Isnin, 27 Ogos 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Pelajar sasaran mangsa buli siber



Oleh : NORIZAN ABDUL MUHID

BERDASARKAN kajian Tingkah Laku Siber Belia Global yang dikeluarkan Microsoft Corp. mendapati 33 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun di negara ini terdedah kepada pelbagai aktiviti siber termasuk jenayah buli dalam talian.

Malah, melalui kajian yang dijalankan bermula 11 Januari hingga 19 Februari lalu di 25 buah negara termasuk Malaysia itu mendapati satu pertiga remaja negara ini pernah menjadi mangsa buli siber.

Dianggarkan 24 peratus kanak-kanak dan remaja yang terlibat dalam tinjauan kajian terbabit mengakui pernah melakukan sesuatu yang dibimbangi oleh ibu bapa termasuk menjadi mangsa buli dalam talian.

Kajian tempatan mengemukakan hasil bahawa golongan ini berhasrat berkongsi cerita dan mahu berinteraksi dengan ibu bapa mereka mengenai isu buli dalam talian namun hanya 27 peratus daripada ibu bapa yang mahu berbincang dengan anak-anak mereka berhubung aspek keselamatan khususnya melindungi anak-anak ketika dalam talian.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, golongan terbabit yang terdiri daripada pelajar memerlukan ruang untuk membincangkan isu-isu termasuk kes buli dalam talian kerana perlu merasa selamat.

''Bagaimanapun, jika ruang seperti ini tidak ada, mereka perlu membuat keputusan sendiri dan disebabkan kurang pengalaman dalam menangani isu dengan cara yang tidak sesuai, secara tidak langsung memberi masalah psikologi dan mental yang serius pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyertai Rundingan Meja Bulat Masalah Buli Dalam Talian anjuran Microsoft Corp. yang turut dihadiri Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim;

Pengarah Hal Ehwal Korporat, Malaysia dan Pasaran Baru, Microsoft Malaysia, Jasmine Begum serta Pakar Psikiatri Hospital Selayang, Dr. Nurulwafa Hussain.

Sehubungan itu, menurut Dr. Abdul Kadir, ibu bapa seharusnya memainkan peranan lebih utama dan proaktif khususnya meningkatkan pemantauan terhadap tingkah laku anak-anak mereka berkaitan sebarang aktiviti siber.

"Penggunaan Internet tanpa kawalan orang dewasa khususnya ibu bapa meletakkan remaja pada risiko bahaya seperti dibuli dalam talian, pornografi dan berpotensi mendedahkan maklumat peribadi kepada pemangsa seksual.

"Pengawasan ibu bapa merupakan faktor utama melindungi anak-anak mereka terutama dalam mempengaruhi tingkah laku anak-anak berkaitan isu buli dalam talian ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Page, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pihaknya bimbang mengenai kekurangan polisi formal yang berperanan melindungi keselamatan golongan kanak-kanak dan belia memandangkan mereka terlibat dengan jenayah siber pada usia yang muda.

Menurutnya, tinjauan tempatan menunjukkan hanya 18 peratus ibu bapa mengajar anak-anak mereka mengenai adab sewaktu dalam talian dan 13 peratus daripada ibu bapa meminta anak-anak memaklumkan kepada mereka sekiranya mereka menjadi mangsa buli dalam talian.

Pada perkembangan yang sama, Jasmine berkata, Microsoft turut mengambil beberapa pendekatan bagi menangani isu berkaitan buli dalam talian antaranya memperkenalkan kuiz interaktif pada laman web setiap sekolah agar pendidikan awal mengenai jenayah buli dalam talian dapat diperluaskan di kalangan pelajar.

"Buli siber atau buli dalam talian ini boleh dikatakan satu cabaran serta isu serius yang dihadapi seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi perkara tersebut.

"Bagi Microsoft, pendekatan kami adalah dari aspek keselamatan dalam talian dan memupuk warganegara melalui usaha menyokong literasi digital dan beretika.

"Pada masa yang sama, kita memberi kuasa kepada ibu bapa, penjaga dan pendidik dengan alat serta sumber yang tepat untuk membantu mereka bercakap dengan anak-anak tentang keselamatan dalam talian," jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Subjek Sejarah berat, serius


Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
         
DIBANDINGKAN keberuntungan hidup antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi.

