Isnin, 8 Mac 2010

Iktibar apabila orang asing petah berbahasa Melayu

PROF. DR. TEO KOK SEONG

PIDATO Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri baru-baru ini, yang disertai 56 peserta daripada 51 negara, daripada enam benua di seluruh dunia, tidak dapat menafikan betapa tingginya nilai keantarabangsaan Bahasa Melayu (BM).

Sehubungan ini, BM dipelajari sebagai bahasa asing di lebih daripada 100 institusi pengajian tinggi di puluhan negara di luar Nusantara.

Rakyat Malaysia yang mengikuti pertandingan ini, selain kagum dan terpesona dengan kepetahan para peserta, ikut terasa terharu dengan kesungguhan masyarakat asing mempelajari BM dengan sebaik-baik mungkin, serta kebanggaan mereka terhadap BM serta budaya Melayu, dan keunikan Malaysia dari segi kemajmukan masyarakatnya.

Sesungguhnya PABM ini perlu dijadikan iktibar oleh seluruh rakyat Malaysia, baik oleh kaum Melayu dan juga bukan Melayu. Penggunaan BM yang baik lagi betul dan indah pula oleh sesetengah peserta, sebenarnya adalah sindiran tajam kepada kita yang banyak menggunakan BM yang kurang betul, selain yang sarat dengan campuran daripada bahasa Inggeris, terutamanya dalam domain rasmi/formal.

Kelakuan sebegini terhadap BM oleh kita sendiri, bukan sahaja memberi gambaran bahawa kita kurang bangga terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri, tetapi yang lebih mudarat lagi ialah ia memberi implikasi tidak baik kepada bangsa dan negara Malaysia.

Ini antaranya kerana identiti bangsa dan negara Malaysia adalah melalui bahasa kebangsaan kita. Justeru kita perlu melindungi BM pada setiap masa dan di mana-mana sahaja, baik di dalam mahupun di luar negara!

Apabila masyarakat asing memperlihat penguasaan BM yang baik dalam PABM ini, sehingga peserta dari China berjaya muncul sebagai johan dalam kategori antarabangsa, hal ini perlu direnungi dengan serius oleh kaum bukan Melayu di Malaysia. Ini antaranya kerana masih terdapat dalam kalangan mereka, khususnya golongan muda, yang langsung tidak fasih dalam BM.

Adalah pelik sekali dalam ekologi BM yang begitu agam, sesetengah daripada kita tidak memanfaatkannya untuk tujuan penguasaan yang lebih baik.

Penguasaan ini amat membantu dalam usaha kaum bukan Melayu mengadunkan diri dengan lebih baik, dalam kehidupan nasional yang antaranya memerlukan penggunaan dan pemahaman BM yang sederhana baik, kalau tidak boleh yang baik. Pengadunan ini adalah sebahagian daripada proses perpaduan kaum di Malaysia.

Sesungguhnya, seorang warganegara itu perlu memiliki pengetahuan serta penguasaan yang baik tentang bahasa kebangsaan tanah airnya. Apabila ini tidak berlaku, nasionaliti yang dipegang oleh seseorang itu atau diakuinya tidak membawa banyak erti.

Pengertian ini bertambah kabur apabila beberapa pekerja asing di negara ini misalnya dari Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Vietnam yang baharu sahaja tiba, dapat bertutur dengan fasih sekali dalam BM, berbanding dengan sesetengah daripada kita yang telah dilahir dan dibesarkan di Malaysia semenjak 1957!

Hasrat dan usaha murni kerajaan untuk mempertingkat pengetahuan dan penguasaan BM dalam kalangan yang kurang fasih ini, khususnya generasi muda dalam sistem pendidikan kebangsaan bukan sahaja perlu dialu-alukan, malah disambut dengan serius lagi ikhlas oleh semua pihak. Sambutan ini antaranya perlu berlaku dalam bentuk tindakan partisipasi yang integratif sifatnya, dan bukannya secara retorik semata-mata, apatah lagi tentangan!

Pengetahuan dan penguasaan BM selaku bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi oleh sesetengah kalangan kita perlu berubah daripada yang instrumental seperti untuk lulus dalam peperiksaan kepada yang integratif.

Orientasi integratif ini, selain untuk mempamerkan identiti linguistik yang jelas sifat Malaysianya, adalah syarat penting yang boleh mempermudah proses pengadunan membentuk negara-bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Identiti begini yang utuh bukan sahaja perlu dimiliki dan dipamerkan oleh setiap warganegara pada setiap waktu, lebih-lebih lagi untuk tatapan masyarakat dunia, tetapi juga kerana ia merupakan komponen penting dalam nasionalisme Malaysia.

