Ahad, 17 Mac 2013
SUARA DARI MENARA
Bicara bahasanya
sayup jauh kedengaran
dari puncak menara
sampai ke jalanan.
Suara itu menyentuh
gelombang globalisasi
membakar semangat patriotisme
menyisip isu-isu kemasyarakatan
bahasa lembutnya menyedarkan.
Ketika mengharungi
pahit getir kehidupan
sungai sejarah yang berdarah
laut kemelut yang memaut
gunung agung yang gagah
bahasa tetap diucapkan
pada akal cekal hemah.
Suara dari menara
akal budi cendekiawan
memperkatakan dengan bahasa
globalisasi pertembungan budaya
mengancam generasi muda
hidup kemelut tak bermaya.
Mereka memperkatakan
dengan bahasa
lembut mengesan hati dan jiwa
membawa tajam senjata agenda
bahasa semangat patriotisme
tertancap di dada bangsa.
AMI MASRA
UKM, Bangi, Selangor.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Baha Zain: Tokoh penyair dan intelektual
![]() |
Baha Zain pemenang Anugerah
Sasterawan Negara yang ke-12.
|
Oleh : A. WAHAB HAMZAH
ANUGERAH Sasterawan Negara yang
ke-12 diberikan kepada penyair dan tokoh sasterawan, Datuk Dr. Baharudin Zainal
atau lebih dikenali dengan nama penanya Baha Zain. Pengumuman anugerah
tertinggi dalam bidang kesusasteraan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Baha Zain seorang penyair dan
intelektual sastera yang dikagumi dan cukup terkenal dengan puisinya, Menangguh
Kebenaran. Sungguhpun penerbitan buku puisinya tidak banyak, karya-karya beliau
mempunyai kekuatan kepenyairan yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dalam
buku-buku kumpulan puisinya iaitu Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Dari
Catatan Tengah Malam (1978), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa Ke Kota
(1994) dan Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain (2008).
Daripada kumpulan puisinya yang
pertama, Perempuan dan Bayang-bayang telah memperlihatkan kemampuan Baha Zain
sebagai penyair, memperagakan gaya, bentuk dan warna dalam diri. Baha Zain
bijak memilih kata-kata yang tepat, tajam dan pandangan yang bijaksana.
Estetika puisinya tinggi di sebalik gaya puisi yang kelihatan sederhana tetapi
mempunyai lapisan makna yang kuat. Puisi Baha Zain menghantar pesanan, sindiran
dan falsafah pemikirannya secara halus, lembut dan ada kalanya romantis serta
sedikit nakal.
Bagi Baha Zain, puisi tidak
berbicara segalanya tetapi puisi adalah pengucapan suatu fragmen pengalaman
daripada suatu keseluruhan seorang seniman. Sebagai penyair dan penulis, Baha
Zain sering mencari keseimbangan antara aspek perasaan dan pemikiran. Baginya,
baik seseorang itu sasterawan atau pakar sains, masing-masing ada kebebasan
dalaman dan intelektual dalam usaha mencari kebenaran. Itu sahaja tidak cukup,
kerana baik seniman atau saintis, dia perlu iltizam dan tanggungjawab sosial.
Akhirnya, harus tunduk kepada kepercayaan kebenaran yang hakiki iaitu Tuhan
Yang Maha Esa.
Selepas menerima anugerah Ijazah
Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) beliau
berkata, "setiap kali saya menulis, di belakang pemikiran saya ialah
moga-moga karya itu memberi kesan dan manfaat kepada pembaca serta berdoa agar
Tuhan menganugerahkan taufik dan hidayah untuk membolehkan saya terus
berkarya."
Puisi Baha Zain menyerlahkan
keseimbangan antara ketajaman renungan dan kekuatan pemikirannya yang
disampaikan dalam olahan bahasa yang menarik, padat dan gaya yang tersendiri.
Baha Zain dalam kesederhanaan bahasa dan kelembutan lenggok olah puisinya,
sebenarnya semakin lantang menyuarakan keresahan hatinya dan erti
perjuangannya. Hal ini jelas dapat kita tafsir dalam dua buah puisinya
Kembalikan Mimpi dan Menangguhkan Kebenaran.
Baha Zain memenangi Hadiah Karya
Sastera yang pertama pada 1971 dengan puisinya Dalam Lingkaran, Topeng-Topeng
dan cerpennya, Malam Yang Melemparkan. Apabila Hadiah Karya Sastera diangkat
menjadi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), puisi Baha, "Pernahkah
Engkau Mentafsir Kedamaian" memenanginya pada edisi 2002/2003. Puisinya
"Apabila Menulis Puisi" memenangi HSPM 2008/2009. Tahun lepas dalam
HSPM 2010/2011 dua buah puisinya turut menerima hadiah iaitu "Permainan
Mimpi" dan "Dalam Persekitaran Kata-kata".
