Selasa, 19 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : Konsep Program Sekolah Dalam Hospital

Sekolah Dalam Hospital, satu konsep baru yang akan memberi manfaat kepada pelajar yang mempunyai kesakitan atau penyakit berpanjangan di hospital. Kini terdapat dua buah hospital yang telah memulakan sesi pembelajaran di dalam hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Serdang. Seramai 16 guru telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria untuk bertugas di bilik darjah hospital berkenaan.


Guru-guru yang telah dipilih itu perlu terlebih dahulu menjalani latihan selama sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Institut Pediatrik HKL bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk menangani kelompok pelajar yang mempunyai masalah kesihatan.


Sekolah Dalam Hospital (SDH) merupakan projek khas pembelajaran untuk pelajar yang dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan jangka panjang dan bertujuan mengatasi masalah keciciran pelajar yang ketinggalan sesi persekolahan apabila menerima rawatan untuk tempoh lama di hospital. Sesi pembelajaran SDH hanya akan fokus kepada subjek teras sahaja, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Bagi pelajar yang tidak dapat hadir ke kelas di SDH, guru akan berjumpanya dan mengajarnya di bilik wad pelajar tersebut.


Program “Sekolah Dalam Hospital” ini memang tepat pada masanya memandangkan ramai pelajar yang ketinggalan pembelajaran di sekolah disebabkan oleh masalah kesihatan kini dapat diselesaikan malah dapat meningkatkan semangat mereka untuk terus belajar walaupun mereka jatuh sakit dan tidak dapat pergi ke sekolah.

Sumber : http : //www.mynewshub.com.my/

ISU KENAIKAN TARIF ELEKTRIK : Masa Untuk Berjimat-Cermat

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana dua siri ini menyentuh isu kenaikan tarif elektrik termasuk dari sudut kepenggunaan.

Ini bahagian akhir daripada dua bahagian.

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kenaikan tarif elektrik yang diumum kerajaan berkuatkuasa 1 Jun lepas mungkin belum memberi banyak kesan kepada kebanyakan pengguna.

Bagaimanapun, mungkin sudah ada yang tidak lena tidur memikirkan cara untuk mengurangkan perbelanjaan dalam menjangkakan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, ekoran kenaikan tarif elektrik itu.

Sikap yang positif ini dilihat amat perlu supaya tidak perlu menokok hutang yang mungkin sudah hampir mengelilingi pinggang.

Bagi mereka yang mempunyai keluarga besar, beban kewangan sudah pastinya berlipat ganda. Jika tersilap langkah dalam perhitungan berbelanja, alamat duit gaji atau upah yang diperoleh mungkin hanya cukup menampung keperluan sampai ke pertengahan bulan.

Mungkin ada juga yang baru dapat gaji sudah mengeluh wang yang diperoleh tidak mencukupi dan terpaksa berhutang, melayangkan kad kredit ketika membeli-belah atau mencari pinjaman peribadi daripada ceti haram atau ahlong!

ZON SELESA

Tidak dapat tidak, langkah yang perlu diambil ialah untuk mengubah suai perbelanjaan "menyediakan payung sebelum hujan" atau "beringat sebelum kena berjimat sebelum habis."

Namun, bagi sesetengah pihak, cakap mungkin lebih mudah daripada untuk melakukannya tambahan apabila membabitkan barang keperluan dan jika tidak mempunyai banyak pilihan.

"Pengguna telah berada dalam keadaan selesa sejak sekian lama kerana harga barang yang boleh dikatakan masih rendah disebabkan oleh pemberian subsidi kerajaan.

"Ketika itu, kerajaan masih mampu untuk menampungnya, jadi tidak ada masalah.

"Namun apabila kerajaan tidak dapat lagi menampung kerana jumlah yang ditanggung adalah besar, maka kerajaan perlu mengkaji semua pemberian subsidi itu," kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) kepada Bernama di sini baru-baru ini apabila diminta mengulas isu semasa kepenggunaan berhubung kenaikan tarif elektrik dan kesan kepada pengguna.

PASARAN GLOBAL

Umum mengetahui Malaysia masih bergantung kepada import bahan makanan mentah.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu di peringkat global berpunca daripada ketidakstabilan politik serta perubahan iklim di negara pengeluar bahan makanan mentah akan menyebabkan berlaku peningkatan harga.

