Rabu, 5 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Pengorbanan guru tidak dilupa


Oleh : Mohd Ghazali Din

Sambutan Hari Guru disambut setiap 16 Mei saban tahun menggambarkan betapa berharganya golongan itu dalam memacu institusi pendidikan negara.

Pengorbanan guru memang tiada bandingan apatah lagi cabaran golongan itu yang kini berdepan generasi V (virtual generation) cukup mencabar dan menuntut kesabaran tinggi.

Tugas guru hari ini tidak seperti 40 tahun lalu yang mana tahap ‘kehormatan’ dan darjat guru sangat tinggi. Guru ibarat raja, manakala sumber maklumat cukup terhad.

Namun, hari ini bukan saja imej guru diinjak, ­tercalar dan tercabar, malah komunikasi tanpa sempadan dengan penyebaran maklumat di hujung jari menjadikan guru sebagai golongan sampingan dalam menyalurkan maklumat.


Dengan kata lain, penyampaian maklumat tidak lagi rancak dua hala, sebaliknya semakin sehala kerana pelajar lebih suka berkomunikasi di alam maya.

Bagaimanapun, kerjaya guru tidak pernah terhenti dalam melaksanakan amanah serta kelangsungan hidup mahupun melihat kejayaan pelajarnya.

Walaupun ada menganggap jurang antara guru dan pelajar semakin jauh, sesiapa pun tidak boleh menafikan jasa dan pengorbanan guru sangat besar, bahkan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Justeru, kerajaan turut menyediakan pelbagai insentif bagi meningkatkan lagi imej golongan guru.

Namun, di tengah kerancakan usaha pelbagai pihak itu, wujud pula cerita tidak enak didengar membabitkan guru. Selalu menjadi halwa telinga, bagaimana guru dikasari serta menjadi sasaran pelajar yang tidak berpuas hati.

Sebagai masyarakat, kita seharusnya merenung kembali sejarah pengorbanan guru yang berjaya menjadikan kita insan hebat.

Biarpun mungkin ada tindak tanduk guru yang menyebabkan hati kita terguris, wajar untuk kita berfikir sebab guru bertindak sedemikian. Sesungguhnya penulis dan masyarakat percaya, tiada seorang guru pun yang mahu melihat pelajarnya kecundang.

Justeru tindakan guru itu adalah reaksi betapa mereka sebenarnya menyayangi pelajarnya dan mahu melihat semua berjaya dalam hidup.

Mereka mengajar kita bagaimana menjadi manusia berjaya dan berjasa untuk agama, bangsa dan negara.

Penulis pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Mengajar harus disertai kebijaksanaan

Prof  Madya Abdul Mua'ti Ahmad bersama pemimpin Singapura
yang turut serta dalam Seminar Bahasa Melayu 2013 
MENGAJAR tidak seharusnya sekadar memenuhi tuntutan sukatan pelajaran semata.

Guru harus berusaha menyuntik unsur kebijaksanaan dalam pelajaran yang disampaikan.

Umpamanya, seseorang pelajar pada zaman dulu biasa disuruh mengutip sampah dan membersihkan sekitarannya.

Pelajar masa ini pula tidak dianjurkan berbuat demikian kerana ia bukan tugas mereka.

Sebenarnya, terdapat kebijaksanaan di sebalik tugas mengutip sampah - iaitu memupuk keprihatinan dalam diri pelajar terhadap keadaan alam sekitarannya.

Demikian dijelaskan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad.

"Apa yang sudah lama hilang dalam pengajaran ialah kebijaksanaan. Guru mungkin sibuk dengan sukatan pelajaran dan rutin, jadi ia tidak lagi ditekankan dewasa ini.

"Kebijaksanaan boleh hilang apabila masyarakat tidak berusaha mencarinya.

"Sehubungan itu, idea yang terjana dalam minda menggambarkan kebijaksanaan. Lantas, guru boleh memperluas idea menerusi pembacaan. Luaskan horizon (jangkauan) bahan bacaan," ujar beliau.

