Jumaat, 2 Disember 2011

ISU BAHASA : Bahasa bukan penghalang kemajuan


DALAM mengorak langkah kepada isu amalan budi bahasa masyarakat negara ini, adalah amat tidak wajar sekiranya merumuskan nilai murni semakin kurang diterapkan dalam generasi kini.

Ini kerana, golongan yang diklasifikasikan sememangnya "biadap" atau tiada budi serta bahasanya, hanya merangkumi "komuniti kecil" sahaja.

Akan tetapi, tindakan komuniti ini akhirnya menjurus kepada rumusan "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga". Harus diingat bahawa pengamalan budi bahasa masih lagi dalam kehidupan seharian masyarakat cuma mungkin tidak seperti dahulu kekuatannya berikutan pengaruh faktor lain.

Ini berdasarkan kepada hasil temuramah sebelum ini yang melihat faktor seperti tekanan di tempat kerja, rumah, perhubungan sesama manusia, kesesakan jalan raya sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengukuhan budi bahasa dalam diri seseorang itu.

Bagaimanapun, tekanan berpanjangan serta tidak terkawal bukan sahaja memberi kesan kepada pengukuhan amalan budi bahasa, prestasi kerja malah kesihatan seseorang itu dan ini diakui sendiri oleh Pakar Perunding Psikiatri di Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

Berada di persimpangan, antara meluahkan pendapat ataupun lebih baik berdiam diri kerana tidak mahu dikatakan bersikap "kurang ajar".

Ini adalah antara senario yang dihadapi oleh sebahagian daripada kita sama ada di pejabat, rumah mahupun institusi pembelajaran. Mempunyai persepsi bahawa "berterus terang" cenderung untuk dikatakan "biadap", bermulut celupar, menyebabkan seseorang itu lebih gemar memilih berdiam diri kerana tidak mahu menyinggung perasaan orang lain.

"Jangan jadikan budi bahasa itu sebagai halangan untuk kita maju. Masyarakat makin matang, kita kena lebih keterbukaan. Apabila kita ada idea yang bagus, mungkin sukar untuk masyarakat menerimanya disebabkan tidak mahu melukakan hati orang lain.

"Akan tetapi, walaupun kita sudah bersikap keterbukaan, adab, budi bahasa harus diamalkan ketika menyuarakan pendapat, idea berbeza ataupun semasa perselisihan faham," kata Dr Muhammad Muhsin kepada Bernama baru-baru ini.

Biarpun terdapat segelintir pihak merumuskan bahawa "keterbukaan" adalah budaya yang dicedok dari barat, namun itu tidak bermakna ia tidak sesuai diamalkan masyarakat negara ini, cuma ia perlu turut menggabungkan pengaplikasian adab-adab murni.

Senario mendiamkan diri yang berpanjangan, bukan sahaja memberi tekanan kepada seseorang individu, malah berupaya menjejaskan prestasi kerja serta pembentukan personaliti.

Menganggap diri sebagai seorang yang tidak berguna, kata Dr. Muhammad Muhsin, ada kemungkinan besar personaliti mereka bertukar menjadi agresif, ganas serta mengundang bahaya kepada masyarakat.

"Sekiranya mereka tidak dapat menyuarakan perasaan, pendapat, dikhuatiri boleh menimbulkan rasa terkilan, menyalahkan orang lain kalau dia tidak berjaya, jiwa tertekan kerana merasakan diri tidak dihormati, dan ini akan merendahkan keyakinan diri seseorang," katanya.

Perubahan personaliti sedemikian bukan hanya tertumpu kepada mereka yang mengalami senario berkenaan, malah melibatkan mereka yang mengalami tekanan di rumah, tempat kerja, kesesakan jalan raya dan hubungan sesama manusia.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Muhammad Muhsin berkata, tekanan yang dihadapi seseorang itu adalah perkara normal, namun bertukar menjadi sebaliknya apabila ia disulami dengan fikiran negatif.

