, berhimpun, berpersatuan dan bergerak.

Menurut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran (ekspresi). Kebebasan ini bukan setakat memberi hak untuk anda memberikan pandangan dan pendapat, tetapi juga merangkumi apa-apa cara anda mengeluarkan fikiran anda. Sekiranya anda menari dan menyanyi, anda mengeluarkan fikiran.

Sekiranya anda mendeklamasi sajak, anda mengeluarkan fikiran. Cara anda berpakaian, warna yang anda pilih, baju yang anda pakai semuanya merupakan amalan pengeluaran fikiran yang termaktub sebagai kebebasan asasi di bawah Perlembagaan.

Adakah kebebasan ini mutlak? Sudah tentu tidak. Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan sesuatu kesalahan. Maka sememangnya kebebasan ini boleh disekat.

Tetapi, sekatan itu haruslah melalui undang-undang. Maknanya, harus terdapat undang-undang sedia ada untuk menjadi asas bagi menyekat kebebasan tersebut. Tanpa apa-apa undang-undang terpakai, mana-mana pihak tidak boleh secara sewenang-wenangnya menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran. Tanpa asas undang-undang, apa-apa tindakan mana-mana pihak adalah tidak berperlembagaan.

Di samping itu, tidak lama dahulu, Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi negara, juga telah memutuskan bahawa kebebasan-kebebasan asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan harus diberi makna dengan luas manakala peruntukan yang mengehadkan atau menyekat kebebasan pula harus diberi makna yang sempit dan terhad. Di dalam konteks kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa perkataan berpatutan (atau dalam bahasa Inggeris, ‘reasonable’) harus dibaca ke dalam peruntukan yang membenarkan sekatan.

Maka, apa-apa sekatan yang dikenakan melalui undang-undang haruslah berpatutan. Adakah sekatan ke atas hak itu suatu keperluan berpatutan dan wajar demi mencapai salah satu matlamat yang digariskan di dalam Perlembagaan? Interpretasi ini telah memberi dimensi baru kepada sekatan-sekatan yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Sekatan yang dikenakan harus diukur dengan kayu ukur ‘berpatutan’.

Di samping itu, Mahkamah juga telah memutuskan bahawa apa-apa tindakan yang dikenakan untuk menyekat sesuatu kebebasan haruslah juga berkadaran (‘proportionate’) dengan matlamat sah yang mahu dicapai. Apa maksudnya berkadaran? Maknanya, jika mengupas kacang, janganlah menggunakan tukul besi. Ianya bukanlah sekadar jika cara berpakaian dihalang demi menjaga ketenteraman awam, misalnya. Mahkamah berhak membatalkan tindakan- tindakan yang tidak berkadaran dengan matlamat yang ingin dicapai.

Kita harus sentiasa ingat akan prinsip asas konsep keperlembagaan, iaitu hak kita termaktub dan dijamin Perlembagaan dan hanya boleh disekat oleh peruntukan-peruntukan terhad di dalam Perlembagaan.

Hak kita datangnya dan dijamin oleh Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, dan bukannya hanya apabila dibenarkan oleh mana-mana institusi atau individu. Apa-apa tindakan yang diambil yang tidak mengikut undang-undang, bukan merupakan sekatan yang berpatutan atau wajar atau tidak berkadaran dengan matlamat adalah tindakan yang tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Oleh itu, kita tidak harus khuatir bercakap atau mengeluarkan fikiran. Teruskan nyanyian, teruskan ucapan, teruskan tari menari, teruskan warna-warni, teruskan cara berpakaian, teruskan bersajak, melukis dan mengekspresikan diri anda. Kita punya hak berbuat demikian.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Melayu kini lebih suka berdemonstrasi, lupa akan nilai muafakat ?

Oleh Imlan Adabi

MASYARAKAT Melayu tradisional sering beralas ketika berhujah dan memberi pendapat. Mereka tidak bertekak, apatah lagi menyanggah sesuatu pandangan dengan rusuhan dan menumpahkan darah.

Suasana kekitaan menjadi tonggak muafakat hingga menerbitkan peribahasa 'bersatu teguh bercerai roboh'. Jarang Melayu mengamuk kecuali kes 'Sultan Mahmud mangkat dijulang' membabitkan amukan seorang rakyat yang isterinya dibunuh Raja dengan alasan remeh.

