Sabtu, 16 Januari 2010

Pelajar rindu pujian guru

Oleh ANUAR AHMAD

Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.

Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.

Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati.

Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.

Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.

Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh guru berbanding gembira apabila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.

Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

9 gerhana bulan, 3 gerhana matahari hingga 2020

KUANTAN - Penduduk negeri Pahang berpeluang menyaksikan sembilan fenomena gerhana bulan dan tiga gerhana matahari yang diramalkan kelihatan dan boleh disaksikan orang ramai sehingga 2020.

Ketua Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Pahang, Azlan Abdul Rahman berkata, berdasarkan jadual gerhana bulan dan matahari yang dikeluarkan, penduduk negeri ini dijangka berpeluang menyaksikan gerhana bulan pada tarikh-tarikh 26 Jun 2010 (gerhana separuh), 10 Disember 2011 (gerhana penuh) dan 4 Jun 2012 (gerhana separa).

Menurutnya, pada 8 Oktober 2014 dan 4 April 2015, penduduk negeri ini dijangka akan dapat menyaksikan gerhana bulan penuh menjelang waktu Maghrib hingga jam 9.45 malam.

Sementara itu gerhana bulan juga dijangka berlaku pada 7 Ogos 2017, 31 Januari dan 27 Julai 2018 serta 16 Julai 2019,” katanya ketika ditemui selepas turut serta menyaksikan fasa gerhana matahari separa, di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berhadapan Masjid Negeri, di sini petang semalam.

Beliau berkata, berdasarkan jadual itu juga, tiga fenomena gerhana matahari dijangka berlaku pada tarikh-tarikh 9 Mac 2016, 26 Disember 2019 dan 21 Jun 2020, membabitkan kadar gerhana antara 25 hingga 85 peratus.

Untuk fenomena gerhana matahari separa yang berlaku hari ini (semalam), ia bermula kira-kira jam 3.07 hingga 5.40 petang, gerhana hanya sempat disaksikan sebanyak dua kali, memandangkan keadaan awan tebal dan mendung.

“Bagaimanapun hasil pemerhatian gerhana menggunakan teleskop jenis MEADE TELESCOPE LX200GPS dan beberapa teleskop milik Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Pahang dan Jabatan Mufti, gerhana matahari pada kadar 39 peratus dapat dilihat kira-kira jam 3.20 petang tadi (semalam),” katanya.

Gerhana yang menarik perhatian sebahagian penduduk Kuantan yang hadir berkumpul di padang MPK turut disusuli dengan solat hajat dan khutbah gerhana di Masjid Negeri sebelum beramai-ramai menyaksikan fenomena yang jarang berlaku itu.

Penghayatan dan solat sunat gerhana yang diadakan dapat menunjukkan sifat tawaduk terhadap kebesaran Allah manakala kajian fenomena ini dari sudut saintifik dapat membantu pengkaji menganalisis ketepatan waktu dan kesan gangguan pada orbit bulan dan matahari,”katanya.

Sumber : http : www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 15 Januari 2010

GERHANA MATAHARI SEPARA : KEAJAIBAN CIPTAAN TUHAN

RENTETAN fenomena gerhana matahari apabila bulan mula melindungi matahari seperti dilihat di Colombo, Sri Lanka, hari ini. - Foto AFP


PULAU PINANG, 15 Jan -- Gerhana matahari separa atau dikenali sebagai "gerhana matahari anulus" berlaku antara pukul 3 petang hingga 5.45 petang berikutan "sentuhan pertama" bulan ke cakera matahari. Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari. -- foto BERNAMA.

Khamis, 14 Januari 2010

GERHANA MATAHARI SEPARA JUMAAT INI


KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana matahari separa dijangka berlaku Jumaat ini, bermula 3.01 petang sehingga 5.38 petang dengan fasa pertamanya berlaku pada 3.01 petang dan mencapai tahap gerhana maksimum jam 4.26 petang.

Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari dan disertai dengan khutbah khas gerhana, menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, hari ini.

Jakim juga melalui Cawangan Falak akan mengadakan solat sunat kusuf di masjid utama negara iaitu Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, Putrajaya pada jam 3.45 petang.

Selain itu, katanya aktiviti cerapan juga akan diadakan di keempat-empat masjid dengan kerjasama seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Selangor dan Institut Latihan Islam Malaysia (IIim), Bangi, Selangor.

