Rabu, 13 Mac 2013

ISU BAHASA : Seni estetika tinggi sentuhan karya agung


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Apakah dua faktor ekstrinsik yang mendorong minat kita terhadap sastera besar atau sastera agung dunia? Pertama, faktor emosi terhadap sesebuah karya yang dapat dikaitkan dengan keagamaan atau kerohanian. Bagi sesetengah orang Islam, dorongan itu mendekatkan mereka kepada sastera sufi, umpamanya Mathnawi oleh Rumi, Qasidat-ul-Burda karya al-Busiri, dan Persidangan Burung ciptaan Farid a-Din Attar.

Kedua, faktor bahasa asing pertama yang kita kuasai. Bagi orang Melayu yang menguasai bahasa Arab, mereka boleh mengikuti sastera sufi yang disebut di atas langsung daripada bahasa asalnya. Bagi mereka yang tidak menguasai bahasa Arab, mereka membaca karya terjemahan dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada kita pula menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan kita lebih didedahkan kepada sastera Inggeris.

Kita sebenarnya mempunyai warisan karya agung kita sendiri. Dua daripadanya ialah Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu). Dalam masyarakat kita sendiri, karya-karya ini sudah beredar begitu lama, sejak karya itu dihasilkan.

Pada mulanya karya itu disalin dalam bentuk manuskrip tulisan tangan dalam tulisan Jawi. Apabila mesin cetak diperkenalkan ke negara kita pada awal abad ke-19, karya-karya terbabit dicetak dan dapat diterbitkan dengan banyak. Selain versi tulisan Jawi, karya-karya itu juga ada dalam versi tulisan rumi, iaitu huruf yang boleh dikatakan datang bersama-sama penjajahan Barat.

Dua gandingan

Huruf rumi dan penjajahan Barat, khususnya Inggeris adalah dua gandingan yang mencorakkan pemahaman sebahagian daripada kita terhadap sastera yang dianggap baik. Karya-karya sastera Inggeris diperkenalkan kepada pelajar negara ini sejak 1940-an atau lebih awal dari tarikh itu, sama ada di sekolah misionari, sekolah Inggeris, dan malah sekolah Melayu (melalui terjemahan).

Demikianlah kita dihidangkan dengan The Cantebury Tales oleh Chaucer, drama-drama Shakespeare, Gullivers Travels oleh Swift, novel-novel karya Defoe, Richardson, Jane Austin, DH Lawrence dan sebagainya. Perkenalan terhadap sastera Inggeris saja sudah melupakan kita akan hakikat wujudnya karya besar di sekeliling England seperti di Perancis, Jerman dan lain-lain lagi.

Kendala menguasai bahasa asing selain Inggeris mengakibatkan kita agak terlewat mengikuti karya-karya besar dari negara lain kerana kita harus mencari versi terjemahan Inggerisnya. Lebih lewat lagi apabila kita harus menunggu pula versi bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris daripada bahasa asalnya! Inilah situasi yang menyebabkan karya pengarang Perancis dan Jerman tiba lewat kepada kita.

Di Perancis umpamanya, karya besar muncul daripada penulis seperti Rabelais (Gargantua dan Pantagruel), Victor Hugo (Les Miserables), dan Flaubert (Madame Bovary). Di Jerman karya-karya sastera yang menarik antara lain sudah dihasilkan oleh Thomas Mann, Hermen Hesse, Franz Kafka, Gunter Grass serta Goethe dengan drama besarnya, Faust.

Tunggu 240 tahun

Apabila baru-baru ini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) melancarkan Faust dalam bahasa Melayu, kita sebenarnya menunggu karya agung ini selama kira-kira 240 tahun sejak kali pertama diterbitkan di Jerman. Ini bukan saja akibat perhatian kita yang selama ini lebih berfokus kepada sastera Inggeris, tetapi juga masalah menemukan penterjemah yang cukup berwibawa, yang mendalami nuansa bahasa Jerman dan bahasa Melayu dengan baik.

Selain menunggu kira-kira 240 tahun, kita juga sebenarnya menunggu seorang Latiff Mohidin untuk dapat menterjemahkan Faust ke dalam bahasa Melayu. Latiff terdidik selama empat tahun di Academy of Fine Arts, Berlin. Beliau menguasai bahasa Jerman dengan baik. Beliau juga seorang penyair Melayu berbakat besar yang menghasilkan beberapa kumpulan puisi seperti Sungai Mekong, Kembara Malam, Wayang Pak Dalang, Pesisir Waktu dan sebagainya.