Melayu juga pernah berdemonstrasi dalam dua kes bersejarah – penentangan dasar Malayan Union dan isu agama membabitkan peristiwa Natrah di Singapura. Dua kes ini membabitkan survival bangsa dan agama ekoran dasar penjajah yang tidak memihak kepada warga tempatan.

Kes Natrah pula memang dijangka tidak memihak kepada Melayu kerana keputusan mahkamah Barat yang mengambil pendekatan status gadis bawah umur bertukar agama dan berkahwin dengan Mansor Adabi. Apapun penentangannya, suara Melayu musnah di sebalik tabir undang-undang penjajah yang lebih kebal di Singapura.

Era selepas merdeka membabitkan kesan langsung peristiwa 13 Mei berjaya membentuk cara berfikir yang lebih radikal dalam kalangan sesetengah Melayu. Mereka bukan saja menggerakkan demonstrasi pelajar pada 1974 di Kuala Lumpur, bahkan berani secara terbuka menyanggah sesuatu pendapat yang dirasai tidak kukuh.

Demonstrasi pelajar menjadi medan meluahkan pandangan yang di luar pemikiran arus perdana. Mereka berani berhujah, walaupun ada ketika dituduh diresapi ideologi komunis.

Dalam kalangan ahli UMNO pula, mereka pernah menyaksikan tunjuk perasaan penyokong bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris yang membantah hukuman penjara bersabit kes rasuah. Ribuan Pemuda UMNO yang ketika itu dikenali Pemuda Tahan Lasak berkumpul di beberapa daerah. Mereka menentang Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn yang dianggap mempunyai agenda terhadap Harun. Mujur, tunjuk perasaan tidak sampai menjejaskan keselamatan negara.

Keadaan sebaliknya berlaku menjelang 2 September 1998 apabila ribuan anak muda tunjuk perasaan dan secara terbuka bersuara lantang di jalanan. Mereka menggunakan ruang demokrasi untuk demonstrasi. Isu reformasi, korupsi, kronisme berbaur dengan pertuduhan di mahkamah.

Gerakan jalanan menjadi tumpuan pihak tertentu di Barat, khususnya Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang menyifatkan ‘perjuangan rakyat berani’. Ketika ekonomi negara merudum ekoran mainan spekulator mata wang, gerakan anak muda mudah dikaitkan sebagai tali barut asing. Suara dan aksi mereka mendapat liputan meluas media antarabangsa yang berpangkalan di Australia, Hong Kong dan Singapura. Banyak drama dan intrig dihidupkan. Ada masanya, media bagai mahkamah yang mudah menghukum pihak yang tidak disenanginya.

Demokrasi dan hak asasi menjadi mantera di media maya. Banyak yang dikatakan sebagai penyelewengan dan isu kemanusiaan bertebaran di laman web, portal berita dan blog. Ruang untuk menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan, semakin perlekeh oleh suara yang kononnya pejuang sejati. Betapa mudah perasaan awam dipermainkan hingga menyingkirkan fakta dan keadaan sebenar.

Selepas berakhir Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin, gerakan hak asasi antarabangsa semakin akrab melihat dan menyemak isu demokrasi di dunia ketiga. Isu keadilan, kemanusiaan, tata urus pilihan raya menjadi semakan yang mengghairahkan. Rejim Suharto bukan saja tumbang kerana amalan kronisme dan ekonomi bobrok, juga isu kebebasan pilihan raya dan hak asasi di Timor Timur (Timur Leste), Aceh dan kepulauan Sumatera.

Keadaan sama berlaku di Thailand dengan pelbagai jenama baju yang ditaja. Baju merah, kuning dan entah apa lagi, sering bergelut di jalanan yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan kestabilan keselamatan negara.

Kesan langsungnya adalah kepada proses pembudayaan minda masyarakat; apakah tunjuk perasaan penyelesaian terbaik dalam menangani sesuatu isu? Alangkah mudahnya membakar perasaan orang ramai di jalanan, tetapi tidak semudah itu untuk menanganinya.

Masyarakat Melayu tradisional mengutamakan muafakat dan perbincangan sebagai jalan penyelesaian. Tradisi Islam pula menerima muzakarah dan ijtihad sebagai ruang menyemak dan menyelesaikan sesuatu isu. Apakah unsur yang sudah lama diamalkan dalam masyarakat kita sudah lama berkubur? Apakah kepentingan siasah menjadi bahang api yang bakal membara dan kita semakin tidak rasional?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Buruan penjenayah siber

Oleh DAVID HALL

HARI ini, mengemas kini status atau menyiarkan gambar kita di laman-laman rangkaian sosial telah hampir menjadi sesuatu yang dilakukan secara naluri bagi kebanyakan kita.