"Memandangkan sebahagian besar daripada bahan makanan mentah adalah diimport, dalam kebanyakan keadaan kerajaan tidak dapat mengawal kedudukan harga barang. Hal yang sama juga berlaku kepada bahan api," kata Mohd Yusof.

Rakyat bukan sahaja perlu diperjelaskan tentang mekanisme pasaran dalam menentukan harga barang tetapi juga diberi kefahaman kesan kenaikan harga di peringkat antarabangsa kepada tanggungan subsidi.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat tentang perancangan kerajaan bagi membantu golongan miskin dan yang berpendapatan rendah termasuk golongan berpendapatan pertengahan yang mempunyai banyak tanggungan apabila satu-satu subsidi itu dimansuhkan.

"Ini termasuk skim mewujudkan skim jaringan sosial yang mantap, penaiktarafan sistem pengangkutan awam yang baik dan bersepadu dan sebagainya," kata Mohd Yusof.

JANGAN HARAP SUBSIDI

Subsidi yang dikeluarkan kerajaan sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan sasaran menikmati harga pada paras yang rendah, namun subsidi yang diberikan bersifat menyeluruh yang turut dinikmati oleh golongan berada dan warga asing yang menetap di Malaysia.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan subsidi yang besar apabila berlaku perubahan harga bahan mentah di peringkat global.

Kerajaan menyediakan peruntukan RM23.7 bilion atau 14.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus untuk keseluruhan subsidi tahun ini.

Bagi mengekalkan harga runcit petrol RON95, kerajaan terpaksa menambah peruntukan subsidi petroleum, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM5.6 bilion daripada RM10.3 bilion kepada RM15.9 bilion.

Peruntukan subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak juga ditambah RM700 juta daripada RM928 juta kepada RM1.6 bilion.

Untuk subsidi gula pula, meskipun harga bahan itu dinaikkan 20 sen Mei lalu, kerajaan masih menanggung subsidi gula sebanyak RM283 juta.

HEMAT BERBELANJA

Lazimnya bila menjelang musim perayaan pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa. Ada yang merasa tidak lengkap berhari raya umpamanya jika tidak berpakaian baru dan menggantikan peralatan rumah.

Mohd Yusof berpendapat dalam menghadapi keadaan cabaran harga barang yang meningkat, pengguna perlu berhemat dalam perbelanjaan mereka.

"Buat perancangan perbelanjaan terlebih dahulu yang mengikut kemampuan.

"Kumpul wang untuk perbelanjaan musim perayaan pada awal bulan dengan menetapkan matlamat jumlah wang yang diperlukan semasa musim perayaan.

"Ini termasuk perbelanjaan membeli keperluan, makanan, perjalanan pulang ke kampung dan sebagainya," katanya.

Bagi umat Islam yang akan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang menjelang tiba, Mohd Yusof turut mengingatkan supaya mengelakkan pembaziran.

"Banyak berlaku pembaziran di bulan Ramadan termasuk ketika membeli juadah untuk berbuka puasa. Ingat untuk membeli mengikut keperluan sahaja.

"Jika mahu membeli barang keperluan, buat senarai untuk mengelakkan pembelian yang tidak perlu dan bawa wang yang setakat cukup untuk senarai barang yang disediakan," katanya.

SEDARKAN PENGGUNA

Sebagai sebuah pertubuhan kepenggunaan, Fomca, menurut Mohd Yusof sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pengguna di negara ini.

Ia termasuk menyedarkan mereka tentang peranan yang boleh dimainkan dalam menghadapi kenaikan harga barang.

Satu daripada usaha Fomca ialah Kempen Konsumer Kebangsaan yang diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cupeacs) dan Petronas.

Mohd Yusof berkata tema kempen yang dilancarkan pada 2008 dan berakhir 2012 itu ialah "Perubahan Bermula Dengan Saya."

Fomca juga, katanya, turut mengadakan program jangkauan di peringkat komuniti.

Sebanyak 201 program seumpama ini diadakan di seluruh negara pada 2010 berbanding 171 program pada 2009.

