Jumaat, 1 Januari 2010

KEGEMILANGAN TULISAN JAWI PERLU DIKEMBALIKAN

Oleh Mohamad Sofee Razak

TULISAN Jawi adalah lambang jati diri, citra dan keunggulan umat Melayu. Peranan dan jasa agung dimainkan tulisan Jawi sebenarnya bermula sejak ia menjadi penyebar maklumat dan pendapat paling utama sejak puluhan tahun lalu. Cuma kebelakangan ini tulisan Jawi diketepikan peranan dan kehebatannya
.

Kehadiran kitab Jawi muktabar seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin, Tajul Muluk, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain dan kemunculan ulama legenda seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palembangi serta ramai lagi berjaya mendaulatkan tulisan Jawi.

Masyarakat hari ini boleh mengambil iktibar daripada kejayaan ahli fikir Islam terdahulu yang menguasai pelbagai bidang ilmu serta bahasa. Usaha menghidupkan bahasa Melayu berteraskan Jawi perlu dilaksanakan kerana kaitannya dengan bahasa al-Quran (Arab).

Bahasa Melayu berteraskan tulisan Jawi kesan daripada penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara suatu ketika dulu akan lenyap dan hilang jika tiada usaha dilakukan dalam memartabatkan semula penggunaannya.

Menurut Azizi Abdullah (2006), daripada perspektif sejarah, tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan orang Melayu meminjamnya untuk mengganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan pada awal kemasukan Islam.

Bukti kemasukan itu ialah pada batu nesan makam Sheikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi. Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi pada batu bersurat di Terengganu dan diikuti penemuan lain selepas itu. Kemudian ia tersebar luas, digunakan di daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

Pejuang tulisan Jawi yang bertanggungjawab memberi nafas baru terhadap tulisan itu ialah ikon umat Melayu iaitu Pendita Za’ba yang mengumpulkan perkataan Melayu sejak 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar.

Hasilnya pada 1931, Za’ba menulis buku Rahsia Tulisan Jawi untuk warisan umat Melayu dan ternyata beliau berjaya meniup semangat tulisan Jawi dari semasa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tulisan atau skrip Jawi sudah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak berzaman, khususnya zaman Kerajaan Melaka pada awal abad ke-15.

Peranan tulisan Jawi berkembang maju melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu (Nusantara) dan berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat serta perdagangan. Perjanjian penting antara Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip Jawi.

Perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di-Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 antara lain juga tertulis dalam skrip Jawi. Tulisan Jawi pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam.

Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan jawi harus mampu bergerak seiringan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu.

Kita perlu kewibawaan tulisan jawi asal, yang begitu berjasa kepada perkembangan agama, bangsa dan negara. Kita ingin melihat tulisan jawi kembali menjadi tulisan utama, nadi dan jantung maklumat di negara kita.

Program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah rendah di seluruh negara sejak 2005 adalah berita gembira kepada generasi muda untuk mempertahankan warisan agung itu dan tamparan keinsafan kepada generasi lama yang meminggirkan tulisan Jawi sejak sekian lama.

Semoga inisiatif bijak kerajaan menjadi pemangkin perkembangan dan kelangsungan tulisan jawi di Malaysia dan rantau ini. Tulisan Jawi sudah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan menjadi tunjang kepada kekuatan intelektual Nusantara yang diakui sarjana tempatan dan Orientalis Barat.

Namun begitu, tanpa komitmen, kesedaran dan sokongan padu orang Melayu sendiri, nasib dan hala tuju tulisan Jawi tidak akan ke mana. Syarikat konglomerat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, perpustakaan, parti politik Melayu, sekolah, universiti, kolej, individu dan banyak lagi perlu memainkan peranan dalam usaha menjayakan inisiatif murni ini.

Usaha dan tindakan itu bukanlah komitmen berbentuk sementara atau bermusim tetapi berterusan. Jutawan Melayu harus menggembleng tenaga dan dana menyumbang kepada kelancaran pemeliharaan, penerbitan dan kesinambungan tulisan Jawi di negara kita.

Diharapkan tulisan Jawi akan terus menjadi medan serta wadah perbincangan intelektual dan penggabungan idea serta minda umat Islam dan bukan Islam. Tulisan Jawi juga harus bersedia bersaing dengan tulisan perdana lain dan tidaklah hanya sekadar menjadi tulisan satu bangsa saja.