Seorang penyair biasanya melalui proses penyaringan idea, pemilihan diksi yang teliti, menyelami dunia bayangan bagi mencari mutiara metafora, dan menekuni bentuk, warna serta rentak bahasa, agar puisinya indah dan hidup di atas kertas. Apabila seorang penyair seperti Latiff sudah menempuh proses terbabit, ditambah pula dengan penguasaan bahasa Jerman, tidaklah menghairankan jika Faust hadir di hadapan kita dalam bahasa Melayu yang indah, bersahaja serta merangsang emosi dan intelektual kita.

Merangsang karya besar

Baik pengarang muda mahupun pengarang mapan, mereka harus menekuni dan membiasakan diri membaca serta menghayati karya agung dunia. Ini boleh merangsang mereka untuk melahirkan karya besar.

Anggota masyarakat juga wajar membaca karya besar dan agung. Melalui pembacaan dan penghayatannya, kita menikmati seni estetika tinggi dan dalam masa sama memperkaya pengalaman kemanusiaan dan menambah kebijakan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 12 Mac 2013

ISU SOSIAL : Saranan tangani konflik remaja dengan ibu bapa


Oleh : Farah Ashikin Mohamed Ridzwan

KADANGKALA berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dengan anak remaja mereka.

Daripada  pandangan ibu bapa, mereka melihat adanya perubahan remaja daripada seorang anak yang mendengar kata kepada seorang yang memberontak.

Sering kali juga, perubahan sikap anak remaja itu berpunca daripada ibu bapa yang meletakkan peraturan lebih ketat dengan tujuan 'mengawal' remaja tersebut sehingga ada peraturan itu menyebabkan remaja berasa tertekan dan terkongkong, lantas tercetuslah konflik.

Sementara itu, menurut Elizabeth Bergner Hurlock dalam bukunya Adolescent Development, keinginan remaja menjadi individu yang berdikari dan bebas merupakan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan remaja.

Mereka juga inginkan 'kuasa' untuk menjalani kehidupan ikut cara mereka sendiri.

Namun, remaja tidak sedar bahawa mereka masih memerlukan pertolongan dan bimbingan ibu bapa.

Remaja juga sering memihak kepada rakan mereka berbanding ibu bapa kerana berasakan bahawa rakan mereka memahami perasaan dan keinginan mereka.

Pada peringkat ini, sikap, penampilan dan pertuturan mereka banyak dipengaruhi rakan.

Ada beberapa saranan  untuk menangani konflik dua pihak ini.

Memandangkan perubahan sikap remaja banyak dipengaruhi persekitaran dan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan mereka, ibu bapa bukan sekadar harus memahami apa yang mereka lalui malah harus menjadi contoh baik kepada mereka.

Pertama, ibu bapa boleh menunjukkan sifat penyayang dengan memberikan kasih sayang.

Kasih sayang yang ikhlas akan membuatkan mereka rasa terpelihara dan disayangi lantas lebih mudah mengongsi masalah dan perasaan mereka.

Kedua, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak remaja agar dapat mengenali punca perubahan diri mereka.

Pengetahuan ini akan memudahkan ibu bapa mencari jalan terbaik untuk mendekati anak mereka sekali gus membentuk perhubungan yang harmoni.

Ketiga, sifat hormat-menghormati perlu disemai dalam diri remaja. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh dengan bersifat lemah lembut ketika berbual bersama mereka.

Ucapan seperti 'syukur alhamdulillah' dan 'terima kasih' serta puji-pujian boleh menimbulkan perasaan hormat antara ahli keluarga.

Keempat, ibu bapa harus bersifat realistik. Harapan ibu bapa haruslah selaras dengan kemampuan remaja. Oleh kerana remaja secara semula jadi ingin bebas dan berdikari, ibu bapa perlu menyemai sifat daya tahan agar mereka lebih teguh menghadapi permasalahan di sekolah.

Kelima, ibu bapa harus bersikap jujur kepada anak remaja dan harus bersedia meminta maaf jika telah melakukan kesalahan.

Tanpa sifat integriti, akan hilang rasa hormat remaja terhadap ibu bapa.

