Ahad, 26 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Merdekakan Pemikiran


MUKADIMAH :

TARIKH 31 Ogos datang lagi. Tahun ini adalah kali ke 55 rakyat negara ini meraikan tarikh keramat yang membawa makna kepada sebuah negara yang merdeka. Tetapi timbul persoalan, sejauh manakah makna kemerdekaan ini dihayati dan dipraktis dalam kehidupan? Ada pihak menganggap semakin panjang usia kemerdekaan akan semakin nipis perasaan kebangsaan yang dulunya berkobar-kobar untuk mencapai kemerdekaan.

Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN, tokoh sastera dan ahli akademik, PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN berkata, nipisnya perasaan kebangsaan ini akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara.

Beliau melihat peri pentingnya perasaan kebangsaan ini dijadikan kerangka untuk berkerjasama membangunkan negara ini.

MINGGUAN: Apakah signifikannya ulang tahun kemerdekaan dalam konteks negara ini?

DR. LIM SWEE TIN: Bagi saya sambutan ulang tahun kemerdekaan adalah satu masa yang terbaik bagi kita menanam apa yang saya namakan pemikiran nasionalisme. Mungkin orang jarang menggunakan istilah pemikiran nasionalisme. Salah satu sebabnya mungkin kefahaman terhadap perasaan kebangsaan itu agak longgar.

Nipisnya perasaan kebangsaan ini akan akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara. Inilah hakikat yang kita terpaksa terima apabila situasi kebelakangan ini menggambarkan bahawa perasaan kebangsaan kita tidak cukup kuat. Perasaan kebangsaan seharusnya sangat kuat yang dicerminkan dalam segala konteks dan keadaan.

MINGGUAN: Sejauh manakah pentingnya perasaan kebangsaan dalam konteks hari kebangsaan negara ini?

DR. LIM SWEE TIN: Kuatnya perasaan kebangsaan ini akan menjadi kerangka sebenarnya, buka lagi acuan. Ia adalah kerangka dalam hubungan kita bekerja untuk negara. Ia meliputi soal kemajuan, pembangunan, termasuklah kesejahteraan bersama yang kita perjuangkan sejak terlepas dari belenggu penjajahan Inggeris 55 tahun yang lampau. Sekiranya kita telah berada pada tahap ini pada hemat saya, kita sudah boleh dikatakan mempunyai jati diri yang kukuh. Pada tahap inilah kita menjadi rakyat yang bermakna bagi sesebuah negara.

MINGGUAN: Di manakah duduknya bahasa dan kesusasteraan dalam konteks sebuah negara yang merdeka?

DR. LIM SWEE TIN: Pada hemat, seandainya kita tidak memuliakan satu bahasa penyatuan kita yang tunggal iaitu bahasa Melayu, tidak adalah erti merdeka. Saya sentiasa menekankan peri pentingnya secara berterus-terusan diingatkan, disebarkan dan diperkasakan semangat menyayangi bahasa yang tunggal ini tanpa kira kaum, bangsa atau etnik. Inilah satu-satunya wahana kita untuk saling memahami, saling menyalurkan aspirasi hidup dan saling mengembangkan minda ke arah mencapai satu bentuk pemikiran yang sama dari segi menyatakan hasrat, keyakinan dan kepercayaan yang terunggul untuk masyarakat, bangsa dan negara. Semua ini melalui jambatan bahasa Melayu.

Setiap rakyat harus tahu dan menyedari bahawa sejak awal kemerdekaan bahasa inilah yang sudah diasaskan sebagai bahasa penyatuan. Kita tidak mampu untuk berpecah belah atau perasaan syak wasangka atau curiga mencurigai. Sebab itulah saya melihat keinginan kita yang kuat untuk memperkasakan penguasaan bahasa ini dalam setiap diri rakyat diikhtiarkan melalui pelbagai upaya.

MINGGUAN: Tetapi yang kelihatan masa ini bahasa Melayu tertolak ke belakang dalam persaingan bahasa Inggeris yang dianggap bertaraf global?