Di samping itu, Fomca turut mengadakan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi program Celik Kewangan.

"Program ini diadakan disebabkan oleh masalah golongan eksekutif muda yang gagal menguruskan kewangan mereka sehingga ada yang diisytiharkan muflis.

"Menurut kajian hampir 50 peratus golongan muda yang diisytihar muflis adalah kerana kad kredit," katanya sambil menambah golongan muda ini mungkin terperangkap dengan penggunaan kad plastik ini ketika menuntut di institut pengajian tinggi lagi.

Ramai anak muda, katanya berbelanja mewah dengan kad kredit yang diberi ibu bapa dengan jangkaan mereka akan membayar hutang kad kredit apabila tamat pengajian dan menyandang jawatan tinggi.

"Malangnya ada yang menganggur walau pun sudah ada ijazah di tangan dan terperangkap dengan beban hutang kad kredit," katanya.

BUAT PERUBAHAN

Sesungguhnya pengguna di negara ini semakin perlu meneliti kemampuan kewangan mereka sebelum berbelanja.

Perancangan perbelanjaan dilihat sebagai penting bagi memastikan mereka hanya membeli barang yang benar-benar diperlukan.

Mereka juga perlu melakukan perubahan sebelum berdepan dengan kenaikan harga barang terutama menjelang musim perayaan.

Menanam sendiri sayur-sayuran termasuk menggunakan pasu bagi mereka yang tidak mempunyai kawasan bertanah mungkin dilihat remeh.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan bersungguh-sungguh tidak mustahil usaha kecil ini jika diperluaskan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dan menyejukkan persekitaran.

Selain daripada pembangunan fizikal yang mencerminkan sebuah negara maju selaras dengan aspirasi Wawasan 2020, perubahan sikap juga perlu berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia juga perlu menjadi semakin bertanggungjawab serta tahu melakukan pengubahsuaian diri dalam menghadapi sebarang keadaan yang berlaku di sekeliling mereka," kata Mohd Yusof.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Isnin, 18 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : e-disiplin akan diperluas ke semua sekolah secara berperingkat

PUTRAJAYA - Sistem Kawalan Disiplin Murid atau e-Disiplin yang dilancarkan hari ini untuk mengesan dan mengawal tingkah laku murid secara dalam talian, akan diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata melalui e-Disiplin iaitu aplikasi maklumat komunikasi dan teknologi (ICT) berasaskan web, guru disiplin akan melapor salah laku pelajar secara dalam talian.

Ini sekali gus memudahkan kementerian mengukur, mengesan dan mengawal selia disiplin murid sebelum melaksanakan tindakan selanjutnya dan akan dilaksanakan sebagai program pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke-10, pada tahun ini, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan komputer riba kepada 97 buah sekolah menengah Felda seluruh negara yang terlibat dalam pelaksanaan e-disiplin serta pelancaran e-Disiplin, di sini hari ini.

Sejak 2009 sehingga kini, e-disiplin hanya dilaksanakan di 317 sekolah termasuk 97 sekolah menengah Felda di seluruh negara yang mendapat maklum balas positif daripada guru-guru kerana mencatatkan penurunan masalah disiplin murid yang begitu signifikan, katanya.

Ia dibangunkan oleh Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (Mapan) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membantu usaha kementerian memantapkan pengurusan disiplin murid.

"Kita seru supaya pihak sekolah sentiasa mengisi maklumat dengan jujur. Kita akan lihat juga mana sekolah yang rekodnya nampak mungkin kita akan tanya soalan atau kita hantar pasukan ke sekolah itu (untuk menyiasat), katanya kadang-kadang sekolah tidak lapor tetapi ada masyarakat yang laporkan (kes disiplin), katanya.

Mengenai tindakan yang akan diambil kepada sekolah-sekolah yang mencatatkan banyak kes salah laku pelajar, Abd Ghafar berkata kementerian akan turun padang untuk melihat sendiri keadaan di sekolah itu supaya ia dapat diatasi segera selain mengadakan kursus motivasi untuk pelajar.