Generasi dulu terpaksa berhempas pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, sedangkan golongan muda hari ini menikmati kesenangan dalam pelbagai aspek pembangunan, kemudahan dan modenisasi.

Malangnya, kepelbagaian kemudahan itu turut menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan memartabatkan perjalanan sejarah hingga menganggapnya tidak penting.

Justeru, timbul tanggapan mereka dilabelkan sebagai generasi buta sejarah hingga menimbulkan polemik dalam masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi negara kelak tanpa sikap patriotisme asli.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan mereka alpa? Masyarakatkah yang bersalah kerana lepas tangan atau proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu hanya mengejar keperluan material.

Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ishak Saat berkata, generasi muda hari ini dikelilingi kesenangan dan kemudahan dan jarang didedahkan dengan kesusahan serta perjuangan masyarakat terdahulu.

Subjek Sejarah di sekolah yang hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang kepada kekurangan penghayatan sejarah di kalangan golongan muda.

“Fenomena ini menyebabkan semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan mereka melihat sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri.

“Mereka membuat penafsiran sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika golongan berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar  dengan pendekatan seperti itu,” katanya.

Isu generasi muda hari ini yang menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, apatah lagi mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara seperti generasi terdahulu.

Keadaan ini menimbulkan polemik dan kebimbangan di kalangan masyarakat mengenai kecenderungan masa depan generasi ini dalam mengemudi negara suatu hari nanti.

Beliau berkata, sejarah mesti diajar dengan prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama.

“Malangnya, hanya golongan tertentu saja mendominasi perjalanan serta cerita sejarah ini manakala selebihnya hanya diberi ‘sedikit’ saja pengetahuan mengenainya.

“Ini turut menjadikan minat yang sedikit semakin merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya generasi muda andai kata mereka tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat mereka juga kurang tepat,” katanya.

Bagaimanapun, itu bukan alasan terus mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat generasi muda lebih peka terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah.

“Jika tahu mereka jauh, apa salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme tertentu.

“Jangan pisahkan mereka dengan sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan perjalanan negara. Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya.

Ditanya adakah sukar ingin memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau berkata, ia tidak sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber.

“Mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, jadi masyarakat perlu menggunakan peluang ini bagi mendekati golongan sasaran.

“Malangnya, hal ini dilakukan secara bermusim seperti hanya pada bulan kemerdekaan sedangkan penghayatan sejarah perlu sepanjang masa agar sentiasa mantap.

“Mekanisme digunakan tidak cukup, jadi tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.

Katanya, generasi dahulu lebih prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan peperiksaan.

“Malah, guru dulu sanggup berkorban demi meningkatkan semangat patriotik di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, cabaran dulu dan kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus pada pembinaan jati diri tapi kini penghidupan lebih mencabar dengan pembangunan semakin rancak selain materialistik.

“Tapi, jiwa patriotisme juga mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan generasi cerdik pandai tetapi buta sejarah negara sendiri,” katanya.

Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, generasi muda kurang berminat pada sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan tidak penting.

Menurutnya, faktor dibesarkan selepas zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan juga menjadi penyebab mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah.

“Sejarah selalunya dianggap aspek berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang mendapat tempat di hati generasi muda.

“Pemahaman kurang jelas juga menjadikan mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan jangka panjang.

“Malah, saya mengakui golongan muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya.

Rakannya, Emy Nazira Embong berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek keseronokan mendorong mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah.

“Biarpun subjek itu diajar, mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa (belajar) sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan.

“Tanggapan seperti itulah yang membuatkan mereka ambil mudah dan menganggap sejarah tidak penting, padahal sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Harapan memiliki rumah menjelang Bajet 2013


Oleh : Nur Syahidah Abdul Jalil

WALAUPUN masih berada dalam kemeriahan lebaran dan persiapan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, sebahagian besar masyarakat masih memberi tumpuan kepada perbahasan mengenai pelan Bajet 2013. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan antara lain untuk menimbang permasalahan kos sara hidup dalam rancangan Bajet 2013 yang akan diumumkan kelak.

