Isnin, 10 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Apakah Peranan Anda dalam Menangani Gejala Disiplin Murid?

Ponteng sekolah antara gejala yang biasa berlaku dalam kalangan murid

JIKA ANDA SEORANG IBU ATAU BAPA

Peranan terhadap anak

Ibu bapa ialah orang yang paling rapat dengan anak-anak terutama ibu. Kasih sayang boleh mengikat hati anak-anak di rumah. Salah laku lazimnya berlaku di luar rumah terutamanya jika jauh daripada pengawasan ibu bapa. Ibu bapa hendaklah:

• Mengawasi pergerakan dan aktiviti anak selepas waktu sekolah
• Menasihati anak yang mula menampakkan kecenderungan penyelewengan
• Memberi kemudahan anak mengikuti kegiatan kokurikulum
• Membelikan bahan bacaan yang bermanfaat
• Mengawal kegiatan mengakses internet
• Meluangkan masa untuk mendengar masalah anak
• Prihatin terhadap prestasi pembelajaran anak di sekolah
• Semua ahli keluarga ada bersama-sama ketika makan

Peranan terhadap guru anak anda

Ibu bapa harus memberi kepercayaan penuh kepada guru untuk mendidik si anak. Mereka telah diberi kemahiran untuk berbuat demikian. Sokongan hendaklah diberikan berterusan hingga anak itu dewasa. Ibu bapa dan guru bertukar ganti mengambil alih tugas mendidik anak. Ibu bapa juga hendaklah:

• Mengenali guru kelas anak dan berinteraksi dengan mereka
• Akur akan tindakan disiplin terhadap murid yang melakukan kesalahan mengikut peraturan sekolah
• Melibatkan diri dalam kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
• Menyumbang tenaga dalam PIBG mengikut profesionalisme
• Menghargai guru

JIKA ANDA SEORANG MURID

Peranan terhadap ibu bapa

Hormati ibu bapa. Ibu bapa telah mendidik anda dengan penuh kasih sayang dan perhatian yang optimum, jadi balas jasa mereka. Berbuat baiklah kepada ibu bapa. Apabila anak sibuk untuk berbakti kepada ibu bapa, kecenderungan untuk terjebak dengan jenayah akan hilang. Anak-anak juga hendaklah:

• Taat dan patuh kepada ibu bapa
• Bertindak pantas apabila diarahkan ibu bapa
• Mengikuti nasihat ibu bapa
• Diwajibkan melaporkan kegiatan harian kepada ibu bapa
• Menyenangkan hati ibu bapa
• Minta nasihat dan pendapat ayah dan ibu

Peranan Terhadap Guru

Kenanglah jasa guru. Guru disayangi, bukan dibenci; dihormati, bukan dikeji. Sepatah ajaran guru mungkin telah meningkatkan kemajuan dan kecemerlangan diri kita. Kenapa mesti kita nodai kejayaan ini dengan kegiatan salah laku yang merosakkan diri kita sendiri? Ingatlah jasa guru. Seorang murid hendaklah:

• Menghormati guru
• Anggap guru sebagai ibu bapa kedua
• Merujuk kepada guru dalam semua hal
• Ikut nasihat guru
• Selalu memberi khidmat dan membantu guru
• Buang anggapan “guru hanya hendak menyusahkan kita” sebaliknya “guru hendak mendidik kita”

JIKA ANDA SEORANG GURU

Peranan terhadap murid

Didiklah murid secara lebih tersusun dan terarah. Jangan terlalu menekan dari segi kecemerlangan akademik hingga meninggalkan kecemerlangan sahsiah. Berperananlah sebagai ibu bapa kedua kepada murid. Anda berfungsi melahirkan insan bukan robot. Guru juga hendaklah:

• Memerhati murid walaupun selepas waktu sekolah
• Lebihkan masa dengan aktiviti kokurikulum
• Beri tumpuan lebih di dalam kelas terhadap murid bermasalah
• Memberi kaunseling kepada murid yang bermasalah
• Anggap murid seperti anak sendiri
• Libatkan murid dengan hobi yang positif

Peranan terhadap ibu bapa murid

Jangan memandang rendah terhadap latar belakang ibu bapa yang kurang bernasib baik. Murid dan keluarga sedemikian harus ditangani sewajarnya. Beri motivasi dan panduan. Guru juga hendaklah:

• Melaporkan kemajuan pelajaran murid
• Melaporkan perkembangan sahsiah murld
• Membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan mendidik anak
• Mengenali ibu bapa murid
• Fahami dan cuba cungkil kerjaya ibu bapa
• Beri kaunseling dan pulihkan harapan kepada ibu bapa yang telah kecewa dengan salah laku anak mereka

JIKA ANDA AHLI MASYARAKAT

Generasi muda merupakan penyumbang kepada tenaga penggerak masyarakat dan negara pada masa akan datang. Murid ialah komponen masyarakat yang muda dan masih mentah. Oleh sebab itu, bimbingan dan pemantauan terhadap mereka sangat diperlukan Antaranya:

• Ambil perhatian jika melihat perkara yang tidak betul pada anak jiran anda
• Mengadakan aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat
• Mengelakkan aktiviti kemasyarakatan yang memudaratkan
• Gerakkan aktiviti peringkat taman, kampung, surau, dan masjid
• Wujudkan aktiviti kanak- kanak
• Rapatkan perhubungan antara generasi muda dengan tua
• Beri bimbingan dan harapan kepada golongan muda yang terpesong untuk berubah