Kritis
Sebagai penulis esei dan
kritikan, tulisan-tulisan Baha Zain membawa pemikiran yang teliti dan matang dalam
perbicaraan suara yang sederhana dan tenang sekalipun persoalan yang cukup
kritis. Kritikannya tajam tetapi tidak melukakan. Dalam karya eseinya, Baha
Zain mengajak kita berfikir, bukan mengajar kita berfikir. Pendekatan Baha Zain
ini terserlah dalam buku anekdot-anekdot kecilnya Berguru Pada Binatang (2000)
yang secara humor mengangkat satira dunia haiwan sebagai perbandingan, kiasan
dan contoh untuk direnung dan difikirkan.
Barangkali ramai yang tidak
mengetahui bahawa Baha Zain juga pernah terlibat dalam pementasan teater.
Beliau merupakan pengarah teater "Tamu Di Bukit Kenny" karya
Sasterawan Negara Usman Awang yang dipentaskan pada 26 Julai 1967 di Balai
Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka dengan pelakon utamanya ialah
tokoh penulis terkenal, Datuk Noor Azam. Tamu Di Bukit Kenny adalah antara
drama realisme yang penting dalam sejarah teater Malaysia. Pementasan itu juga
menjadi titik tolak penting tradisi pementasan teater Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) yang kemudiannya secara konsisten mementaskan teater hingga ke hari ini.
Zaman Baha Zain di DBP adalah era
kegemilangan DBP dengan tokoh penulis, sasterawan dan budayawan semuanya
tertumpu di situ. Tokoh-tokoh penulis mapan dan baru seperti Datuk Hassan
Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, Abdullah Hussain, Noor Azam, Kemala, Wijayamala,
Othman Haji Zainuddin, Shamsuddin Jaaffar, Suhaimi Haji Muhammad, Jaafa HS,
Datuk Dr. Anwar Ridzwan, Datuk Johan Jaaffar, Zakaria Ariffin, Ainon Haji
Muhammad, Dinsman, A. Rahim Abdullah dan ramai lagi semuanya bertugas sezaman
dengan Baha Zain di DBP. DBP ketika itu bergolak dengan karya sastera, polemik
sastera dan pementasan teater yang secara konsisten mengembang dan memajukan
sastera tanah air.
Baha Zain dilahirkan di Batu 15,
Hutan Melintang Perak pada 22 Mei 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sabak
Bernam, Selangor sebelum memasuki Anglo-Chinese School, Teluk Anson, Perak.
Kemudian memasuki tingkatan enam di Sekolah Anderson, Ipoh dan seterusnya
memasuki Universiti Malaya pada tahun 1960 dan lulus Sarjana Muda Sastera pada
tahun 1963.
Baha Zain mula bertugas di DBP
dengan jawatan Penolong Pegawai Penyelidik pada Julai 1963. Semasa bertugas di
DBP, beliau pernah mendapat cuti belajar di Fakulti Sastera, Universitas
Indonesia Jakarta untuk mengikuti pendidikan khusus mengenai masyarakat dan
kebudayaan Indonesia dalam satu program pengajian peringkat sarjana. Disebabkan
minatnya mendalam tentang bidang kesusasteraan moden, Baha Zain menulis tesis
yang membicarakan novel-novel Indonesia yang terbaharu di bawah bimbingan tokoh
besar sasterawan Indonesia, H.B. Jassin. Pada tahun 1967, buku Hikayat Cekel
Waneng Pati yang disusun semula oleh Baha Zain telah menerima hadiah daripada
UNESCO.
Semasa mengetuai Bahagian
Pengembangan Sastera DBP, Baha Zain menjadi Ketua Pengarang pada
majalah-majalah Dewan Bahasa, Dewan sastera dan Dewan Budaya terbitan DBP
selain dilantik sebagai sidang pengarang jurnal Tenggara. Mulai tahun 1982,
Baha Zain dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP, tetapi pada tahun 1984
beliau meletakkan jawatan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Pada tahun
1985, beliau menerbitkan majalah berita mingguan Era. Sayang majalah yang
mengambil konsep majalah Time tidak lama diterbitkan.
Baha Zain kemudian menjadi
Pengerusi Eksekutif Dasar Padu (M) Sdn. Bhd. Sebuah syarikat penerbitan di
samping mengendalikan Pustaka Cipta syarikat penerbitannya sendiri sejak tahun
1985. Beliau juga turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah, Yayasan Penataran
Ilmu sejak tahun 1986. Beliau juga pernah menganggotai Lembaga Amanah Balai
Seni Lukis Negara, anggota Majlis Perkembangan Buku Kebangsaan dan pernah
dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1985-1991).