Keenam, secara semula jadi, remaja bersifat sensitif dan ingin dihargai. Oleh itu, ibu bapa harus memaparkan sifat tanggungjawab dalam menunjukkan kepedulian terhadap anak-anak meskipun sibuk bekerja.

Oleh itu, ibu bapa perlu terus berusaha menjadi contoh terbaik untuk anak remaja kerana pengajaran yang terbaik adalah dengan menjadi contoh.

Di samping itu, ibu bapa perlu terus memikirkan jalan yang terbaik untuk mengeratkan perhubungan bersama remaja.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Bayang-bayang Bukan Diriku


Kukira
bayang-bayang
meskipun bukan realiti diri
tetap milikku.

Rupa-rupanya
bayang-bayang
bisa terpisah
dari diri
membawa haluannya sendiri.

Apabila mentari mula istirahat
senja menggiliri saatnya
dan bulan menyimpan sinarnya
maka lenyap sudah bayang-bayang
aku kembali memperhatikan diri
itulah realiti.

Kembara Bahasa
12 Mac 2013

ISU SOSIAL : Individu Kaya Malaysia Dijangka Meningkat Kepada 1,294 Orang Dalam Tempoh 10 Tahun


KUALA LUMPUR : Bilangan individu kaya Malaysia dengan aset bersih bernilai US$30 juta atau lebih setiap seorang dijangka meningkat 51 peratus kepada 1,294 orang dalam tempoh 10 tahun akan datang daripada 828 orang ketika ini.

Masih ada ruang bagi penciptaan kekayaan meskipun persekitaran ekonomi global yang suram beberapa tahun lepas, demikian menurut laporan daripada Knight Frank LLP, pakar runding hartanah global bebas utama.

Ketua Penyelidikan Knight Frank Asia Pasifik, Nicholas Holt berkata pertumbuhan dan tumpuan kekayaan kini beralih ke bahagian timur, dengan Asia dijangka menyaksikan kelahiran lebih ramai individu kaya dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding mana-mana rantau lain.

"Data daripada laporan kekayaan menunjukkan bahawa pertumbuhan keluaran dalam negara kasar di kebanyakan negara membangun Asia akan mewujudkan peluang keusahawanan yang akan memudahkan penciptaan kekayaan," kata Holt kepada pemberita di majlis pelancaran laporan The Wealth Report 2013 di sini, Selasa.

Berdasarkan kepada kaji selidik itu, portfolio pelaburan paling popular dalam kalangan pelanggan Malaysia pada 2012 ialah hartanah, diikuti tunai dan ekuiti, katanya.

Mengenai permintaan bagi hartanah kediaman utama, Holt berkata dalam majoriti lokasi di seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, keseluruhan permintaan bagi hartanah sedemikian membantu melonjakkan lagi harga ke paras lebih tinggi, dalam kes tertentu hingga menyebabkan kerajaan-kerajaan merasakan perlu untuk mengekang permintaan.

"Sekatan kerajaan ini di pasaran-pasaran yang bersaing dengan Malaysia mungkin menjadi pemangkin bagi pelabur untuk melihat Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu (terutamanya Iskandar Malaysia) sebagai destinasi pelaburan alternatif menarik pada 2013," katanya.

Hasil kaji selidik itu juga menunjukkan peningkatan perbelanjaan pelanggan bagi barangan mewah dan aktiviti dermawan di Malaysia pada 2012, menunjukkan tiga pelaburan kesukaan paling utama ialah perabot antik, kereta klasik dan karya seni, kata Holt. BERNAMA

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : KKK bantu banteras pencerobohan


Oleh Azmi Hassan

BEGITU cemas dan gusar sekali rakyat Malaysia mengikuti perkembangan yang berlaku di pantai timur Sabah kerana begitu asing sekali bagi mereka berhadapan dengan senario yang begitu mencabar keselamatan dan kedaulatan negara.

Enam dekad telah berlalu apabila suasana getir pernah dilalui oleh rakyat Malaysia ketika tercetusnya apa yang digelar konfrontasi dan juga era darurat menentang ancaman komunis.

Sememangnya rakyat Malaysia tidak boleh dipersalahkan apabila mereka mempunyai perasaan cemas sedemikian rupa kerana  mereka sudah begitu sebati dengan kemakmuran yang dinikmati.

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas (KKK) pada 7 Mac lalu, ramai yang tertanya-tanya apakah keadaan keselamatan sudah tidak terkawal sehinggakan memerlukan KKK diwujudkan meliputi kawasan dari Kudat ke Tawau, merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak dengan pusat operasinya di Lahad Datu.