HINDARI PERBUATAN SALAH LAKU

• Tingkah Laku Jenayah
• Tingkah laku Kurang Sopan / Biadab
• Membuli
• Penyalahgunaan Dadah / Inhalan / Racun
• Tingkah laku Tidak Amanah
• Vandalisme
• Merokok
• Kenakalan
• Ponteng
• Tingkah laku Tidak Mementingkan Masa
• Tingkah laku Lucah
• Kekemasan Diri

PENEKANAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN SALAH LAKU

Pencegahan salah laku harus mempunyai pengisian yang mantap. Minda anak-anak yang masih kosong boleh menerima apa-apa sahaja isme dan pengaruh yang mampu dicapai oleh mereka. Keterbukaan dunia globalisasi membuat anak- anak mampu mencapai ilmu pengetahuan tanpa sempadan. Kadang kala mereka tidak mampu membuat pilihan antara yang baik dengan yang buruk.

Antara aspek pendidikan yang perlu ditekankan ialah:

• Pendidikan agama dan aktiviti keagamaan
• Pendidikan akhlak
• Fakta kerosakan diri akibat daripada melakukan sesuatu jenayah
• Menanamkan rasa sivik yang tinggi
• Pendidikan moral

Hubungi 1 800 88 4774
atau
adudisiplin@moe.gov.my

Faks 03 8888 6681

Sumber : http : //ehwalmurid.blogspot.com/

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN KEMALANGAN DI JALAN RAYA


Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini telah membawa kita mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang. Namun,sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru isu kemalangan jalan raya kini dilihat tiada kesudahannya. Malah menurut satu kajian yang dijalankan oleh sebuah badan swasta  menunjukkan bahawa kadar peratusan kemalangan jalan raya meningkat sebanyak lima peratus  dari tahun ke tahun. Bukti yang boleh dilampirkan sebagai sokongan kepada fakta ini ialah, hampir setiap akhbar memaparkan mengenai kes-kes kemalangan jalan raya sebagai tajuk besar di halaman hadapan dada-dada akhbar. Lantaran itu,cuba kita renung sejenak,sudah berapa banyak nyawakah yang terkorban akibat kelalaian diri mahupun pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan jalan raya di negara kita,dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini? Bilangannya pasti tidak terkira. Namun begitu,setiap penyakit pasti ada penawarnya. Begitu juga dengan kes-kes sebegini. Pelbagai langkah yang pragmatik lagi sistematik dapat dijalankan oleh semua pihak bagi menangani masalah kemalangan jalan raya yang sudah begitu lama berlaku di negara kita.

Memang tidak dapat dinafikan dan disangkal lagi bahawa segala penyelesaian kepada sesuatu masalah bermula daripada individu itu sendiri. Bagi mengorak langkah menangani kemalangan jalan raya ini,setiap individu di Malaysia haruslah melaksanakan anjakan paradigma dengan mengamalkan cirri pemanduan berhemah semasa di jalan raya. Ciri pemanduan dapat dipraktikkan dengan mengenakan topi keledar bagi penunggang motorsikal serta memandu mengikut had laju yang telah ditetapkan. Dengan mengamalkan ciri pemanduan berhemah ini,sudah tentu individu akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara yang mendorong ke arah kemalangan jalan raya kerana umum mengetahui bahawa malang  tidak berbau.Namun apa yang mengecewakan ialah terdapat sebilangan individu yang memandang enteng terhadap perkara ini dengan langsung tidak mempraktikkan ciri tersebut kerana beranggapan garis panduan tersebut hanyalah untuk mereka yang tidak tahu memandu atau bagi pemandu-pemandu baru.Tetapi disebabkan mentaliti mereka yang beranggapan sedemikianlah,kecenderungan untuk berlakunya kemalangan jalan raya amatlah tinggi.Janganlah sudah terhantuk baru tengadah.Ingatlah nyawa manusia tidak dapat digantikan dengan apa-apa barang mahupun wang ringgit.Selain itu,setiap individu juga perlulah bijak mengawal emosi khususnya semasa memandu.Hal ini demikian kerana tahap kesabaran seseorang pemandu itu pasti akan teruji tatkala dia berada dalam kesesakan jalan raya sebagaimana yang sering berlaku di bandar-bandar utama seperti Johor Bharu dan Kuala Lumpur. Kesannya,mereka bersikap serakah di jalan raya dengan memandu dalam had laju yang tinggi serta melanggar lampu isyarat. Berpeganglah kepada kewarasan akal yang rasional dalam apa-apa jua keadaan,bak kata peribahasa,ikut hati mati, ikut rasa binasa. Oleh itu, jadikanlah pemanduan berhemah sebagai amalan kerana pandu cermat jiwa pasti selamat.