DR. LIM SWEE TIN: Saya tidak menafikan sama sekali bahawa ada di sana sini kekangan dan halangan sehingga kita tidak boleh mencapainya 100 peratus kejayaannya. Malah secara peribadi saya kerap kali melahirkan rasa dukacita. Ini kerana selepas 55 tahun merdeka dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk melahirkan rasa memiliki yang terhadap bahasa kebangsaan tetapi masih tercalar di sana sini.

Padahal setiap warganegara yang telah mencapai usia separuh abad di Malaysia memperoleh pendidikan melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar yang sama. Pada tahun 1976 apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar bermula di sekolah menengah untuk seluruh sistem pendidikan kita sehingga ke peringkat universiti. Pada tahun 1983 pula seluruh pengajian menggunakan bahasa Melayu.


MINGGUAN: Kenapa kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu itu bahasa perpaduan?

DR. LIM SWEE TIN: Saya juga sering tertanya-tanya apakah lagi yang tidak kena apabila bahasa kebangsaan ini diragui peranan dan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan. Saya menyeru pada ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita sama-sama memikirkan peri bertuahnya kita memiliki satu bahasa yang begitu besar, relevan dalam segala bidang baik sains dan teknologi, bahkan disenaraikan antara empat bahasa terpenting di dunia dari segi bilangan penggunanya. Terimalah dan akuilah bahawa bahasa ini bahasa kita bersama, gunalah dengan penuh kasih demi menjaga kemurniannya dan meletak tinggi kedudukannya.


MINGGUAN: Apa komen saudara terhadap usaha yang giat dilakukan sebelum dan ketika ini?

DR. LIM SWEE TIN: Saya berasa yakin bahawa usaha-usaha ke arah itu sudah dilakukan tetapi kita memerlukan satu langkah lain yang lebih efektif supaya dapat meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Ini yang kita kurang atau dengan bahasa yang jelas mungkin kita gagal sempurnakan. Kesusasteraan boleh membentuk pemikiran, mengubah sikap dan membangunkan minda selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Kita tentulah akan dukacita kalau teks-teks sastera kita hanya dibaca oleh anak-anak kita semata-mata atas dasar lulus periksa. Tetapi mereka tidak mampu mengambil intipati pemikiran dan semangat yang diterapkan oleh sasterawan sementelah kita menerima mereka sebagai antara pemikir bangsa.


MINGGUAN: Sejauh manakah kefahaman terhadap budaya boleh dijadikan jambatan menghubungkan kaum dan etnik di negara pelbagai kaum seperti Malaysia?

DR. LIM SWEE TIN: Kita memerlukan masyarakat yang saling memahami budaya khasnya antara bangsa, kaum dan etnik di Malaysia untuk kita muncul sebagai satu bangsa yang benar-benar kukuh dan bersatu padu. Sekarang kadang-kadang kita terganggu oleh suara-suara sumbang yang pada sesetengah orang disifatkan kecil dan terpinggir akibat daripada ketidakfahaman terhadap budaya amalan kita. Perkara seperti ini tidak sewajarnya terjadi seandainya kita sama-sama memuliakan budaya yang sama-sama kita junjungi. Kefahaman yang mendalam ini secara berterusan sejajar pula dengan Rukun Negara dan aspirasi bangsa kita.

Saya percaya bahawa paduan budaya sastera dan bahasa akan membawa kita ke satu ikatan yang kukuh. Usahlah merasakan bahawa budaya kita sudah lapuk dan usang, ketinggalan dan tidak relevan dengan zaman yang serba diwarnai dengan pengaruh peradaban luar yang setengahnya amat membimbangkan.


MINGGUAN: Kalau dibandingkan dengan negara lain, apakah yang dapat saudara gambarkan tentang Malaysia?

DR. LIM SWEE TIN: Kita bertuah berada di bumi Malaysia. Ini perlu kita tanamkan kepada anak-anak kita di segenap lapisan. Dari segi alamnya, kita dianugerahkan Tuhan selamat dan bebas daripada sebarang bencana seperti di setengah-setengah negara lain. Kita dianugerahkan negara yang makmur dengan segala hasil mahsul yang cukup. Pertanian dan sumber laut kita adalah nikmat manakala sumber bumi kita seperti petroleum menyumbang kepada kemewahan dan kesenangan hidup kita.