Profesor Abdul Mua'ti merupakan penyampai ucaptama Seminar Bahasa Melayu 2013 anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) di Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (MOELC), Bishan, semalam.

Dalam ucaptama bertajuk Bahasa dan Jati Diri Melayu: Kesantunan Berbahasa dalam Komunikasi itu, Profesor Abdul Mua'ti meneliti unsur-unsur mempengaruhi pandangan Melayu secara keseluruhannya, iaitu alam sekeliling, adat resam dan Islam.

Menurutnya, kesemua ciri tersebut mencipta cara percakapan orang Melayu, lalu membentuk jati diri serta kelakuan mereka ketika berkomunikasi.

Antara lain, Profesor Abdul Mua'ti mengesyorkan orang Melayu memperteguh jati diri dengan menyemai rasa cinta terhadap bahasa Melayu itu sendiri.

Ini dapat dilakukan jika guru atau pihak berkuasa dapat menggalakkan orang Melayu memahami sejarah dan budaya mereka sendiri, walaupun dilanda arus pengaruh seperti Gelombang K-Pop atau kegilaan budaya pop asal Korea Selatan.

"Yang mustahak, kita harus yakinkan anak-anak tentang keberuntungan mereka memiliki bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

"Kita juga harus meyakinkan orang Melayu bahawa mereka boleh menjadi Muslim yang baik dan masih juga menjadi seorang (yang berpegang pada budaya) Melayu.

"Belajar bahasa tidak boleh dilakukan dalam satu malam. Ia harus diterapkan sedikit demi sedikit.

"Kita perlu ada media bahasa Melayu, bahan bacaan dan perkhemahan. Guru pun harus menggunakan bahasa yang difahami pelajar," ujar Profesor Abdul Mua'ti.

Beliau turut menampilkan panduan berkomunikasi, antaranya ialah merancang idea sebelum berkomunikasi, mencerakin penerima mesej atau sasaran, kebenaran isi bicara, gaya bahasa yang sesuai lagi baik, susunan maklumat yang jelas, bahasa badan yang menyokong lisan, berhujah dengan waras dan mengambil kira pendapat orang lain.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

ISU SOSIAL : CAP gesa pengguna tamatkan pembaziran makanan


GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengguna agar turut serta dalam usaha menamatkan pembaziran dan pembuangan sisa makanan bagi mengurangkan kehilangan sumber, kata Presidennya S.M Mohamad Idris.
  
Beliau berkata gesaan itu sempena kempen Hari Alam Sekitar Sedunia 2013 bertema 'Think.Eat.Save' yang menentang pembaziran dan pembuangan makanan bagi mengurangkan kehilangan sumber.
  
Katanya, sudah tiba masa untuk memerangi sikap negatif itu kerana mengikut kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAOUN) sebanyak 1.3 bilion tan sisa makanan terhasil setiap tahun.
  
"Daripada kajian CAP,kebanyakan restoran di Pulau Pinang membuang antara lima hingga 10 peratus makanan yang tidak dihabiskan setiap hari, dan membuang 10 peratus sisa makanan yang dipesan oleh pelannggan yang tidak berjaya dihabiskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
S.M.Mohamad berkata berdasarkan unjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Malaysia dijangka menjana 31,500 tan sisa pepejal setiap hari dan daripada jumlah itu, 45 peratus atau 14,000 tan adalah makanan, menjadikan kira-kira lima juta tan sisa makanan bakal dilupus dalam tahun 2020.
  
"Oleh itu, berdasarkan statistik yang diberi, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita melancarkan 'perang' terhadap pembaziran makanan kerana ia adalah salah satu cara paling mudah untuk mengelakkan sumber asli kita daripada habis untuk pengeluaran makanan," katanya.  - Bernama

ISU SOSIAL : 15,000 Tan Sisa Makanan Dibazirkan Di Malaysia Setiap Hari


Oleh : EILEEN NG, YUEN MEI KENG dan JOSEPHINE JALLEH

PETALING JAYA: Malaysia ialah syurga makanan, tetapi  Malaysia juga menjadi tempat pembuangan makanan dalam jumlah yang besar.