Tulisan Jawi perlu bangkit dan gemilang seperti dulu kerana tulisan Jawi adalah satu-satu warisan tulisan umat Melayu yang mengangkat wibawa umat di ufuk persada intelektual dan umpama nyawa serta aset warisan terunggul milikan umat Melayu di rantau ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Istiqamah, azam sempena tahun baharu 2010

Oleh MARDIANA MAT ISHAK

TAHUN baharu 2010 sudah membuka tirai. Dengan itu, ramai yang sibuk memasang azam masing-masing. Membuka diari hidup baru dan meninggalkan diari hidup yang lama.

Semua orang boleh berazam. Senarailah sebanyak mana sekalipun azam mereka. Satu hakikat yang pasti, semuanya bergantung kepada kekuatan diri mereka untuk terus istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Orang yang beristiqamah bermaksud seorang yang gigih tekun dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga tercapai matlamat yang telah dirancang.

Islam amat mementingkan istiqamah. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang istiqamah. Dalam konteks istiqamah dalam beribadah, ia merujuk kepada aspek tunduk, patuh, tekun dan taat dalam melaksanakan amal ibadah dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian bin Abdilah, beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, jelaskan kepada saya mengenai Islam, supaya saya tidak perlu lagi bertanyakan kepada orang lain. Baginda menjawab, "(Islam itu adalah) kamu berkata 'Aku beriman kepada Allah dan beristiqamah'."

Ini bermakna, dua fokus utama yang ditekankan oleh hadis ini ialah keimanan kepada Allah dan komited serta konsisten dengan keimanan tersebut.

Kaitan Azam, Matlamat dan Istiqamah

Dalam konteks kehidupan sekarang, ia menuntut kita beristiqamah untuk terus berjaya. Menjadi seorang anak dan pelajar yang berjaya, pekerja yang berjaya, suami dan isteri yang berjaya. Semuanya memerlukan tahap kekuatan dan gerak kerja yang konsisten dan bukan sekerat jalan.

Setiap azam dan matlamat tidak akan dicapai tanpa kehadiran istiqamah. Azam akan menjadi suntikan semangat untuk mencapai matlamat. Maka dengan itu sifat istiqamah iaitu konsisten, tekun dan gigih berusaha perlu ada demi mencapai matlamat yang diimpikan.

Orang yang istiqamah adalah seorang yang mulia. Seperti kata Hamka, "Sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah".

Kalau para Nabi dan Rasul ditugaskan untuk menyampaikan dakwah dan beriman kepada Allah, itu adalah tugas mereka. Mereka terus beristiqamah dalam merealisasikan visi mereka. Hasilnya kita mendapat nikmat Islam dan iman yang kita kecapi kini.

Sebagaimana saranan dan galakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Hud, ayat 12, "Maka beristiqamahlah engkau sebagaimana engkau diperintahkan."

Prasyarat kekal istiqamah

Untuk kekal konsisten beristiqamah menjadi cabaran untuk setiap orang. Sama ada berjaya atau tidak menyahut cabaran itu, lima aspek ini boleh dijadikan ukuran dan panduan untuk terus kekal beristiqamah seterusnya mencapai impian dan matlamat yang diimpikan setelah menetapkan azam.

1) Kemahuan

Sebanyak manapun azam atau niat yang disenaraikan, tanpa kemahuan yang bersungguh-sungguh, ia tidak akan tercapai. Bak kata pepatah, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

2) Percaya diri sendiri

Pastikan setiap apa yang direncanakan itu berpijak di bumi yang nyata. Yakin dan percaya pada diri sendiri bahawa kita mampu untuk merealisasikannya.

3) Motivasi

Mencari dan membaca bahan bacaan atau segala bentuk bahan motivasi yang boleh menyuntik semangat untuk terus berjaya agar semangat itu tidak pudar di tengah jalan.

4) Meletakkan tempoh dan masa

Meletakkan sasaran waktu dan tempoh tertentu akan menjadikan seseorang itu berdisiplin dengan kerjanya. Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak daripada masa yang mereka ada. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sahaja, tidak lebih daripada itu.

Dengan membahagi waktu dengan baik akan menjadikan diri seseorang berbeza dengan yang lain. Jika diperhatikan, Islam juga mendidik umatnya dengan waktu. Syariat sembahyang lima waktu sehari semalam telah mengajar manusia untuk menghormati waktu, sebagaimana pesanan Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud tentang sebaik-baik pekerjaan adalah solat pada awal waktu.

5) Fokus

Dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggota dan fikiran perlu bergerak seiringan. Jika anggota sahaja yang bergerak, akan menghasilkan kerja yang berkemungkinan besar tiada kualiti, kerana membuat sesuatu pekerjaan tanpa berfikir.