Di samping itu, Baha Zain pernah menjadi Presiden Ikatan Penerbit Buku
Bumiputera Nasional dari 1989 hingga 1994.
Sebagai sasterawan, Baha Zain
telah dipilih menerima Anugerah S.E.A. Write daripada kerajaan Thailand pada
tahun 1980. Ketokohannya sebagai sasterawan mewajarkan GAPENA menganugerahkan
beliau Anugerah Penyair GAPENA (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada
Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan GAPENA (2008).
Manakala Universiti Sains Malaysia menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor
Persuratan pada 2010. Selain itu, PENA menganugerahkan beliau Tokoh Persatuan
Penulis Nasional Malaysia pada 2011 . Baha Zain masih lagi terus berkarya dan
menulis setiap bulan dalam Dewan Sastera yang diikuti melalui laman blognya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU ALAM SEKITAR : Hikmah tersirat dalam ekosistem hutan
Oleh : Rosmidzatul Azila Mat
Yamin
Pada Mac setiap tahun, terdapat
dua sambutan istimewa bertemakan pemuliharaan alam sekitar yang diisytiharkan
di peringkat global iaitu Hari Hutan Sedunia (21 Mac) dan Hari Air Sedunia (22
Mac).
Menterjemahkan rasa cinta kepada
alam, kebiasaannya hari istimewa ini
disambut atau diraikan dengan aktiviti berbentuk pendidikan serta kesedaran
alam sekitar oleh masyarakat di seluruh dunia.
Kedua-dua sambutan itu antara
sebahagian usaha menarik perhatian masyarakat mengenai kepentingan memulihara
ekosistem hutan dan sumber air bersih kepada seluruh hidupan di atas muka bumi.
Sambutan Hari Hutan Sedunia yang
diraikan sehari lebih awal daripada sambutan Hari Air Sedunia dilihat sangat
molek percaturannya memandangkan kedua-dua sumber ini saling berkait rapat
antara satu sama lain.
Hayati fitrah alam
Mungkin timbul persoalan kepada
segelintir, bagaimanakah kedua-dua sumber ini dikatakan mempunyai kesinambungan
erat? Elok kita kembali menghayati hikmah dan fungsi kejadian alam serta
komponen hidupan ada dalamnya yang secara fitrah saling melengkapi satu sama
lain.
Hal ini telah dinyatakan dengan
jelas di dalam firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap
sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” (Surah al-Qamar, ayat 49)
Firman-Nya lagi: “Dan tiap-tiap
sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya kadar yang tertentu.” (Surah ar-Ra’ad,
ayat 8)
Begitu juga dalam konteks
kewujudan ekosistem hutan menghijau yang tidak terkecuali mempunyai fungsi
penting bukan saja terhadap komponen alam lain tetapi juga memainkan peranan
besar menjamin bekalan sumber air bersih kepada kehidupan manusia.
Selain bertindak sebagai kawasan
tadahan hujan bagi mencegah berlakunya hakisan tanah, ekosistem hutan juga
pengawal aliran air yang sangat cekap dan berkesan. Melalui fungsi ini,
ekosistem hutan bertindak sebagai span besar yang menyerap air hujan dan
mengalirkannya secara perlahan-lahan ke dalam anak sungai, empangan, kolam dan
tasik.
Bekal air bersih
Air yang diserap ke dalam tanah
di kawasan masih dilitupi hutan akan ditapis dan dituras secara semula jadi
seterusnya menghasilkan bekalan air bersih dan jernih yang keluar ke permukaan
tanah sebagai mata air untuk digunakan manusia dalam aktiviti seharian.
Banyak ayat al-Quran berhubung
saranan supaya manusia sentiasa merenung dan berfikir mengenai setiap kejadian
di atas muka bumi supaya lebih memahami hikmah di sebaliknya.
Firman Allah SWT: “Dan Dialah
yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang
(terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis
buah-buahan, dijadikan padanya pasangan : dua-dua. Ia juga melindungi siang
dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda
kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. Dan di bumi ada beberapa potong
tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada
kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon tamar yang berumpun dan
yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan
buah setengahnya daripada setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya).
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi
orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.” (Surah ar-Raad, ayat 3-4)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sabtu, 16 Mac 2013
ISU SOSIAL : Manusia pesimis manusia perosak
TULISAN kali ini mungkin tidak
banyak berkait dengan ulasan konsep psikologikal yang kompleks. Ia hanya
berkait dengan dua hal yang ada pada manusia. Adakalanya ia sangat sukar untuk
diubah, malah membahayakan negara.