Kita tidak menghadapi sebarang ancaman luar sementara ancaman di peringkat dalaman juga sudah sekian lama kerajaan dan pimpinan kita berupaya lumpuhkan. Kita tahu komunis sudah lama lenyap melalui kebijaksanaan kerajaan dan kegigihan anggota keselamatan. Ia tidak lagi mengganggu lena tidur kita seperti satu ketika. Setiap rakyat mempunyai ruang yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang mereka sukai asal tidak membawa kemudaratan. Suasana politik yang tidak mengganggu kita walaupun sesekali muncul juga isu-isu yang kecil-kecil sehingga memperlihatkan seolah-olah adanya percanggahan.

Tetapi perbezaan pandangan dan pendapat itu berjaya ditangani secara bijaksana. Maka saya percaya kita perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam kapasiti yang ada sebaik-baiknya sambil melihat kegemilangan negara terus memercu untuk zaman yang mendatang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 25 Ogos 2012

Amstrong - manusia pertama ke bulan meninggal dunia




WASHINGTON - Neil Armstrong, yang mencatatkan sejarah sebagai manusia pertama berjalan di bulan iaitu pada 1969, meninggal dunia semalam.

Mendiang berusia 82 tahun.

Armstrong meninggal dunia susulan komplikasi dialaminya selepas menjalani pembedahan pintasan jantung awal bulan ini, kata keluarganya menerusi satu kenyataan.

Kenyataan itu tidak memberi butiran masa dan tempat mendiang meninggal dunia.

Pembedahan itu dijalankan dua hari selepas beliau menyambut ulang tahun hari jadinya pada 5 Ogos lalu.

Selaku komander misi Apollo 11, Armstrong muncul sebagai orang pertama berjalan di bulan iaitu pada 20 Julai 1969. Ketika itu mendiang berusia 38 tahun. Detik Armstrong mendarat di bulan telah ditonton oleh lebih 500 orang.

November lalu, beliau menerima Pingat Emas Kongres Amerika Syarikat (AS), pingat tertinggi yang diberikan kepada orang awam di negaranya.

Armstrong dan rakannya, Edwin 'Buzz' menghabiskan masa kira-kira tiga jam berjalan di bulan dengan mengumpulkan sampel, menjalankan ujian dan merakamkan foto. Seorang lagi angkasawan menyertai misi 1969 ialah Michael Collins

Apollo 11 merupakan misi angkasa lepas terakhir bagi Armstrong.

Pada 1971, Armstrong, yang lahir di Ohio pada 1930, meninggalkan agensi angkasa lepas AS, Nasa untuk mengajar kejuruteraan angkasa lepas.

Armstrong pernah mengendalikan jet pejuang ketika Perang Korea pada 1950-an dan kemudian menyertai program angkasa lepas AS pada 1962.

Armstrong menyertai dua penerbangan ke angkasa lepas. Perjalanan pertama pada 1966, yang beliau bertindak sebagai komander misi Gemini 8, hampir-hampir berakhir dengan tragedi. Beliau berjaya mengembalikan pesawat angkasa lepas dengan selamat walaupun komponen penolakan roket mengalami kerosakan.

Perjalanan kedua pada Julai 1969, bersama Aldrin dan Collins, mengambil masa empat hari untuk tiba di destinasi.

Ucapannya yang terkenal ialah, "Inilah sebuah langkah kecil bagi [seorang] manusia, satu langkah besar bagi kemanusiaan."

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kuasa wanita pacu ekonomi keluarga, negara


Oleh : Nor Affizar Ibrahim
 
Pelbagai kemahiran dimiliki tingkat martabat golongan hawa

Kehadiran Hari Wanita Kebangsaan kali ini sememangnya istimewa ketika seri Syawal masih berbahang dan aura sambutan kemerdekaan negara ke-55 kian terasa. Bertemakan Wanita Pencetus Ekonomi Baru, ia ternyata selaras dengan manifestasi kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga. Hakikatnya, dalam memastikan pembangunan berjalan lancar, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara bukan lagi sekadar bualan kosong, tetapi kenyataan.