Emosi berlebihan yang tidak terkawal semasa dalam keadaan tertekan itu, boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan sehingga menjejaskan tingkah laku mereka.

Ini juga termasuklah sikap biadap pemandu ketika di jalan raya sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain, memarahi serta bercakap kasar dengan pelanggan.

Namun begitu, tanpa kawalan emosi yang baik semasa berada dalam keadaan tertekan secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada masalah kesihatan seseorang itu.

"Dari segi fizikal, kajian menunjukkan tekanan berterusan boleh menyebabkan seseorang itu berpotensi mendapat penyakit darah tinggi, diabetis bagi mereka yang menghilangkan rasa tekanan dengan mengambil makanan manis dalam kuantiti banyak serta mudah mendapat penyakit lain seperti selesema, batuk.

"Ini kerana, apabila seseorang itu berada dalam tekanan, sistem imunisasinya akan rendah. Selain itu, mereka juga berisiko untuk mengalami gangguan mental seperti kemurungan dan kerisauan," katanya.

KEHIDUPAN SIHAT

Sememangnya, senario mengalami 'tekanan' menjadi lumrah biasa dalam kehidupan seseorang manusia dan tiada siapa terkecuali dalam lingkaran berkenaan.

Malah, tekanan itu membentuk kepada proses kematangan seseorang namun ia bergantung pula akan bagaimana seseorang individu itu mengendalikan senario berkenaan.

Sekiranya, tekanan itu diambil dari skop yang negatif, sekali gus ia berupaya menjejaskan kualiti kehidupan seseorang individu.

Justeru, amat penting bagi mereka yang berada dalam tekanan mengamalkan pemikiran positif yang boleh dijana menerusi amalan kehidupan sihat serta pemilihan kawan yang bersesuaian.

"Kita menyarankan kehidupan lebih sihat menjadi amalan harian dan ini termasuklah menerapkan cara pemikiran positif ketika menghadapi tekanan yang berlebihan. Apabila berada dalam tekanan, perbanyakkan perkara yang kita sukai seperti mendengar muzik, bermain dengan binatang kesayangan, bercuti dan sebagainya.

"Ini kerana, melibatkan diri dalam aktiviti yang kita suka dapat menimbulkan keseronokan serta mengalihkan fokus kemarahan, tekanan dan sebagainya," katanya.

Tambah Dr Muhammad Muhsin, aktiviti lain seperti senaman, riadah bersama keluarga berupaya meningkatkan kualiti kehidupan seseorang individu serta pengukuhan amalan nilai-nilai murni.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya: "Apabila kita sentiasa tertekan, kualiti kehidupan menurun, hati tidak tenang, kerja tidak boleh fokus, sekali gus boleh menjejaskan amalan budi bahasa". Selain memperbanyakkan aktiviti yang disukai, seseorang individu itu boleh menggunakan kaedah "penyelesaian masalah" ketika menghadapi sebarang tekanan mahupun masalah.

"Emosi yang berlebihan kalau difikirkan, ditangani atau dilepaskan mengikut perasaan, tidak akan menyelesaikan masalah. Atas sebab itu, kita perlu melihat kepada kaedah "problem solving" dengan menangani masalah itu, cari jalan penyelesaiannya... Bukan kita panjangkan ia (masalah, tekanan) sehingga menjadi satu bebanan emosi," katanya. - Bernama.

Rabu, 30 November 2011

ISU BAHASA : Mahasiswa Pemangkin Usaha Memartabatkan Bahasa Kebangsaan


Oleh Ku Amirul Faiz
(s200383@student.uum.edu.my)

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) sudah melabuhkan tirainya. Sudah 13 kali BBK diadakan dan ini bermakna selama itu juga kerajaan berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Usaha ini memang baik dan wajar dipuji.