Selain itu, kerajaan perlu sama memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini. Perundangan merupakan satu langkah yang penting untuk menyelesaikan masalah salah laku jalan raya. Tanpa perundangan, pemandu-pemandu yang jahat dan “tidak masuk ajar” akan terus mengancam keselamatan jalan raya. Perundangan boleh dikategorikan kepada dua bahagian yang besar iaitu pembentukan undang-undang dan penguatkuasaan undang-undang. Pembentukan undang-undang merupakan asas kepada perundangan. Undang-undang yang dibentuk seharusnya mempunyai kesan psikologi ke atas pengguna jalan raya yang jahat dan praktikal pula kepada pihak polis untuk dilaksanakan. Dengan adanya undang-undang yang membawa hukuman yang menakutkan maka sebahagian besar pengguna jalan raya akan takut terlibat dalam salah laku. Bagi segelintir pengguna jalan raya yang keras kepala dan mengancam keselamatan awam maka di bawah undang-undang mereka boleh dihalang untuk terus demikian dengan mekanisme kepenjaraan.Undang-undang tidak akan sempurna sekiranya ia tidak dilengkapi dengan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan yang baik sememangnya boleh meningkatkan kewibawaan undang-undang dan kesannya terhadap keselamatan awam. Untuk itu pihak berkuasa haruslah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Sebagai tambahan,penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dan hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya,bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, cadangan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam bulan perlu diterima pakai bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan  agar pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.Tambahan lagi, kerajaan juga mestilah  memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Kebanyakkan daripada pengguna-pengguna yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ialah mereka yang berdarah muda. Lalu,usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah agar kesedaran sivik mengenai pentingnya menuruti segala peraturan jalan raya yang ditetapkan benar-benar tersemai dalam sanubari mereka.

Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai perbelanjaan  untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran..Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya merupakan antara pihak yang acap kali diberi obligasi dalam melaksanakan kempen kesedaran seperti Kempen Keselamatan Jalan raya. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku. Namun begitu,jika hanya sebelah pihak sahaja yang bersungguh-sungguh melaksanakan program ini tanpa ada sebarang sokongan daripada rakyat, akibatnya segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan dapat diibaratkan bagai mencurahkan air ke daun keladi. Maka,setiap pengguna jalan raya perlu memberikan kerjasama yang sepenuhnya demi merealisasikan hasrat kerajaan dalam Wawasan Keselamatan Jalan Raya Tahun 2010 untuk mencapai kadar kemalangan jalan raya yang minimum. Seterusnya, polis trafik mestilah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis trafik turut mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, anggota polis trafik juga turut memainkan peranan yang  penting dalam mencegah kemalangan di jalan raya.

Bertitik tolak daripada itu, pihak swasta juga memainkan peranan yang vital dalam mencegah kemalangan jalan raya daripada terus membarah dalam kalangan masyarakat Malaysia.Pihak swasta seperti syarikat bas haruslah memberikan perkhidmatan bas yang terbaik agar bilangan kemalangan yang semakin meningkat dapat dikurangkan. Antara prakarsa yang dapat dilaksanakan oleh syarikat bas tersebut ialah dengan mengambil pemandu bas yang cermat dan berhemah untuk bekerja. Dengan itu,keselamatan bas serta penumpangnya akan terjamin apabila pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti had laju. Di samping itu,syarikat bas juga perlulah menetapkan bahawa pemandu bas mestilah menyelenggara bas mereka secara berkala. Mereka perlu memastikan agar bas tersebut bebas daripada kerosakan teknikal sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Dalam konteks ini,masalah-masalah seperti kerosakan enjin , tayar pancit dan brek yang tidak berfungsi dapat diatasi serta-merta kerana kemalangan dapat disinonimkan dengan peribahasa malang tidak berbau. Bukan itu sahaja,pemandu gantian juga harus ditempatkan semasa pemanduan sebagai inisiatif untuk mengelakkan kealpaan pemandu lain apabila berasa penat dan letih. Hal ini demikian kerana,mengikut kajian kes,kebanyakan kemalangan yang terjadi berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri. Tegasnya,dengan menempatkan pemandu sementara ,kemalangan jalan raya dapat diatasi dengan lebih efektif. Selain  syarikat bas,syarikat petroleum negara iaitu Petronas dapat dijadikan contoh terbaik kerana berani untuk  mengambil langkah untuk mencegah kemalangan jalan raya kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Syarikat berkaliber itu mengadakan program Street Smart yang bertujuan memupuk kesedaran rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati di jalan raya selain sentiasa mematuhi praturan jalan raya. Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat terutamanya pelajar sekolah. Maka jelaslah bahawa syarikat swasta penting dalam usaha mencegah kemalangan jalan raya.

Bukan itu sahaja,media massa juga memikul obligasi yang berat dalam mencegah kemalangan jalan raya daripada terus berlaku. Pihak media massa sama ada media cetak seperti Berita Harian atau media elektronik seperti Media Prima haruslah menguar-uarkan mengenai isu-isu kemalangan jalan raya agar isu yang diiklankan di kaca televisyen dan di dada akhbar itu menjadi pengajaran kepada orang ramai mengenai bahayanya pemanduan yang tidak berhemah. Di samping itu,media massa juga boleh melaksanakan program pendidikan keselamatan jalan raya di Malaysia secara formal yakni kurikulum di sekolah dan institusi memandu dan secara tidak formal yakni melalui kempen-kempen bagi melahirkan pengguna jalan raya bertaraf lima bintang.Bukan itu sahaja,pihak media massa juga mestilah mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutamanya sempena musim-musim perayaan. Hal ini demikian kerana kejadian kemalangan jalan paling kerap berlaku semasa musim-musim seperti ini. Dengan bertemakan konsep ‘’Kemalangan Sifar” dan ‘’Pandu Cermat Jiwa Selamat’’ ,kempen ini sedikit sebanyak menyemai benih kesedaran dan sikap berhati-hati di jalan raya dalam sanubari para pemandu. Seiring dengan itu,kempen yang memberi sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya harus diperhebatkan dan perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dan berterusan agar kemalangan jalan raya dapat dibanteras hingga ke akar umbi.Selain itu,slogan “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dapat dihayati oleh masyarakat melalui kempen yang dianjurkan oleh media massa. Oleh hal yang demikian ,telah terbuktilah bahawa media massa memberi impak yang besar dalam usaha untuk mengecilkan bilangan kemalangan jalan raya yang saban hari kian meningkat.