Di Malaysia misalnya, dulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah tetapi segala-galanya berubah seiring pembangunan negara. Dalam bidang ekonomi, pembabitan wanita tidak hanya ‘bertarung’ membebaskan diri daripada prasangka dan kongkongan, malah mereka sudah menjadi sebahagian penggerak ekonomi diri dan negara.

Isu diskriminasi wanita tidak lagi mencengkam golongan Hawa pada hari ini, sebaliknya, integrasi ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat, sudah membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara.

Wanita terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh baik dalam hal rumah tangga, organisasi mahupun negara.

Yang pasti, sumbangan wanita boleh dibanggakan sejak kebelakangan ini. Penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 46.4 peratus pada 2009 dan sasaran sehingga 55 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh-10 (RMKe-10).

Perumpamaan ‘tangan wanita yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia’ dapat dilihat sebagai gambaran paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya dalam memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd, berkata hakikatnya sudah ramai menyedari potensi wanita dan memanfaatkan kehadiran mereka dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi di negara ini.

Atas alasan itu, sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 memilih tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga.

“Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu. Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi melalui Model Baru Ekonomi (MBE) menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara. Justeru, inilah signifikan tema itu dipilih,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Wan Hasmah berkata, dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia, sumbangan wanita ketara dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha diambil kerajaan dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara.

Golongan wanita kian terserlah sebagai usahawan berjaya, turut dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi moden.

“Ketika ini, wanita membentuk 49.1 peratus atau 14.03 juta populasi daripada 28.55 juta penduduk Malaysia. Seramai 9.03 juta (64.3 peratus) wanita adalah pada usia produktif iaitu 15 hingga 64 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, ada isu khusus yang bakal dibincangkan seperti sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara, pembabitan wanita dalam pasaran kerja dari pelbagai perspektif, prospek kembali bekerja dan aturan kerja fleksibel.

“Jika dibandingkan negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia masih rendah. Ini berlaku kerana ramai wanita berhenti kerja atas faktor tertentu. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku dan kita perlu pastikan, menjelang 2015 dianggarkan 55 peratus wanita produktif berusia 18 hingga 60 tahun mesti berada dalam pasaran kerja.

Wan Hasmah berkata, menyedari permasalahan itu sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, portal Microsite Talent Wanita akan dilancarkan. Portal berkenaan berfungsi sebagai pengantara kepada wanita yang meninggalkan pasaran pekerjaan untuk kembali bekerja.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : SOP Penghantaran Wang Ke ATM Perlu Dikaji


KUALA LUMPUR : Polis mencadangkan agar syarikat keselamatan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam proses penghantaran wang ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin berkata langkah itu perlu dilakukan ekoran banyak kes pecah ATM, yang dipercayai didalangi kakitangan syarikat kawalan keselamatan.

Beliau berkata adalah lebih malang apabila syarikat keselamatan itu dilantik oleh pihak bank sendiri untuk mengurus pengendalian wang tunai bagi mesin ATM mereka.

"Pihak syarikat kawalan keselamatan harus melihat semula SOP dalam penghantaran wang supaya tidak longgar dan menyukarkan perompak melakukan aktiviti pecah ATM, kerana mereka mempunyai pengetahuan tentang sistem keselamatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa kejadian memecah mesin ATM sejak kebelakangan ini.

Selain itu, Mohd Bakri berkata syarikat keselamatan juga seharusnya merekrut pekerja yang beretika supaya tidak menjadi 'gunting dalam lipatan' sehingga berlakunya jenayah terbabit.

"Pihak bank juga tidak sepatutnya meletakkan mesin ATM di kawasan sunyi dan terlindung dari orang ramai, tetapi perlu meletakkannya di kawasan yang ramai orang," kata Mohd Bakri.