Secara umumnya manusia
dibahagikan kepada dua, iaitu manusia yang optimis dan pesimis. Tatkala manusia
optimis sering kali yakin dengan apa yang mereka lakukan, manusia pesimis
selalu memandang dengan penuh curiga bagi apa sahaja yang berlaku.
Manusia pesimis melihat sesuatu
dari sudut yang negatif. Hanya mereka sahajalah yang benar, tetapi pihak lain
akan selalu salah.
Walaupun berfikiran optimis
tidaklah selalu menguntungkan, tetapi pesimis biasanya akan merosakkan.
Sigmund Frued, tokoh psikologi
psiko analisis dilaporkan pernah berkata, bagaimana manusia yang teruk
cenderung menilai orang lain sebagai buruk. Mereka akan menyatakan bahawa orang
lain tidak akan sebaik mereka.
Hakikat yang sering diabaikan
adalah mereka itulah yang teruk dan bukan orang yang mereka sangka sebagai
buruk tadi.
Kita dapati inilah hal yang
sedang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Tatkala penduduk di beberapa
kawasan di Lahad Datu, Tawau dan Semporna dalam keadaan cemas kerana sedang
menghadapi hari yang buruk kerana pendudukan pengganas, mereka yang pesimis ini
masih lagi memandang dengan penuh sinis menyatakan apa yang berlaku itu
hanyalah sandiwara.
Bahkan, tatkala ada anggota
keselamatan kita dibunuh secara kejam, ada segelintir yang seolah-olahnya masih
tidak lagi percaya apa yang sedang berlaku. Kononnya ia tidak lebih daripada
sebuah lakonan sahaja.
Masih ada yang mempertikaikan
kenapa anggota tentera dibawa dengan pesawat komersial dan bukan pesawat
tentera. Ada pula yang bertanya mengapa kelengkapan tentera diangkut dengan
lori perdagangan ke tempat pertempuran dan bukan bergerak sendiri?
Beri sokongan
Alangkah indahnya kalau kita
bertanya apakah yang dapat kita lakukan bagi membantu menguatkan moral anggota
keselamatan atau membantu penduduk menghadapi hari yang penuh trauma.
Kita mungkin tidak dilatih untuk
menghadapi penjenayah. Bagaimanapun, membantu memberikan sokongan moral kepada
mereka yang terlibat akan mampu melemahkan musuh.
Komen dan kritikan bukan sahaja
menyukarkan keadaan, tetapi melukakan hati pihak lain. Bayangkan bagaimana perasaan
balu anggota keselamatan kita yang kehilangan suami kerana mempertahankan nyawa
kita semua.
Apa pula perasaan penduduk yang
sedang kebimbangan kerana berada dalam keadaan sukar dan bahaya? Lebih
membimbangkan, ia membantu meningkatkan moral pihak musuh untuk menjatuhkan
kita.
Mengapa ada segelintir individu
yang masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku? Dalam tulisan yang
lalu, kita pernah membincangkan fenomena pemikiran kelompok.
Selain daripada warga tua,
sebahagian besar daripada kita adalah warga merdeka. Kita tidak pernah merasai
hidup dalam situasi yang sukar. Sebab itu, apabila tiba-tiba kita diserang oleh
pengganas, ada yang merasakan ia bukan hal yang nyata.
Mereka seolah-olahnya percaya
bahawa peperangan dan keganasan hanya boleh berlaku di negara lain dan bukan di
negara kita.
Kepercayaan segelintir masyarakat
ini bukan sahaja melemahkan moral anggota keselamatan, tetapi juga membahayakan
negara.
Justeru kita juga jarang
berhadapan dengan situasi perang dan serangan seperti ini, kita juga mungkin
tidak terbiasa dengan perang psikologi yang sering dimainkan oleh musuh.
Perang saraf
Sebab itu, apabila tersiar
berita-berita negatif mengenai pasukan keselamatan atau pemimpin negara di
media massa luar negara, ramai daripada kita mempercayainya. Malah ramai yang
mengeyakannya dan menyebarkan pula kepada pihak lain.
Perang saraf inilah yang biasanya
boleh melemahkan kesatuan kita. Kita mungkin mampu menang dengan pengganas dalam
perang terbuka. Bagaimanapun, sekiranya masyarakat masih tidak bersatu, kerana
terpedaya dengan perang psikologi pihak musuh, ia hanya akan membuka jalan
untuk musuh terus mengancam kestabilan negara.
Percayalah, dengan bersatu
sahajalah kita mampu mengatasi suasana yang sukar seperti ini.
Kita semua boleh berbeza fahaman
politik dan pandangan, tetapi kita semua tidak boleh berbeza untuk percaya
bahawa inilah satu-satunya negara yang kita miliki.