Jakim menjadikan Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi utama bagi menunaikan solat sunat kusuf, aktiviti cerapan dan pameran.

Selain itu, katanya orang ramai juga dijemput mendengar ceramah berhubung fenomena itu yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya bermula jam 2.45 petang iaitu sebelum solat sunat kusuf disempurnakan.

Ceramah yang akan mengupas tajuk Fenomena Gerhana Matahari itu akan disampaikan oleh Dr Azhari Mohamed dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Jakim juga menyeru semua masjid dan surau di negara ini agar dapat mengambil kesempatan ini untuk mengadakan solat sunat kusuf.

Sumber : http : //www.bernama.com/

SOLAT GERHANA (KUSUF & KHUSUF)

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Gerhana bulan adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari. Terdapat juga sesetengah pihak tatkala apabila mengalami peristiwa gerhana bulan mahupun matahari, namun mereka hanya melihat kejadian ini sebagai satu perkara yang luar biasa. Tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik. Namun kejadian gerhana ini hanyalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari(Khusuf)

HUKUM SOLAT GERHANA


Para ulamak telah sepakat bahawa disyariatkan mengerjakan solat sebanyak dua rakaat sekiranya terjadi gerhana.

Menurut Ibn ‘Umar radhiallahu’ anh, Nabi s.a.w bersabda:


إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَصَلُّوا


Maksudnya:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1042.

Namun, para ulamak berbeza pendapat tentang hukum perlaksanaan solat Gerhana tersebut. Syeikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul pula menguatkan pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya sunat mu’akkadah bersandarkan hadis berikut:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan. Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan manusia dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya, kemudian bersabda:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat hal itu itu maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, bersolat dan bersedekah.
Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita melakukan perzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak menangis. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Dapat dikatakan di sini bahawa dalil yang terkandung di dalam hadis merupakan perintah agar mengerjakan solat itu berserta perintah agar bertakbir, berdoa dan bersedekah. Namun, tidak ada seorangpun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir dan berdoa ketika terjadi gerhana. Oleh itu, menurut kesepakatan ijmak bahawa perintah tersebut bersifat sunat. – Rujuk Bughyat al-Mutatowwi Fi Solah al-Tatowwu' karya Syeikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul, edisi terjemahan bertajuk Meneladani Solat-Solat Sunnah Rasulullah s.a.w, Pustaka Imam al-Syafie, Bogor (2005), ms. 140-141.

Tetapi, tanggapan ulamak berijmak (sepakat) bahawa solat Gerhana ini hanyalah sunat mu’akkadah kurang tepat kerana terdapat juga ulamak yang mewajibkannya. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

Majoriti ulamak mengatakan hukumnya adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang amat dituntut). Tetapi, Abu 'Awanah di dalam shahihnya menyatakan bahawa hukumnya adalah wajib. Aku tidak pernah menemui ulamak yang berpendapat sedemikian selain beliau kecuali apa yang dinukil daripada Malik yang menyamakannya dengan hukum solat Jumaat. Ibn al-Manayyar menukilkan daripada Abu Hanifah bahawa menurutnya hukum solat Gerhana adalah wajib. Demikian juga dinukilkan oleh sebahagian penulis kitab mazhab Hanafi. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani tahqiq Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz, edisi terjemahan dengan tajuk Fath al-Bari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 6, ms. 4.

Syeikh al-Albani rahimahullah pula menyokong pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya wajib. Menurut beliau:

Inilah pendapat paling unggul (iaitu wajib solat Gerhana) dan untuk membuktikan penjelasan berikut ini, menurut pendapatku sesiapa yang mensunatkannya bererti dia telah mengabaikan perintah-perintah yang datang daripada Nabi s.a.w mengenai solat Gerhana tanpa ada dalil yang boleh menolak hukum asalnya, iaitu wajib. Al-Syaukani lebih cenderung kepada hukum wajib sebagaimana dinyatakan di dalam al-Sail al-Jarrar, jilid 1, muka surat 323 dan dipersetujui oleh Shadiq Khan di dalam al-Raudoh al-Nadiyyah. Inilah pendapat paling sahih. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, edisi terjemahan dengan tajuk Tamamul Minnah Komentar Dan Koreksi Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Sayyid Sabiq, Maktabah Salafy Press,Jakarta (2002), jil. 1, ms. 329.