Walaupun ekonomi negara diunjur tumbuh sekitar 5.4 peratus tahun ini yang diyakini berada dalam landasan yang baik bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi 2020, masih banyak perkara yang perlu ditangani terutama berkenaan kos sara hidup yang menjadi duri dalam daging bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Tahun ini kita menyaksikan beberapa kaedah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat mengurangkan kos yang dihadapi namun kebanyakannya adalah bersifat pelan jangka pendek.

Pelan jangka pendek lebih mudah diterima orang ramai berdasarkan kesannya yang cepat dan efektif pada masa itu. Walau bagaimanapun, penstrukturan pelan jangka panjang adalah lebih baik dan penting kerana bersifat lebih kukuh dan berpanjangan dengan kos yang lebih minimum. Dalam isu menangani kos sara hidup dalam pembangunan bajet 2013 ini pelan jangka panjang dan pendek perlu diperhalusi bagi mendapatkan kesan yang lebih kukuh dan efektif.

Antara cadangan yang popular dilontar orang ramai untuk pembangunan bajet kali adalah berkaitan isu harga rumah. Isu rumah sememangnya menjadi isu yang amat kritikal kerana rumah adalah satu daripada keperluan asas hidup dan menjadi pelan kontingensi kepada saat-saat kecemasan yang berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, memiliki rumah bagi setiap individu pada hari ini dianggap sebagai satu kemestian.

Harga rumah yang meningkat dengan tidak munasabah terutama sekali di bandar dan pinggir bandar sejak lima tahun kebelakangan ini menjadi kekangan kepada sekurang-kurangnya bagi sebuah keluarga untuk memiliki seunit rumah. Malang sekali lagi apabila rumah yang dijual dengan harga begitu mahal tidak berkualiti pula. Bagi golongan muda, kelihatannya seolah-olah amat mustahil untuk memiliki sebuah rumah dalam masa terdekat dengan tambahan hutang pendidikan yang ditanggung mereka.

Kita akui bahawa untuk kerajaan mengambil alih kawalan harga rumah sepenuhnya adalah sesuatu yang tidak baik bagi ekonomi negara. Aktiviti ekonomi seharusnya bebas namun perlu dipantau bagi mengelakkan herotan berlaku oleh sebab yang disengajakan seperti spekulasi atau tidak disengajakan seperti kemelesetan ekonomi global. Maka, mengawal harga rumah menerusi kaedah secara tidak langsung diharap dalam dipertimbangkan dalam pembangunan dan pembentukan bajet pada hari ini.

Kaedah sedia ada seperti kerajaan membina rumah mampu milik perlu diperluaskan ke kawasan lain. Peringkat pendapatan juga perlu dikaji bagi memastikan rumah dibina sesuai dan selayaknya dengan pendapatan bagi sesebuah keluarga. Dicadangkan untuk kerajaan mengambil alih kawasan-kawasan emas yang hendak dibangunkan untuk dijayakan sebagai perumahan rakyat agar berlaku keseimbangan pembangunan dan kependudukan secara keseluruhan dalam kawasan tersebut.

Selain itu, kaedah pembinaan rumah secara tradisional oleh kontraktor berlesen juga perlu diberi nafas baru. Menjual dahulu rumah yang belum dibina tidak sesuai lagi digunapakai sementelah banyaknya masalah yang timbul daripada kaedah ini yang mana turut merugikan kerajaan kerana terpaksa mengambil alih projek perumahan yang bermasalah.

Kaedah-kaedah lain perlu dipertimbangkan sama ada menggunakan kaedah bina dahulu, kemudian jual atau pembinaan dan pembayaran secara berperingkat ataupun menubuhkan satu tabung khas kepada para kontraktor untuk memulakan pembinaan bagi menggantikan kaedah mengambil deposit daripada pembeli.

Sekali gus ini akan mengubah corak pembiayaan perumahan yang akan ditawarkan oleh bank-bank.

Aktiviti membolot perumahan baru perlu dihentikan. Memang tidak dinafikan bahawa kita suka akan keuntungan maksimum yang pantas, namun dalam masa yang sama keuntungan yang dinikmati itu tidak harus memudaratkan orang lain. Kegiatan membolot menghampiri kepada perbuatan ihtikar yang dilarang oleh Islam. Ihtikar yakni penguasaan (monopoli) atau menyimpan bagi tujuan menaikkan harga lazimnya berlaku dalam jual beli makanan namun dalam hal ini matlamatnya adalah sama iaitu menguasai dan menahan rumah untuk diniagakan bagi tujuan menaikkan harganya.