Sayangilah negara kita. Bagi
memenangi peperangan ini, kita semua perlu terlebih dahulu untuk tidak
dikalahkan dalam perang psikologi.
Ia adalah kemenangan terbesar
dalam semua jenis peperangan. Tidak salah sesekali mempunyai sikap yang
pesimis, tetapi dalam keadaan tertentu optimis adalah terlebih baik untuk kita
semua.
Sumber : http : //www.kosmo.com.my/
ISU SOSIAL : PDRM Tubuh Unit Khas Wanita (Amanita)
MUAR : Polis Diraja
Malaysia (PDRM) akan mewujudkan satu unit khas dikenali sebagai Amanita dalam
usaha mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Urus Setia Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Ayub Yaakob berkata unit itu
mengiktiraf golongan suri rumah kadangkala mempunyai maklumat penting yang
diperkatakan menerusi 'mesyuarat tingkap' mereka.
"Pendekatan kita kini adalah
untuk memperoleh maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilaporkan, sebagai suri
rumah, mereka mengetahui banyak isu dan maklumat dikongsi sesama mereka melalui
'mesyuarat tingkap'.
"Kadangkala ada maklumat
jenayah yang mereka tahu daripada mulut ke mulut tetapi tidak dilaporkan atas
sebab-sebab tertentu," katanya pada sidang akhbar selepas Program Bersama
Banteras Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang
disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin merangkap
Pengerusi MCPF, Sabtu.
Turut hadir Naib Pengerusi MCPF
Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Ayub berkata Amanita akan
dilancar tidak lama lagi dan untuk tujuan itu, seramai 152 pegawai wanita
dikenal pasti untuk penglibatan dalam unit berkenaan.
Secara tidak langsung, beliau
berkata langkah terbaharu yang dilakukan itu menunjukkan PDRM mengiktiraf
peranan wanita dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuk suri rumah yang
membentuk modal insan di peringkat awal.
"Selama ini kita lihat
wanita memainkan peranan penting dalam rumah tangga termasuk menjadi penasihat
kepada suami sebelum mereka membuat keputusan.
"Kita yakin mereka juga
dapat memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara,"
katanya. BERNAMA
ISU SOSIAL : Mengiktiraf keupayaan wanita
![]() |
| Nicol Ann David |
Oleh : FAUZIAH AROF
MEMANG benar, wanita di negara
ini telah semakin maju dan di pandang tinggi. Maju bukan dengan cuma setapak
langkahan, tetapi lebih daripada itu.
Yang membantu golongan ini
mencapai seperti apa dikecapi sekarang sudah tentulah kesedaran tentang perihal
pentingnya pendidikan kepada mereka.
Melalui pendidikan, kita dapat
menyaksikan peningkatan demi peningkatan kemajuan wanita yang amat
memberangsangkan. Semuanya bermula di sini. Apatah lagi tiadanya diskriminasi
gender kerajaan dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya.
Jika hendak dibuat perbandingan,
pada tahun 1959 hanya satu daripada setiap 10 mahasiswa tempatan adalah wanita.
Bagaimanapun hari ini, lebih daripada enam daripada 10 pemegang ijazah kelas
pertama di negara ini ialah wanita.
Malah, negara kini dikatakan
berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan kadar enrolmen dan pengekalan
pelajar lelaki pula.
Justeru, penglibatan wanita dalam
semua sektor pekerjaan ada di mana-mana. Daripada yang berjawatan tinggi
sehinggalah di peringkat rendah. Walaupun tujuan asalnya bekerja untuk membantu
mengurus kos hidup keluarga, namun semuanya dikira sebagai memberi sumbangan
kepada pembangunan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Laporan
Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton dua tahun lepas meletakkan Malaysia di
kedudukan bersama ke-9 di dunia untuk jumlah jawatan pengurusan kanan yang
dipegang oleh wanita, iaitu sebanyak 31%.
Pun begitu, kekuatan dan
keupayaan wanita Malaysia pada alaf baru ini memiliki ijazah dalam pelbagai
bidang, kecelikan ilmu dan serba berkebolehan sudah tentu menjadi sesuatu yang
sia-sia dan membazir, apabila kesudahannya segala usaha dan jerih perih
mendapat ilmu yang tinggi itu dibiar dan diperap begitu sahaja.
Inilah antara cabaran utama
wanita di negara ini, apabila hanya 47.9 peratus sahaja wanita yang mempunyai
ijazah ini memilih untuk bekerja.
Peratusan ini sudah tentulah amat
kecil berbanding dengan jumlah pelajar wanita di institusi pengajian tinggi
awam dan swasta ketika ini, iaitu 67 peratus berbanding lelaki.
