Jumaat, 26 April 2013

ISU SOSIAL : Terdapat 425,504 jawatan kosong sektor swasta seluruh negara


SEGAMAT - Sebanyak 425,504 kekosongan jawatan meliputi bidang pengurusan, profesional dan pekerja asas terdapat dalam sektor swasta yang menawarkan gaji antara RM900 hingga RM3,000 sebulan, di seluruh negara ketika ini.
  
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Mohd Asri Abdul Wahab berkata daripada jumlah itu, sebanyak 311,168 kekosongan adalah dalam bidang pekerja asas, operator (35,109), perkhidmatan dan jualan (25,763), tenaga profesional (11,387) dan pengurusan (2,908).
  
"Selebihnya adalah terdiri daripada bidang perkeranian, pekerja mahir pertanian, perhutanan, perikanan dan pertukanganm," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran program 1Malaysia 'Support For Housewive' (1MS4HW) dan Karnival Azam Kerja Malaysia di Dataran Segamat di sini hari ini.
  
Program yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat.
  
Mohd Asri menjelaskan, di Johor sahaja terdapat 83,666 kekosongan yang belum diisi.
 
Mengenai program 1MS4HW, Mohd Asri berkata sehingga 10 April lalu sebanyak 5,737 orang wanita berkahwin menyertai program tersebut yang menyasarkan 40,000 akan memperoleh pekerjaan melalui program tersebut, sepanjang tahun ini.
  
Katanya, sempena program itu, sebanyak 32 syarikat swasta di daerah ini menawarkan sejumlah 3,243 kekosongan jawatan dalam pelbagai kategori yang didaftarkan ke Jabatan Tenaga Kerja.
  
Dari jumlah tersebut katanya, 647 kekosongan adalah pekerja siswazah dan 2,596 orang bukan siswazah yang menawarkan gaji antara RM900 hingga RM3,000 sebulan.
 
Beliau menasihatkan pencari kerja di negara ini supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dan bersedia menerima sebarang tawaran kerja.  - Bernama

Khamis, 25 April 2013

Kalau Memang Mahu


Kalau memang mahu
dulu kita bisa mengekalkan Tanah Melayu.

Kalau memang mahu
dulu kita bisa beraliran pendidikan yang satu.

Kalau memang mahu
dulu kita bisa memaktubkan perlembagaan
berdasarkan wahyu.

Kalau memang mahu
dulu kita bisa memutuskan cita negara
berasaskan wangsa jitu.

Lamun lakaran sejarah negara telah dirobah
atas cita dan tuntutan penjajah
kita sanggup memberi dan beralah
atas nama toleransi, integrasi, demokrasi dan muhibah
kita redha, akur dan pasrah
kendatipun kian sering jiwa kita menjadi gundah.

Sekian lama satu demi satu
tuntutan demi tuntutan mengikut telunjuk nafsu
penghinaan demi penghinaan terbit dari jiwa yang kelabu
masihkah kita atas nama peribadi yang syahdu
tunduk akur akan segala yang palsu?

Kalau memang mahu
kita bisa dari dulu, kini dan waktu muka bersikap padu
mewaraskan nurani, memutuskan sesuatu
atas pertimbangan kalbu
tidak menjual maruah, martabat dan harga diri
atas laba kuasa sementara yang palsu
bermuka-muka di hadapan cuvinis yang keliru dan dungu.

Kalau memang mahu
kita masih ada waktu
kita masih ada sesuatu
membetulkan yang semu.

Awang Sariyan
Kuala Lumpur
1 Februari 2011.

(Sumber : Kumpulan Puisi Mencari Makna Diri, DBP, Kuala Lumpur, 2012)

Jumaat, 19 April 2013

ISU BAHASA : Jaga Budi Bahasa Ketika Berpolitik


Dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dirasai semakin hangat, kempen politik dalam saluran alam maya turut dilihat semakin rancak dan menyengat dengan ada yang melampaui batas norma masyarakat.

Selain media konvensional, laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram turut menjadi 'medan pertempuran' anggota dan penyokong parti-parti politik.

Kempen-kempen politik ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai batasan. Malahan sejak kebelakangan ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan siri video seks membabitkan ahli politik manakala penulisan politik dalam Internet banyak yang berunsur memaki-hamun.

Tinjauan umum penulis terhadap komen di beberapa laman sesawang seperti laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, menunjukkan penyokong masing-masing saling mencemuh dan mengulas mengikut emosi.