Kemudaratan yang berlaku terhadap individu yang tidak memiliki rumah adalah besar. Ini kerana rumah bukan hanya tempat tinggal bagi sesebuah keluarga, tetapi juga tempat perlindungan, berkasih sayang,  tempat menyemai ilmu dan nilai kepada anak-anak kecil.

Adalah menjadi harapan agar isu harga rumah ini diberi pertimbangan sewajarnya dalam merangka pelan belanjawan kerana pembangunan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tahun 2020 harus diseimbangi dengan pembangunan masyarakat.

Kita harus menginsafi bahawa kekayaan dalam kehidupan tidak hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hashr. Ketidaksamaan kekayaan adalah kepelbagaian dalam kehidupan dan sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap individu dapat memenuhi keperluan asasinya termasuklah tempat tinggal yang baik dan selesa tanpa mengira taraf ekonominya.

PENULIS ialah Pegawai  Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 26 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : Cip cegah ponteng

Shahril menunjukan alat pengesan SchoolTrac bagi atasi kes ponteng. 

Oleh :  Mohd Zaky Zainuddin

SchoolTrac kesan pergerakan pelajar

Sekolah dan ibu bapa kini tidak perlu bimbang pelajar ponteng sekolah jika menggunakan produk Schooltrac yang akan mengirim maklumat pergerakan murid dan anak mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel. Menerusi sistem itu, murid akan dibekalkan dengan kad pelajar SchoolTrac menggunakan frekuensi radio yang mampu mengesan pergerakan keluar masuk murid melalui pagar sekolah ketika waktu persekolahan.

Sistem dalam talian

Kad Schooltrac mengandungi cip dan disambungkan serta dipantau terus ke pusat data sekolah untuk memaklumkan guru dan penjaga mengenai status kehadiran pelajar menerusi emel atau SMS.

Produk itu diperkenalkan di negara ini oleh sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan, ABRA Corp Sdn Bhd yang menggunakan sistem dalam talian. Ia dapat memantau status kehadiran pelajar,selain merekodkan kehadiran pelajar di sekolah.

Pengarah Projek ABRA Corp, Mohd Shahril Mahmud, berkata ibu bapa akan menerima SMS atau e-mel daripada pusat data setiap kali pelajar memasuki atau keluar dari sekolah pada masa sebenar dalam tempoh satu atau dua saat.

Katanya, ibu bapa hanya perlu membayar yuran bulanan RM10 bagi mendapatkan perkhidmatan itu di sekolah yang melanggan aplikasi berkenaan.

Setakat ini, 20 sekolah sekitar Lembah Klang bekerjasama dengan ABRA Corp untuk menggunakan peranti SchoolTrac.

“SchoolTrac juga alat yang boleh mengurangkan penggunaan kertas kerana semua maklumat kehadiran dicatatkan secara automatik dalam komputer menerusi pancaran sistem produk berkenaan.

“Ia menggunakan teknologi Korea tetapi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksanakan di Malaysia oleh ABRA Corp sendiri,” katanya.

Mohd Shahril berkata, pada masa ini pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Pelajaran untuk menggunakan SchoolTrac di semua sekolah di seluruh negara.

“Kami mengharapkan SchoolTrac akan terus berkembang menerusi kerjasama dengan kementerian,” katanya.

ABRA Corp menetapkan sasaran langganan di sebanyak 200 sekolah di Lembah Klang dalam tempoh setahun.

INFO Schooltrac :

Peranti pengesan pelajar
Berbentuk kad pelajar
Atasi masalah ponteng sekolah
Yuran bulanan RM10 untuk ibu bapa
Pemasangan percuma untuk sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Apabila diri diuji


Apabila diuji
baru diri mengerti
banyak lagi yang keji
bersarang di hati

Apabila diuji
baru diri mengerti
tiadanya kehebatan hakiki
Kesemuanya pinjaman Ilahi

Apabila diuji
baru diri mengerti
ilmu yang dimiliki
tiadalah melangit tinggi

Apabila diuji
barulah diri mengerti
tiada kekuatan sakti
untuk menjadi penguasa bumi