Kemalangan jalan raya juga boleh dielakkan sekiranya masyarakat turut sama memainkan peranan. Sekiranya berlaku sebarang kerosakan jalan raya di sesebuah kawasan taman perumahan, haruslah terdapat seseorang di dalam komuniti tersebut yang peka terhadap kesulitan tersebut dan berusaha melaporkannya kepada pihak yang berwajib. Sesungguhnya bulat air kerana pembetung,bulat kata kerana muafakat,bersatu teguh,bercerai roboh,maka masyarakat seharusnya bersatu hati bagai aur dengan tebing untuk memastikan tidak berlakunya kemalangan jalan raya. Oleh hal yang demikian,masyarakat haruslah bekerjasama dengan pihak polis sekiranya mereka mendengar, melihat mahupun terlibat dengan kemalangan di jalan raya serta jenayah-jenayah di jalan raya yang boleh mencetuskan kemalangan seperti aktiviti lumba haram atau pemanduan tidak berhemah. Masyarakat juga boleh menyertai kempen-kempen keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh pihak kerajaan,sekali gus menjayakannya. Dengan mengamalkan serta menghayati kempen tersebut , kemalangan jalan raya dapat dielakkan. Berpeganglah dengan kata-kata mantan Perdana Menteri ke-4,Tun Dr. Mahathir Muhammad, “ Bersatu padulah kita membuat kebaikan dan kemajuan,dan janganlah kita bersatu padu membuat kerosakan dan kemusnahan ’’, justeru setiap ahli dalam masyarakat haruslah saling mengingatkan antara satu sama lain dan haruslah kita bersatu padu menangani isu kemalangan jalan di samping berusaha untuk tidak menglibatkan diri dalam kemalangan jalan raya.

Intihanya, kemalangan jalan raya merupakan polemik semasa yang tiada kesudahan. Jika kita berhasrat untuk menangani kemalangan jalan raya yang semakin hari semakin serius ini,langkah-langah yang proaktif dan konkrit haruslah dilaksanakan kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Kemalangan jalan raya mampu dielakkan sekiranya semua pihak tidak kira individu, masyarakat , pihak kerajaan serta serta pihak bukan kerajaan bersatu hati menggembleng tenaga  dan usaha yang berkesan menangani isu kemalangan jalan raya . Kadar kemalangan yang sedikit mampu menaikkan martabat dan imej negara di pentas dunia agar negara kita dihormati dan dipandang tinggi serta dilabel sebagai negara yang mengamalkan  undang-undang jalan raya yang berkesan . Oleh hal yang demikian , cegah sebelum parah, ingatlah orang yang tersayang, maka pandulah dengan berhati-hati di jalan raya.

                                   Siulan kelicap indah bermadah,
                                                Hiasan berseni pilihan angsana,
                                    Celaka di jalan mengundang padah,
                                                Cara tangani wajib dilaksana.  


Sumber : http://noraini-ismail.blogspot.com/

ISU PENDIDIKAN : Pelajar Lepas Tekanan Di Sekolah


Oleh : Ihsan Noorzali

Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, isu disiplin pelajar sekolah kembali mencengkam institusi persekolahan negara.

Masalah itu bukan sekadar mengundang kerisauan malah menimbulkan persoalan apakah tindak tanduk berkenaan ibarat bom jangka.

Usaha proaktif sudah dilakukan termasuk merombak pelaksanaan sistem dan modul namun isu disiplin pelajar masih belum menampakkan penurunan.

Biarpun belum mencapai tahap paling kritikal dan dianggap kes terpencil, pelaksanaan tindakan perlu dibuat segera bagi menjamin masalah berkenaan tidak berpanjangan.

Persoalan paling nyata, mengapa pelajar ini bermasalah? Adakah kerana longgarnya peraturan atau faktor persekitaran ibu bapa, guru dan masyarakat menjadi penyumbang.

Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berpendapat masalah disiplin yang melanda pelajar disebabkan isu kekeluargaan dan masyarakat yang semakin renggang.

Ditambah pula dedahan media massa, menjadikan isu ini perlu ditangani segera bagi mengelak pelajar terus bertindak sesuka hati.

“Umum mengetahui, pelajar sekolah khususnya mereka di peringkat menengah adalah golongan yang mempunyai sikap berani tanpa batas.

“Disebabkan gelora perasaan dan keinginan yang meluap-luap untuk menzahirkan kelakuan, menyebabkan masalah disiplin boleh berlaku.