Sekiranya hanya berfikir dengan otak, tetapi tidak pula digerakkan dengan anggota, kerja langsung tidak akan berjalan. Pusatkan perhatian dan gerak kerja terhadap setiap pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Percayalah bahawa walau hanya meletakkan satu atau dua sahaja azam tetapi kita tetap konsisten dalam merealisasikannya, itu adalah lebih baik daripada menyenaraikan sebanyak mungkin azam tetapi langsung tidak kita laksanakan.

Jangan jadi seperti pepatah, "Hangat-hangat tahi ayam", azam yang sama diulang pakai setiap tahun.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Al-Quran, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http://utusan.com.my/

Khamis, 31 Disember 2009

MENGUNTAI HIKMAH


Hari-hari yang kini membutir
melungsuri kalendar adalah
mutiara
adalah dahulu serpih mimpi
dieram sabar.

Syair yang dahulu berjela
menyawangi dada adalah
doa
adalah kini benang kental
berpilin reda.

Engkau yang mengutip cicir
nasib adalah penguntai
hikmah
adalah hamba terpilih
diperkalungi kasih-Nya.

AMRUL HAFEEZ BAKRI
Gurun, Kedah

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Bangkit lebih ampuh – PM

Warga Kuala Lumpur meraikan Sambutan Ambang Merdeka sempena tahun baru 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Malaysia akan bangkit lebih ampuh dengan pertumbuhan positif dalam tahun 2010.

Beliau juga berharap agar kadar defisit fiskal kerajaan berkurangan daripada 7.4 peratus kepada 5.6 peratus tahun depan.

“Sungguhpun begitu, matlamat jangka panjang kita bukan semata-mata untuk pulih daripada krisis, tetapi yang lebih penting ialah mengambil peluang ini untuk meletakkan asas-asas kukuh bagi kemakmuran dan masa depan negara dengan pembaharuan berterusan,” katanya dalam perutusan sempena tahun baru 2010 yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam ini.

Beliau berkata, adalah menjadi suatu imperatif kepada kemakmuran masa depan untuk Malaysia meningkat dalam rantaian nilai ekonomi global.

“Merintis jalan ke hadapan bererti mewujudkan ekonomi yang berteraskan pengetahuan yang digerakkan oleh daya kreativiti, inovasi serta nilai tambah yang tinggi,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata dalam tahun 2010, kerajaan akan membentangkan dua inisiatif penting iaitu inisiatif jangka panjang melalui satu model ekonomi baru yang akan menjadi panduan hala tuju pembangunan negara menuju 2020 serta tahun-tahun berikutnya.

“Keduanya pula, satu inisiatif yang bersifat jangka pendek dan sederhana dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Kejayaan kedua-dua inisiatif ini memerlukan peranan proaktif setiap rakyat Malaysia.

“Adalah benar, dalam mendepani saat-saat sukar cabaran ekonomi, kita telah bersama meraih kejayaan bukanlah secara kebetulan bahkan dengan membuat pilihan yang bijaksana.

“Saya amat percaya bahawa kunci kepada kejayaan masa depan bukanlah semata-mata kekayaan sumber alam akan tetapi yang lebih utama adalah modal insan yang berilmu dihiasi semangat keusahawanan waja dalam menjana kekayaan baru untuk tanah air,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010, Najib mahu seluruh rakyat bergerak ke hadapan bagi mencapai kejayaan bersama kerana masih banyak denai dan cabaran yang akan diredahi.

“Apa yang membumbungkan semangat ini adalah kerana saya percaya bahawa saya tidak keseorangan, saya tahu rakyat negara ini adalah rakyat yang bijak, berbakat dan bersemangat tinggi.

“Kita akan bersama penuh optimistik menjulang nama Malaysia,” katanya sambil berharap agar tahun 2010 akan membawa kemakmuran, keselamatan, kesihatan dan tuah untuk Malaysia dan rakyatnya.

Najib menyifatkan tahun 2009 merupakan detik waktu yang diselubungi cabaran cukup luar biasa seperti krisis pemanasan global yang telah mengancam kelestarian dan kesejahteraan planet ini serta krisis kewangan sejagat yang julung kali seumpamanya menghentam di luar jangka dan skala sehingga memporak-peranda keluarga serta perniagaan di setiap penjuru dunia.

