Ahad, 14 April 2013
Jalan Menuju Bahasa
Berpuluh tahun menyusur jalan berlumpur
bakti ditabur dengan jerih yang luhur
antara air mata yang gugur dan gelisah bertabur
dipimpinnya tangan bangsa dengan jujur.
Di sepanjang jalan menuju bahasa
tidak mungkin dilupakan sebaris nama
meski ada yang menyusur jalan pulang
tanpa sempat jari memetik buah ranum
di pohon rimbun dan dahan rendang
segala yang manis dikecapi sekarang.
Meski sesekali curiga datang menggoda
dan wasangka mengepung minda
manisnya usah sesekali diluahkan
dan pahit ush dijilat kembali
di bibir bangsa tetap mengenang
nama yang pernah mengharung
jalan menuju bahasa penuh simpang.
Sahrunizam Abdul Talib
Bera, Pahang.
Sumber : Dewan Bahasa, April 2013
ISU PERKHIDMATAN AWAM : Komitmen polis jamin kesejahteraan negara
Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW
POLIS merujuk kepada organisasi
kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan dan kestabilan
masyarakat menurut undang-undang negara. Polis adalah satu pekerjaan yang mulia
atau setengahnya memanggil mata-mata. Jika kita melihat kelibatnya sahaja maka
terus menjadikan kita rasa selamat dan terjamin, kerana adanya pengawasan
mereka.
Tetapi bagi pemandu kenderaan,
apabila ternampak polis trafik terus menggelabah, memastikan tidak menggunakan
telefon bimbit, memakai tali pinggang dan tidak melanggar undang-undang di
jalan raya.
Pada masa kini terdapat banyak
isu semasa yang menggugat keselamatan negara. Keselamatan bukan sahaja dari
segi fizikal malah melibatkan jenayah sindiket dadah, pemerdagangan bayi,
jenayah siber dan macam-macam lagi insiden-insiden yang mengancam keselamatan
rakyat.
Wujudnya perlakuan jenayah
membuatkan kita amat memerlukan kehadiran polis. Ini adalah kerana kehidupan
kita di Malaysia adalah berlandaskan undang-undang maka kita perlukan pihak
polis dengan mematuhi undang-undang, prosedur dan peraturan dan tidak boleh
bertindak sesuka hati dalam memperjuangkan keadilan.
Dalam pada itu, integriti adalah
perkara yang sangat penting bagi anggota polis dan perjuangan mereka tidak ada
tandingannya kerana komitmen mereka dalam membantu rakyat sepanjang masa.
Pada 25 Mac lalu, Sambutan Hari
Polis ke 206 bertemakan "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" diiringi
deraian air mata dan diselubungi suasana pilu kerana isu Lahad Datu. Pada masa
yang sama Perdana Menteri mengucapkan takziah dan juga tahniah kepada pasukan
polis, dan menyatakan bahawa seluruh rakyat Malaysia mengimpikan sebuah
perkhidmatan kepolisan yang profesional, berkesan dan terbaik demi menjamin
keamanan dan keselamatan negara.
Profesionalisme dan pengorbanan
pihak polis ini terbukti oleh peristiwa pencerobohan musuh-musuh negara iaitu
pengganas di Lahad Datu. Hari Polis pada tahun ini menyaksikan penampilan khas
wira-wira Komando 69 dari medan tempur di Sabah. Anggota Komando 69 yang berada
di barisan hadapan dalam pertempuran pada 1 Mac dan insiden serangan hendap di
Semporna diterbangkan khas ke majlis berkenaan.
Biarpun masih diselubungi rasa
sayu dan kesedihan dalam kalangan warga di perhimpunan itu berikutan kehilangan
anggota dalam pertempuran menentang pengganas Kiram dari selatan Filipina yang
mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lepas, mereka tetap hadir menyertai
sambutan.
Saya tertarik dengan cadangan
Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi mencadangkan supaya kerajaan negeri dan
Kerajaan Persekutuan membina tugu peringatan kepada wira negara yang terkorban
dalam krisis pencerobohan di Sabah. Ini adalah satu idea yang baik.