Setiap hari Malaysia menghasilkan kira-kira 15,000 tan makanan dan sisa dari dapur yang mana jumlah ini cukup untuk mengisi tujuh setengah buah padang bola atau untuk memberi makan kepada 7.5 juta orang dalam sehari.

Jumlah ini merupakan peningkatan daripada tahun 2011, di mana kira-kira 930 tan makanan yang dibazirkan telah dibuang setiap hari.

Angka itu pula adalah dua kali ganda meningkat daripada rekod yang ditunjukkan pada tahun 2009.

Di Kuala Lumpur sahaja, sisa makanannya adalah kira-kira 3,000 tan metrik sehari, manakala Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendakwa pulau itu sahaja menghasilkan sebanyak 355 tan sisa makanan setiap hari.

Daripada jumlah itu, antara 10 hingga 15 peratus terdiri daripada makanan yang dibazirkan dan tamat tempoh luput.

Dalam 10 jenis makanan untuk makan malam masyarakat Cina misalnya, 30 peratus daripada makanan akan dibazirkan.

Pakar pengurusan Sisa Dr Theng Lee Chong berkata tuan rumah telah memilih untuk mengurangkan kuantiti makanan dan mengurangkan jenis makanan kepada tujuh atau lapan.

"Tetapi dalam jangka masa panjang, kita masih perlu mendidik rakyat Malaysia mengenai keperluan untuk tidak membuang makanan.

"Kita hanya perlu mengambil setakat yang kita perlukan," katanya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel menggesa rakyat Malaysia untuk membuat "pilihan gaya hidup yang betul" dan mengurangkan pembaziran makanan selaras dengan kempen Hari Alam Sekitar Sedunia dengan tema "Think. Eat.Save" & " Reduce Your Foodprint ", hari ini.

"Kempen ini menggalakkan kita untuk lebih sedar bahawa pemilihan makanan memberi kesan terhadap alam sekitar dan memberi kuasa kepada kita untuk membuat keputusan," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia Datuk R. Ramalingam Pillai mengeluh tentang pembaziran makanan yang agak berleluasa di Malaysia.

Beliau mengaitkan ini kepada sikap rakyat Malaysia, yang kebanyakannya katanya mengambil kesempatan terhadap makanan yang mudah diperoleh di negara ini.

"Di negara - negara lain di dunia, ramai orang hidup tanpa makanan dan di sini kita membuang makanan," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Selasa, 4 Jun 2013

ISU KENEGARAAN : Seri Paduka lambang penyatuan bangsa


Oleh : Musa Awang

Ketua negara bagi Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong ialah jawatan eksekutif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 38 Perlembagaan, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun sekali, antara sembilan pemerintah negeri Melayu. Apabila seseorang pemerintah negeri menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai pemangku dalam negeri berkenaan.

Sistem penggiliran Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang) dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor).

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong ini unik, kerana Malaysia negara tunggal di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara seperti ini.

Sistem ini juga gabungan antara tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan Perlembagaan.

Sistem pemerintahan Raja berperlembagaan negara ini menjadi lambang negara berdaulat, bebas dan merdeka serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perkara 39 Perlembagaan memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan adalah hak Yang di-Pertuan Agong. Walaupun ada beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim, baginda menerima nasihat daripada Jemaah Menteri dalam menjalankan kuasa eksekutif baginda.

Tiga fungsi dalam Perlembagaan

Seri Paduka mempunyai kuasa bertindak mengikut budi bicara baginda dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu melantik seorang Perdana Menteri, bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen dan meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Dalam kuasa perundangan, Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen Parlimen, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Baginda mempunyai kuasa memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa, memberhentikan dan membubarkan Parlimen, memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen dan memperkenankan Rang Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik dua senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk tiap-tiap Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, serta berkuasa melantik 40 orang senator lain.

Dalam kuasa kehakiman, Yang di-Pertuan Agong berfungsi melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Peristiharan darurat

Berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

Yang di-Pertuan Agong juga pemerintah tertinggi angkatan bersenjata, mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan Mahkamah Tentera.