Tetapi persoalannya kenapakah perlu ada kempen memartabatkan bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu selepas lebih setengah abad negara merdeka? Bukankah kemerdekaan itu dicapai hasil kata sepakat dan ini termasuklah kedudukan dan permartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Kempen BBK memperlihatkan seolah-olah bahasa Melayu bukan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan. Kalau tidak, masakan kemerdekaan tidak menyumbang kepada permartabatan bahasa Melayu?

Perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan sebenarnya bermula pada tarikh Malaya mencapai kemerdekaan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu bukan lagi bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi seluruh rakyat negara ini. Di manakah silapnya hingga perkara yang boleh diselesaikan selepas sepuluh tahun merdeka kini berlarutan hingga lebih setengah abad kita merdeka?

Tentulah ada kekhilafan apabila usia negara merdeka sudah mencapai 54 tahun namun bahasa Melayu belum ampuh sebagai bahasa kebangsaan. Pelbagai pihak seolah-olah mengambil kesempatan dari kelemahan politik Melayu untuk ingkar tidak mahu mengiktiraf bahasa Melayu.

Baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin mengumumkan kenaikan pangkat kakitangan akademik dibuat berdasarkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Ini satu tindakan yang mesti dipuji. Namun tindakan ini seharusnya sudah lama dilaksanakan untuk memberi merit kepada bahasa Melayu.

Dalam usia negara yang lebih setengah abad, seharusnya buku dan kajian ilmiah diterbitkan dalam bahasa Melayu untuk rujukan masyarakat serta pembaca tempatan. Tetapi Malaysia agak terkebelakang dalam usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan. Mungkin juga kerana nilai pasaran kajian ilmiah bahasa Melayu tidak seluas bahasa Inggeris. Namun hakikatnya masyarakat memerlukan karya sedemikian.

Pada tahun ini BBK bertemakan "Satu Bahasa, Satu Bangsa Satu Negara". Ini jelas manifestasi impian menjadikan bahasa kebangsaan sebagai tulang belakang perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum.

Andai kita bangga melaungkan 1Malaysia yang menunjukkan betapa seriusnya kita sayang kepada bangsa Malaysia, begitu juga kita seharusnya serius dalam meletakkan bahasa kebangsaan ditempat yang sepatutnya.

Mungkin juga perlu diwujudkan satu undang-undang untuk memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan di negara ini. Justeru kesedaran terhadap peri pentingnya bahasa kebangsaan perlu diperkukuhkan. Memperlekehkan bahasa kebangsaan merupakan satu petunjuk aras luputnya nilai kebangsaan dalam kalangan masyarakat. Mungkin Malaysia negara yang hebat dalam merencana dasar yang mampu meletakkan negara di peta dunia namun kita sebenarnya lemah dalam soal jati diri.

Tugas inilah perlu digalas oleh golongan mahasiswa. Ia bukan sahaja oleh mahasiswa di universiti tempatan malah merangkumi mahasiswa tempatan di luar negara. Menyalahkan sistem bukan satu tindakan yang bijak. Biar kita menjadi seperti ikan di laut yang masin tetapi isi tetap tawar. Belajar dan membuat kajian dalam bahasa Inggeris seharusnya tidak merendahkan penguasaan terhadap bahasa kebangsaan. Belajar dan menguasai bahasa Inggeris tidak seharusnya menghilangkan jati diri kita terhadap bahasa kebangsaan. Ini adalah nilai jati diri.

BIJAK

Orang bijak pandai ada berkata, andai hendak melihat negara pada masa hadapan lihatlah anak mudanya pada hari ini. Mahasiswa kini yang dikejar dan diburu cara hidup baru menjadikan sebab utama ketidakmampuan dalam penguasaan bahasa kebangsaan. Gaya hidup global yang menjadi pilihan mahasiswa kini merupakan jerat yang membantutkan pengembangan dan penguasaan bahasa kebangsaan pada masa hadapan.