Antara halangan dan penyebab
utamanya adalah mahu menumpukan perhatian pada rumahtangga untuk menjaga anak.
Golongan ibu muda ini, bimbang
dengan kesukaran untuk mendapat pembantu rumah yang terbaik untuk anak mereka,
melihatkan kepada perkembangan kes dera dan lalai pembantu rumah yang sering
berlaku dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, kerajaan sedang
melaksanakan pelbagai langkah melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat (KPWKM) untuk mengatasi masalah ini untuk memastikan sasaran 55
peratus wanita di negara ini berkerjaya pada 2015 dalam Rancangan Malaysia
ke-10 dapat dicapai.
Antaranya mewujudkan pusat
penjagaan kanak-kanak (Taska) di semua jabatan kerajaan. Namun sehingga kini
usaha itu masih diambil mudah oleh sektor swasta. Justeru, kerajaan pada Bajet
2013 memberi insentif termasuk geran RM10,000 dan pengecualian cukai berganda
kepada pihak swasta yang mengusahakan Taska.
Bajet 2013, bersifat mesra wanita
dan menggariskan pelbagai insentif untuk manfaat golongan itu bagi mengimbangi
peranan tri-fungsi wanita sebagai ibu, isteri dan pekerja.
Kecenderungan wanita Malaysia
tampil cemerlang dalam bidang tertentu semakin terserlah bermula sekitar awal
80-an sehingga hari ini setelah mengisi pelbagai slot kejayaan. Antaranya, Tan
Sri Siti Norma Yaakob, berjaya meletakkan dirinya sebagai hakim wanita pertama,
sama seperti kejayaan Tan Sri Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz yang dilantik
sebagai Gabenor Bank Negara wanita pertama.Begitu juga pencapaian, pakar
astrofizik wanita pertama di Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman.
Dalam bidang sukan, Datuk Nicol
Ann David membuktikan kehebatan wanita Malaysia untuk menguasai sukan skuasy
dunia.
Bukan setakat pernah menempah
nama sebagai juara dunia, tetapi beliau berjaya mempertahankan kejuaraan sejak
beberapa tahun sekali gus menjadikan Malaysia sangat dihormati di dalam sukan
itu.
Anak kelahiran Sarawak, Pandelela
Rinong Pamg pula berjaya muncul sebagai atlet wanita pertama Malaysia
menyumbang pingat Sukan Olimpik. Pingat gangsa itu diperolehi melalui acara
terjun pada temasya Olimpik London 2012.
Itu antaranya. Banyak lagi
sumbangan wanita dalam bidang lain yang menjadi kebanggaan rakyat dan diiktiraf
kerajaan, termasuk bidang sosial, politik dan seni.
Sememangnya, sumbangan wanita
diiktiraf peringkat global. Justeru tarikh 8 Mac setiap tahun ditetapkan
sebagai sambutan Hari Wanita Sedunia. Sambutan pertama pada 8 Mac 1975 ekoran
penerimaan satu resolusi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk
kesemua negara anggota menganjurkan "United Nations Day for Women's
Right and International Peace"
Matlamat sambutan Hari Wanita
Peringkat Antarabangsa adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung
isu-isu wanita sejagat serta peranan semua pihak dalam menghapuskan
diskriminasi gender agar pembangunan potensi wanita dapat dipertingkatkan.
Maka setiap tahun, pihak PBB akan
menetapkan tema bagi sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa dan lazimnya
ini disusuli dengan pernyataan khas oleh Setiausaha Agung PBB mengenai isu-isu
wanita berkaitan. Tema bagi tahun 2013 adalah "The Gender Agenda :
Gaining Momentum"
Dan tema ini adalah selaras
dengan visi KPWKM yang mahu menjadi peneraju utama bagi mencapai kesaksamaan
gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang dan sejahtera sebagai
asas pembentukan sebuah negara yang gemilang.
Sehubungan dengan sambutan Hari
Wanita Peringkat Antarabangsa, program yang dirancang oleh KPWKM pada tahun ini
adalah "1 Million Women Purple Walk 2013" yang akan dirasmikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya esok.
Program yang diadakan serentak di
seluruh negara itu bertujuan meraikan kejayaan wanita dalam pelbagai bidang dan
sebagai tanda penghargaan atas inisiatif kerajaan terhadap golongan
tersebut.
Dalam pada itu Najib turut
melancarkan 1Malaysia Komuniti Perwani yang merupakan salah satu inisiatif yang
diperkenalkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 8. Melalui inisiatif
1Malaysia Komuniti Perwani, KPWKM perlu melaksanakan sasaran mewujudkan 100,000
kumpulan jaringan wanita Perwani di seluruh Malaysia. Perwani akan diwujudkan
di sesebuah kawasan komuniti dengan ahli yang terdiri daripada 10 hingga 20
orang wanita bagi setiap kumpulan.