Baginda mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, sebagai sumber penghormatan dan kebesaran, fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing serta menghadiri majlis.

Selanjutnya, Perkara 3 (3) dan (5) Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Di negeri lain, ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Sebagai Ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong pelindung kepada kesucian agama Islam di negara ini.

Ketua umat Islam, ketua eksekutif seluruh rakyat

Justeru, Seri Paduka bukan saja ketua kepada umat Islam, tetapi juga ketua eksekutif bagi seluruh rakyat termasuk bukan Islam dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Dalam sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, dalam situasi masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi, budaya, adat resam dan agama mereka, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tetap menjadi penyelamat ketegangan politik dan perkauman serta menjadi simbol perpaduan rakyat.

Kita, selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong seharusnya sentiasa memberikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah tertinggi negara ini dan mengelak diri daripada terbabit dengan sebarang tindakan mempertikai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk mempertikai kesucian agama Islam sebagai agama persekutuan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Penjawat Awam Yang Masih Berpolitik Akan Dikenakan Tindakan

Tan Sri Dr Ali Hamsa
KUALA LUMPUR : Penjawat awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata semua ketua jabatan diminta memantau dan mengambil tindakan atau melaporkan kepada JPA sekiranya masih terdapat penjawat awam yang masih berpolitik terutamanya di media sosial.

Katanya tempoh berpolitik sudah tamat sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 diketahui, dan kini tibalah masa untuk penjawat awam menjadi tonggak pentadbiran negara ke arah menjayakan agenda transformasi negara.

"Sekarang, masa kakitangan awam untuk bergerak ke hadapan dan meneruskan usaha-usaha agenda transformasi nasional dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) 2013 di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak semalam yang meminta rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik berlebihan kerana menyebabkan masa terbuang untuk negara maju ke hadapan.

Ketua Setiausaha Negara berkata penjawat awam kini perlu berfikir ke hadapan, iaitu lebih produktif dalam mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber terhad, lebih cepat dalam membuat keputusan dan tepat dalam merangka dasar atau program demi kepentingan rakyat.

Katanya, penjawat awam juga perlu mempunyai integriti, kreatif and inovatif dalam menggunakan pelbagai pendekatan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menggunakan saluran media sosial dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar awam kerajaan.

Ditanya mengenai perkembangan rancangan mewujudkan Sistem Saraan Transformatif (SST) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia, Ali berkata proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan pada tahap pertama dijangka selesai menjelang akhir November ini.

"Pada bulan Julai pula, kita akan menyelesaikan enam skim perkhidmatan dan bakinya akan diselesaikan kemudian. Ini merupakan satu proses yang berterusan yang akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak," jelas beliau. -BERNAMA

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cabaran institusi baharu lebih kompleks


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Kewujudan 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam tempatan dan ratusan lagi IPT swasta secara tidak langsung memperlihatkan betapa pesatnya pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.

Kerancakan negara menjadi hab pendidikan serantau, bahkan di peringkat dunia bagaimanapun memberi cabaran tersendiri kepada institusi berkenaan dalam mendepani persaingan, sekali gus muncul sebagai yang terbaik.

Namun, dalam hal ini mungkin timbul juga isu kebolehpercayaan institusi tertentu dalam menyediakan pakej pendidikan tinggi secara sempurna, iaitu lengkap dengan tenaga pengajar dan kemudahan berkualiti.

Malah, kita tidak menafikan, adakala kemampuan dan kewibawaan institusi tertentu terutama yang dikategori sebagai ‘junior’ mengundang skeptikal sesetengah pihak. Adakah institusi baru boleh bersaing serta duduk sama tara dengan yang lain.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, setiap IPT mempunyai cabaran tersendiri dan bagi sebuah institusi baru ia lebih kompleks.

Menurutnya, bagi institusi yang sudah ‘senior’ tentunya imej dan keupayaannya sudah menonjol, malah mempunyai pengalaman dalam pengendalian kepakaran dan mampu membina jenama sendiri.