Syeikh al-‘Utsaimin rahimahullah pula menegaskan bahawa majoriti ulamak menyatakan solat Gerhana adalah sunat mu’akkadah. Namun, sebahagian ulamak menyatakan ia wajib sama ada termasuk kategori fardu ‘ain atau fardu kifayah kerana terdapat perintah daripada Rasulullah s.a.w agar mengerjakan solat itu. Malah, perintah itu menunjukkan wajib.

Setelah itu, beliau menguatkan pandangan bahawa hukum solat Gerhana adalah wajib katanya:

Tidak diragukan lagi bahawa dalil ini cukup kuat baik dari sumber riwayat mahupun melalui pengkajian cerdik pandai agama. Paling tidak ia termasuk kategori fardu kifayah. Inilah menurut pendapat kami. Manakala pendapat jumhur, mereka tidak memiliki dalil yang menunjukkan perkara itu tidak wajib kecuali sabda Nabi s.a.w kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya:


Apakah ada lagi selain itu (selain kewajipan solat lima waktu)? Baginda menjawab: Tidak! Kecuali solat sunat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Imaan, no: 46.
Hal ini tidak bererti menolak kewajipan solat-solat selain solat lima waktu apabila wujud sebab yang mewajibkannya. Apa yang dimaksudkan dengan kalimah nafi 'tidak!' sebagaimana sabda baginda s.a.w, iaitu berkaitan solat-solat rawatib yang selalu berulang setiap hari. Mengenai solat-solat yang berkait dengan sebab-sebab tertentu, maka hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak kewajipannya.

Kesimpulannya, kami memandang bahawa solat Gerhana adalah wajib sama ada fardu atas setiap individu (fardu ‘ain) atau fardu kifayah (memadai dikerjakan oleh sebahagian kaum muslimin sahaja). – Rujuk Kitab Majmu’ Fatawa Arkanil Islam karya Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, edisi terjemahan dengan tajuk Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Akidah dan Ibadah, Pustaka Arafah, Solo (2002), jil. 1, ms. 429-430.

Dengan ini, dapat kita fahami bahawa perlaksanaan solat Gerhana ini adalah satu perkara yang dipandang besar di kalangan para ulamak sehingga ada yang mewajibkannya. Pengajian hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan atau tidak.

Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu sunnah itu sabit daripada hadis yang sahih maka mereka akan berusaha mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam:

Seorang muslim sewajarnya mematuhi syariat tanpa memandang apakah ia fardu atau sunat. Apa yang penting dia melakukan kerana mematuhi syariat Allah semata-mata mengikuti sunnah Nabi-Nya dan mengharapkan ganjaran pahala. Pembahasan mengenai hukum hanya diperlukan ketika berlaku suatu waktu ingin meninggalkannya. Ketika itu apakah sunnah yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau sunat (agar tidak bergelumang dengan dosa meninggalkan sunnah). Oleh itu, menjadi kewajipan seorang hamba agar serius beribadah. Manakala dalam kajian ilmiah dan mengetahui hukum-hukumnya bertujuan mengetahui antara yang fardu dan yang sunat. - Rujuk Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karya Syeikh Abdullah Abdul Rahman al-Bassam, edisi terjemahan dengan tajuk Syarah Bulughul Maram, Pustaka Azzam, Jakarta (2006), jil. 1, ms. 217.


TATACARA MENGERJAKAN SOLAT GERHANA:

Waktu Dikerjakan Solat Gerhana.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat matahari telah kelihatan. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Hadis di atas merupakan dalil tentang waktu harus dikerjakan solat Gerhana, iaitu bermula terjadinya gerhana sehingga berakhirnya gerhana. Sungguhpun begitu, sekiranya kita telah menyelesaikan perlaksanaan solat Gerhana namun gerhana tersebut belum berakhir, kita hendaklah memperbanyakan berdoa dan berzikir.

Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah:

Lafaz ini (hingga matahari kelihatan) merupakan dalil tentang lamanya solat Gerhana, iaitu hingga matahari nampak kembali. Al-Tohawi berpendapat bahawa di dalam hadis dinyatakan hendaklah kamu semua solat dan berdoa. Dalam erti kata lain, jika kita selesai melaksanakan solat Gerhana, namun matahari masih belum juga kelihatan, kita hendaklah memperbanyakan berdoa sehingga gerhana berakhir.