Antara matlamat penubuhannya
adalah sebagai agen transformasi wanita di peringkat komuniti.
Komuniti Perwani ini akan memberi
maklumat dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hala tuju kerajaan
untuk membentuk sebuah negara progresif tanpa mengabaikan kepentingan dan
sumbangan wanita di peringkat komuniti.
Perwani juga merancang dan
melaksanakan program-program transformasi komuniti seperti program pembangunan
kapasiti dan pembangunan masyarakat di kawasan komuniti.
Dalam pada itu, ia turut membantu
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Persatuan Penduduk dan Unit Amanita*
meningkatkan keselamatan kejiranan di kawasan komuniti; dan memberi penerangan
kepada masyarakat setempat mengenai inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh
kerajaan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
* Unit Khas Wanita yang ditubuhkan oleh PDRM bagi mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.
* Unit Khas Wanita yang ditubuhkan oleh PDRM bagi mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.
Di Sebalik Kehebatan Penciptaan Lebah
Oleh : Ahmad Yani Abd. Manaf
Mungkin kita sering mendengar
daripada penceramah, misalnya semasa pengajian, bahawa perilaku lebah madu
memberikan falsafah yang baik dalam membentuk akhlak manusia. Yang sering diungkap
adalah tiga hal, iaitu lebah memberikan
madu yang baik, dengan cara yang baik iaitu tidak merosakkan bunga, malah
membantu proses pendebungaan, dan lebah hanya memakan makanan yang baik-baik sahaja
(sari bunga). Tetapi ada hal lain daripada lebah ini yang menarik dan memberikan
pelajaran berharga bagi manusia.
Antaranya, lebah madu hidup berkumpulan
dan mengeluarkan salah satu makanan paling sempurna di dunia, iaitu madu.
Mereka menyimpan madu dalam sarang (kantung) yang mereka buat dalam bentuk segi
enam. Pernahkah kita terfikir, mengapa lebah membuat kantung madu dalam bentuk
segi enam? Para ahli matematik mencari jawapan atas persoalan ini, clan setelah
melakukan penghitungan yang panjang ditemukanlah jawapan yang menarik.
Rahsia Kantung Segi Enam
Kesimpulan mereka, cara terbaik
untuk membangun gudang simpanan dengan kapasiti terbesar adalah dengan membuat
dinding berbentuk segi enam. Andaikan lebah membuat sarang penyimpan tersebut
dalam bentuk silinder atau seperti prisma segi tiga, maka akan terbentuk 'gap'
[celah] antara kantung yang satu dengan yang lain, dan lebih sedikit madu
tersimpan di dalamnya.
Walaupun kantung madu yang berbentuk
segi tiga atau persegi biasa sahaja tentu tidak menimbulkan celah, tetapi di
sini ahli matematik menyedari satu hal terpenting. Daripada semua bentuk
geometri tersebut yang mempunyai sisi luar paling kecil adalah segi enam. Kerana
alasan inilah walaupun bentuk ini menutup kawasan yang sama, material yang
diperlukan (segi enam) lebih sedikit
dibandingkan dengan bentuk segi yang lain atau segi tiga. Tegasnya suatu kantung segi enam adalah bentuk terbaik untuk
mendapatkan kapasiti penyimpanan terbesar dengan bahan binaan daripada lilin
dalam jumlah yang minimum.
Membangun sarang daripada blok
yang berbeza
Hal lain yang mengagumkan daripada
lebah madu adalah kerjasama antara mereka dalam membuat kantung kantung madu
ini. Apabila seseorang mengamati rumah lebah yang telah sempurna, mungkin dia
berfikir bahawa rumah tersebut dibuat dengan cara melakukan bermula daripada
satu arah atau satu blok. Padahal sebenarnya lebah-lebah mulai membuat rumahnya
daripada arah atau blok yang berbeza-beza. Ratusan lebah membangun rumahnya
dari tiga atau empat titik permulaan yang berbeza. Mereka meneruskan
penyusunan binaan tersebut sehinggalah bertemu di tengah-tengah. Setelah
selesai, tidak nampak wujudnya ketidakserasian ataupun tompok-tompok yang tidak
selaras pada sarang tersebut. Manusia tentu tidak mampu membuat perancangan
yang sempurna ini tanpa perhitungan geometri yang rumit. Tetapi lebah dapat
melakukannya dengan mudah.