Apabila diuji
barulah diri mengerti
harta benda tidak bererti
jika hidup tidak berkongsi

Apabila diuji
barulah diri mengerti
tiada untungnya umpat keji
kerana hilang teman sejati

Apabila diuji
barulah diri mengerti
usia di dunia yang dimiliki
akan berakhir tidak abadi

KEMBARA BAHASA
26 Ogos 2012/9 Syawal 1433

ISU KENEGARAAN : Sambutan ulang tahun Merdeka dalam kenangan



Oleh : Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR - Semasa  berusia 13 tahun, saya begitu teruja apabila diberi peluang untuk mewakili sekolah  dalam perbarisan sambutan ulang tahun Hari Merdeka pada tahun berkenaan.
      
Itu lebih kurang 35 tahun yang lepas dan pelajar-pelajar perempuan Convent Bukit Nanas yang mengambil bahagian bangun awal untuk mengambil tempat masing-masing di jalan-jalan menuju ke Dataran Merdeka.
      
Pelajar perempuan ini memakai kemeja-T dan seluar sukan, lengkap dengan stokin dan kasut putih, dan juga tidak dilupakan kep yang diberikan kepada mereka lebih awal bagi acara penting ini.
      
Mereka dingatkan berkali-kali untuk mengikat rambut dengan kemas supaya kelihatan segak dalam pakaian perarakan masing-masing, sejak memulakan latihan di padang sekolah bagi tempoh hampir dua bulan.
      
Pelajar-pelajar itu dengan penuh bangga menjalani latihan harian, sehinggakan di bawah panas terik matahari dan tidak akan melupakan sumbangan mereka dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.
      
Pada 31 Ogos ini, Malaysia akan meraikan ulang tahun ke 55 kemerdekaan.

INGATAN TIDAK PUDAR
     
Seperti penulis, terdapat ramai yang mahu berkongsi kenangan indah sambutan Merdeka mereka.
      
Maznah Abu Bakar dari Temerloh mula meraikan sambutan Hari Kebangsaan sejak menjejakkan kaki di sekolah berasrama penuh semasa zaman sekolah menengahnya.
      
Masih segar dalam mindanya detik-detik membanggakan itu. “Saya membantu memasang bendera Malaysia di sekitar kawasan sekolah. Pada masa itu kami hanya mempunyai beberapa sahaja bendera untuk dipasang berbanding pada hari ini.
      
“Semasa saya berada di sekolah rendah di kampung saya, saya langsung tidak tahu akan sambutan itu,” kata Maznah.
       
Di sebaliknya, di zaman muda beliau neneknya Tok mengingatkannya akan kepayahan hidup yang diharungi penduduk kampung sebelum Malaysia merdeka.
      
“Saya seronok dengar kisah Tok khasnya bagaimana mereka hidup dengan makan ubi kayu, makanan ruji kebanyakan masa ketika itu.
       
Nenek menjelaskan untuk menyajikan hidangan berlainan ubi kayu disediakan dalam cara lain selain daripada direbus.
      
"Beliau memberitahu kami bagaimana beliau akan panggang atau goreng ubi kayu untuk menyampaikan kelainan dalam hidangan,” tambah Maznah.
      
Dilahirkan beberapa dekad selepas negara mencapai kemerdekaan, Maznah menjalani kehidupan yang agak mudah dan selamat berbanding generasi pra-Merdeka yang terpaksa mengharungi hidup yang sukar.
      
Bagaimanapun, kerani agensi berita ini menunjukkan bahawa inilah sebab mengapa warga emas lebih patriotik dan sangat menghargai kemerdekaan Malaysia.
      
“Mereka pastinya mahu melihat kemerdekaan yang dinikmati Malaysia berterusan bagi generasi-generasi akan datang,” kata Maznah.

MENYAMBUT SECARA BERKUMPULAN

“Saya tidak akan lupakan bagaimana kami meraikan ulang tahun kemerdekaan pada 1980-an sehingga awal pagi, dekat Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
       
“Saya dan rakan-rakan akan menunggu jam di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk menunjukkan pukul 12 tengah malam.
      
"Kami akan menyanyikan lagu-lagu patriotik sepanjang malam, termasuk dalam  perjalanan pulang, sama ada dengan berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Tiada LRT pada masa itu,” kata Rohana Mustaffa, seorang pemberita muda ketika itu.
      