“Apatah lagi pemantauan daripada guru, sekolah, ibu bapa dan masyarakat agak longgar menjadikan golo–ngan ini semakin besar kepala serta mahu menunjukkan ‘kebolehan’ mereka,” katanya.

Menerusi beberapa kajian pernah dilakukan, beliau tidak menolak antara punca disiplin pelajar kerana longgarnya institusi kekeluargaan.

“Keadaan semasa terutama faktor ekonomi menyebabkan ada ibu bapa tidak dapat memantau pergerakan fizikal serta kehendak emosi anak. Kekurangan sokongan itu menyebabkan anak rasa terpinggir.

“Pelajar yang mempunyai kekurangan di rumah, selalunya akan menzahirkan gelodak emosi mereka di sekolah hingga menimbulkan masalah disiplin,” katanya mengakui kebanyakan pelajar ini terasa terkongkong di rumah tapi menjadikan sekolah, guru dan rakan sebagai tempat melepaskan tekanan.

“Sekolah antara lokasi paling menarik perhatian pelajar bagi melepaskan kemarahan disebabkan faktor tarikan seperti rakan sebaya, kurangnya pemantauan pihak sekolah kerana jumlah pelajar ramai serta terhadnya kuasa guru.

“Masalah disiplin ditimbulkan sebagai ‘pemberontakan’. Sebab itu, isu ini tidak akan selesai selagi longgarnya institusi keluarga di rumah.

“Didorong faktor persekitaran seperti media massa, Internet dan rakan sebaya, ia menjadi rumit jika tiada tindakan segera dilakukan,” katanya.

Malah, terjebak dalam isu disiplin ini juga menyebabkan pelajar menjadi semakin lemah dalam aspek pembangunan jati diri serta pencapaian akademik.

Menurutnya, pelajar yang mempunyai jati diri kuat mampu menangani segala godaan daripada melakukan kesalahan.

“Tapi, pelajar yang mempunyai jati diri rendah atau langsung tiada jati diri dengan mudah akan terjebak. Malah pencapaian akademik juga tidak cemerlang.

“Sebab itu, mereka kalah godaan dan mudah pula dieksploitasi serta menjadi mangsa keadaan.

“Keadaan itu seterusnya akan menyebabkan kelangsungan hidup mereka bertambah bermasalah andai kata tidak mendapat pertolongan sewajarnya,” katanya.

Sikap segelintir guru yang menjengkelkan juga boleh menjadi penyebab masalah disiplin di kala–ngan pelajar sukar dirawat.

Menurutnya sebagai guru, mereka seharusnya prihatin mengenai masalah pelajar dan segera mengambil tindakan supaya masalah boleh ditangani di peringkat awal.

“Selalunya pelajar yang bermasalah ini adalah golongan terpencil tapi menonjol di sekolah disebabkan pelanggaran peraturan yang dilakukan.

“Jika sudah jelas gerak geri pelajar berkenaan, guru perlu segera mengambil tindakan dan tidak boleh bersikap lepas tangan.

“Sudahlah pelajar ini bermasalah, guru juga terus menambah masalah dengan menganggap pelajar ini tidak boleh ‘dipulihkan’. Ini memburukkan keadaan,” katanya yang mengakui kaunseling antara mekanisme terbaik boleh digunakan.

“Pelajar bermasalah selalunya membabitkan emosi. Mungkin mereka tiada tempat untuk mengadu.

“Kaunseling boleh digunakan biarpun mungkin pada peringkat awal, pelajar tidak mahu memberikan kerjasama disebabkan ego.

“Tapi percayalah, lama-kelamaan hati mereka akan tersentuh. Selepas itu mereka akan meluahkan segala-galanya dan jika guru bijak menggunakan peluang itu, pelajar boleh berubah,” katanya.

Beliau berpendapat, kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa 18,550 daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara terbabit dengan salah laku disiplin pada 2012 perlu diberi perhatian.

“Walaupun jumlah ini mewakili peratusan kecil, ia boleh menjadi virus yang merebak dan mungkin sukar dikawal suatu hari nanti.

“Sebab itu amat penting semua pihak membantu pelajar bermasalah ini untuk keluar daripada kepompong masalah mereka,” katanya.

Beliau tidak menafikan kudrat guru sangat terbatas untuk membantu ‘memulihkan’ golongan ini.

“Saya faham, guru sekarang memang terbeban dengan segala tugasan namun anggaplah tanggungjawab membantu pelajar ini juga satu pertolongan murni.

“Pada masa sama, ibu bapa juga jangan bersikap lepas tangan kerana itu adalah anak anda.

“Jika semua pihak sanggup memainkan peranannya, saya percaya pelajar ini boleh dibantu kerana mereka juga adalah manusia yang boleh diubah,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Sabtu, 8 Jun 2013

ISU KENEGARAAN : Penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong perbuatan subversif


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid
 
Di negara kita, sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan mula dilaksanakan sebaik saja negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini adalah hasil cadangan Jawatankuasa Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Ini bermakna, kedudukan Raja yang sebelum itu bersifat mutlak telah melalui proses ‘legal-rasional’ seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara berkaitan kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Pada dasarnya, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara berperanan sebagai ‘payung’ atau pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia. Peranan sebagai Ketua Negara ini tidak boleh dipisahkan daripada persoalan mengenai keselamatan keseluruhan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata bagi Malaysia.