Perkara yang sama turut berlaku dalam komen di laman berita atas talian seperti Malaysiakini dan Harakahdaily.

BOSAN, SEMAK KEPALA

Tetapi perkembangan ini sesuatu yang tidak disenangi oleh masyarakat Malaysia yang selama ini berpegang kepada nilai-nilai murni dan budi pekerti yang baik. Tinjauan rambang penulis mendapati, kebanyakan anggota masyarakat bukan hanya tidak selesa bahkan kecewa dengan perkembangan ini.

"Nak politik, politiklah, tapi bila dah tak jaga adab dan bahasa saya memang tak suka. Buat bosan dan semak kepala sahaja," ujar Aini Dalila Jusoh, 28, yang berasal dari Johor.

Aini turut menyelar individu-individu yang beliau kenali bertindak menghantar mesej-mesej kempen pilihan raya yang tidak wajar ke akaun Facebook miliknya. Bagi Aini, tindakan itu hanya mengganggu privasinya. Rakan karib beliau, Suniza Hanim Abdullah bersetuju dengan hal ini.

"Jika ikutkan hati, mahu sahaja saya buang mereka daripada senarai rakan saya di laman sosial," katanya yang aktif di Facebook dan Instagram menggunakan telefon pintar.

HUJAH DENGAN FAKTA

Kakitangan kerajaan, Mohamad Sayuti Wan Chik, 30, pula berpendapat, dalam keghairahan mempertahankan pendirian dan ideologi politik masing-masing, cara berkomunikasi untuk meraih sokongan tidak patut diabaikan.

Beliau tidak bersetuju bila kata-kata kesat digunakan.

"Kita semua ada pendirian dan ideologi politik masing-masing... kalau nak berhujah, biarlah dengan fakta, bukan hanya emosi dan andaian," kata Sayuti.

Pendekatan yang harus diambil adalah dengan menggunakan bahasa yang sopan, mudah difahami, mengelakkan provokasi serta mengajak pembaca supaya berfikir tentang isu yang dibawa.

"Dalam berdakwah kita tidak berkasar, biar la kita cakap berkali-kali pun tidak apa asalkan dengan cara yang lembut," katanya. Tambahnya beliau lagi, komen-komen dalam bentuk tulisan di laman sosial juga amat mudah disalah tafsir oleh pembaca kerana ia tidak menggambarkan intonasi sebenar penulis.

IMPAK KEPADA GENERASI MUDA

Seorang guru, Nasaruddin Rahmat berkata, capaian kepada maklumat tanpa tapisan mengakibatkan para pelajar terdedah kepada bahan-bahan negatif di Internet, khususnya yang berkaitan dengan politik dan pilihan raya.

"Ada dua perkara yang merunsingkan para guru tentang murid-murid sekarang. Pertama adalah tentang penyebaran video seks ahli politik dan kedua adalah kata-kata maki-hamun dalam penulisan-penulisan politik di Internet.

"Video-video itu sendiri sudah membawa pengaruh buruk, kemudian bila kita baca komen-komen di bawahnya (ruangan komentar), lebih memburukkan keadaan, tak kiralah orang itu terpelajar atau tidak, semua nak lepas geram di situ," katanya yang telah berkhidmat selama 18 tahun.

Jelasnya, jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil negara ini akan dipenuhi dengan generasi muda yang rendah budi pekertinya. Peka dengan sebarang perkembangan baru di Internet, Nasaruddin juga kesal melihat sebahagian besar yang terlibat dalam gejala negatif ini terdiri daripada masyarakat Melayu.

"Bahasa melambangkan bangsa. Orang lihat kualiti diri kita dengan cara kita berbicara," katanya lagi.

Nasaruddin turut menyeru calon-calon pilihan raya supaya menumpukan pada isu sebenar yang memberi nilai tambah kepada rakyat.

"Kita ada masalah yang nyata hari ini. Contohnya, isu kenaikan harga minyak dan barang-barang runcit, orang susah, pendidikan dan banyak lagi.

"Sebaiknya para calon bentangkan kepada rakyat cadangan mereka untuk mengatasi masalah ini," katanya.

TERLALU BEREMOSI MEMBURUKKAN PARTI

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Mohd Khair Ngadiron ketika dihubungi Bernama berkata, tindakan-tindakan sebegini berlaku kerana pihak yang melakukannya terlalu beremosi untuk mempertahankan ideologi masing-masing.

"Bila terlalu beremosi, emosi akan menguasai diri dan kematangan akan hilang," kata beliau.