Sementara itu beliau berkata sumbangan komputer riba itu adalah usaha kementerian dan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid untuk memudahkan tugas guru-guru disiplin sekolah menengah Felda dalam melaksanakan pembangunan disiplin murid dengan lebih fokus dan tersusun.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

ISU KENAIKAN TARIF ELEKTRIK : Perlu Lebih Cekap Tenaga

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana dua siri ini menyentuh isu kenaikan tarif elektrik termasuk dari sudut kepenggunaan.Ini bahagian pertama daripada dua bahagian.

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Sewaktu kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik pada 1 Jun lalu, mereka yang menggunakan elektrik pada kadar kurang daripada 300 kWj sebulan atau RM77 ke bawah pastinya menarik nafas lega.

Ini kerana kenaikan itu hanya memberi kesan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 301 hingga 1000 kWj sebulan.

Bagaimanapun, keadaan ini mungkin tidak akan berterusan selama-lamanya seperti yang dijelaskan Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, bahawa kos bahan api akan semakin meningkat dan ia adalah kos tertinggi bagi industri elektrik.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan Imbangan Tenaga Kebangsaan (NEB) 2008.

"Menurut NEB, campuran bahan api untuk penjanaan elektrik adalah 56.6 peratus gas asli, 33.4 peratus arang batu, 8.1 peratus hidro, 1.2 peratus diesel dan 0.7 peratus fuel oil," katanya.

KOMPONEN UTAMA

Daripada statistik NEB itu jelas dapat dilihat dua komponen utama yang mempengaruhi tarif elektrik iaitu gas asli dan arang batu.

Menurut Piarapakaran, gas asli dibekalkan oleh Petronas pada harga subsidi berdasarkan harga formula kerajaan.

Sementara itu arang batu pula dibeli daripada luar negara dan berdasarkan harga pasaran antarabangsa.

"Kenaikan harga arang batu masih diserap oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas permintaan kerajaan persekutuan," kata Piarapakaran kepada Bernama semasa mengulas impak kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan Jun lepas.

Beliau berkata kenaikan tarif elektrik itu adalah untuk mengurus kenaikan harga gas asli dan pelaksanaan "Feed-in Tariff" (FiT).

Jelasnya, FiT ialah mekanisme "Feed-in Tariff" (FiT) yang diperkenal kerajaan untuk mempromosi pembangunan Tenaga Diperbaharui (RE).

Usaha itu, kata beliau, dibuat melalui penubuhan Sustainable Energy Development Authority (SEDA).

TENAGA DIPERBAHARUI

Menurut Piarapakaran, antara fungsi SEDA ialah untuk menguruskan Dana RE yang dikumpul melalui tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna.

"Satu peratus daripada tarif kita disumbangkan kepada Dana RE. Bagaimanapun keperluan ini dikecualikan bagi pengguna domestik yang penggunaan elektriknya di bawah 300 kWj sebulan," jelasnya.

Piarapakaran menjelaskan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan bercadang meningkatkan campuran tenaga RE yang kini kurang daripada 1 peratus kepada sekitar 5.5 peratus pada tahun 2015.

SEDA, katanya, dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2011 dan mempunyai masa empat tahun untuk mencapai sasaran seperti yang ditetapkan di bawah RMK-10.

"AWER berharap SEDA akan fokus kepada tujuan penubuhannya," kata Piarapakaran.

TERUS MENINGKAT

Dari segi penggunaan tenaga asas (semua bentuk sumber tenaga), Malaysia mencatat peningkatan pada kadar 6.1 peratus antara tahun 2000 hingga 2008.

Peningkatan permintaan tenaga bukan sahaja mempunyai kaitan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga pertambahan jumlah penduduk negara.

Menurut Piarapakaran, keadaan itu membuktikan bahawa permintaan tenaga di Malaysia akan sentiasa meningkat daripada nilai anggaran purata dunia.

Dalam keadaan itu, beliau berkata kerajaan perlu menjamin industri elektrik masih mampu memberikan tarif yang saksama kepada semua masyarakat pengguna.

"Ini penting untuk perkembangan ekonomi yang berterusan. Kebimbangan AWER adalah untuk kerajaan memastikan Malaysia kekal sebagai pasaran yang berdaya saing untuk pelabur.

"Disebabkan kerajaan sedang merasionalisasi subsidi, tarif elektrik menjadi parameter yang penting untuk dikaji.