Justeru itu, dalam masa terdekat ini pihaknya akan membuat perjumpaan dengan persatuan bank untuk melihat cara yang lebih baik untuk memperketatkan kawalan keselamatan mesin ATM, katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Securiforce, Datuk Shaheen Mirza Habib menafikan wujudnya penglibatan kakitangan syarikat dalam kegiatan terbabit.

"Ini kerana setiap kali pengawal keselamatan hendak membuka peti mesin ATM, kod laluan akan ditukar dan diberikan oleh kakitangan lain. Oleh itu macam mana mereka hendak memecah ATM.

"Jika kita lihat sebelum ini, banyak laporan akhbar yang melaporkan mesin ATM dipecahkan bukan dengan cara baik, tetapi dibakar atau ditarik menggunakan kenderaan berat," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) berkata malah bagi mengelakkan sebarang kegiatan pecah amanah, pekerja yang dilantik menjalankan tugas menghantar dan mengambil wang merupakan mereka yang mempunyai latar belakang yang baik.

"Sekurang-kurangnya enam hingga setahun masa yang diperlukan untuk seseorang pengawal keselamatan itu dilantik manjadi 'Cashing Transit' dan dalam tempoh ini, pihak Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia juga terbabit dalam menilai mereka," katanya.

Shaheen Mirza menegaskan keselamatan mesin ATM merupakan tanggungjawab pihak bank.

"Seharusnya pihak bank menyediakan pengawal yang berkawal 24 jam serta mengadakan sistem keselamatan yang canggih dan terbaik bagi mengelakkan kegiatan terbabit," katanya.

Sepanjang tahun ini setakat ini, media melaporkan sekurang-kurangnya sembilan dari 15 kes pecah mesin ATM berlaku di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka yang membabitkan kerugian hampir RM2 juta.

Nilai terbesar ialah RM1.17 juta iaitu pada awal Julai lalu di mana empat buah mesin ATM di aras 1 pasar raya Carrefour Wangsa Maju di sini dilarikan penjenayah. - BERNAMA

ISU KENEGARAAN : Wajah-wajah perpaduan dalam perayaan di Malaysia


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang unik dengan sendirinya. Jika hari ini ramai melakukan penghijrahan ke negara-negara maju, Malaysia sudah melalui proses itu jauh lebih lama ketika Melaka menjadi pusat pertemuan antara pedagang Cina, India dan lain-lain.

Malaysia hari ini turut mendapat perhatian pelbagai warga asing yang melimpah datang untuk mencari peluang meneruskan kehidupan termasuk dari Nepal, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Filipina dan benua Afrika tanpa mengira golongan professional dengan organisasinya beroperasi disini.

Sama ada baik atau buruk, hakikatnya Malaysia sudah menjadi pilihan destinasi warga asing; pilihan yang perlu dilalui dalam proses globalisasi dan pergerakan manusia sejagat. Kepelbagaian yang wujud di negara ini merupakan satu kelebihan yang masih menjadi satu tradisi kesinambungan dalam kalangan rakyatnya. Keyakinan terbina kerana adanya ruang untuk menerokai limpahan sumber terhad dan yang membuka ruang ini adalah kesepaduan kestabilan yang lahir dari perpaduan dalam kepelbagaian.

Kepelbagaian bukan sahaja dari kepercayaan, keturunan, agama, etnik dan warna kulit mahupun sebarang latar belakang tetapi kebudayaan yang bermacam-macam juga menjadikan Malaysia seringkali dicemburui dan diiktiraf sebagai yang kompleks, rencam dan majmuk.

Dalam kebanyakan negara, ia menjadi satu liabiliti dengan permusuhan yang berlarutan sehingga membawa konflik dan peperangan sedangkan di Malaysia kepelbagaian adalah kekuatan dan ia juga dimuatkan dengan usaha berterusan berinteraksi, integrasi memupuk semangat persahabatan dan ukhuwah; ia berlaku di istana, Seri Perdana, rumah pembesar negeri dan rumah sendiri.