Populariti telefon pintar dan peralatan bergerak telah menjadikan ia mudah untuk berkongsi dengan pantas lokasi, fikiran dan pengalaman kita dengan rakan-rakan dan keluarga.

Menurut sebuah syarikat digital terkemuka, conScore, Malaysia memiliki penembusan rangkaian sosial kedua tertinggi di Asia Tenggara pada 91 peratus, selepas Filipina.

Satu daripada aktiviti rangkaian sosial yang semakin popular di Malaysia ialah berkongsi gambar.

Dari 2009 hingga 2010, populariti perkongsian gambar dalam talian meningkat sebanyak 57 peratus di Malaysia, peratusan kedua tertinggi di kalangan negara Asia Tenggara.

Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak menyedari bahawa apabila mengemas kini halaman rangkaian sosial , sebenarnya kita memberi penjahat-penjahat berkenaan maklumat yang mereka perlukan untuk melancarkan serangan yang disusun khusus.

Dengan membaca maklumat umum, penjenayah siber boleh mengetahui kesukaan kita, memperdaya kepercayaan dan menjadikan kita dan rakan-rakan sebagai sasaran untuk ditipu.

Lama sudah berlalu apabila anda menerima emel dari alamat yang aneh, tatabahasa yang buruk dan pautan yang jelas kelihatan mencurigakan.

Hari ini, serangan siber yang disusun cukup teratur, telah menjadikan hampir sukar bagi kita untuk mengenal pasti berbanding zaman emel itu.

Laporan terbaru Ancaman Keselamatan Internet Symantec Volume 16 (ISTR 16) mendedahkan kecanggihan yang meningkat dalam kaedah serangan-serangan yang mengambil kesempatan di laman-laman rangkaian sosial.

Penjenayah siber menyedari terdapat data yang banyak untuk diperoleh dan menggunakan apa saja kaedah untuk mendapatkan maklumat peribadi.

Apatah lagi penemuan Laporan Jenayah Siber Norton 2010 mendapati bahawa 65 peratus pengguna-pengguna Malaysia tidak membuat penetapan kerahsiaan tinggi ke atas laman rangkaian sosial, menjadikan mereka kumpulan yang mudah ditembusi.

Di samping itu, ISTR 16 menemui bahawa penjenayah siber menggunakan rangkaian sosial untuk mengutus pautan pendek ke laman-laman web berniat jahat kerana destinasi sebenar pautan tersebut tersorok daripada pengguna.

Sepanjang tempoh tiga bulan pada 2010, dua pertiga pautan berniat jahat dalam sumber berita yang dipantau oleh Symantec menggunakan kependekan URLs dan daripadanya, 73 peratus diklik 11 kali atau lebih - membuktikan keberkesanan mereka!

Bagaimanapun, penjenayah siber tidak sahaja menggunakan rangkaian sosial untuk menyerang para pengguna.

Dengan penggunaan peralatan bergerak, penjenayah siber juga sama bergerak seperti anda.

Pada tahun lepas, Norton mencatatkan 163 kes serangan pada peralatan bergerak; peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding 2009.

Di Malaysia, Symantec juga menyaksikan peningkatan dalam penggunaan peralatan bukan-PC, terutamanya telefon pintar.

Menjelang tahun 2014, Pyramid Research mengunjurkan kadar penembusan peralatan bergerak Malaysia akan meningkat sebanyak 133 peratus, yang mana langganan jalur lebar bergerak akan berjumlah 2.6 juta.

Tatkala lebih ramai pengguna memuat turun dan memasang aplikasi pihak ketiga bagi peralatan bergerak, kemungkinan memasang aplikasi berniat jahat juga meningkat.

Dengan kod jahat kini direka untuk menjana perolehan, kita berkemungkinan besar akan menyaksikan lebih banyak ancaman dicipta bagi peralatan seumpamanya ketika orang semakin menggunakannya bagi transaksi sensitif seperti membeli-belah dalam talian dan perbankan Internet.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 3 Julai 2011

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Istana Negara mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/