Harus diingatkan bahawa mahasiswa adalah pencetus perubahan. Pendidikan pula menjadi kayu ukur kekayaan bangsa di sesebuah negara. Justeru mahasiswa merupakan barisan hadapan dalam memartabat serta memperjuangkan bahasa kebangsaan. Kita sudah pasti setuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa masyarakat seharusnya menguasai bahasa asing untuk menguasai ilmu, dalam masa yang sama turut memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Andai pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu yang mula diadakan pada 2007 dijadikan kayu pengukur, ternyata bahasa kebangsaan kita cukup tinggi. Kebolehan menguasai bahasa Melayu oleh peserta luar negara menunjukkan keindahan dan keunikan bahasa ini. Justeru tidak mustahil untuk menzahirkan bahasa Melayu sebagai bahasa Asean apabila 350 juta rakyat bertutur dalam bahasa Melayu. Maka tidak timbul bahasa kebangsaan dianggap sebagai bahasa kelas dua. Ini adalah laras perjuangan kepada setiap yang menggelarkan diri mereka mahasiswa. Usah menjadikan sistem sebagai satu halangan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Mungkin pada masa depan BBK tidak perlu diadakan lagi kerana tahap jati diri masyarakat terhadap bahasa kebangsaan berada pada tahap tertinggi. Namun ini tentu mengambil masa yang lama. Mengubah masyarakat seharusnya dimulakan dengan mengangkat integriti serta jati diri mahasiswa. Pada masa yang sama kerajaan harus konsisten dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Hilang budi bahasa ketika di jalan raya


SEPERTI bertempur di medan perang. Itu adalah antara tanggapan yang diberikan tatkala diutarakan pandangan mengenai tahap budi bahasa dI kalangan pengendali kenderaan negara ini.

Biarpun tidak bersenjata namun cukup dengan pacuan empat, dua roda mahupun berjalan kaki, anda sebenarnya berjuang untuk "selamat" sampai ke destinasi.

Bunyi, seakan menggerunkan. Ditambah pula dengan laporan peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun terutama pada musim perayaan.

Malah, dipetik dalam satu laporan berita sebelum ini iaitu sebanyak 43,678 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Januari hingga September tahun ini (berdasarkan rekod polis) berbanding 40,154 kes pada tempoh yang sama 2010.

Senario ini akhirnya menjurus kepada persoalan "mengapa" dan "apakah" sebab yang membawa kepada peningkatan itu. Justeru, timbul persepsi bahawa antara puncanya ialah "pentingkan diri" yang menular dalam kalangan pengendali kenderaan (bukan semua) negara ini sehingga turut menyumbang bahaya kepada pemandu lain.

Benarkah begitu? Sekiranya "ya", ini sedikit sebanyak merujuk kepada "tahap budi bahasa" mereka di jalan raya disebabkan penularan sikap lebih pentingkan diri daripada keselamatan. Adakah benar budi bahasa sudah semakin luntur atau mereka "samseng jalanan"?

PERSONALITI BERBEZA

"Kalau dibandingkan dengan negara luar, tahap budi bahasa di negara kita masih baik. Cuma, ingin saya ingatkan terdapat dua golongan di atas jalan raya, satu adalah mereka yang memang kurang ajar, samseng jalanan.

"Golongan satu lagi, adalah mereka yang bersopan-santun di tempat kerja, rumah, tetapi apabila masuk sahaja dalam kenderaan, bertukar personaliti menjadi sebaliknya," kata Prof. Madya Dr Nor Hisham Osman.

Mengulas perkara itu, pensyarah di Universiti Malaya itu ketika ditemui Bernama berkata majoriti yang menjadi "kurang ajar" ketika di jalan raya adalah daripada golongan kedua, yang mewakili 80 peratus.

Tidak menafikan golongan pertama (samseng jalanan) juga agak "biadap". Namun mereka merangkumi skop segelintir sahaja.

Dengan menjelaskan senario "kurang ajar" seperti memotong barisan ketika di tol, menggunakan lorong kecemasan untuk cepat sampai, Nor Hisham berkata masih ramai yang keliru apabila menafsirkan "senario tidak berbudi bahasa" di jalan raya.