Nilai kebudayaan ini termasuk menyambut perayaan yang pelbagai seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan pelbagai lagi. Uniknya ia menjadi sambutan semua menandakan semaraknya nilai kemuafakatan, perpaduan dan keharmonian; simbol integrasi.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini banyak memuatkan mesej bertemakan 'perpaduan'. Malahan dalam khutbah raya di Masjid Negara, elemen ini turut diberikan keutamaan. Bukan sekadar perpaduan ummah, tetapi perpaduan yang menjadi teras untuk meraikan kepelbagaian negara ini, yakni perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik negara ini.

Hari Raya Aidilfitri memberi gambaran bagaimana perpaduan dalam perayaan memberi impak kepada semangat hubungan antara etnik negara ini. Di setiap pelosok negara, setiap rumah terbuka dibanjiri dengan masyarakat pelbagai peribadi dan personaliti. Beratur panjang yang barangkali mengambil masa berjam lamanya bukan satu rungutan tetapi kesyukuran bertemu dengan pemimpin dan sahabat serta personaliti profil tinggi memberikan satu kepuasan.

Perayaan dapat terus disambut sebegini kerana adanya kestabilan dan asas sebenar kepada hubungan antara etnik adalah kestabilan dalam negara yang membolehkan masyarakat hidup muhibbah dan rukun walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dalam konteks mempertahankan apa yang sudah kita miliki selama ini. Dalam ada negara yang bergelut mencari keamanan, Malaysia gah dan boleh mengamalkan konsep 'ziarah' dan 'kunjung' serta 'lawat'.

Keamanan datang dari kestabilan. Tanpa ada kepimpinan yang mempertahankan nilai keamanan, maka Malaysia juga akan mempunyai kecenderungan menjadi 'padang jarak, padang tekukur' akibat manipulasi nilai keamanan, perpaduan dan muhibbah yang adakalanya ramai terlepas pandang mengapa ia perlu terus dipertahankan dari sebarang anasir yang mahu melihat Malaysia sebagaimana negara lain yang berhadapan dengan konflik. Musibah ini mesti dielak atas prinsip kebergantungan antara satu sama lain; hubungan resiprokal yang disuburkan dengan nilai hormat, faham dan menerima di antara satu sama lain.

Tatkala beraya, ada juga segelintir tebal sifat 'keangkuhan' dalam sesetengah warga dan pemimpin yang masih mahu berperang di alam maya sekalipun sewaktu Syawal pertama bilamana di alam sebenar wujud gencatan sekurang-kurangnya sebagai isyarat ada waktu perbalahan terutama dengan nilai politik perlu dihentikan dan menampakkan perdamaian.

Perang di alam maya sewaktu perayaan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada yang sudah lama berkecimpung dalam politik. Emosi warga adalah ke atas mood perayaan dan ia boleh mengganggu kepercayaan ke atas sesetengah dari mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk meneruskan tradisi kebencian sesama ummah dan dalam kalangan masyarakat secara umum.

Perayaan adalah salah satu penampilan simbolik bagaimana kita boleh mengetepikan perbezaan sesama manusia untuk dijadikan landasan perpaduan. Kewajaran menjadikan perayaan sebagai alat integrasi boleh diperkukuhkan secara berterusan untuk memobilisasi sokongan agar perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan amalan ini tidak menjadi propaganda politik oleh pemimpin yang tidak tahu menghormati nilai-nilai perkongsian bersama.

Sambutan perayaan di Malaysia mewarnai kepelbagaian yang selama ini sememangnya menjadi asas hubungan antara etnik. Menyemai nilai ini secara berterusan dengan aktiviti dan program 'muafakat' yang membawa gambaran peri-pentingnya ia diteruskan walau zaman silih berganti terutama dalam kalangan generasi muda yang berkemungkinan tidak melihat kepentingan ia diteruskan dengan semakin terhakisnya sifat perkampungan dan pulang ke kampung. Walau hadir di persekitaran berbeza, amalan integrasi melalui perayaan mesti dipertahankan oleh keseluruhan rakyat Malaysia.