Ibn Daqiq al-'Id menguatkan lagi pendapat ini bahawa had waktu tersebut (antara mula gerhana hingga matahari muncul kembali) adalah had waktu untuk solat dan berdoa. Malah bermungkinan doa tersebut boleh dilakukan setelah selesai solat hinggalah matahari muncul kembali. Oleh itu, solat Gerhana tidak harus dilakukan terlalu lama atau mengulanginya beberapa kali jika matahari belum kelihatan sehingga matahari muncul (gerhana berakhir). – Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 6.

DIKERJAKAN DI MASJID SECARA BERJEMAAH OLEH LELAKI DAN WANITA.


Perlaksanaan solat Gerhana ini adalah secara berjemaah. Ia dilaksanakan di masjid dan bukan di musolla, iaitu tanah lapang seperti solat hari raya dan istisqa’ (mohon hujan).

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Solat ketika terjadi gerhana matahari dan bulan diadakan secara berjemaah. Solat seperti ini tidak dilakukan pada tanda-tanda kebesaran Allah yang lain kecuali hanya pada gerhana matahari dan bulan. – Rujuk Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafie, ringkasan dan tahqiq oleh Husain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, edisi terjemahan dengan tajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 1, ms. 341.

Dalil tentang disyariatkan perlaksanaan solat Gerhana secara berjemaah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu’ anha katanya:



خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya lalu baginda bertakbir. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Solat Gerhana ini bukan hanya dikerjakan oleh kaum lelaki malah kaum wanita juga boleh turut serta mengerjakannya secara berjemaah.

Menurut Hisyam bin 'Urwah radhiallahu’ anh, Fatimah Binti al-Mundzir radhiallahu’ anha telah meriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar radhiallahu’ anhuma katanya:



أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ قَائِمَةٌ تُصَلِّي...

Maksudnya:
Aku telah menemui Aisyah radhiallahu’ anha ketika terjadi gerhana matahari. Ternyata manusia berdiri mengerjakan solat. Begitu juga Aisyah berdiri mengerjakan solat. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1053.

Namun, sekiranya solat Gerhana itu tidak dilakukan secara berjemaah ia tetap sah. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah, dalil yang mengharuskan solat Gerhana dikerjakan secara besendirian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:


فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ


Maksudnya:
Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (matahari dan bulan mengalami gerhana), bersegeralah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah berkata:

Berdasarkan lafaz ini dapat disimpulkan bahawa berjemaah bukanlah syarat sahnya solat Gerhana. Ini kerana terdapat terdapat isyarat di sini agar segera melaksanakan solat. Sedangkan menunggu jemaah kadang-kadang mengakibatkan waktu solat tamat atau membiarkan sebahagian waktu tanpa diisi dengan solat. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 29.

HENDAKLAH DISERUKAN AS-SOLATU JAMI'AH ATAU INNAS SOLATA JAMI'AH SEBELUM MEMULAKAN SOLAT.

Tidak ada seruan azan sebelum didirikan solat Gerhana tetapi disunnahkan melaungkan as-solatu jami'ah ataupun innas solata jami'ah.

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Tidak ada laungan azan untuk solat Gerhana, solat hari raya, dan semua solat yang bukan solat fardu. Aku lebih menyukai imam agar memerintahkan seseorang meneriakkan as-solatu jami'ah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344-345.

Abdullah bin Amr radhiallahu’ anh berkata:


لَمَّا كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ

Maksudnya:
Ketika terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w, lantas diserukan innas solata jami'ah (sesungguhnya solat berjemaah akan didirikan). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1045.

DIKERJAKAN SEBANYAK DUA RAKAAT.

Jumlah rakaat solat Gerhana adalah dua rakaat sahaja. Syeikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

Jumhur ulamak mengatakan bahawa solat itu (gerhana) dilakukan dua rakaat dan setiap rakaat dengan dua kali rukuk. – Rujuk Kitab Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Sayyid Sabiq, edisis terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur (1990), jil. 1, ms. 74.

Abu Bakrah radhiallahu’ anh berkata:



خَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى الْمَسْجِدِ وَثَابَ النَّاسُ إِلَيْهِ فَصَلَّى بِهِمْ رَكْعَتَيْنِ فَانْجَلَتْ الشَّمْسُ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas baginda keluar sambil menarik atau menyeret rida' (kain yang diletakkan di atas bahu) hingga sampai ke masjid dan orang ramai telah berkumpul di sekelilingnya lalu baginda solat dua rakaat mengimami mereka. Kemudian matahari bersinar kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1063.