“Jalan-jalan ketika itu selamat dan rakan-rakan akan bermalam di rumah sewa saya tidak jauh daripada pusat bandar,” tambah beliau dengan sahabat dan rakan  setugasnya Nurul Afida Kamaludin mengangguk bersetuju.
      
Nurul yang juga seorang pemberita muda ketika itu berkata sambutan Merdeka pada 1980-an adalah yang terbaik dan sangat dihargai apabila dikenang semula.
      
Bagaimanapun, memandangkan sekarang ini keluarga dan kerjaya  masing-masing menjadi keutamaan mereka tidak meraikan ulang tahun kemerdekaan seperti yang mereka lakukan di zaman muda mereka.
       
Bukan seperti Rohana dan Nurul, ada antara anak gadis yang mengadakan janji temu (date) semasa sambutan ulang tahun Merdeka.
      
“Haa haa, adalah mudah untuk ingat janji temu pertama saya memandangkan ia bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan,” kata Syahila Ahmad dengan ketawa berdekit-dekit semasa menceritakan ‘date’ yang sukar dilupakan itu.
     
SAMBUTAN KELUARGA
     
Bagi Syeliza Basri pula, yang berasal dari Sarawak, sambutan Merdeka lazimnya sambutan keluarga.
      
“Kami akan duduk di hadapan kaca televisyen sejak awal pagi untuk menyaksikan siaran langsung perarakan Merdeka dengan ibu bapa mengisahkan pengalaman zaman muda mereka kepada kami.
      
“Kami juga mendengar kisah-kisah generasi sebelum mereka, satu sesi pembelajaran sejarah yang menarik. Sekarang ini, saya melakukannya dengan dua orang anak saya. Kami menikmati setiap detik dan menghargai tanah tumpah darah kami dan kemerdekaan yang dikecapi,” kata Syeliza yang juga dikenali dengan panggilan mesra Syellz, kepada Bernama baru-baru ini.
      
Ayah Syellz masih mengibarkan bendera Malaysia dengan bangganya di luar rumah setiap kali datangnya bulan Merdeka.
      
Dan ayah Syellz percaya yang kefahaman kanak-kanak terhadap kemerdekaan dapat dipertingkatkan lagi dengan mengambil bahagian dalam sambutan kemerdekaan khasnya semasa zaman sekolah mereka.
      
“Saya membawa bendera semasa sambutan Hari Kebangsaan 1991 yang diadakan di Padang Merdeka di Kuching. Ia membolehkan saya memahami dengan lebih baik akan kemerdekaan negara sendiri. Sejak itu saya lebih patriotik,” kata Syellz dan menambahkata rakyat Malaysia harus memperbaharui tradisi menyertai sambutan Merdeka sebagai peserta dan penonton.  “Semangat kemerdekaan mesti diteruskan,” tambahnya.

LAGU PATRIOTIK
     
Mengibarkan bendera di kawasan sekolah dan bangunan merupakan sebahagian daripada tradisi sambutan sejak beberapa dekad yang lepas.
      
Bagaimanapun, kebanyakan orang melihat sambutan ini lebih daripada mengibarkan bendera.
      
“Saya meraikan dengan menyanyikan lagu-lagu patriotik semasa bulan Merdeka” kata Zha He Lang, seorang remaja berusia 18 tahun, yang melalui pendidikan sekolah rendah di sebuah sekolah Cina di Lembah Klang.
      
Menurut Zha, lagu-lagu seperti ‘31 Ogos,’ ‘Jalur Gemilang’ dan ‘Bahasa Jiwa Bangsa,’ berada dalam senarai lagu mesti semasa sambutan bulan kemerdekaan.
      
Ini merupakan senario sama bagi pesara Siti Hawa Ismail, yang melalui pendidikan sekolah rendah di Perlis pada 1960-an.
      
“Kami menyanyikan lagu-lagu patriotik dan mengibarkan bendera kecil pada tangan semasa sambutan peringkat negeri di sebuah padang di Arau. Sebagai kanak-kanak, kami mengikuti rombongan sekolah untuk meraikan hari istimewa itu dan mendengar dengan penuh sabar ucapan orang-orang kenamaan,” kata Siti Hawa yang mengakui beliau telah banyak lupa akan pengalaman sambutan itu. 