"Kita sudah pun mula hilang tahap kompetitif kepada Thailand dan Korea Selatan," katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Piarapakaran berkata pihaknya ingin mencadangkan supaya proses penetapan tarif yang telus dengan pembabitan rakyat dapat dilaksanakan.

Melalui proses yang sedemikian, rakyat, katanya boleh memahami serta menerima sebarang kenaikan tarif tanpa sebarang keraguan dan dapat memainkan peranan mereka secara lebih bertanggungjawab.

Pihak peniaga serta pelabur pula, tambahnya boleh merancang operasi mereka dengan lebih teliti.

ISU PPP

Setiap kali berlaku pelarasan tarif elektrik, isu utama yang sering dibangkitkan ialah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara TNB dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Lazimnya perkara yang menjadi tumpuan untuk PPA ini ialah kos bahan api.

Menurut Piarapakaran mekanisme penyaluran kos bahan api yang dipraktikkan sekarang di bawah PPA adalah tidak jelas.

Rakyat, katanya perlu dimaklumkan dengan lebih jelas bagaimana kos bahan api yang disalurkan memberi impak kepada tarif.

"Daripada kajian kami IPP mengambil masa kurang daripada 10 tahun untuk memperoleh kembali perbelanjaan modal. Ini menunjukkan IPP tidak mempunyai sebarang risiko dalam perniagaan elektrik.

"IPP juga mendapat pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek-projek mereka dan semua kos ini akhirnya disalurkan kepada rakyat sebagai tarif.

"Sektor penjanaan elektrik mesti dikawal selia dan kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu yang hanya mengutamakan keuntungan dan mengabaikan kesejahteraan rakyat terus bermaharajalela," tegas Piarapakaran.

AWER, katanya, telah menyediakan satu laporan mengenai masa depan industri elektrik negara yang antaranya menggariskan isu-isu berkaitan industri elektrik negara.

Laporan itu dihantar kepada semua anggota kabinet, anggota parlimen dan agensi-agensi kerajaan terbabit pada 2 Jun 2011. Laporan penuh ini boleh dibaca di laman sesawang AWER www.awer.org.my .

CEKAP TENAGA

Dalam masa yang sama, Piarapakaran mempunyai saranan untuk semua rakyat Malaysia termasuk mereka yang tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

"Jadilah lebih cekap tenaga kerana kita juga mempunyai tanggungjawab kepada generasi akan datang," katanya.

Menurut beliau, kecekapan tenaga adalah cara untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, sebagai contoh, pembelian alat elektrik yang cekap tenaga, tidak membiarkan peralatan dalam mod sedia dan menggunakan bila perlu.

Menyelenggara alat-alat elektrik secara berkala juga dapat membantu alat-alat ini berfungsi dengan cekap.

Alat seperti pendingin hawa, ketuhar mikro, peti sejuk dan alat-alat 'yang banyak guna tenaga' biasanya perlu penyelenggaraan.

"Bagi AWER, menjadi cekap tenaga adalah satu-satunya cara untuk kita melangkah ke hadapan.

"Kegagalan kita untuk berbuat demikian akan hanya mengundang krisis," tambahnya.

Bagi mereka yang biasa membayar bil elektrik yang tinggi dan masih mampu berbuat demikian, mereka mungkin tidak ambil peduli dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik.

Namun untuk pengguna yang mungkin berdepan dengan kesulitan kewangan, ada cara untuk mengurangkan beban kenaikan.

Pengguna sepatutnya dapat mengenal pasti alat yang banyak menggunakan tenaga elektrik.

Menurut Piarapakaran, sebarang peralatan yang memanaskan, menyejukkan dan berputar, menggunakan lebih banyak tenaga.

"Jika kita menggunakan peralatan seperti pendingin hawa, pemanas air, peti sejuk dan pam air tangki ikan, kita akan menggunakan tenaga elektrik dengan banyak.

"Mengurangkan penggunaan alat-alat ini atau menggunakan alat-alat yang cekap tenaga dapat mengurangkan impak kepada bil elektrik," jelasnya.

PILIH YANG SESUAI

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian berat oleh pengguna ialah peralatan yang berusia lebih daripada 10 tahun menggunakan hampir tiga kali ganda penggunaan tenaga elektrik berbanding model terkini di pasaran.