“Walau apapun dugaan dan rintangan, dengan izin-Nya jua, kita berupaya melalui semua itu bukan dengan duduk bersimpuh, akan tetapi, tegak berdiri, bertindak membuat keputusan yang sukar, sekali gus melaksanakan pelbagai dasar secara berhemah,” katanya.

Ketika memegang tampuk pemerintahan negara sembilan bulan lalu, beliau telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diutamakan dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

“Walaupun ada pihak yang cuba memesong dan mengelirukan inisiatif murni ini, saya yakin dan percaya majoriti rakyat Malaysia mula memahami falsafah yang melatari konsep 1Malaysia.

“Kekuatan kita terbina di atas nama meraikan perbezaan dan kemajmukan tidak kira tua, muda, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban ataupun etnik lain. Untuk memastikan matlamat ini terlaksana maka peranan kerajaan haruslah ditransformasi daripada penyedia mutlak kepada pemudah cara terbaik,” katanya.

Beliau berkata, masa depan Malaysia yang lebih cemerlang terletak kepada penggabungan serta pemupukan idea, bakat, inisiatif dan semangat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengenal batas dan latar belakangnya.

“Sumbangan setiap rakyat Malaysia adalah mustahak bagi menentukan kejayaan, tiada rakyat Malaysia yang tidak penting atau terpinggir. Kerajaan mengalu-alukan setiap bakat yang ada. Alangkah ruginya jika bakat yang terbentuk di bawah langit Malaysia diambil faedah untuk memakmurkan negara lain,” katanya. – BERNAMA

Rabu, 30 Disember 2009

Sudut pidato diwujudkan semula

Pemenang pidato kategori bahasa Melayu, Amirrudin Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysia dan pemenang kategori bahasa Inggeris, Ain Anissa Mohamed dari Universiti Teknologi Mara bersama piala kemenangan Pertandingan Akhir Pidato Kemerdekaan Antara IPT 2009, Piala Menteri Pengajian Tinggi Malaysia di Hotel Flamingo, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh SAIFUL SAHAK
dan AISHAH ARIFF
saiful.sahak@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan mewujudkan semula sudut pidato khas bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berkebolehan berhujah serta meningkatkan bakat pengucapan awam.

Katanya, kemahiran berucap perlu dikuasai oleh mahasiswa dan tidak terhad kepada kumpulan pelajar tertentu sahaja seperti pemidato universiti.

Kebenaran itu akan menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di universiti selain melahirkan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dari segi akademik semata-mata.

Bagaimanapun, sudut pidato berkenaan perlu dilakukan secara beretika, berhemah dengan persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing, kita yakin ia tidak akan menimbulkan implikasi negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Pidato Kemerdekaan antara IPT 2009 di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dan Pengerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman, Dr. Tengku Abdul Aziz Tengku Zainal.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Abdul Rahman, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan UIAM turut menyediakan wang tunai bernilai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Amirrudin Abdul Rahman dinobatkan pemenang kategori pidato bahasa Melayu dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ain Anissa Mohamed bagi kategori bahasa Inggeris.

Sudut pidato yang diharamkan berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 sejak 34 tahun lalu dibenarkan semula di semua IPT dan IPTS selepas pindaan mengenainya diwartakan pada Februari tahun lalu.

Menurut Saifuddin, pindaan AUKU 1975 itu memberi lebih kebebasan bersuara kepada mahasiswa.

Jelasnya, mahasiswa dapat menggunakan platform tersebut untuk berhujah dan berbincang mengenai isu semasa secara lebih meluas termasuk melibatkan isu-isu politik tanah air.

“Kita berharap ia dapat meningkatkan kualiti lapan teras kokurikulum di universiti.

Teras kokurikulum di universiti ada lapan, satu daripadanya adalah pengucapan awam. Malangnya status pengucapan awam pada hari ini berada di tangga paling bawah dari segi jumlah program yang dianjurkan oleh universiti dan penyertaan penuntut,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Memperkukuh sinar bahasa kebangsaan

Oleh ARIF ATAN

PADA ketika kita teruja untuk memandang dan mara ke hadapan menjelang tahun baru 2010 tidak harus kita lupa untuk menoleh ke belakang. Memandang ke hadapan tanpa menoleh ke belakang hanya akan menyebabkan kita tersandung jatuh mengulang kesilapan silam.

Itulah sebabnya, dalam kita serius memperkatakan aspek ekonomi dan kemajuan negara, hal melestarikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa jiwa bangsa Malaysia tidak harus dipinggirkan.