Perpaduan memerlukan nilai holistik dalam diri setiap warga yang sedar ia memberikan roh kepada negara-bangsa ini. Andainya perayaan ini boleh dikongsi bersama dan merasakan ada tanggungjawab untuk memainkan peranan dan memberikan makna kepadanya, perayaan sebagai kunci perpaduan tidak perlu dipersoalkan kerana ia juga berjiwa patriotisme dan nasionalis dengan sendirinya berpandukan prinsip dalam Rukun Negara dan Perlembagaan yang mempertahankan nilai ini dalam dokumen kebal negara.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Ramai Rakyat Malaysia Tidak Mempunyai Persediaan Selepas Bersara


PETALING JAYA : Rakyat Malaysia menjadi semakin lemah daripada aspek kewangan dan tidak mempunyai persediaan yang rapi kerana mempunyai jangka hayat yang lebih panjang selepas melewati umur persaraan, menurut satu kajian mengenai aktiviti yang dilakukan selepas melewati perasaraan.

"Apa yang menghairankan adalah kira-kira 92 peratus pesara dilaporkan bersara pada usia 60 tahun," menurut kajian yang bertajuk 'Balancing Tradition and Modernity: The Future Retirement in East Asia'.

Kajian tersebut dijalankan bagi menjejak kelakuan-kelakuan persara dan jangkaan yang akan berlaku selepas mereka melewati usia persaraan di enam negara Asia Timur.

Negara-negara tersebut ialah, China, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia.

"Di China, menjelang 2040 golongan warga emas membentuk 30 peratus jumlah penduduk negara itu, sementara di Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, sebanyak 40 peratus dicatatkan.

"Di Malaysia pula, jumlah golongan warga tua masih di bawah 20 peratus," menurut kajian tersebut, yang mentakrifkan golongan tua terdiri daripada mereka yang telah bersara.

Purata umur persaraan di enam negara tersebut adalah 60 tahun dan ke atas.

Kajian tersebut dijalankan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) dan syarikat insuran Prudential.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan berkata pekerja berpendapatan rendah adalah golongan yang dijangka menghadapi masalah kewangan selepas bersara.

"Kebanyakan daripada mereka mula bekerja dengan gaji yang sangat rendah dan potongan gaji bagi Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) juga rendah. Apabila masa berlalu jumlah tersebut meningkat, namun ia tidak mampu memenuhi pelan selepas usia persaraan mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Datuk Omar Osman berkata mereka yang hampir mencapai usia persaraan perlu merancang bagaimana untuk memaksimumkan penggunaan wang simpanan persaraan mereka.

"Satu daripada cadangan kami adalah untuk menganjurkan kursus tiga bulan kepada mereka yang akan bersara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, agar mereka boleh belajar langkah-langkah yang sesuai untuk menguruskan kewangan mereka selepas bersara," katanya.

Omar berkata antara kursus persediaan persaraan yang wajar disertakan adalah khidmat nasihat mengenai penjagaan kesihatan yang menjadi kebimbangan utama dalam kalangan golongan persara.

"Ia adalah amat mustahak supaya mereka menghadiri kursus yang dapat meningkatkan kesedaran bagaimana untuk menguruskan kewangan dan penjagaan kesihatan yang merupakan aspek yang penting selepas bersara," tambahnya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Jumaat, 24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Teknologi tak mampu erat ukhwah


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
'Pejabat terbuka' wujud hubungan lebih baik dengan pelanggan

Alhamdulillah, tatkala penulisan ini dikongsi, umat Islam sudah seminggu berhari raya. Menariknya di negara kita ini, suasana hari raya dengan kemeriahan ‘rumah terbuka’ dan tidak kurang juga 'pejabat terbuka' dihias gantungan ketupat plastik serta lampu berkerdipan sepanjang Syawal. Ia adalah satu tanda mudah melambangkan suasana kehidupan harmoni, ukhuwah juga kesenangan dan kemampuan dimiliki masyarakat.
 