KANAK-KANAK PRASEKOLAH

Bagi kanak-kanak alaf baru, mereka hanya mula mengenali sambutan kemerdekaan apabila guru-guru menggalakkan mereka untuk melukis dan mewarna identiti negara yang sangat berharga; ‘Jalur Gemilang’ dalam meraikan sambutan Merdeka di sekolah-sekolah.
      
Bagi Raeidah Abdul Rahman, kini 13, dipilih untuk mengambil bahagian dalam perbarisan hari kebangsaan semasa beliau masih di peringkat pra-sekolah di Putrajaya yang memberikan beliau pengalaman bernilai akan merdeka.
      
“Anda perlu berada situ untuk memahami betapa penting untuk menjadi sebahagian daripada sebuah negara muda dan merdeka seperti negara kita.

"Saya melihat begitu ramai orang, daripada semua kaum, semua peringkat masyarakat di perbarisan kemerdekaan. Saya bangga untuk menjadi peserta muda bersama-sama dengan rakan lain; Kami baru berusia enam tahun ketika itu. Kami menaiki bas khas pada awal pagi dan sampai di Putrajaya pada pukul 5.30 pagi.
      
"Saya tidak akan lupa akan hari istimewa itu, sebenarnya saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada sambutan hari kebangsaan pada usia sangat muda,” kata Raeidah dalam nada yang lembut tetapi meyakinkan.
      
Dan guru prasekolahnya pada masa itu, Rofidah Zakaria bersetuju dengan  pandangan bekas anak muridnya itu.
      
“Saya berharap sambutan hari merdeka akan diteruskan di seluruh negara dalam skala besar setiap tahun. Saya membawa anak-anak saya untuk menyaksikan sambutan itu setiap tahun sehinggakan saya menginap di hotel berdekatan supaya tidak melepaskan perbarisan dan aturcara lain,” tambah Rofidah. 
       
Merdeka membawa kenangan bermakna dan indah bagi rakyat Malaysia, bukan sahaja bagi mereka yang telah mengharungi zaman pra-Merdeka tetapi juga yang dilahirkan pasca-Merdeka. Jadi, apa pula kenangan manis anda bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan?  - Bernama

ISU BAHASA : Gembleng tenaga demi bahasa


Oleh : Ezani Hj Daudani Haji Daud

KITA kerap kali mendengar suara-suara lantang yang singgah yang mengungkapkan kekecewaan tentang bahasa Melayu yang kian keruh, tercemar malah dinodai dalam pelbagai perlakuannya. Slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang menjadi teras perjuangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-56 seolah-olah tidak diendahkan serta tidak diambil cakna oleh masyarakat.

Penodaan serta kedegilan mereka yang menggunakannya seolah dirasakan bahawa ia bukan lagi satu kesalahan yang serius. Bahasa ibunda sendiri akhirnya terpinggir dan menjadi asing di bumi sendiri.

Ada yang mencebik bibir seolah-olah ia tiada standard dan ketinggalan jika hanya bertutur dalam bahasa Melayu terutama sekali dalam majlis-majlis mega dan penuh gah. Penularan yang diibaratkan sebagai fenomena ini berlaku di mana-mana sahaja termasuk di jabatan kerajaan, swasta, pusat pengajian tinggi, sekolah, media cetak, pusat penyiaran dan pengiklanan. Ia boleh diibaratkan sebagai barah yang kian merebak ke seluruh tubuh dalam menantikan saat meragut nyawa.

Keadaan ini bukan hanya baru bermula malah telah lama menjadi kegusaran para pejuang bahasa yang seangkatan dengan ASAS 50 lagi. Kebimbangan dan kegusaran ini pernah dilontarkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang melalui puisi Keranda 152 yang jelas merimaskan para pejuang bahasa tentang hakikat sebenarnya iaitu orang Melayu sendiri yang sudah semakin tidak menghormati bahasa Melayunya.

Bezanya bahangnya sudah semakin panas dan kuat melanda tembok jatidiri anak bangsa hari ini apabila bahasa Melayu yang pada suatu ketika dahulu dianggap berperanan sebagai bahasa tamadun serta bahasa ilmu kini dipandang sepi dan terpinggir di bumi sendiri.