DIPERPANJANGKAN BACAAN DALAM SOLAT GERHANA.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ


Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memperlamakan berdiri. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah ketika menjelaskan tentang baginda memanjangkan berdiri katanya:

Dalam riwayat Ibn Syihab disebutkan:


فَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً

Maksudnya:
Maka baginda membaca dengan bacaan yang panjang.
Manakala pada bahagian akhir perbahasan tentang solat melalui jalur lain daripada Ibn Syihab disebut pula maka baginda s.a.w membaca surah yang panjang. Disebutkan dalam hadis Ibn Abbas yang akan disebutkan setelah empat bab:


فَقَرَأَ نَحْوًا مِنْ سُورَة الْبَقَرَة فِي الرَّكْعَة الأُولَى

Maksudnya:
Baginda membaca ayat seperti panjangnya surah al-Baqarah pada rakaat pertama.

Abu Daud meriwayatkan riwayat yang serupa melalui jalur Sulaiman bin Yasar daripada Urwah sambil menambah lafaz:


قَرَأَ فِي الْقِيَام الأَوَّل مِنْ الرَّكْعَة الثَّانِيَة نَحْوًا مِنْ آل عِمْرَان

Maksudnya:
Baginda s.a.w membaca (ayat) seperti panjangnya surah Ali ‘Imran ketika berdiri pertama pada rakaat kedua. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqlani, jil. 6, ms. 14-15.

TERDAPAT EMPAT KALI RUKUK.


Berbeza dengan solat-solat sunat yang lain, solat Gerhana memiliki empat kali rukuk, iaitu dua kali rukuk setiap rakaat.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ


Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memanjangkan berdiri, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk.


Kemudian baginda berdiri dan memanjangkan berdiri namun lebih pendek dari berdiri yang pertama. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk, namun lebih pendek dari rukuk yang pertama.


Kemudian baginda sujud dan memanjangkan sujud seterusnya melakukan pada rakaat kedua sama seperti yang dilakukan pada rakaat pertama.


Kemudian baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa perbezaan solat Gerhana berbanding solat-solat yang lain ialah sebaik sahaja membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran kita hendaklah rukuk. Kemudian bangun kembali dan sekali lagi membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran lalu rukuk semula. Kemudian iktidal lalu sujud dan teruskan solat sebagaimana solat-solat yang lain.

Ulangi perkara yang sama pada rakaat kedua. Tidak terdapat riwayat yang menunjukkan adanya zikir-zikir atau bacaan yang khusus untuk solat Gerhana ketika rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyyat. Oleh itu, kita boleh membaca apa jua bacaan ketika solat yang sabit daripada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadis.

MENGUATKAN SUARA (JAHR).


Suara hendaklah dinyaringkan ketika membaca ayat al-Quran dalam solat Gerhana. Menurut 'Urwah, Aisyah radhiallahu’ anha berkata:

جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلاَةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلاَةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ

Maksudnya:
Nabi s.a.w mengeraskan bacaan pada solat Gerhana. Apabila selesai membaca baginda terus bertakbir dan rukuk. Apabila baginda selesai rukuk, baginda mengucapkan sami’allaahu liman hamidah rabbana lakal hamdu (semoga Allah mendengar orang yang memuji-Nya, wahai Tuhan kami bagi-Mu segala pujian), kemudian baginda membaca kembali. Pada solat Gerhana terdapat empat kali rukuk dalam dua rakaat dan empat kali sujud. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1065.

Syeikh al-Albani rahimahullah berkata:

Telah ditetapkan oleh Allah bahawa solat Gerhana matahari dilakukan oleh Nabi s.a.w hanya sekali. Juga telah diriwayatkan daripada hadis sahih bahawa baginda mengeraskan bacaan al-Quran seperti yang dijelaskan di dalam Sahih al-Bukhari dan tidak benar jika ada mengatakan bahawa terdapat hadis lain yang menyanggahinya. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, jil. 1, ms. 331.

RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT GERHANA

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Gerhana (Kusuf atau Khusuf)
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Membaca Surah al-Fatihah
9) Membaca Surah al-Qur’an
10) Rukuk
11) Iktidal
12) Sujud
13) Duduk antara dua sujud
14) Sujud kali kedua
15) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Membaca surah al-Fatihah
2) Membaca Surah al-Qur’an
3) Rukuk
4) Iktidal
5) Membaca Surah al-Fatihah
6) Membaca Surah al-Qur’an
7) Rukuk
8) Iktidal
9) Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11) Sujud kali kedua
12) Duduk untuk tahiyyat akhir
13) Memberi salam ke kanan dan ke kiri


KHUTBAH RINGKAS SELEPAS SOLAT.

Setelah selesai mengerjakan solat Gerhana, sunnah dilaksanakan khutbah yang ringkas.

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Imam hendaklah menjadikan khutbah ketika solat Gerhana matahari seperti khutbah-khutbah lain, iaitu dimulai dengan puji-pujian kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w, mendorong manusia berbuat kebajikan, memerintahkan mereka bertaubat serta mendekatkan diri kepada Allah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344.

Antara contoh khutbah Rasulullah s.a.w setelah mendirikan solat Gerhana seperti di bawah.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:



خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat manusia… Setelah baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. Lalu baginda berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ... فَاسْتَكْمَلَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ وَانْجَلَتْ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَنْصَرِفَ ثُمَّ قَامَ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ

Maksudnya:

Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya, lalu baginda bertakbir… Baginda s.a.w menyempurnakan empat kali rukuk pada empat kali sujud dan matahari telah mula kelihatan sebelum baginda selesai solat. Kemudian baginda berdiri lalu memuji Allah sebagaimana yang layak untuk-Nya (semasa berkhutbah). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Sumber :http://akob73.blogspot.com/

NOVEL RENYAH : BIODATA PENULIS

GUNAWAN MAHMOOD dilahirkan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 29 Januari 1959 dan dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Felda Ulu Tebrau, kemudian di Sekolah Aminuddin Baki dan Institut Malaysia Johor Bahru sehingga selesai STPM. Melanjutkan pengajian luar kampus di Fakultas Bahasa dan Sastera, Universiti Nasional, Jakarta (UNAS). Memperolehi PhD melalui tesisnya berjudul ‘Pemikiran dalam Sajak-sajak Dr.Mahathir Mohamad’ di Institut Pembangunan dan Pengurusan Antarabangsa Indonesia dengan kerjasama Berkeley International University. Beliau sering memenangi hadiah dalam pelbagai sayembera antaranya hadiah utama cerpen Utusan Melayu-Public Bank 1989, puisi Kebangsaan Hari Merdeka 1989 dan saguhati anugerah novel sejarah kebangsaan 1989. Cerpen beliau ‘Harga Sebuah Kematian’ memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/89 dan novel remajanya ‘Tanah Ini’ memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97. Beliau pernah meraih Hadiah Novel Remaja HSKU (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) untuk empat tahun berturut; Namaku Ayoko(1993), Renyah(1994), Tanah Ini(1995) dan Cinta Daerah Perjuangan(1996). Dianugerahkan Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor yang pertama, Hadiah Sastera Darul Ta’zim pada 1996. Beliau merupakan penerima anugerah Generasi Baru oleh FELDA pada tahun 2008. Kini beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.

Sumber :http://penulisjohor.blogspot.com/

Perjuangan bahasa Melayu tiada noktah!

Bersama Salbiah Ani

BAGI sesetengah orang, bahasa Melayu mudah dan tidak perlu dipelajari apalagi jika bahasa terbabit adalah bahasa ibunda sehingga jika gagal mencari kata sepadan untuk bahasa Inggeris, maka bahasa Melayu dipersalahkan serta dilabelkan sebagai tidak lengkap.

Alasan lapuk yang diulang-ulang bagi menutup kelemahan diri kelompok taksub bahasa Inggeris ini, mengakibatkan mereka alpa terhadap penguasaan bahasa Melayu dan mengambil jalan mudah dengan menafikan wibawa bahasa yang pernah menjadi lingua franca dunia.

Dua minggu lalu, penulis menerima panggilan daripada seorang wanita di utara tanah air yang terkilan apabila disapa pegawai kastam bertugas di Lapangan Terbang Kota Bharu dengan panggilan ‘mak’ dan menelah kemarahan itu berkemungkinan disebabkan dirinya dimamah usia!

“Saya terkejut apabila seorang pegawai bertugas menyapa: “‘Mak’ banyak beli barang” ketika turun di Lapangan Terbang Kota Bharu dan sapaan sedemikian nampaknya menjadi budaya di Kelantan, seolah-olah mereka tidak mengetahui maksud daripada perkataan berkenaan,” luah pemanggil ini.