Di mana sesuai, pengguna yang memiliki peralatan yang seperti itu dinasihatkan membeli barangan baru yang cekap tenaga.

Piarapakaran menjelaskan bahawa sebagai permulaan, kerajaan persekutuan memberikan rebet untuk pendingin hawa sebanyak RM100 dan peti sejuk sebanyak RM200 yang cekap tenaga serta mempunyai label 5 Bintang.

Tawaran itu, katanya adalah untuk jenama-jenama yang menyertai program ini di lokasi-lokasi terpilih sehingga akhir 2011.

Dalam masa yang sama kaedah penggunaan atau pemasangan peralatan dengan betul adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kenaikan mendadak bil.

Piarapakaran memberikan contoh penggunaan alat hawa dingin mestilah di bilik yang tertutup dan bersesuaian saiznya.

"Jika kita memasang pendingin hawa di lokasi tanpa pintu seperti ruang makan atau bilik yang lebih besar daripada kapasiti reka bentuk pendingin hawa sudah pasti kita akan mencatat penggunaan elektrik yang tinggi," jelasnya.

Menurut beliau, terdapat banyak langkah untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Langkah terbaik, katanya, adalah menggunakan sesuatu peralatan itu apabila diperlukan sahaja serta menggunakan peralatan yang cekap tenaga.

"Kecekapan tenaga dicapai melalui reka bentuk dan peralatan yang menggunakan tenaga itu sendiri.

"Elak juga meninggalkan peralatan dalam mod sedia kerana 10 peratus hingga 30 peratus tenaga elektrik penggunaan biasa digunakan dalam mod sebegini," jelas Piarapakaran.

AWAS PENIPUAN

Dalam keterujaan untuk mengurangkan kos penggunaan elektrik, pengguna bagaimanapun dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Menurut Piarapakaran, terdapat banyak produk yang didakwa boleh mengurangkan penggunaan elektrik termasuk 'mengurangkan pembacaan meter'.AWER, katanya, telah berulang kali menimbulkan isu itu dengan agensi kerajaan yang terbabit.

"Dakwaan yang dibuat oleh jurujual bahawa Suruhanjaya Tenaga, TNB dan SIRIM telah memberi pengiktirafan kepada barangan seperti itu tidak benar.

"Sekiranya ada orang awam atau peniaga didatangi jurujual-jurujual ini, segera laporkan kepada Suruhanjaya Tenaga," tegasnya.

Piarapakaran berkata pihaknya telah memulakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pasar raya-pasar raya besar supaya tidak membenarkan jurujual berkenaan membuka kedai di lokasi mereka.

"Kami berharap rakyat tidak terpedaya dengan taktik serta tipu-helah untuk memasang peralatan yang didakwa boleh mengurangkan penggunaan elektrik.

"Hanya ada satu sahaja cara untuk mengurangkan penggunaan elektrik iaitu dengan menggunakan produk yang cekap tenaga," katanya.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

ISU KESIHATAN : Tiga langkah elak keracunan makanan

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif menganjurkan kempen keselamatan makanan dalam usaha untuk melindungi orang ramai terutamanya murid sekolah rendah daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan, penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Noraini Mohd. Othman berkata, pihaknya memandang serius isu-isu berkaitan keselamatan makanan yang berlaku di dalam negara.

"Pelbagai langkah telah dan sedang diambil oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dalam menjalankan aktiviti promosi keselamatan makanan bagi memberi maklumat dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat terutamanya murid-murid," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sehubungan itu jelasnya, pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan di sekolah antaranya kempen keselamatan makanan "Lihat, Hidu, Rasa" yang disasarkan kepada murid sekolah rendah berumur tujuh hingga 12 tahun.

"Tema Lihat, Hidu, Rasa telah dilancarkan pada Ogos 2010 dan kempen yang berterusan ini memperkenalkan tiga langkah mudah untuk mengenali makanan rosak atau basi.

"Tingkah laku ini dipilih memandangkan ia amat mudah untuk dilakukan dan tidak melibatkan kos tetapi hanya menggunakan deria yang telah dianugerahkan untuk membuat penilaian sebelum membeli atau mengambil makanan," katanya.