Institusi Raja masih relevan

Kedudukan dan peranan ini membangkitkan ‘memori sentimental’ seperti ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ yang menggambarkan pertautan erat antara Raja dan rakyat seperti berlaku ketika keagungan pemerintahan Raja-Raja Melayu dulu. Walaupun Raja yang ada pada hari ini tertakluk kepada Perlembagaan, institusi Raja masih dilihat penting dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Perlembagaan negara memaktubkan dalam Perkara 32 bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Negara. Namun, kuasa pentadbiran ini dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan yang diketuai Perdana Menteri. Kepentingan kedudukan baginda juga dapat dilihat daripada struktur Parlimen itu sendiri yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini dinyatakan dengan jelas d bawah Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhenti dan menangguh persidangan Parlimen. Justeru, cadangan pihak tertentu supaya Dewan Negara dibubar atau ditiadakan seolah-olah menghina, mencabar dan cuba memperkecilkan peranan baginda.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk menghina atau membangkitkan perasaan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah dianggap sebagai perbuatan subversif berdasarkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Demikian juga memperlekehkan titah atau ucapan baginda dalam apa-apa bentuk sekalipun termasuk dalam media sosial adalah satu kebiadaban dan penghinaan terhadap institusi raja di negara ini.

Selain peranan utama yang disebutkan, Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah di tangan baginda atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Baginda juga bertanggungjawab mempertahankan kedudukan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Peranan institusi Raja dalam memayungi agama Islam di negara ini juga membuktikan bahawa institusi Raja di negara ini adalah bersifat fungsional, bukannya bersifat lambang atau boneka semata-mata. Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri baginda, manakala bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama bagi negeri berkenaan.

Baginda akan dirujuk dalam apa-apa perkara berkaitan agama Islam serta baginda berhak untuk menegur dan membetulkan yang mana perlu serta memberikan cadangan mengenai apa-apa perkara berkaitan pelaksanaan Islam di negara ini.

Fungsi baginda itu adalah selari dengan Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Raja-raja adalah Ketua Agama Islam dalam negeri naungan baginda yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam. Segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh baginda sebagai ketua agama Islam tidak boleh dipersoal atau dipertikai.

Tidak bersifat politik

Oleh sebab pentingnya institusi Raja ini, maka satu badan yang bertanggungjawab memastikan institusi beraja di negara ini selari kedudukannya dengan Perlembagaan ditubuhkan. Badan tersebut dikenali sebagai Majlis Raja-Raja. Antara fungsinya ialah memilih, melantik dan memecat Yang di-Pertuan Agong. Ahli-ahli Majlis Raja-Raja dikehendaki menerima nasihat kerajaan.

Perlembagaan mengehendaki ahli Majlis Raja-Raja diiringi penasihat yang terdiri daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri. Cuma dalam majlis membincangkan hal berhubung dengan institusi Raja termasuk pemilihan Yang di-Pertuan Agong, maka penasihat terbabit tidak perlu hadir.


Kesimpulan, institusi raja di negara ini mempunyai kedaulatan tersendiri mengikut kuasa yang ditetapkan Perlembagaan. Institusi Raja tidak bersifat politik kerana baginda adalah lambang perpaduan kepada semua rakyat. Rakyat seharusnya sedar bahawa taat setia kepada baginda adalah elemen kenegaraan yang sangat penting.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Lebih 10,000 Kematian Akibat Merokok


MACHANG - Tabiat merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian di negara ini setiap tahun, kata Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher.

Beliau berkata pada tahun 2011, sejumlah 11,056 kematian yang berpunca daripada penggunaan produk tembakau dicatat di hospital kerajaan.

Katanya Tinjauan Kesihatan Kebangsaan melalui Global Audit Tabacco Survey Malaysia 2011 menunjukkan kadar merokok dalam kalangan dewasa di negara ini adalah 23 peratus iaitu lebih empat juta perokok.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2013 peringkat Negeri Kelantan di Kampung Kemunchup Luar di sini hari ini.  

Dr Ahmad Razin berkata sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia adalah penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya tembakau dan perlu kepada pengawalan bagi mencegah tabiat merokok.

Katanya kempen berterusan perlu diadakan bagi menyedarkan masyarakat mengenai risiko merokok dan kepada perokok pasif. - Bernama

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA : Pemandu langgar lari tidak hidup aman


Oleh : KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

BETAPA gembiranya hati Alif setelah mendapat tawaran mengikuti rekrut pengambilan anggota oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Sejak zaman kanak-kanak, Alif yang enggan identitinya didedahkan, bercita-cita untuk menyarung uniform tentera.

Di samping dapat berbakti kepada negara, dia yakin masa depan dia dan keluarga akan terjamin memandangkan banyak manfaat yang diperoleh apabila menjadi seorang penjawat awam.

Namun, segala-galanya berubah setelah dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di ibu kota dua hari sebelum mendaftar diri untuk latihan ketenteraan itu.

Menurutnya, impian itu musnah selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada September 2011 sewaktu pulang dari masjid untuk ke tempat kerjanya di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kejadian pada hari Jumaat itu tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.

“Akibat kemalangan itu, saya terlantar di rumah selama hampir setahun kerana tulang kaki saya patah di beberapa bahagian,” jelasnya yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi.