Disebabkan kekeliruan itu, ada segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa kelajuan kenderaan yang dipandu seseorang itu, boleh dikira sebagai "kurang ajar".

"Adakah membawa laju itu kurang ajar? Kalau itu ditakrifkan, maksudnya semua orang kaya yang membawa kereta berkelajuan tinggi seperti Mercedes-Benz, BMW adalah daripada golongan yang kurang ajarlah di jalan raya?

"Bagi saya, kelakuan seperti melanggar lampu merah, menukar laluan tanpa memberi isyarat dan memotong kenderaan mengguna lorong kiri jalan adalah tindakan kurang ajar," katanya.

KESESAKAN, TEKANAN UBAH PERSONALITI

Agak menghairankan. Seseorang yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja, di mana jua, mula berubah tatkala menaiki kenderaan.

Kalau diikutkan secara logik, seseorang yang telah sinonim dengan sesuatu amalan, sepatutnya akan tetap mengamalkannya walau di mana jua senarionya.

Akan tetapi, mengapa mereka bertukar kelakuan menjadi agresif?

"Saya rasa faktor utama seseorang individu itu menjadi kurang ajar adalah disebabkan kesesakan jalan raya. Orang yang mempunyai kesabaran tinggi pun akan jadi tidak sabar apabila berada dalam kejadian begini.

"Mereka jadi sedemikian bukanlah disengajakan. Tetapi disebabkan faktor kesesakan dan ditambah pula dengan tekanan lain, akhirnya menyebabkan mereka berpersonaliti sebaliknya," katanya.

Ketika ditanya apakah jenis tekanan itu, Nor Hisham berkata, faktor seperti tekanan kerja yang memerlukannya sampai ke destinasi tepat pada masanya sedikit sebanyak boleh mengubah kelakuan seseorang itu.

Tidak sekadar itu, malah tekanan menghadapi kesesakan jalan raya untuk mengambil anak di pusat penjagaan, sekolah, juga boleh menjurus seseorang pengendali kenderaan itu melanggar peraturan jalan raya.

"Selalunya senario ini (langgar peraturan jalan raya) berlaku ketika jalan sesak ditambah dengan tekanan lain, membuatkan mereka hilang pertimbangan.

"Hendak kata mereka pentingkan diri, ya, mereka terpaksa. Sebagai contoh, pemandu bas mungkin akan kehilangan pekerjaannya sekiranya sentiasa lambat ikut jadual. Hendak atau tidak, mereka terpaksa jadi begitu (langgar peraturan jalan raya)," katanya.

UNDANG BAHAYA

Bagi Profesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, sebarang perbuatan yang menambah risiko boleh dianggap sebagai tidak berbudi bahasa.

Katanya, apabila kelakuan seseorang pengendali kenderaan itu sudah sampai ke tahap menyakitkan hati orang lain, pasti ia sudah pun melampaui tahap risiko yang akan hanya meningkatkan kebarangkalian nahas jalan raya.

"Kita perlu berhati-hati dalam membuat andaian bahawa semua pemandu dan pengendali motosikal itu tidak berhemah. Bagaimanapun, mengikut statistik memang terdapat peningkatan risiko dalam perjalanan yang diakibatkan oleh pengendali kenderaan.

"Untuk mengekalkan pemanduan berbudi bahasa ini, dua perkara amat kritikal, persekitaran pemanduan yang majoritinya berhemah dan penguatkuasaan yang wujud secara berterusan dan berkesan," katanya.

Mengulas mengenai tekanan seperti mengejar masa, beliau berkata ini akan mengakibatkan pemandu mengabaikan keselamatan mereka dan dilihat sebagai pemanduan tidak berbudi bahasa.

"Sebenarnya, kita tidak boleh memberi alasan bahawa kita terlewat. Kita sebenarnya tidak pandai mengurus masa dan sering keluar lewat. Disiplin diri yang akan menghasilkan pemandu yang lebih berhemah, dan itulah yang diperlukan negara," katanya.