Dalam konteks ini, simbol-simbol etnik yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai akta lain, tidak wajar diangkat untuk menjadi atau menyaingi simbol-simbol nasional. Sepatutnya simbol-simbol etnik melengkapi simbol-simbol nasional, dan tempatnya adalah senantiasa di bawah dan tidak boleh sekal-kali di atasnya.

Pemahaman begini adalah penting agar pembentukan identiti nasional yang sama dan jelas pula sifat Malaysianya, terpupuk dalam kalangan semua sektor warganegara.

Pemupukan dalam bentuk pengidentifikasian dengan kaum Melayu, baik dari segi BM sebagai bahasa negara dan budaya Melayu sebagai teras utama kebudayaan kebangsaan, dan diikuti di bawahnya oleh bahasa-bahasa etnik dan cara-cara hidup pelbagai kaum bukan asal, adalah inti pati kepada ideologi nasional kita, iaitu "Bersatu dalam Kepelbagaian".

Dalam konteks BM selaku bahasa negara, semua sektor masyarakat Malaysia perlu memperlihat iltizam untuk menggunakannya dalam bentuk yang baik dan betul, serta yang tidak bercampur aduk dengan bahasa Inggeris dan lain-lain, khususnya dalam domain rasmi/formal.

Semua ini adalah penting untuk memberi mutu kepada BM daripada beberapa dimensi. Antaranya adalah identiti BM itu sendiri selain martabat, maruah dan imejnya, baik di Malaysia mahupun di persada dunia.

PROF. DR. TEO KOK SEONG ialah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 7 Mac 2010

Bahasa Melayu boleh diantarabangsakan

Oleh MOHAMED KHALED NORDIN

Jabatan bahasa di IPTA, IPTS mesti miliki iltizam tinggi

SAYA begitu bangga dan teruja sekali apabila menyaksikan malam kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri baru-baru ini. Perasaan itu timbul bukan semata-mata menyaksikan rekod 56 peserta mewakili 51 negara bertanding, malah melihat kepetahan mereka bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik sekali.

Bukan itu saja, kelantangan peserta luar negara yang cukup bersemangat mengupas tema-tema penting seperti konsep 1Malaysia, menarik perhatian semua yang menyaksikan pertandingan itu sama ada di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) atau mereka yang menonton di televisyen.

Apa yang jelas, pertandingan pidato baru-baru ini menggambarkan kepada kita bagaimana bahasa Melayu berpotensi untuk diantarabangsakan di mata dunia jika kita mempunyai iltizam dan komitmen tinggi. Saya yakin dan percaya, pertandingan pidato yang sudah memasuki tahun keempat penganjurannya ini, banyak mempromosi bahasa Melayu itu sendiri di persada antarabangsa.

Jika kita amati secara lebih mendalam, proses pengantarabangsaan bahasa Melayu ini bermula sejak lama lagi apabila bahasa itu diajar di universiti-universiti seluruh dunia. Sehingga hari ini ada kira-kira 130 pusat pengajian tinggi menawarkan pengajian Bahasa Melayu merentasi benua Amerika menganjur ke Asia Timur Jauh hingga ke Australia dan New Zealand.

Di Eropah, pengajian Bahasa Melayu yang pertama diadakan di Perancis mulai 1841, di Ecole National des Langues et Civilizations Orientales Vivanttees (Enlov). Belanda mula mengajar bahasa Melayu kepada pegawainya yang dihantar bertugas di Indonesia sejak abad ke-19.

Di Amerika Syarikat, kuliah bahasa Melayu dimulakan di Cornell University sekitar akhir 1880-an, tetapi terhenti dan disambung semula selepas Perang Dunia Kedua. Di Jepun, bahasa Melayu diajarkan sebagai bahasa yang berasingan daripada bahasa Indonesia di empat universiti di sana.

Di China, bahasa Melayu mula mendapat perhatian pada 1950-an lagi apabila Fakulti Bahasa-Bahasa Timur Universiti Peking (Beijing) menawarkannya sebagai satu subjek. Sementara itu, di Korea Selatan, bahasa Melayu diajar di dua universiti, iaitu Universiti Hankuk dan Universiti Pusan.