Tetapi perlu ditekankan bahawa penubuhan KKK bukan sesuatu yang baru dan aneh bagi Malaysia kerana pada 1972 Kawalan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom) telah diwujudkan untuk menangani isu ancaman komunis.

Kawalan Rascom meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor, Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan Keselamatan Istimewa (KKI) oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Abdul Razak Hussein.

Strategi KKI melalui Rascom bukan sahaja berjaya mengekang pengaruh komunis di Sarawak tetapi juga memainkan peranan penting apabila berhadapan dengan era Konfrontasi dengan Indonesia.

Setelah lima dekad berlalu KKK diwujudkan dengan matlamat yang hampir serupa seperti mana KKI tetapi dengan beberapa pembaharuan mengikut kehendak semasa. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan adanya KKK ini penambahan anggota keselamatan seperti polis dan tentera di kawasan terlibat akan meningkat dengan mendadak. Kehadiran anggota keselamatan dengan ketara adalah salah satu dasar asas KKK.

KKK kali ini tidak hanya melibatkan secara langsung dua kementerian utama iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (Kementah) tetapi turut merangkumi kerjasama dengan beberapa agensi yang berada di luar kedua-dua kementerian tersebut.

Tidak syak lagi organisasi seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan digunakan sebagai pertahanan barisan pertahanan ketiga. Begitu juga dengan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) yang mempunyai pengalaman berhadapan dengan krisis bencana alam akan digunakan sebagai sebahagian daripada Unit Maklum Balas Krisis.

Tetapi intipati strategi KKK yang dikatakan paling menarik adalah penglibatan secara langsung oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Sabah dalam setiap aktiviti bagi menjamin kejayaan hasrat penubuhan KKK.

Penglibatan JKKK akan memastikan bahawa setiap keputusan dan strategi mengenai keselamatan akan dengan mudah dihayati dan dipraktiskan oleh penduduk tempatan yang terlibat.

Ini secara tidak langsung akan memastikan bahawa isu keselamatan tidak akan hanya dipikul oleh anggota keselamatan secara tersurat tetapi juga oleh rakyat setempat secara tersirat.

Bukan mudah untuk mengawal perairan pantai timur Sabah agar tidak dicerobohi walaupun banyak mana anggota keselamatan, kapal perang atau kapal terbang digunakan kerana penceroboh menyusup masuk dalam kumpulan yang kecil.

Sebab itu penduduk tempatan perlu memainkan peranan bersama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan menjadi mata dan hati dengan melaporkan segala aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa keselamatan. KKK melalui JKKK adalah kaedah terbaik merealisasikan cita-cita tersebut.

Memang benar senario kehidupan terutama sekali di pantai timur Sabah  berubah akibat tindakan pengganas menceroboh dan mencabar kedaulatan negara. Penubuhan KKK bukan sahaja dianggap sebagai keputusan strategik tetapi yang lebih penting ia melibatkan tiga komponen yang penting iaitu polis, tentera dan orang awam.

Kerjasama  antara ketiga-tiga komponen ini bukan sesuatu yang janggal bagi kerajaan kerana konsep ini telah lama dipraktiskan dan ia merupakan salah satu asas Dasar Pertahanan Negara (DPN).

Secara spesifiknya kerjasama ketiga-tiga komponen dalam KKK adalah apa yang dikenali sebagai Pertahanan Menyeluruh atau dengan nama singkatannya Hanruh.

Konsep Hanruh seperti yang terkandung dalam KKK mula diperkenalkan di Malaysia sejak 1986 lagi dan negara seperti Denmark, Sweden dan juga Singapura begitu aktif mengamalkan konsep serupa terhadap rakyat mereka.

Perlu diungkitkan kembali iaitu ketika Eksesais Bersatu Aman dilancarkan pada 2 Julai 2008 lepas ramai rakyat yang terpinga-pinga dan mempersoalkan keperluan latihan bersepadu gabungan di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan tentera Malaysia (ATM) khusus untuk mengawal keselamatan awam.

Kerjasama polis dan tentera adalah salah satu tumpuan utama Hanruh tetapi ia hanya melibatkan dua komponen sahaja.