Menurut beliau, pemilihan makanan boleh dibuat dengan langkah mudah seperti melihat makanan dari segi berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya.

"Langkah kedua ialah dengan menghidu makanan tersebut untuk memastikan tiada bau yang tidak menyenangkan atau berbeza daripada biasa.

"Langkah ketiga pula ialah dengan merasa makanan itu bagi mengenal pasti sama ada ia sudah basi atau busuk.

"Sekiranya makanan didapati mempunyai ciri-ciri seperti yang tersebut, ini menunjukkan makanan itu telah rosak atau basi dan tidak boleh dimakan," terang beliau.

Tambah Noraini lagi, selain memberi kesedaran dan pengetahuan tentang bahaya-bahaya kesihatan disebabkan makanan yang basi atau rosak, matlamat kempen ini adalah untuk membantu menggalakkan murid memilih makanan yang bersih serta selamat.

"Ia juga melatih murid menggunakan kemahiran deria lihat, hidu dan rasa semasa memilih makanan serta mendorong ibu bapa dan guru mengambil perhatian dalam memastikan anak mereka memilih makanan yang bersih dan selamat," jelasnya.

Katanya lagi, KKM berharap melalui pendekatan "Lihat, Hidu, Rasa" yang diperkenalkan itu dapat membantu murid-murid mengenal pasti dan mengelak daripada mengambil makanan yang rosak atau basi melalui deria mereka.

"Langkah ini seterusnya dapat mengelakkan mereka daripada mengalami keracunan makanan terutamanya ketika di sekolah," ujarnya.

Selain itu, KKM juga telah menubuhkan Skuad Germ Buster yang merupakan sebuah van khas yang dilengkapi dengan bahan-bahan pendidikan untuk mengadakan aktiviti di sekolah-sekolah secara terancang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Ke mana bahasa Melayu?

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Tindak-tanduk menidakkan wibawanya bawa padah

MESKIPUN sejarah bahasa Melayu itu sudah bermula berdekad lampau dan diiktiraf sebagai bahasa kerajaan sejak abad Ke-13, menjelang alaf baru, kedudukan bahasa Melayu benar-benar tercabar dalam negaranya sendiri. Malah sejak 50 tahun selepas merdeka, kedudukannya sebagai bahasa ilmu sudah merosot.

Kenyataan itu amat pedih, tetapi itulah hakikat yang ditegaskan bekas Ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada ceramah umum di Ibu Pejabat DBP, Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-55 badan itu, baru-baru ini.

Malah titik kemerosotan itu semakin membesar apabila kerajaan sendiri pada 2003 mengubah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dengan alasan orang Malaysia tidak akan maju jika tidak belajar kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa penjajah!

“Krisis ini berlaku setelah dasar yang asal itu berjaya menghasilkan ratusan ribu, bahkan beberapa juta pelajar yang mempelajari Sains dan Matematik dengan jaya dalam bahasa kebangsaan sejak 1970-an. Dasar itu juga telah melahirkan ratusan profesor dan pensyarah yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, selain ratusan ahli sains dan pakar bidang lain termasuk perubatan,” katanya.

Dr Hassan menegur sikap sesetengah pihak berkenaan yang terlalu mudah melupakan kenyataan bahasa Melayu sudah pun digunakan untuk mengajar dan mempelajari ilmu ‘moden’ seperti linguistik umum, sosiologi, antropologi, selain bahasa dan kesusasteraan Melayu di Jabatan Pengajian Melayu sejak Universiti Malaya di Singapura pada 1954.

Lebih membanggakan tenaga pengajar pada masa itu ialah di kalangan sarjana Belanda dan Inggeris seperti Jesselin de Jong, Dr CC Mees, Dr MBSwift dan CC Skinner yang menguasai ilmu dalam bahasa Melayu dengan baik, selain berkesungguhan mengajarnya.

Beliau yakin bahawa kemerosotan itu berpunca daripada enam faktor, iaitu dasar bahasa yang ada selama ini tidak kuat atau lemah; pelaksanaan dasar itu lemah atau tidak tegas; perancangan bahasa atau cara membina dan mengembangkan bahasa sebagai bahasa kebangsaan Malaysia tidak cekap atau tidak kena atau tidak sesuai dengan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa yang sudah maju sebelum 1957.