— BERNAMA

Isnin, 28 November 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Pantau Aktiviti Internet Anak


Oleh : Wartawan Sinar Harian

Seperti yang kita sedia maklum, internet telah menjadi sumber yang paling menarik untuk kanak-kanak. Mereka boleh menggunakannya untuk mencari bahan belajar, berkomunikasi dengan pelajar lain dan guru serta bermain permainan berinteraktif bagi meningkatkan lagi daya pemahaman sesuatu subjek.

Secara statistiknya, lebih 80 peratus golongan muda mengisi masa lapang dengan melayari internet sama ada untuk tujuan pembelajaran ataupun sebaliknya. Situasi ini jelas menunjukkan gaya hidup anak muda hari ini sememangnya tidak dapat diasingkan lagi dengan dunia internet.

GUNAKAN PERISIAN TERTENTU

Bagaimanapun, internet juga mempunyai risikonya yang tersendiri yang boleh mengganggu golongan muda ini. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah alat perlindungan talian. Alat perlindungan talian membenarkan anda selaku ibu bapa mengawal setiap akses yang dilakukan kanak-kanak daripada menjadi mangsa internet.

Banyak juga penyedia internet menyediakan pilihan kawalan ibu bapa untuk menghalang kanak-kanak memasuki laman yang tidak sepatutnya. Anda juga boleh menggunakan perisian yang membantu menghalang akses ke sesebuah laman melalui senarai laman yang tidak baik yang disediakan oleh penyedia internet anda.

Penapisan program juga boleh menyekat laman daripada terus ke komputer anda dan dapat membantu menyekat penghantaran maklumat peribadi secara atas talian. Malah, ia juga dapat membantu memantau aktiviti lain yang dilakukan di intermet.

LIBATKAN DIRI DALAM AKTIVITI ATAS TALIAN ANAK-ANAK

Selain menggunakan alat perlindungan internet, ibu bapa juga boleh memainkan peranan dalam melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa internet seterusnya mangsa seks atas talian. Antara cara yang boleh dilakukan termasuk:

Letakkan komputer di ruang yang dapat dilihat.

Tandakan laman kegemaran untuk akses yang lebih mudah.

Kongsi akaun e-mel yang sama agar mudah memantau mesej keluar masuk.

Luangkan masa bersama supaya boleh mengajar adab menggunakan internet.

Elakkan anak-anak memasuki ruang sembang peribadi dengan cara menyekat menggunakan perisian tertentu.

Pantau bil telefon dan kredit kad andai terdapat caj akaun yang tidak dikenali.

Laporkan mesej-mesej ancaman yang anda dapat kepada penyedia perkhidmatan internet.

Terdapat banyak laman web yang menggunakan peranti ‘cookies’ yang dapat mengesan maklumat khusus mengenai pengguna seperti nama, alamat e-mel, dan pilihan membeli belah. Bagaimanapun, cookies ini boleh dihentikan dengan cara mendapatkan maklumat lanjut daripada penyedia internet anda.

TETAPKAN PERATURAN

Bagi menjamin keselamatan anak-anak anda ketika menggunakan internet, tetapkan peraturan dan pastikan mereka mengikuti setiap peraturan yang anda tetapkan dan peraturan yang penyedia internet tetapkan seperti:

Jangan sekali-kali bertukar-tukar gambar melalui e-mel atau mengimbas gambar melalui internet.

Jangan mendedahkan maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon, dan nama serta lokasi sekolah. Gunakan nama samaran, dan jangan bersetuju untuk berjumpa sesiapa yang dikenali dari ruang sembang.

Galakkan anak-anak memberitahu dan bercerita kepada ibu bapa jika ada perbualan yang kurang menyenangkan.

Jika anak anda mendapat kawan baru, minta diperkenalkan kepada kawannya itu.