Eksesais gabungan PDRM dan ATM tersebut sebenarnya banyak tertumpu kepada aspek penyelerasan arahan pemerintahan kerana kedua-dua organisasi tersebut mempunyai struktur pengurusan yang amat berbeza dan kerjasama dua organisasi keselamatan utama tersebut adalah antara tunggak penting Hanruh.

Sekarang adalah masa terbaik untuk menerapkan konsep Hanruh kepada seluruh rakyat Malaysia dan kewujudan KKK adalah satu permulaan yang baik.

Memandangkan pengamalan strategi Hanruh melalui KKK merupakan salah satu daripada tiang doktrin pertahanan negara, maka sewajarnya rakyat memberi sokongan tanpa berbelah bagi.

Walaupun Ops Daulat sudah hampir berjaya menumpaskan pengganas yang menceroboh, tetapi selepas ini rakyat Malaysia akan sentiasa berhadapan dengan cabaran yang lebih berat dan di sinilah kepentingan Hanruh dalam KKK supaya jati diri setiap rakyat Malaysia sentiasa kental dan berwaspada menghadapi ancaman.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pupuk perpaduan dalam diri kanak-kanak, remaja


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

SUNGGUHPUN  kerajaan  yang memainkan peranan utama untuk memenuhi matlamat perpaduan melalui pembentukan polisi dan pelaksanaan yang sesuai, anak-anak juga perlu dididik tentang perpaduan melalui penglibatan dan penyertaan ibu bapa.

Saya bersetuju bahawa kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka penuh dengan keikhlasan dan kejujuran   kerana pemikiran mereka tidak dicemari oleh isu-isu perkauman. Mereka mampu bercampur gaul dan bermain antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.

Saya seringkali menyatakan bahawa kanak-kanak dan para remaja selalunya tidak mengendahkan langsung akan kenyataan bahawa sesiapa sahaja yang berada di sebelah mereka adalah daripada bangsa dan agama yang berbeza. Mereka hanya melihat bahawa orang tersebut adalah rakan mereka.

Pada setiap hari para remaja Malaysia perlu berusaha secara berterusan untuk menghapuskan jurang perkauman, menghulurkan salam dan mewujudkan persahabatan dengan mereka yang datang daripada kumpulan etnik yang lain.

Para ibu bapa yang terdiri daripada golongan yang dibesarkan dalam suasana kepelbagaian kaum, malah turut bersahabat dengan mereka daripada bangsa lain, sewajarnya menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul agar mereka menyedari betapa pentingnya keharmonian antara kaum dan agama.

Anak-anak dan para remaja pelbagai kaum hendaklah dididik untuk menghormati satu sama lain berteraskan semangat 1Malaysia.

Perpaduan hendaklah dijadikan prinsip dan menjadi panduan di semua sekolah dalam menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti sukan hinggalah ke aktiviti-aktiviti kokurikulum yang bertujuan memupuk pemahaman antara kaum yang lebih tinggi.

Pelbagai program juga perlu diperkenal dan digerakkan untuk mengumpul para pelajar dari sekolah yang berlainan seperti sekolah rendah kebangsaan, SRJK Cina dan Tamil untuk membolehkan mereka berinteraksi dan berkenalan berdasarkan kepentingan utama untuk membina negara.

Para pelajar hari ini adalah pemimpin masa hadapan kita. Di bahu merekalah tanggungjawab dipikul demi untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu dengan perkongsian masa depan dan matlamat yang serupa.

Perpaduan dan keharmonian mesti ditanamkan di dalam budaya kita. Lebih banyak peluang perlu diwujudkan untuk kanak-kanak dan para remaja daripada pelbagai kaum bertemu dan berintegrasi bagi menjalin persahabatan lebih erat dan membina kefahaman demi masa depan negara kita dan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Keputusan STPM diumum Isnin depan


KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan diumumkan Isnin depan (18 Mac).

Menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 12 tengah hari manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT No.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Keputusan juga boleh diperoleh dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari, hari yang sama.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada 12 tengah hari, hari yang sama di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Pada 2012, seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan STPM di 760 pusat pemeriksaan pada 2012 dan daripada jumlah itu, 47,708 adalah calon sekolah kerajaan, 1,112 calon sekolah swasta, 2,795 calon persendirian dan 58 calon sekolah kerajaan negeri.

Sementara itu, calon yang menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 boleh menyemak keputusan mereka dengan melayari laman web MPM atau menghantar SMS pada 21 Mac ini. - Bernama