Lebah juga cermat menyamakan besar
sudut antara satu rongga dengan yang lainnya. Suatu rongga dengan rongga di belakangnya
didirikan dengan kecondongan 13 darjah dari permukaan rata. Kecondongan ini
mencegah madu daripada mengalir keluar atau tumpah. Di belahan bumi mana pun
kita pergi, kita akan menemukan kejayaan lebah mengaplikasikan lakaran arkitek yang luar biasa ini dengan sempurna. Mereka juga berjaya melakukannya
pada bahagian-bahagian sarang yang paling dalam dan dalam keadaan gelap-gelita
apabila sinar matahari tidak dapat memasuki sarang yang sedang dibina
tersebut.
Adalah fakta yang sangat menarik
di sini, lebah madu menunjukkan sifat yang luar biasa ini sejak mereka
lahir lagi. Anak lebah tidak memerlukan masa untuk belajar atau mengamati
struktur dan kecondongan kantung-kantung madu mereka. Sejak pertama kali
membuka mata, mereka telah memiliki kemampuan untuk melakukan tugas seumpama
ini. Lalu siapakah yang mengajarkan lebah-lebah ini tentang seni dan reka
bentuk sarang yang unik ini?
Jawapan kepada pertanyaan ini
boleh kita jumpai di dalam Al-Quran. Allah mengungkapkan rahsia kemampuan yang
dimiliki lebah madu sebagai berikut:
"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada
lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat
tempat yang dibuat oleh manusia" [Surah An-Nahl, ayat:68]
Rahsia perilaku luar biasa daripada lebah tersebut merupakan ilham atau wahyu yang
diberikan oleh Allah kepada lebah. Dan hal itu berlaku kepada semua makhluk
hidup, tidak hanya pada lebah.
Kandungan Madu Lebah
Sejak jutaan tahun yang lalu,
lebah telah menghasilkan madu sepuluh kali lebih banyak daripada yang mereka
perlukan. Satu-satunya alasan mengapa binatang yang melakukan segala perbuatan
dengan penuh cermat dan teliti ini mengeluarkan madu secara berlebihan, adalah
agar manusia dapat memperoleh manfaat daripada madu yang mengandungi ‘ubat bagi
manusia' tersebut. Allah menyatakan tugas lebah ini dalam al-Quran:
"Daripada perut lebah itu keluar
minuman [madu yang bermacam - macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang
menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar - benar
terdapat tanda [kebesaran Tuhan] bagi orang-orang yang memikirkan." [Surah An-Nahl, ayat: 69]
Tahukah kita tentang manfaat madu
sebagai salah satu sumber makanan yang Allah sediakan untuk manusia melalui serangga
yang kecil ini? Madu terbentuk daripada beberapa molekul gula seperti glukosa
dan fruktosa serta bahan mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium,
klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandungi vitamin BI, B2, C, B6
dan B3 yang kandungannya berubah ubah mengikut kualiti madu bunga dan serbuk
sari yang dihirup oleh lebah. Di samping itu di dalam madu terdapat pula
tembaga, sodium dan zink dalam jumlah yang kecil, juga beberapa jenis hormon.
Madu Sebagai Ubat
Sebagaimana firman Allah SWT, madu
adalah ‘ubat yang menyembuhkan bagi manusia'. Fakta ilmiah ini telah dibenarkan
oleh para ilmuwan yang bertemu dalam
Persidangan Apikultur Sedunia [World Apiculture Conference] yang diadakan
pada tanggal 20-26 September 1993 di China. Dalam persidangan tersebut
dibincangkan pengubatan dengan menggunakan ramuan yang berasal daripada madu.
Para ilmuwan Amerika mengatakan bahawa madu, royal jelly, serbuk sari dan
propolis [getah lebah] dapat mengubati pelbagai penyakit. Seorang doktor yang berasal dari Belanda mengatakan bahawa dia telah menggunakan madu untuk mengubati pesakit katarak, dan 2002 dari 2094
pasakitnya dapat dipulihkan. Manakala seorang doktor yang berasal dari negara
Poland juga mengatakan dalam persidangan tersebut bahawa getah lebah [bee
resin] dapat membantu menyembuhkan banyak penyakit seperti buasir, penyakit kulit, dan pelbagai penyakit
lainnya.
Demikianlah kemajuan teknologi
berjaya menemukan pelbagai kebesaran yang telah Allah SWT firmankan lebih 1400 tahun lalu di dalam al-Quran.
Sesungguhnya terlalu banyak ilmu yang diwahyukan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran
telah dibuktikan kebenarannya oleh sains pada hari ini. (Sumber : Filem Dokumentari
Architech in Nature)
Sumber : Majalah i, Disember 2008
Langgan:
Catatan (Atom)