Pengorbanan mereka yang bertarung
nyawa untuk mempertahankan negara dalam krisis pencerobohan kumpulan pengganas
Kiram sejak 2 Februari lepas adalah sesuatu yang wajar dijadikan monumen
sejarah.
Penubuhan ESSCO untuk keselamatan
Sabah akan lebih terjamin dan dengan adanya anugerah Posthumous diberikan
kepada balu-balu pahlawan yang gugur semasa Ops Daulat merupakan usaha murni
kerajaan menghargai jasa-jasa perwira negara. Walaupun nyawa tidak dapat dibayar
dengan wang, namun anugerah tersebut akan meringankan beban keluarga.
Polis juga mencatat kejayaan
besar dengan menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang
melibatkan nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM637,000 baru-baru ini
termasuk membongkar modus operandi terbaharu sindiket yang menyorok dadah di
dalam pelapik kasut dengan 850 gram dadah jenis syabu pada lelaki warga
Pakistan.
Kes dadah di sekitar Kedah
terbongkar dengan penahanan suspek warga tempatan berusia 46 tahun. Polis juga
berjaya merampas 335 gram dadah jenis syabu bernilai RM70,000 daripada seorang
wanita warga Indonesia di balai berlepas Terminal Penerbangan Tambang Murah
(LCCT).
Sindiket pemerdagangan bayi
ditumpaskan oleh pihak polis juga merupakan kejayaan besar pihak polis Pulau
Pinang apabila berjaya membongkar sindiket penjualan bayi terbesar di negara
ini dengan nilai RM300,000 dalam Ops Pintas Sayang dengan penahanan 33 suspek.
Syukurlah, pasukan itu turut
berjaya menemukan sembilan bayi iaitu tiga lelaki dan enam perempuan serta
kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga lapan tahun yang telah dijual di
sekitar negeri ini, Kedah dan Perak. Kasihan apabila melihat wajah bayi dan
kanak-kanak yang tidak berdosa ini dijual dengan berleluasa.
Kenaikan gaji polis yang
diumumkan pada 11 Mac 2013 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak memang wajar.
Kenaikan dengan menyelaraskan tangga gaji dan peluang kenaikan pangkat yang
setimpal dengan tempoh perkhidmatan polis dan elaun sampingan seperti elaun
keraian, kenderaan dan logistik mendapat perhatian kerajaan memandangkan tugas
yang membahayakan nyawa. Penyelarasan gaji pegawai kanan PDRM pula dijangka Gred 41 bagi
Inspektor, Asisten Superintendan (ASP) 44, Deputi Superintendan (DSP) 46,
Superintendan 48 dan Asisten Komisioner (ACP) 52.
Semoga kenaikan gaji ini akan
menarik minat ramai anak-anak muda menceburi bidang ini. Berita kenaikan gaji polis
PDRM 2013 diharap dapat menjadi perangsang dan motivasi kepada anggota polis
Diraja Malaysia PDRM. Terima kasih kepada semua anggota polis yang telah
membantu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama, masa dan tenaga
demi mempertahankan negara kita yang tercinta ini. Tabik hormat kepada semua
anggota polis di Malaysia. Selamat Hari Polis Ke-206. Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan
Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia.
ISU BAHASA : Bahasa Melayu wahana perpaduan
OLEH : DR AMINUDIN MANSOR
BAHASA Melayu ialah bahasa yang menyatukan semua kaum di negara
ini. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa rasmi dan bahasa pengantar
di sekolah. Ini mestilah menjadi agenda semua pihak terutama di sekolah dan di
universiti tidak mengira apa juga peringkat daripada rakyat biasa hinggalah kepada pemimpin
atasan.
Bahasa Melayu sewajarnya
dijadikan medium utama dalam membentuk perpaduan di negara ini. Usaha ini
sepatutnya tidak berhenti setakat di sekolah yang membabitkan para pelajar dan
guru-guru sahaja.
Bahasa Melayu antara enam bahasa
di dunia yang mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun akan datang, malahan mampu
hidup selama-lamanya jika bahasa Melayu mempunyai kuasa ekonomi.
Hal ini terbukti melalui
kata-kata cendekiawan silam yang berbunyi, "Sungguh luas tersebarnya
bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita
kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan
lebih jauh daripada negeri itu dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan
Filipina".