Tidak ketinggalan, pendidikan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan di sekolah gagal melahirkan generasi pasca kemerdekaan yang tertarik untuk terus menggunakan bahasa Melayu sebagai alat kemajuan negara dalam semua bidang selepas meninggalkan bangku sekolah.

Begitu juga pusat pengajian tinggi awam dan menteri atau Perdana Menteri yang sepatutnya melaksanakan dasar bahasa kebangsaan tidak berpengetahuan, semangat dan komitmen yang kuat untuk mendukung dasar itu sepenuh hati atau tiada ‘model’ pengguna bahasa kebangsaan yang terbaik di kalangan pemimpin negara, menteri, pegawai kerajaan dan ahli korporat perniagaan yang dapat diteladani atau dicontohi anggota masyarakat atau rakyat.

“Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sektor pendidikan dan pentadbiran kerajaan yang lemah akan merebak ke DBP menjadikan tugas mereka sia-sia. Apa perlunya DBP menggubal ratusan ribu istilah baru pelbagai bidang ilmu, jika tidak digunakan atau penulisan dan penerbitan buku ilmu tinggi dalam bahasa ini kian lama kian merosot?,” soalnya.

Justeru, DBP perlu kuat dan memperkukuhkan tugasnya seperti diamanahkan sejak 1959 dan diperkemaskan lagi melalui Akta DBP (Pindaan) 1995, iaitu amanah untuk mengembangkan dan memperkukuh bahasa Melayu melalui pembinaan sastera dalam bahasa kebangsaan melalui penulisan dan penerbitan karya ilmu yang besar dalam bahasa ini.

“DBP jangan lari daripada tugas asal. Saya juga mengingatkan orang DBP bahawa mereka semua diamanahkan untuk ‘memajukan’ bahasa dan sastera Melayu yang sudah maju beratus tahun sebelum 1957. Janganlah kita merosakkan ‘martabat’ bahasa yang sudah maju ini dengan melakukan kaedah ‘perancangan bahasa’, ‘perancangan sastera’ dan ‘perancangan penerbitan’ seolah-olah bahasa ini bahasa yang mundur, bahasa tidak maju, bahasa yang tidak pernah meninggalkan tradisi sastera dan penulisan ilmu yang tinggi,” tegasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 17 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : 31 sekolah kluster terpilih sekolah berprestasi tinggi

KUALA NERANG: Sebanyak 31 daripada 152 sekolah yang diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Dalam teks ucapannya yang disampaikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Rosland Hussein, beliau berkata kejayaan itu menunjukkan SKK sentiasa melonjakkan kecemerlangannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"SKK juga telah mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila terdapat pelajar yang menyertai International Competition & Assessments far School (ICAS) di Australia dan berjaya mendapat pengiktirafan Highly Commended dan High Distinctions," katanya pada Majlis Penutup Karnival SKK Zon Utara di sini hari ini.

Katanya, bagi bidang kebitaraan kokurikulum pula, SKK telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Dalam enam bulan pertama 2011, SKK telah dapat menjayakan lebih 50 program pengantarabangsaan," katanya.

Abd Ghafar berkata salah satu daripadanya ialah kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong di Miri, Sarawak yang merangkul satu pingat emas dan satu pingat perak bagi Apec Young Scientists Conference di Taipei, Taiwan.

"Kita juga berasa amat bertuah kerana Karnival SKK kali ini turut disertai oleh sekolah dari Thailand iaitu Hat Yai Withayalai School 2.

"Kerjasama ini amat baik bagi SKK untuk menjalin hubungan dan membuat penanda arasan, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta mengenali budaya masing-masing," katanya.

Beliau berkata menjadi harapan Kementerian Pelajaran agar kecemerlangan SKK dilestarikan dan dilonjakkan ke peringkat antarabangsa.

Pada karnival yang berlangsung dari 15 hingga 17 Julai di SMK Datuk Syed Ahmad di sini itu, sebanyak tujuh sekolah dari Kedah, empat dari Perlis dan enam dari Pulau Pinang telah terpilih sebagai SKK bagi Zon Utara.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/