Rupa-rupanya pemanggil ini tidak bersetuju disapa dengan panggilan mak bukan kerana enggan mengakui dirinya sudah berusia, tetapi disebabkan baginya mak adalah kata penghormatan hanya kepada wanita yang melahirkan seseorang dan tidak sewajar digunakan secara semberono!

“Panggilan ‘mak’ sudah menjadi gejala di Kelantan dan diberikan kepada wanita berusia, seolah-olah tidak mengetahui ruang lingkup penggunaannya dan saya geram sebab orang Melayu yang membuat kesilapan ini, tetapi apabila penumpang Inggeris, pandai pula mereka berbahasa ‘ma’am’ dan ‘sir’.”

Perbincangan turut beralih kepada penggunaan kata warga emas yang tidak merujuk kepada ketinggian nilai di sebalik barangan berharga terbabit, sehingga ada anak yang sanggup bergaduh di tanah perkuburan untuk berebut harta serta tergamak menghantar mereka ke rumah orang tua.

“Orang Melayu suka mengulangi kesilapan penggunaan perkataan sehingga budaya yang mengikut ruang lingkup asalnya digunakan untuk sesuatu bernilai indah, berkaitan dengan bahasa, keturunan dan diwarisi, kini dikaitkan dengan maksud negatif seperti lepak, bojan, mat rempit dan bohsia.”

Rungutan wanita ini berasas kerana di sebalik penggunaan perkataan di kalangan individu, perkara sama turut dilakukan Kementerian Kesihatan dalam iklan mereka ketika memperingatkan rakyat Malaysia agar berwaspada dengan virus H1N1.

‘Letih’ melihat Kementerian Kesihatan mengulangi kesilapan dalam usaha mereka mesra dengan rakyat bagi membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap bahaya penularan virus H1N1 yang kini berada pada gelombang kedua.

Ini kerana dalam memberi ingatan agar masyarakat berwaspada, dua kesilapan berlaku iaitu ejaan ‘selesema’ menjadi ‘selsema’ dan ancaman menjadi bersama dalam slogan ‘H1N1 Masih Bersama Kita’ yang sepatut berbunyi ‘H1N1 Masih Mengancam Kita’.

Kamus Dewan Edisi Keempat dalam halaman 1376 menjelaskan bersama bermaksud berserta, bergandingan, serentak dengan, semuanya sekali, seluruh, untuk sekaliannya dan lebih haru-biru apabila jika ia dibaca dengan maksud melakukan hubungan jenis atau bersetubuh!

Sikap memandang ringan kepada bahasa Melayu memaksa penulis berhujah dengan seorang editor yang sengaja mengumpan amarah penulis ketika bertanya mengenai penggunaan perkataan ‘mengecek’ dengan maksud memeriksa, meneliti dan menyemak.

Editor berkenaan memaklumkan kepada penulis bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka menerima pakai cek sebagai entri dalam halaman 225, Kamus Dewan Edisi Keempat, lalu mengecek boleh diterima bagi merujuk kepada tiga maksud di atas.

Bagi penulis cek hanya boleh digunakan ketika merujuk kepada ‘perintah bertulis kepada bank supaya membayar wang sebanyak yang dinyatakan’ dan kata mengecek tidak boleh hadir dalam bentuk penulisan rasmi dan ketidakwajaran penggunaannya dapat dirasakan apabila ayat dibaca!

Pendedahan ini membuktikan sebahagian besar orang Melayu tidak menghargai bahasa mereka dan hendaknya usul Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) agar penggunaan perkataan Melayu dan bahasa Melayu kembali diperkasakan pada Mesyuarat Agung Ke-15 Kalam lalu, diberi perhatian.

Sudah sampai masanya persatuan penulis dan bahasa bergerak dengan mengambil tahu isu semasa, meskipun tanpa wewenang dan jangan hendaknya ketiadaan iltizam politik dijadikan alasan untuk berdiam diri kerana tanpa kesungguhan ia dilihat menjadi publisiti murahan.

Kes terbaru berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly contoh terbaik betapa persatuan penulis dan bahasa tidak melihatnya sebagai suatu yang perlu diperjuangkan serta merelakan maruah terus tercalar selain relevan mereka dipersoalkan!

Sumber : http://www.bharian.com.my/