Jelasnya, hasratnya untuk menjadi penjawat awam masih ada, namun keadaan fizikalnya yang mengalami kecederaan di bahagian tulang tidak membolehkan dia untuk menjadi anggota pasukan keselamatan negara.

“Semuanya kerana kemalangan yang disebabkan kecuaian orang lain. Saya menjadi mangsa keadaan,” luah anak jati Kelantan ini yang kini berusia 24 tahun.

Cerita Alif, kemalangan itu berpunca daripada sikap pemandu kereta di hadapannya yang tidak memberikan lampu isyarat membelok sebaliknya memasuki simpang secara tiba-tiba menyebabkan motosikal yang ditunggang Alif melanggar belakang kereta itu.

Kemalangan jalan raya akibat kecuaian orang lain sering dilaporkan termasuk yang mengakibatkan kematian. Lebih malang apabila pemandu terbabit melarikan diri selepas menyedari mereka menjadi punca nahas itu.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 1,057 kes langgar lari dilaporkan pada tahun 2011 dengan 312 kes melibatkan kematian. Sebanyak 198 kes lagi menyebabkan kecederaan parah manakala 547 kes cedera ringan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr. Tam Weng Wah berkata, pemandu yang tidak bertanggungjawab punca kejadian langgar lari di negara ini.

Takut

“Pemandu berkenaan mungkin berasa takut ekoran kesalahan yang dilakukan. Mereka cemas dan panik sehingga tidak dapat membuat pertimbangan dan terus meninggalkan tempat kejadian,” jelasnya.

Tambahnya, pemandu langgar lari ini tidak akan hidup tenang kerana mereka akan dibelenggu rasa bersalah serta sentiasa diburu.

“Saya menasihatkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan atau menjadi punca kemalangan supaya jangan lari.

“Sebaik-baiknya anda bertenang dan menghulurkan bantuan kepada mangsa. Bantuan anda mungkin dapat menyelamatkan nyawanya,” ujarnya.

Tegasnya, pesalah yang melarikan diri tidak akan bertahan lama kerana dengan teknologi terkini serta kecekapan penyiasatan oleh pihak polis, mereka pasti akan diberkas.

“Jadi, anda tidak perlu melarikan diri sebaliknya jadilah orang yang bertanggungjawab.

“Kalau anda harus dihukum sekali pun, terimalah dengan dada yang lapang. Yang penting anda dapat memulakan kehidupan selepas itu tanpa dihantui rasa bersalah,” katanya yang menyokong pemasangan kamera litar tertutup di lokasi yang kerap berlaku kemalangan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Memang lumrah manusia cenderung mengikut peraturan apabila merasakan dirinya diperhatikan atau lebih dikenali sebagai persepsi takut ditangkap,” ujarnya.

Mengulas tentang kes kemalangan jalan raya di negara ini, Ketua Pengarah Miros, Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, motokar persendirian merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan, iaitu sebanyak 546,702 kes mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2011.

“Walau bagaimanapun, bilangan tertinggi pengguna jalan raya yang maut dalam tempoh dua tahun yang lepas adalah penunggang dan pembonceng motosikal yang mencatat kematian sebanyak 4,173 pada tahun 2011 dan 4,178 pada 2012,” ujarnya.

Jelas Shaw Voon, sebanyak 86 peratus daripada kes kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian manusia.

“Analisis Miros ke atas kes kemalangan berprofil tinggi, iaitu kemalangan yang mengakibatkan tiga atau lebih mangsa terkorban menunjukkan corak pemanduan berisiko seperti memotong di garisan berkembar dan kawasan selekoh sebagai punca utama kemalangan.

“Memandu laju pula menjadi faktor kedua tertinggi iaitu sebanyak 21 peratus,” ujar Shaw Voon.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Menghukum pengguna internet primitif


Oleh : NORIZAN SHARIF

AKSES kepada internet adalah satu keistimewaan. Akses kepada internet bukanlah satu hak. Sama seperti keistimewaan lain, ia boleh ditarik balik apabila seseorang menyalahgunakannya.

Sebagai contoh, apabila seseorang gagal menggunakan keistimewaan yang diberikan sebagai pemandu, maka lesennya boleh digantung dan dia tidak boleh memandu lagi.

Begitu juga dengan keistimewaan untuk seseorang memasuki sesebuah negara. Apabila dia didapati melakukan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh negara itu, maka keistimewaan memasuki negara tersebut ditarik balik. Dia mungkin tidak diberikan visa atau dihalang untuk masuk sewaktu tiba di sempadan.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan un tuk mengawalselia ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, dan salah satu mekanisme yang boleh digunakan ialah dengan membataskan keistimewaan kepada mereka yang gagal menggunakan sesuatu kemudahan dengan betul.

Akses kepada internet adalah satu keistimewaan.

Apabila ketua negara seperti Yang di-Pertuan Agong dihina melalui internet, maka tindakan itu sepatutnya dilihat sebagai penyalahgunaan internet dan hak keistimewaan itu ditarik balik.

Sebelum ini, kita juga melihat bagaimana simbol negara seperti Jalur Gemilang dan lagu Negaraku dipersendakan oleh rakyat Malaysia dan mereka bebas melakukan sedemikian di media sosial.