Bahasa Melayu digunakan oleh
lebih 300 juta orang di seluruh dunia. Bahasa Melayu turut berkembang apabila
terdapatnya pelbagai suku kaum Melayu menjalar hingga ke Sri Lanka, Arab Saudi,
China dan Afrika Selatan.
Menurut Sarjana Belanda, Francois
Valentijn pada abad ke-16, "Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan sahaja
dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan
Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa yang difahami di
mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau
Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau di
Levent."
Dari sehari ke sehari, peningkatan
penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dunia Melayu dan di luar
dunia Melayu kian ketara sehingga wujud banyak pusat pengajian Melayu di
pelbagai universiti di luar Negara.
Sejarah membuktikan betapa bahasa
Melayu telah melalui detik kegemilangan terutama pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka. Ketika itu, peranan bahasa Melayu menjadi penghubung dalam kalangan
pedagang dan sebagai wahana budaya serantau untuk mengungkapkan pelbagai bidang
ilmu.
Lantaran itu, tidak hairanlah
bahasa Melayu turut termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Indonesia, dan
Brunei sebagai Bahasa Kebangsaan. Di Malaysia, kedudukan bahasa Melayu
termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Para pelajar juga harus
difahamkan secara mendalam. Selepas negara ini mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat seiring dengan kepesatan
pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan.
Melalui pendidikan, bahasa Melayu
mampu merentasi segala cabaran untuk dinobatkan sebagai bahasa yang dapat
diterima dan digunapakai di seluruh dunia. Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan termasuklah di institusi pengajian
tinggi membuktikan yang bahasa ini juga berupaya menjadi bahasa ilmu selain
penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Arab dan lain-lain.
Za'ba menyatakan kepada anak-anak
Melayu yang bernasib baik mendapat pelajaran tinggi di universiti, gunakan
pengalaman dan pengajian yang diperoleh itu untuk memimpin, mengajar anak
bangsa kita untuk mengembang dan mempertingkatkan taraf pelajaran dan pengajian
Melayu.
Bahasa Melayu di negara ini juga
dapat dipertahankan dan diperkembangkan berdasarkan pelbagai akta. Ringkasnya,
pelaksanaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Dasar bahasa Melayu melalui
sistem pendidikan jelas terlihat dalam pelaksanaan dasar bahasa di sekolah,
maktab dan universiti. Cabaran besar bahasa Melayu pada hari ini ialah
kemampuan untuk memupuk perpaduan antara pelajar pelbagai kaum. Bagi mencapai
matlamat mewujudkan perpaduan antara kaum, Penyata Razak telah mengesyorkan
beberapa perkara antaranya Bahasa Melayu mestilah diajar di semua sekolah dan
dijadikan satu syarat untuk menerima sebarang bantuan yang diberi oleh kerajaan
di dalam semua sekolah. Satu lagi, di sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan
dicadangkan supaya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan
Selepas Penyata Razak, Laporan
Rahman Talib 1960 menegaskan semula syor untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai
mata pelajaran wajib dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan.
Justeru, bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di sekolah telah dimulakan perancangannya sejak sebelum
merdeka lagi. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu telah diperkukuhkan lagi
dengan pelaksanaan menerusi Laporan Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pelajaran
Kebangsaan 1979 dan Akta Pendidikan 1996.
Khamis, 11 April 2013
ISU PENDIDIKAN : Jangan khuatiri keupayaan guru
Oleh : Aman Samat
MENGAJAR, atau menjadi guru,
ialah pekerjaan mencabar. Tetapi hal ini tidak disedari sebahagian ibu bapa dan
waris murid.
Mengapakah saya bangkitkan hal
ini? Hal Ini disebabkan kian terdapat
ibu bapa dan waris yang sikap atau tindakan mereka tidak menunjukkan empati
terhadap guru.
Mereka hanya melindungi
kepentingan anak mereka. Padahal, sikap begitu tidak dapat membantu
pembelajaran anak mereka di sekolah.