Bermula dari Perdana Menteri hingga ke peringkat rakyat semuanya perlu sepakat meletakkan agenda mengangkasa bahasa kebangsaan sebagai keutamaan nombor satu.

Usaha rakyat Malaysia yang dikenali sebagai R. Malavzhi bersama suaminya, David Lear seorang rakyat Kanada mengendalikan Radio Kampungku dengan menyiarkan lagu-lagu dan temu bual bersama pendengar dalam bahasa Melayu amat dipuji dan patut dicontohi.

Malah, kepetahan David atau Daud berbahasa Melayu patut mencabar rakyat Malaysia yang masih lemah penguasaannya dalam bahasa kebangsaan. Tidak terkecuali segelintir perwakilan di Dewan Parlimen yang begitu lemah berbahasa kebangsaan!

Dalam masa yang sama, kemerosotan calon yang memperoleh gred A bagi subjek Bahasa Melayu dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini juga perlu diberi perhatian serius.

Adakah penurunan daripada 26.3 peratus tahun 2008 kepada 25.6 peratus tahun ini hanya kemerosotan "tidak ketara" yang cuma dipandang sebelah mata?

Beralih pula kepada penerbitan filem tempatan sepanjang tahun 2009. Sebanyak 26 buah filem telah ditayangkan dengan jumlah penonton sehingga awal Disember mencecah lebih 5 juta orang dan kutipan tiket berjumlah kira-kira RM50 juta.

Persoalannya, sejauh mana kuantiti yang dikatakan oleh penggiat filem di tanah air ini sebagai memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya juga berkualiti dalam menyumbang kepada pemerkasaan bahasa kebangsaan?

Ini memandangkan filem adalah antara agen budaya popular yang membentuk pemikiran, budaya dan jati diri rakyat negara ini. Masyarakat boleh 'rosak' jika sebahagian filem tempatan sarat dengan nilai buruk dibumbui dengan bahasa rojak dan penggunaan bahasa Melayu rendah.

Begitu juga dengan amalan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan seperti mesyuarat, ucapan, perbincangan pentadbiran, surat-menyurat, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya.

Adakah Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 iaitu Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam benar-benar diterjemahkan dalam segala urusan rasmi di sektor awam sepanjang tahun ini?

Mengapa pula penggunaan bahasa asing di tempat awam seperti pada kain rentang, papan tanda, iklan dan premis perniagaan dilihat lebih menonjol berbanding bahasa kebangsaan dari segi saiz dan warna?

Adakah peranan membudayakan bahasa kebangsaan hanya terpikul di pundak Kementerian Pelajaran atau Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan semata-mata?

Tahun baru 2010 diharap menjanjikan sinar yang bergemerlapan buat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mengepalai ilmu, komunikasi dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Prinsip Meritokrasi Untuk Masuk Ke IPTA Kekal

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum dikekalkan untuk pengambilan kemasukan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

"Markah kokurikulum 10 peratus diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia memandangkan penganjuran, pemantauan, penilaian dan penglibatan pelajar adalah di bawah kawalan kementerian berkaitan," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Kementerian Pengajian Tinggi akan terus menerima markah kokurikulum 10 peratus daripada Kementerian Pelajaran untuk dipadankan dengan markah akademik 90 peratus yang diperoleh daripada agensi-agensi peperiksaan bagi menentukan markah merit seseorang calon
, katanya.

Dr Radin Umar berkata Kementerian Pengajian Tinggi menerima pertanyaan daripada orang ramai mengenai dasar yang diguna pakai bagi pengiraan markah kokurikulum dalam permohonan dan pemilihan kemasukan ke IPTA.
Kementerian Pengajian Tinggi telah mengedarkan brosur lengkap ke semua sekolah menengah seluruh negara mulai minggu pertama November lepas mengenai dasar, prosedur permohonan, pemilihan dan kaedah pengiraan markah merit bagi pencapaian akademik dan kokurikulum calon untuk kemasukan ke IPTA.

"
Pemohon digalakkan untuk mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat dan panduan yang jelas serta tepat daripada guru bimbingan dan kaunseling sekolah sebelum mengemukakan permohonan kemasukan ke IPTA bagi sesi akademik 2010/2011," katanya.

Mereka juga boleh melayari laman web rasmi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemasukan ke IPTA di
www.upu.mohe.gov.my. Mereka juga boleh mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara "Jom Masuk U" Tahun 2010 di 10 zon terpilih di seluruh negara mulai 9 Jan hingga 29 Mac bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan kaunseling daripada institusi pengajian tinggi terlibat.

Sumber : http://www.bernama.com/