Mohd Khair yang bersetuju bahawa keadaan ini berlaku dalam semua parti, juga melahirkan kebimbangannya kerana tindakan sebegini tidak memberi natijah atau sudut pandang yang baik terhadap parti, mahupun calon yang bertanding.

"Saya khuatir ia akan menjadi senjata memakan tuan. Niat nak serang pihak lawan tetapi tidak berlaku kerana orang akan bersimpati... ibarat orang yang dipukul kemudiannya dipijak-pijak, selepas itu orang ramai akan bersimpati kepadanya," jelas Mohd Khair.

TUNJUK CONTOH BAIK, LUAH RASA TIDAK SENANG

Untuk menghadapi situasi ini, Mohd Khair berkata, kepimpinan tertinggi semua parti perlu menunjukkan contoh yang baik kepada ahli masing-masing agar menjadi ikutan.

"Pemimpin tertinggi biasanya agak baik bahasanya, tapi bila peringkatnya semakin ke bawah, semakin bertambah-tambah penggunaan bahasa kasar... ibarat guru kencing berdiri, muridnya kencing berlari," tegas Mohd Khair.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil oleh golongan majoriti senyap dalam menghadapi keadaan ini, beliau berkata, mereka perlu menyuarakan pendapat mereka dengan cara yang baik.

"Tegurlah mereka dengan cara yang baik, apabila golongan ini faham bahawa orang tidak suka apa yang mereka buat, harap-harap mereka akan berhenti. Janganlah hanya membantah dalam hati," tambah Mohd Khair lagi. -BERNAMA

ISU KESIHATAN : e-Rokok bukan pilihan untuk berhenti merokok


Oleh :  RAHMAWATI NURDIN

RAMAI perokok tegar mendakwa rokok elektronik atau e-rokok mampu menjadi pilihan untuk mengurangkan tabiat merokok dan sekali gus mampu membuang tabiat merokok mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

Tetapi, tanpa disedari, sebenarnya rokok elektronik ini mengundang pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung dan paru-paru kepada mereka yang menggunakannya.

Berdasarkan kajian terbaharu yang dibentangkan dalam Laporan Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) mendapati e-rokok ini mampu merosakkan paru-paru.

Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.

Perkara ini juga disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengatakan bahawa "tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai bahan gantian kepada nikotin".

Oleh itu, pihak pengeluar harus melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok.

Malah, kenyataan ini juga disokong oleh Jabatan Kesihatan Kanada (2009) yang berpendapat penggunaan e-rokok tidak digalakkan kepada rakyatnya kerana mempunyai kesan negatif  atas penggunaannya.

Kesimpulannya, pengambilan rokok elektronik sememangnya mempunyai impaknya yang tersendiri terhadap kesihatan sama dengan rokok tembakau.

Terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh membantu dalam usaha mengurangkan tabiat merokok. Namun, semuanya terpulang kepada diri anda sendiri, sejauh mana anda nekad untuk berhenti merokok?

Ingatlah kesihatan sangat berharga dan ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

UPM, SERDANG.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 18 April 2013

ISU SOSIAL : 43,667 kes bankrap didaftar sejak 2011


Oleh : LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR

KUALA LUMPUR - Sebanyak 43,667 kes bankrap telah didaftarkan oleh Jabatan Insolvensi sejak tahun 2011 hingga Mac tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bagi tahun 2011, jumlah kes yang didaftarkan adalah sebanyak 19,167 kes dan ia meningkat kepada 19,570 kes pada tahun berikutnya.

"Sehingga Mac lalu pula, sebanyak 4,925 kes telah didaftarkan dan saya percaya angka 19,000 itu juga akan dicapai tahun ini.

"Masalah ini berlaku disebabkan oleh kelalaian dalam perancangan kewangan terutamanya daripada golongan usahawan dan pekerja di kelas pertengahan yang mahukan keselesaan dalam kehidupan mereka," katanya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU SOSIAL : Salah guna dadah jejas semangat juang belia


Oleh : Norazimah Abd Aziz 

Pemuda yang berkualiti adalah yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan negara. Mereka generasi pelapis yang akan meneruskan legasi kepimpinan negara seterusnya membawa negara ke arah kemajuan.

Golongan ini juga menjadi cermin kepada pembentukan serta hala tuju negara pada masa akan datang. Tokoh pemimpin belia Islam yang ulung bagi umat Islam adalah Nabi Muhammad SAW yang diangkat menjadi Rasul ketika umur Baginda 40 tahun.