Ada ibu bapa dan waris jenis ini
yang sanggup menegur atau campur tangan dalam cara guru mengajar. Malah, ada
sanggup bersikap bengis dengan menengking guru, melaporkan rasa tidak puas hati
mereka atau kelemahan guru kepada pihak atasan (pengetua/kementerian).
Mereka berbuat demikian
semata-mata kerana membela anak mereka atau sengaja hendak melepaskan marah.
Perkara ini boleh memberi kesan kurang sihat (buruk) ke atas pembelajaran
anak-anak lain di sekolah yang sama, selain anak mereka tidak disukai.
Paparan ini bukanlah suatu
'ugutan' tetapi realiti. Cuba kita renungkan bagaimana hal itu boleh berlaku.
Apabila seorang guru itu disentuh
perasaannya dengan tindakan yang melukakan hatinya, 'kehebatan' ibu bapa atau
waris itu akan dibeberkan antara guru, terutama yang mengajar anak itu.
Perbuatan membeber dan cuba
'menjauhi diri' daripada anak tersebut adalah lumrah. Ingatlah, guru juga
manusia biasa.
Bahkan rakan-rakan sekerja juga
cuba melindungi diri daripada sikap ibu bapa atau waris yang kurang bersimpati.
Fobia ini berpanjangan selagi anak itu berada di sekolah tersebut.
Ada kemungkinan anak itu menjadi
biadab terhadap guru kerana meniru sikap ibu bapa mereka. Hal ini boleh
membentuk kesan negatif pada anak itu dalam jangka panjang.
Dari segi etika, ibu bapa dan
waris sepatutnya menaruh keyakinan kepada guru.
Sekolah sentiasa berusaha
menyediakan suasana terbaik untuk pelajarnya agar menjadi insan berguna.
Matlamat yang baik ini dapat dicapai dengan berkesan jika ibu bapa dan waris
gigih bekerjasama dengan guru.
Umumnya sistem persekolahan kita
sudah diiktiraf antara terbaik di dunia. Oleh itu, ibu bapa dan waris tidak
perlu bimbang akan keupayaan guru dalam melaksanakan tugasnya.
Selain perlu mempunyai diploma
dan ijazah, guru tertakluk pada ikrar akan beretika dan sentiasa dipantau pihak
sekolah dan kementerian.
Bahkan, dalam kesibukan yang
berpanjangan, guru sering digesa mempertingkat kebolehan dan pencapaian dalam
bidang pendidikan.
Dengan kerjasama ibu bapa dan
waris, guru dapat melaksanakan peranan yang mulia - mengasuh anak didik watan
ini. Guru yang tidak tertekan akan berasa ceria untuk menghasilkan pengajaran
yang baik dan berkesan demi kejayaan pelajarnya.
Bukankah ini yang diharapkan
semua ibu bapa dan waris?
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
ISU PENDIDIKAN : Enam Inisiatif PPPM Berjaya Dicapai Dalam Tempoh 100 Hari Pelaksanaan
BANGI, 10 April --
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam daripada 25
inisiatif yang disasarkan tahun ini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025, sudah mencapai kejayaan membanggakan dalam tempoh
100 hari pertama pelaksanaannya.
Inisiatif tersebut merangkumi
pelancaran 1Agenda KPM, penubuhan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan
(PADU) dan PADU Corporation, pelancaran dan pengagihan saranan ibu bapa,
pengujian guru bahasa Inggeris dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT),
pelaksanaan Program Rintis Program Transformasi Daerah dan penyediaan video
e-guru.
Selain enam inisiatif itu,
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata 19 inisiatif lagi akan diberikan
keutamaan dan tumpuan tahun ini dalam menjayakan Pelan Transformasi Pendidikan
Negara.
"Kita telah menyaksikan 100
hari pertama yang diwarnai pelbagai onak dan duri. Namun, berbekalan kesedaran
akan pentingnya merealisasikan agenda modal insan negara in, KPM berjaya dan
membuahkan hasil yang dibanggakan.
"Namun, kita tidak
seharusnya lalai dan leka memandangkan transformasi ini masih panjang dan
mencabar. Sesungguhnya, laporan pencapaian 100 hari pertama ini adalah langkah
pertama daripada seribu langkah yang bakal dijejak," kata Muhyiddin ketika
berucap pada majlis Pencapaian 100 Hari Pertama PPPM 2013-2025, di Sekolah
Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Rabu.