“Bagi universiti baru perlu memulakan langkah dari bawah, belajar menyesuaikan keadaan dengan pelaksanaan dilakukan secara berperingkat.

“Zaman universiti senior melalui semua cabaran awal sudah berlalu. Mereka sudah ada kepakaran melangkaui standard, berpengalaman serta memperoleh pengiktirafan dari segi kepakaran.

“Kelebihan inilah yang menjadi antara cabaran utama universiti baru terutama membangunkan jenamanya sendiri bagi menyaingi kehebatan universiti yang sudah lama bertapak,” katanya.

Perkembangan semasa dan pencapaian IPT baru sentiasa menjadi perhatian masyarakat, kerana mereka juga ingin melihat sejauh mana kemampuan seperti diuar-uarkan melalui slogan tertentu.

Sikap ingin tahu dan keprihatinan itu pasti tidak boleh dihalang kerana mereka khususnya dalam kalangan ibu bapa mengharapkan yang terbaik, sekali gus memberikan pulangan sepadan atas pelaburan sepanjang tempoh pengajian anak masing-masing.

“Biarpun ia suatu tekanan bagi universiti itu, dilihat dari sudut positif ia tindakan yang baik. Adanya pemantauan dari pihak luar membolehkan universiti baru memperbaiki kelemahan,” kata Dr Asma.

Malah katanya, sikap peduli masyarakat itu dapat membantu institusi baru dari aspek promosi dan penjenamaan.

“Biasanya nama sesebuah universiti baru kurang dikenali terutama bagi yang dinaik taraf atau diberi penjenamaan semula, sedangkan nama institusi lama cukup dikenali ramai seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia.

“Dalam hal ini universiti baru juga tidak boleh berpeluk tubuh, sebaliknya berusaha agar lebih dikenali bersama yang lain,” katanya.

Mengambil contoh USIM, beliau optimis penawaran program adalah setanding dan berkemampuan melahirkan graduan berdaya saing bagi memenuhi kapasiti industri, walaupun masih boleh dianggap sebagai universiti baru.

Menurutnya, penubuhan USIM selaras matlamat melahirkan graduan yang bukan saja mempunyai pencapaian akademik cemerlang, tetapi disertai kemantapan modal insan Islam yang kukuh.

Katanya, USIM sebuah universiti baru yang mempunyai objektif melahirkan masyarakat madani berilmu dan mempunyai jati diri yang mantap.

“Saya tidak menolak persepsi sesetengah masyarakat di luar sana yang menganggap USIM hanya melahirkan bakal ustaz atau guru agama. Namun, pada saya tanggapan itu adalah tidak benar.

“USIM menyediakan platform pengkhususan sama seperti universiti lain. Ini juga adalah antara cabaran sebagai universiti baru,” katanya.

Menurutnya, institusi baru juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam pengkhususan ditawarkan, sama seperti yang lain.

“Contohnya USIM mempunyai kekuatan dalam bidang pembangunan ilmu berteraskan kewangan Islam seperti muamalat.

“Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan perundangan, UKM menonjol dengan perubatan manakala UTM, Universiti Tun Hussein Malaysia dan Universiti Teknikal Melaka dalam bidang kejuruteraan.

“Kekuatan ini secara tidak langsung menaikkan nama universiti berkenaan di mata masyarakat, sekali gus memudahkan lagi pemilihan dibuat bakal mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata, penting juga diketahui sumbangan IPT sebenarnya tetap sama dan tidak boleh dipertikaikan, walaupun ianya masih baru.

Malah katanya, bersandarkan keperluan optimum membabitkan keperluan jangka panjang dalam setiap penawaran program, penubuhan institusi baru juga bagi memenuhi kehendak yang sudah dikaji dengan teliti.

“Ia berdasarkan keperluan semasa, selain mengimbangi keperluan jangka panjang sumber tenaga kerja dalam industri.

“Jadi, kekuatan dan kelebihan institusi baharu diselaraskan dengan peranan masing-masing dan pada masa sama menyokong kehendak aspirasi pendidikan tinggi negara,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/