Generasi belia atau pemuda Islam pada zaman Baginda juga digambarkan sebagai generasi yang hebat. Mereka pengikut yang membentuk generasi pertama Islam. Mereka menjadi pejuang Islam gagah berani memperjuangkan dakwah Islam dan menjadi pembawa panji-panji Islam.

Kehebatan pemuda Islam

Usamah bin Zaid telah dilantik oleh Nabi SAW sebagai panglima untuk memimpin pasukan kaum Muslimin memasuki wilayah Syam pada usia 18 tahun sedangkan terdapat orang yang lebih tua seperti Abu Bakar, Umar bin Khattab dalam pasukannya.

Terdapat ramai lagi pejuang Islam terdiri daripada golongan belia seperti Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin al-Awwam. Begitulah gambaran kehebatan pemuda Islam pada zaman Rasulullah. Mereka mempunyai daya kepimpinan, semangat juang tinggi dan rela berkorban menegakkan syiar Islam.

Namun, masa telah berubah. Masalah sosial yang kian meruncing seiring kepesatan pembangunan serta kemajuan teknologi hari ini amat membimbangkan. Sikap ingin mencuba sesuatu yang baru dan sukakan keseronokan telah menjerat diri mereka terjerumus ke kancah masalah sosial.
Masalah salah guna dadah

Antaranya masalah penyalahgunaan dadah. Berdasarkan statistik Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (BIONADI) dalam Laporan Dadah Bulan November 2012 dikeluarkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), golongan belia paling ramai terdedah risiko penagihan.

Sepanjang Januari hingga November 2012, seramai 5,632 orang iaitu 66.72 peratus penagih yang dikesan adalah golongan belia berumur 19 hingga 39 tahun. Daripada jumlah itu, 1,390 adalah remaja.

Walaupun angka itu menunjukkan penurunan terbanyak iaitu 48.59 peratus berbanding 2011, situasi ini tidak boleh dipandang enteng sebaliknya usaha untuk menangani masalah ini perlu diperhebat.

Peningkatan kes penyeludupan dadah ke negara ini jelas menunjukkan serangan dadah untuk memusnahkan manusia tidak akan pernah berhenti. Pelbagai teknik digunakan pengedar dadah untuk memenuhi permintaan sehingga ada yang sanggup menelannya untuk mengelak daripada diberkas pihak berkuasa.

Dadah dari jenis heroin adalah dadah yang paling banyak digunakan penagih. Seramai 4,080 (48.18 peratus) penagih menggunakan heroin diikuti morfin (2,657 atau 31.38 peratus) dan ganja (1,014 atau 11.97 peratus).

Islam larang rosakkan diri sendiri

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah memutuskan bahawa penyalahgunaan pelbagai jenis dadah adalah haram kerana mempunyai kesan mudarat.

Islam melarang keras perbuatan yang boleh merosakkan diri sendiri. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Sebarang kegiatan yang membawa kepada penyalahgunaan dadah perlu dicegah dan dibendung di peringkat awal kerana sekali kita tergelincir amat sukar untuk kembali ke pangkal jalan. Benarlah kata pepatah, ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Melayu penghubung bangsa


Oleh : Dr Sidek Baba 

Umat Melayu melihat hubungan kemanusiaan terbina dengan asas pemahaman terhadap tamadun. Pada masa lalu, tamadun Islam menjadi penghubung kepada tamadun Barat dan Timur. Tamadun ini dilambangkan dengan kekuatan ulama-ilmuwan dan umarak melakukan sinergi menyebabkan lahirnya usaha penterjemahan ilmu yang pelbagai dalam tamadun Islam dan dimanfaatkan oleh bangsa Eropah.

Hasil usaha ini menyebabkan lahirnya ‘renaissance’, ‘reformation’ dan juga revolusi industri yang akhirnya menyebabkan kuasa Eropah menjadi penakluk atas dalih ingin melakukan proses pencerahan dan celik tamadun.

Umat Melayu adalah sinergi menghubungkan sesuatu bangsa dengan segala keunikan yang ada padanya dengan maksud kemanusiaan yang lebih tinggi hasil perkembangan tamadun Islam. Dalam menghadapi kerenah zaman dan ragam kehidupan, umat Melayu melakukan reflektif tamadun terhadap kebangkitan silam dan menjadi contoh bagaimana ia bangun berasaskan ilmu dan keterampilan sehingga menyebabkan ia mampu bertahan lebih 600 tahun.