Muhyiddin berkata inisiatif
1Agenda KPM berjaya menyatupadukan semua bahagian di kementerian itu di bawah
satu matlamat iaitu melaksanakan agenda PPPM secara efisyen dan telus, manakala
unit PADU dan PADU Corporation pula melaporkan status pelaksanaan PPP kepada
beliau selaku menteri.
Menerusi kefasihan guru Bahasa
Inggeris (BI), beliau berkata seramai 61,000 guru menjalani ujian kefasihan
melalui CPT dan mereka akan terus diberikan latihan dan sokongan ke arah
penambahbaikan tahap kompetensi dan profesionalisme sebagai persediaan ke arah
merealisasikan syarat wajib lulus BI di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) menjelang 2016.
Menerusi inisiatif saranan ibu
bapa, katanya sarana pembangunan dibekalkan kepada ibu bapa supaya menjadi
rakan aktif pembelajaran anak masing-masing dalam usaha membantu meningkatkan
prestasi dan pencapaian anak mereka.
Katanya inisiatif program
transformasi daerah pula dirintis di Sabah dan Kedah, dengan seramai 352
jurulatih mengikuti program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) serta
Rakan Pembimbing Pembangunan (SIPartner+) dalam kalangan pensyarah Institut
Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki manakala guru cemerlang pula
ditempatkan secara sepenuh masa di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memberi
sokongan kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah.
Video e-guru yang merupakan
inisiatif keenam, meliputi himpunan video terbaik dalam pelbagai aspek
pengajaran dan pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran di bilik
darjah.
Muhyiddin berkata kerajaan telah
mengorak langkah untuk berada dalam kelompok teratas negara-negara yang
mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.
"Transformasi pendidikan ini
adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan 5.5 juta pelajar hari ini,
malah seluruh anak bangsa pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu Muhyiddin juga
bangga terhadap peningkatan peratusan bilangan prasekolah iaitu daripada 67
peratus pada 2009 kepada 80.5 peratus atau 24,737 prasekolah sehingga 2012.
Selain itu katanya, program
Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) turut diperkenalkan kepada semua murid
Tahun 1, dengan sasaran 100 peratus murid tiada masalah pembelajaran boleh
membaca, menulis dan mengira apabila melangkah ke Tahap 2.
"Kementerian juga menyediakan
bayaran insentif khas kepada semua pengetua dan guru besar sebagai menghargai
usaha kepimpinan sekolah yang berjaya mencapai kecemerlangan yang ditetapkan
atau menunjukkan lonjakan dalam prestasi sekolah," kata Muhyiddin.--
BERNAMA
Rabu, 10 April 2013
ISU PENDIDIKAN : Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?
Oleh : ZIN MARKAM
"SAYA belajar
bersungguh-sungguh, tumpukan perhatian semasa guru mengajar, mengulang kaji
pelajaran, tanya cikgu jika tak faham dan banyak buat latihan." Biasanya
inilah jawapan apabila ditanya sebab pelajar cemerlang dalam peperiksaan.
Memang benar sikap pelajar
sebegini menjadi faktor penting menentukan kejayaan akademik. Bagaimanapun
terdapat beberapa faktor lain seperti faktor guru, pentadbir sekolah, kemudahan
pengajaran dan pembelajaran, prasarana sekolah, keluarga, rakan sebaya,
masyarakat dan persekitaran luar sekolah.
Berdasarkan kajian, seorang pakar
pendidikan di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Rahayah Arifin mendapati
prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin
menurun sejak 15 tahun lalu berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan yang
lebih memihak kepada pelajar perempuan.
Menurutnya, soalan SPM lebih
menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik yang lebih dikuasai
pelajar perempuan. Manakala soalan yang mengandungi elemen berkaitan angka,
grafik, visual, logik dan matematik tidak ditekankan dalam SPM sedangkan inilah
yang lebih dikuasai pelajar lelaki.
Dalam menyediakan set soalan
untuk sesuatu kertas peperiksaan biasanya ada keseimbangan antara tiga aras
kesukaran iaitu soalan mudah, soalan sederhana dan soalan yang lebih mencabar.