Keharmonian dengan nilai mahabbah dan saling menghormati dapat dilihat melalui budaya ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Ia perlu disemarakkan dan diteruskan khasnya dalam kehidupan hari ini sama ada disedari atau tidak, kita semakin jauh daripada aktiviti memasyarakatkan diri disebabkan pelbagai faktor antaranya kesibukan bekerja.

Bersua muka lebih utama

Walaupun kita mampu memasyarakatkan diri dengan pelbagai kecanggihan teknologi seperti berhubung di laman sosial, namun ia tidak sehebat kelebihan apabila insan itu bertemu dan bersua muka.

Amalan bersua muka dengan mengucapkan salam dari bibir, menghulurkan tangan untuk berjabat, sentuhan fizikal dengan pelukan kepada saudara mara lebih tua, mempunyai nilai kemasyarakatan lebih ‘hidup’ dalam perasaan berbanding melalui medium teknologi maklumat canggih.

Malah, kita juga berpeluang membalas setiap gerak-geri silaturahim ini dengan yang lebih baik jika bersemuka.

Firman Allah SWT: “Jikalau engkau semua diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan yakni salam maka jawablah penghormatan atau salam itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dengan yang serupa dengannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 86).

Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Farabi dalam al-Madinah al-Fadhilah apabila amat menekankan aspek memasyarakatkan masyarakat sebagai usaha mewujudkan masyarakat sempurna ke arah sebuah negara yang baik.

Menghidup sunnah Nabi

Budaya murni ini amat dianjurkan kerana ia menghidupkan amalan berteraskan Sunnah Nabi SAW. Daripada Abu Yusuf, Abdullah bin Salam katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, pereratkanlah kekeluargaan, bersembahyanglah – di waktu malam – sedang manusia sedang tidur, maka engkau semua akan masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat Imam Tirmidzi)

Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Manakah amalan Islam yang terbaik? Baginda menjawab: Iaitu engkau memberikan makanan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang sudah engkau kenal dan orang belum engkau kenal.” (Muttafaq ‘Alaih)

Hal yang sama boleh diaplikasikan dalam perkhidmatan apabila ada mengadakan ‘pejabat terbuka’ bersama pelanggan bukan sekadar untuk menjamu selera tetapi membina hubungan pejabat dengan pelanggan dalam suasana lebih baik dan santai.

Bulan perhubungan awam

Aduan dan pandangan juga akan lebih mudah disampaikan serta diterima secara positif oleh pegawai berkenaan. Justeru, Syawal boleh menjadi bulan perhubungan awam paling efektif dalam menyalurkan perkhidmatan mesra pelanggan.

Namun, beberapa adab dan nilai akhlak perlu dijaga bagi merealisasikan matlamat baik ini iaitu tidak berlebih-lebihan, bermegah-megah, bermewah-mewah, berhasad dengki, iri hati dan sombong serta tidak menimbulkan kesulitan disebabkan oleh hutang.

Termasuklah juga yang perlu dielakkan oleh penjawat awam mahupun swasta adalah menerima atau memberi hadiah, hamper kepada mereka yang berurusan rasmi atau berkepentingan.

Kita disarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebaik-baiknya menolaknya untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini sebagaimana Surat Pekeliling, Bilangan 3, 1998 yang menyatakan setiap pemberian hadiah perlu diisytiharkan kepada ketua jabatan yang akan menentukan sama ada disimpan atau dipulangkan.

Contoh hadiah atau hamper kepada agensi penguatkuasa dan pegawai bank yang mempunyai urusan perniagaan atau pinjaman dengan pegawai terbabit. Unsur atau  perbuatan tidak beretika ini hendaklah dielakkan supaya tidak mencalarkan keindahan dan kemeriahan Syawal.

Justeru, bagaimana cantiknya pakaian, indahnya perhiasan rumah dan enaknya juadah dihidangkan pada Syawal ini, marilah kita memelihara diri dengan munajat supaya dikurniakan akhlak baik lagi indah dengan satu doa mudah: “Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku.” (Riwayat Ahmad)

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/