Kekuatan maksud umat dalam membangun tamadun boleh dijadikan landasan bagaimana umat Melayu boleh mengikuti jejak kehebatan silam secara lebih dekat, menyebabkan Melayu sebagai satu bangsa apabila ditindikkan dengan nilai yang sifatnya alamiah menjadikan lebih maju dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi yang berdiri atau kualiti modal insannya.

Bahasa Melayu miliki kekuatan ilmu

Menjadikan diri sebagai umat Melayu bukan bermakna menolak faktor bangsa seperti bahasa dan budaya yang positif serta menyumbang terhadap kekayaan tamadun Islam. Faktor bahasa Melayu umpamanya, menerima kemasukan ribuan istilah al-Quran dan bahasa Arab sehingga menyebabkan makna daripada istilah itu memberikan tasawwur yang sifatnya Islami.

Ia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam yang mempunyai kekuatan ilmu dan merintis jalan ke arah terbinanya tamadun. Kekuatan inilah yang dimiliki umat Melayu sejak menerima Islam dalam kehidupannya.

Menjadi umat Melayu tidak sekadar kuat dalam bidang rohaniahnya. Kekuatan rohaniah harus menjadi landasan yang mengangkat daya intelek dan kreativiti supaya minda Melayu terasnya adalah minda Islam. Minda Islam yang kreatif bakal mencetuskan idea besar yang mampu menjana perubahan.

Reflektif terhadap tamadun silam umat Islam di Baghdad dan Andalusia melahirkan tokoh ilmuwan yang berwibawa dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan dan matematik. Umat Melayu harus memberikan fokus dalam aspek ini di samping melakukan jihad bisnes yang dapat membimbing mereka menjadi umat yang kuat.

Jiwa ummatik lahir kepakaran

Di bumi Islam termasuk di daerah umat Melayu, Allah SWT mengurniakan sumber kekayaan yang banyak supaya umat Melayu boleh hidup sejahtera. Tanpa jiwa ummatik yang menuntut jiwa tadabbur atau kaji selidik dan daya juang yang tinggi tidak mungkin umat Melayu mampu melahirkan kepakaran dan keahlian.

Keadaan ini menyebabkan orang lain melakukan eksploitasi atau mengambil kesempatan menguasai sumber yang kaya akibat kealpaan dan kekosongan daya juang untuk bersaing dan maju dengan bijaksana.

Memperkasa umat Melayu adalah proses islah yang meletakkan Islam sebagai dukungan terhadap kemajuan dan perubahan. Kekuatan Islam dari sudut ilmu dan tamadun mampu membimbing orang Melayu untuk mara ke hadapan tanpa menzalimi orang lain kerana prinsip adil wal ihsan akan sentiasa menjadi pedoman terbaik yang dianjurkan oleh ajaran Islam.

Strategi islah juga harus berlaku dalam memperkasa ilmu dan pendidikan. Ilmu yang integratif harus menjadi sandaran merubah kekuatan berfikir dan amal dalam kalangan generasi muda Melayu supaya jiwa ummatik akan sentiasa menjadi pendorong terhadap mereka untuk menjadi cemerlang.

Tanpa kecemerlangan orang Melayu bakal terpinggir kerana sifat zaman kini amat terbuka dalam semua perkara.

Generasi muda umat Melayu harus mewakili zamannya dengan gambaran yang memberikan harapan cerah pada masa depan. Meneliti mengenai penyakit sosial yang menimpa generasi muda orang Melayu kini, akibat kerapuhan jiwa mereka mendepani cabaran budaya popular dan budaya hedonistik dari Barat. Media cetak dan elektronik, festival hiburan yang banyak menjadi sumber melekakan generasi muda hingga menyebabkan kekontangan jiwa dan minda hingga peribadinya mudah cair menghadapi himpitan hawa nafsu.

Generasi muda umat Melayu seharusnya mengukuhkan kekuatan rohaniah dalam penghayatan hidup. Penghayatan hidup umat Melayu seharusnya menginsafi bahawa tanpa jiwa yang hidup dan segar dengan sifat daya juang yang tinggi dipandu oleh nilai rohaniah murni, orang Melayu bakal menjadi penonton yang hampa dan kecewa bahawa perjuangannya berada dalam batas ‘menang sorak’ tetapi pada hakikatnya ‘kampung sendiri tergadai.’

Penulis ialah Profesor Pendidikan UIAM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/