Soalan juga hendaklah meliputi semua tajuk utama dalam sukatan pelajaran supaya
taburannya lebih menyeluruh.
Eloklah Lembaga Peperiksaan
Malaysia meneliti populariti soalan berdasarkan jantina ini dan menilai
kesesuaiannya, dalam proses pembinaan soalan untuk kita berlaku adil.
Keseimbangan soalan yang memihak kepada pelajar lelaki dan perempuan wajar
diambil kira. Kasihan pelajar lelaki kerana selama ini bentuk soalan lebih
memihak kepada pelajar perempuan.
Namun pelajar lelaki perlu
membaiki disiplin diri. Kita kerap mendengar pelbagai masalah pelajar seperti
ponteng sekolah, ponteng kelas, kurang memberi perhatian ketika guru mengajar,
tidak minat belajar, malas berfikir, tidak mengulangkaji pelajaran, tidak membuat kerja rumah, tiada
jadual belajar, selalu berkeliaran dan sebagainya.
Jika pelajar lelaki masih terus
mendominasi sikap negatif tersebut, nescaya prestasi cemerlang SPM akan tetap
memihak kepada pelajar perempuan.
Pontian, Johor.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Selasa, 9 April 2013
ISU KENEGARAAN : SPR Tetapkan 20 April Penamaan Calon, 5 Mei 2013 Hari Mengundi
PUTRAJAYA : Hari pengundian bagi
pilihan raya umum ke-13 ditetapkan pada Ahad 5 Mei,manakala tarikh penamaan
calon pada 20 April,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada Rabu.
Pengundian awal ditetapkan pada
30 April.
Tempoh berkempen ialah selama 15
hari. Tempoh berkempen pada pilihan raya umum 2008 ialah selama 13 hari.
Ketika mengumumkan tarikh-tarikh
itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata seramai 13,268,002
rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang
digazetkan pada Khamis (11 April).
Pilihan raya umum kali ini
membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Abdul Aziz membuat pengumuman itu
pada pukul 12.30 tengah hari di ibu pejabat SPR di Putrajaya, yang disiarkan
secara langsung oleh RTM dan TV3.
SPR mengadakan mesyuarat khas
hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU13 selepas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat
pada 3 April lepas.
Sebelum dibubarkan, komposisi
Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), PAS
(23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan
Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota
Parlimen Bebas.
Abdul Aziz berkata SPR telah
menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung
pembubaran Dewan Rakyat.
Semua Dewan Undangan Negeri
kecuali Sarawak telah dibubarkan setakat 5 Aprildan menurut Fasal 4 Perkara 55
Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakanpilihan raya umum dalam tempoh 60
hari daripada tarikh pembubaran.
Sarawak telah mengadakan pilihan
raya negeri pada 2011.
Abdul Aziz berkata SPR menetapkan
writ pilihan raya dikeluarkan esok dannotis pilihan raya pada Jumaat, 12 April.
Beliau berkata berdasarkan daftar
pemilih, terdapat 12,992,661 pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal.
Pengundi awal terdiri daripada
161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta
2,954 pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara).
Abdul Aziz berkata sebanyak RM400
juta diperuntukkan untuk pengendalian PRU13 melibatkan 234,905 petugas pilihan
raya.
Untuk tujuan pengundian
keseluruhan, SPR menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 tempat/saluran
mengundi.
Bagi pengundian biasa, 8,245
pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi akan disediakan, manakala
pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat/saluran
mengundi.
Empat peraturan baharu akan
diperkenal pada pilihan raya kali ini ke arah penambahbaikan proses pengundian
iaitu penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera
menggantikan undi pos; membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang
dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan
dan penarikan balik pencalonan.
Peraturan itu dilaksanakan
berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan
Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos)
2003 (Pindaan) 2012. Ia diwartakan tahun lepas.
Peraturan dakwat kekal mewajibkan
setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka
sebelum diberikan kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan
itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.
Buat pertama kali dalam sejarah
pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar,
jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga
layak memohon untuk mengundi awal.-BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)

.jpg)