Sanggupkah kita melihat bahasa Melayu kita menjadi pupus dan tidak dipertuturkan lagi oleh generasi akan datang? Ini satu persoalan yang seharusnya menjadi pegangan orang Melayu sendiri.

Penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa, bahasa Melayu secara tidak langsung menjadi mangsa. Apa yang jelas, bahasa rojak telah lama menular dalam masyarakat kita dengan pelbagai kaedah penggunaannya. Ejaan serta struktur ayat dan perkataan yang tidak tepat amat membimbangkan. Ada antaranya melalui papan-papan iklan, media cetak mahupun elektronik dan ada kalanya para penyampai radio dan televisyen juga tidak terkecuali dari menyumbangkan perkara ini.

Penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) yang begitu popular pada hari ini memberikan lebih cabaran baru terhadap pemuliharaan bahasa ibunda yang kita cintai ini. Segalanya menjadi ringkas dengan menggunakan istilah-istilah dan ejaan yang kucar kacir malah seolah-olah ini kod-kod tertentu yang hanya difahami penggunanya. Malang sekali, penularan kebangkitan bahasa-bahasa 'rojak' ini menjadi semakin ketara dengan perkembangan teknologi hari ini.

Namun ini bukan bererti tiada usaha oleh pihak-pihak yang berwajib dalam menangani perkara seumpama ini, malah telahpun diusahakan dengan penuh tanggungjawab. Namun amalan masyarakat harian dengan persepsi mereka sendiri telah dengan sendiri melenyapkan usaha yang sebegitu serius oleh para pejuang bahasa itu sendiri.

DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Awang Sariyan disokong oleh pelbagai pihak khususnya persatuan-persatuan bahasa dan persuratan dari seluruh negara sedikit sebanyak telah mengimbangi situasi ini. Namun arus yang mereka tentangi agak keras dan 'degil' bila tiba pada saat melaksanakannya.

Pelbagai akta telah digubal untuk menangani perkara ini namun tetap dipandang sepi. Baru-baru ini telah ada penekanan oleh DBP serta badan-badan penulis seluruh negara dalam mengenakan tindakan yang agak keras terhadap mereka yang tidak akur dalam perkara ini.

Pengauditan bahasa terhadap jabatan-jabatan serta sektor swasta juga merupakan suatu berita gembira dalam merealisasikan hasrat ini. Namun usaha akan hanya tinggal usaha sekiranya penguatkuasaannya tidak dimartabatkan segera. Keberkesanan menjadi luntur andainya tiada ketegasan ketika mengambil tindakan terhadap pelakunya.

Mungkin atas persepsi yang menganggap bahasa kedua negara (bahasa Inggeris) perlu digunakan seiringan kerana ia merupakan satu alat komunikasi  masa ini dalam bersaing untuk mendapatkan kemajuan daripada dunia luar. Atau mungkin ada juga yang menganggap bahawa bahasa Inggeris melambangkan kemajuan serta lebih bersifat antarabangsa pada zaman ini.

Alasan sebegitu sebenarnya remeh malah kita perlulah menyoal diri sendiri antara mahu atau tidak untuk kita melakukannya. Di Indonesia, Jepun, Rusia, Thailand contohnya serta beberapa negara di dunia ini amat mendaulatkan bahasa ibunda mereka sendiri biarpun menimbulkan masalah dalam berkomunikasi dengan dunia luar. Segalanya hasil kerjasama serta keprihatinan anak bangsa mereka sendiri dalam mendaulatkan bahasa ibudan mereka.

Justeru , sudah sampai saatnya untuk kita semua sama-sama menggembleng tenaga, usaha dengan memasang hasrat untuk memelihara serta mendaulatkan kembali bahasa kita. Kita punyai ramai cendekiawan, Sasterawan Negara, penggiat sastera dan bahasa, ahli-ahli akademik bahasa yang berwibawa serta pakar undang-undang yang tiada tolok bandingnya. Kerahkan kudrat serta semangat untuk berjuang bersama demi mendaulatkan kembali bahasa ibunda kerana amat malang sekali jika bahasa yang kita agung-agungkan dibiarkan dinodai di hadapan halaman sendiri oleh anak bangsa sendiri.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/