AMARAN RUANG SEMBANG

Ruang sembang merupakan sebuah ruang yang digunakan untuk sesi bersembang bersama rakan baru dari serata dunia. Ruang ini dicipta berdasarkan minat dan subjek seperti rancangan kegemaran TV dan sukan kegemaran. Ruang ini selalunya diminati oleh golongan kanak-kanak dan remaja.

Namun, ruang ini juga dilihat mampu menimbulkan bahaya kepada kanak-kanak. Ada juga kanak-kanak yang berkenalan dengan seseorang tanpa mengetahui niat buruk di sebalik perkenalan tersebut.

Ramai yang tidak sedar bahawa pemangsa ini biasanya meminta bertukar-tukar maklumat peribadi sekali gus meletakkan keluarga dalam situasi yang berbahaya.

Pendidikan tentang keselamatan internet kepada kanak-kanak adalah sangat penting. Justeru itu, sebagai langkah dalam mendidik kanak-kanak tentang keselamatan internet, penyedia telekomunikasi DiGi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, CyberSecurity Malaysia, dan Childline Malaysia telah melancarkan program DiGi CyberSafe Programme.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan internet di kalangan kanak-kanak. Bengkel pendidikan bersiri ini akan diadakan di sekolah dan pusat jalur lebar di seluruh negara.

Dengan sasaran lebih 5000 pelajar, program ini turut akan berkongsi pengetahuan dan melengkapkan pelajar, guru dan ibu bapa dengan kaedah yang membolehkan keluarga merasai pengalaman melayari internet dengan lebih selamat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 24 November 2011

ISU BAHASA : Memartabatkan Bahasa Melayu


OLEH : PROFESOR DR. SIDEK BABA

Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa adalah sesuatu yang keramat bagi yang memahami kepentingan bahasa membangunkan citra berfikir pengucapnya. Bahasa tidak saja sebagai alat komunikasi yang sifatnya mekanistik dan arbitrari, tetapi ia terkandung pemikiran yang memberi pedoman kepada manusia tentang buruk-baik akan sesuatu atau manfaat-musibatnya terhadap sesuatu.

Oleh itu Bahasa Melayu yang ingin dimartabatkan kembali ialah bahasa yang terkandung dalam dirinya sistem nilai, kualiti ilmu dan etika. Memartabatkannya dalam sistem pendidikan bermakna memartabatkan ciri-ciri berfikir yang beretika dan upaya pengucapan yang serasi dengan fitrah. Apabila Bahasa Melayu melalui proses keMalaysiaan ia berkembang dalam lingkungan masyarakat majmuk yang pada hakikatnya amat mengutamakan kepentingan nilai dan etika. Lalu pengucapan masyarakat penggunanya menjadi lebih tertib kerana bahasa itu adalah cerminan bangsa Malaysia itu sendiri.

Seperti halnya pengucap Bahasa Inggeris, tidak saja etos atau budaya, yang ingin disemai ialah menjadikan pengucapnya berjiwa Englishmen tapi dalam masa sama, terkandung norma-norma Barat yang akhirnya menyebabkan kecenderungan menjadikan Barat segala-gala. Sesetengah orang kita apabila mengungkap sesuatu dalam Bahasa Inggeris terasa dirinya moden, dipandang tinggi dan kebaratan sementara berucap dalam bahasa ibunda terasa tidak moden, tidak internasional, kerdil dan sengkek.

Ini menyebabkan fokus kepada Bahasa Inggeris jauh lebih utama dan dikaitkan Bahasa Inggeris itu sebagai bahasa kemajuan dan kemodenan. Mempelajari bahasa ibunda membawa kepada kemunduran dan ketinggalan, rendah diri dan kejakunan. Kita lihat Perancis jiran United Kingdom menggunakan bahasa Perancis untuk maju. Hal yang sama berlaku di Jerman, Belanda, Sweden, mereka maju dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Tidak timbul masalah psiki yang mengatakan, menggunakan bahasa ibunda boleh menyebabkan kemunduran.