Bukan sekadar tonggak negara diperlekehkan, malah Allah SWT dan agama Islam juga dipermainkan di internet. Ini adalah satu bentuk penghinaan yang besar dan ia dilakukan secara wewenang, tanpa segan-silu.

Singapura cuba mengawal selia internet dengan memperkenalkan undang-undang. Mana-mana laman web berita yang mempunyai sekurang-kurangnya 50,000 pelawat unik diwajibkan mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Media, membayar cagaran dan akur dengan arahan kerajaan untuk menarik balik mana-mana kandungan yang dibantah oleh lembaga tersebut.

Sementara kita boleh bersetuju dengan hasrat kerajaan Singapura, namun mekanisme sedemikian masih boleh dipertikaikan. Undang-undang sedia ada membolehkan kerajaan mengambil tindakan kepada penerbit laman berkenaan yang kebiasaannya merupakan sebuah organisasi perniagaan berdaftar.

Proses pendaftaran laman web seperti yang diperkenalkan di Singapura itu tidak banyak membantu melainkan ia mewujudkan satu senarai laman web untuk dipantau.

Apa yang lebih membimbangkan sekarang ialah penyalahgunaan yang dilakukan oleh orang perorangan. Individu ini berkomunikasi melalui media sosial seperti blog, Twitter dan Facebook.

Sebahagian besar rasa ketidaktenteraman ini diwujudkan oleh individu bukannya organisasi media, walaupun ia kritikan kepada sesebuah kerajaan.

Betul, negara kita mempunyai peruntukan yang cukup untuk mengambil tindakan kepada individu yang melanggar undang-undang negara. Namun ada juga perbuatan yang tidak melanggar undang-undang negara tetapi boleh mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.

Maki-hamun, ugutan dan penggunaan bahasa kesat di internet telah menyebabkan tekanan di kalangan pengguna. Ada orang menganggap perbuataan ini sebagai sesuatu yang cool dan menghiburkan. Akibat perbuatan sebegini, internet sudah tidak lagi menjadi satu wadah yang harmoni.

Yayasan i-SAFE melaporkan separuh remaja mengatakan mereka pernah menjadi mangsa pembuli siber manakala hampir separuh lagi mengakui mereka pernah membuli di internet.

John C. LeBlanc, profesor di Dalhousie University, Kanada menemui 41 kes remaja membunuh diri akibat pembuli siber sejak tahun 2003 dan jumlah ini semakin meningkat. American Academy of Pediatrics pula mengatakan pembuli siber adalah sebahagian risiko remaja yang menggunakan media sosial.

Apa yang disebutkan sebagai "Red Bean Army" adalah contoh pembuli siber yang mensasarkan mereka yang tidak sehaluan politik. Hal yang hampir sama berlaku dalam lain-lain bidang termasuklah hiburan, sukan dan lain-lain.

Persoalannya sekarang ialah adakah kita akan membiarkan hal ini berlaku dengan tanggapan bahawa internet adalah bebas dan kerajaan tidak boleh mengawal selia?

Tanggapan mengatakan internet adalah bebas dan tidak boleh dikawal adalah naif dan dangkal.

Akses kepada internet bukanlah satu hak. Akses kepada internet adalah satu keistimewaan dan keistimewaan ini boleh ditarik balik.

Sesiapa sahaja yang melanggan perkhidmatan internet disyaratkan untuk bersetuju dengan "Terma Penggunaan" (Terms of Use). Terma ini menggariskan bagaimana internet seharusnya digunakan.

Bagi mengukuhkan lagi Terma Pengunaan, adalah dicadangkan agar ia disertakan dengan "Polisi Pengunaan Diterima" atau "Acceptable Use Policy" (AUP). AUP menggariskan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seseorang yang mengakses penggunaan internet tersebut.

Apabila seseorang melanggar AUP, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sebagai pengawal selia internet di negara ini boleh mengarahkan pembekal perkhidmatan internet atau "internet service provider" (ISP) untuk membatalkan langganan perkhidmatan tersebut.

Bagi maksud ini, kerajaan boleh mewujudkan sebuah tribunal di Forum Pengguna (Consumers' Forum) yang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Malah, Akta ini memberikan ruang yang besar untuk Forum Pengguna diberikan kuasa tambahan untuk memantau dan menerima aduan pengguna termasuklah dalam isu ini.

Apabila menerima aduan, tribunal ini boleh memanggil pengadu dan orang yang diadu untuk membela diri. Apabila terbukti wujud pelanggaran AUP, maka keistimewaan mengakses internet ditarik balik.

Selain individu, organisasi perniagaan atau entiti seumpamanya bertanggungjawab untuk menentukan akaun internet mereka digunakan secara yang menepati AUP. Mereka tidak boleh memberikan alasan "tidak tahu" apabila akaun internet mereka digunakan untuk tujuan yang salah.

Pendekatan ini bukan saja dilihat lebih efektif untuk mengawal selia internet tetapi juga mendidik pengguna dengan etika penggunaan yang baik.

Akhir sekali, kita tidak perlu mengikuti Singapura untuk melesenkan laman web. Kita ada cara kita untuk menyelesaikan isu yang unik di negara kita. Menarik balik keistimewaan akses internet sudah cukup untuk menghukum mereka yang primitif!


Penulis ialah penganalisis sosio-politik. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/