Hal sama seperti Timur Jepun, Korea Selatan dan China. Kekuatan bahasa ibunda mereka menyebabkan bangsa ini menjadi maju dengan tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris dipelajari dan bahasa lain diraikan.

Filipina dan India sejak kemerdekaan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tidak pula maju seperti negara lain. Ia membuktikan bukan isu Bahasa Inggeris yang menjadi persoalan, tetapi ia menyangkut tentang budaya berfikir dan ilmu bagi masyarakatnya yang terbuka untuk belajar di Barat dan dalam masa sama amat teguh dan kukuh dengan jati dirinya.

Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa (MBMMBI) adalah langkah bijaksana meletakkan kedua-dua bahasa itu pada tempat yang wajar. Perlembagaan Malaysia Perkara 152 mengkanunkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Akta Pendidikan 1996 mensyaratkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kita. Ia harus diterima seluruh warga merdeka.

Terbukti sejak usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem, baik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi awam ribuan pelajar kita berjaya dengan cemerlang dan sebahagiannya mampu membuat bidang kepakaran dan perlanjutan pengajian hingga ke tahap yang tertinggi dalam Bahasa Inggeris. Kalau dengan Bahasa Melayu para pelajar kita boleh berjaya dengan cemerlang atas alasan apa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Inggeris.

Mempelajari Bahasa Inggeris adalah dengan memperkukuhkan pengajaran bahasa dan sasteranya. Kurikulum bahasa harus disusun semula supaya ia sesuai dengan etos Malaysia, kualiti gurunya harus lebih baik tidak saja di bandar tetapi di luar bandar, metodologi pengajarannya harus terkini dengan makmal bahasa yang sifatnya membantu. Corak pengukurannya tidak saja kepada aspek nahu dan ayat tetapi harus diutamakan pendekatan yang sifatnya komunikatif.

Sekiranya masa pengajaran-pembelajarannya ditambah, tidak ada sebab penguasaan Bahasa Inggeris menjadi tidak berkesan. Memartabatkan Bahasa Melayu tidak harus dilihat secara rasis oleh mana-mana pihak kerana memperkasa Bahasa Inggeris dan membenarkan bahasa ibunda kaum lain dipelajari adalah suatu kebitaraan dalam sistem pendidikan kita. Sekiranya setiap warga kita yakin akan maksud Perlembagaan dan Akta Pendidikan ia bakal mengukuhkan resam di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 21 November 2011

ISU SUKAN : MALAYSIA BUKTIKAN PASUKAN TERBAIK BOLA SEPAK DI ASIA TENGGARA.


KUALA LUMPUR: Malaysia menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi untuk mengekalkan pingat emas.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan 30 minit.

Indonesia mendahului 1-0 menerusi tandukan Gunawan pada minit kelima manakala Malaysia menyamakan kedudukan menerusi tandukan Asrarudin Putra pada minit ke-35.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 15 November 2011

ISU PENDIDIKAN : 53,724 Calon Duduki STPM Tahun Ini


KUALA LUMPUR: Seramai 53,724 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 744 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 21 November hingga 15 Disember ini.

Daripada jumlah itu, 48,272 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,258 calon sekolah swasta, 4,003 orang calon persendirian individu, 187 calon sekolah kerajaan negeri, dan empat orang calon Sekolah Integriti.

Calon-calon dinasihat supaya pergi ke pusat peperiksaan terdekat dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat itu jika berlaku bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh yang menyukarkan mereka sampai ke pusat peperiksaan yang sepatutnya.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan hari ini berkata bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh peperiksaan itu, operasi Bilik Gerakan MPM beroperasi bermula 7.30 pagi hingga 6.00 petang dan boleh dihubungi di talian 03-61302666/03-61369663/03-61302664/03-61302646.

Sementara itu, MPM turut mengingatkan calon supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) sepanjang peperiksaan di samping menyemak nama pusat peperiksaan.

Calon-calon boleh melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my untuk mencetak butiran pendaftaran mereka. -BERNAMA