Pada hari ini, ada kira-kira 300 juta penutur bahasa Melayu pelbagai dialek di seluruh dunia. Kebanyakan mereka adalah penutur asal daripada rumpun Melayu di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand. Selain itu, ada juga 'Melayu Diaspora' di luar alam Melayu yang membentuk komuniti Melayu di negara lain seperti Afrika Selatan, Sri Lanka, Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Arab Saudi. Sebahagian besar mereka ini masih mengekalkan penguasaan bahasa Melayu yang baik.

Namun, saya percaya penguasaan bahasa Melayu di kalangan rumpun Melayu saja tidak akan memberi kekuatan kepada bahasa ini menjadi satu bahasa antarabangsa. Sebaliknya, usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu harus mengambil kira kemunculan bangsa lain yang turut berpeluang menguasai bahasa Melayu.

Dalam hal ini, sebenarnya kita sudah melakukan beberapa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat dunia. Penubuhan Kursi Pengajian Melayu di beberapa universiti terkemuka di dunia adalah usaha awal kerajaan mengantarabangsakan bahasa Melayu seperti di Leiden University, Belanda, Ohio University di Amerika Syarikat, Victoria University of Wellington, Beijing University dan di Universiti Hankuk, Korea.

Pada ketika ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengkaji impak penubuhan kursi-kursi ini dan sejauh mana kewujudannya perlu dimantapkan agar usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu dapat dipertingkatkan di samping melaksanakan tanggungjawab lain.

Dalam konteks tempatan pula, Jabatan Bahasa Melayu dan Akademi Pengajian Melayu dalam universiti awam perlu memperhebatkan usaha mereka untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Dalam hal ini, mereka tidak boleh hanya berpuas hati dengan pencapaian sedia ada atau sekadar menumpukan usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam konteks dalam negara saja.

Sebaliknya, mereka perlu mempunyai sasaran agar menjadi pusat perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai program seperti penyediaan guru bahasa untuk memenuhi keperluan pelajar asing mahupun menjayakan program mobiliti pensyarah bahasa Melayu untuk mengajar di luar negara.

Sudah tiba masanya, jabatan Bahasa Melayu di IPTA mempertingkatkan kerberhasilan mereka dalam mengantarabangsakan bahasa Melayu. Mereka perlu berjiwa besar sehingga berupaya membantu meletakkan Malaysia sebagai pusat perkembangan bahasa Melayu dunia yang diiktiraf dan dihormati.

Di samping itu, kehadiran pelajar asing di IPTA dan IPTS dalam negara juga adalah satu peluang kepada kita membantu usaha mengembangkan bahasa Melayu. Justeru, dalam ucapan saya sewaktu malam kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri baru-baru ini, saya menegaskan bahawa pelajar asing yang menyambung pengajian di Malaysia akan diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu.

Sehingga kini, kita mempunyai 65,000 pelajar warga asing dan dasar ini sekali gus akan menambah jumlah penutur bahasa Melayu. Saya percaya cadangan ini mempunyai asas dan kewajarannya kerana pelajar asing di negara kita akan dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan.

Penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar asing di Malaysia bukanlah sesuatu yang mustahil buat mereka. Sebaliknya, inilah cabaran kepelbagaian dunia yang perlu mereka hadapi apatah lagi berada di Malaysia iaitu sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai budaya dan bahasa.

Saya percaya berdasarkan kelebihan dimiliki ini, Malaysia mampu melonjak sebagai pusat perkembangan bahasa Melayu di peringkat dunia. Proses pengantarabangsaan bahasa Melayu wajar diangkat sebagai mauduk penting selaras hasrat untuk meletakkan Malaysia di mata dunia.

Semangat dan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memartabatkan bahasa Melayu wajar dikongsi bersama oleh kita semua. Jika semua pihak memainkan peranan penting dalam konteks masing-masing, kita yakin bahasa Melayu boleh gah berdiri setanding dengan bahasa utama dunia yang lain.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ialah Menteri Pengajian Tinggi

Sumber : http : //www.bharian.com/

MERATAP BAHASA (Sempena Hari Pejuang Bahasa)

Ketika lahir
kita hanya pandai menangis
bertatih menyebut ABC
sehinggalah fasih berbahasa
bahasa ibunda lidah bangsa.

Ketika membesar
kita dihidang selautan ilmu
bahasa ibunda perantaraannya
pucuk ilmu menjulang langit dunia
dikagumi bangsa seluruhnya
sebelum kompas bahasa terkehel.

Kita pun meratap
dalam sendu bahasa diganyang
menggarap erti globalisasi
konon lidah kita tidak betah
mengungkap kebijaksanaan
konon kita hanya maju
jika berbahasa bekas tuan.

Ayuh
kita jerit
lagi dan lagi
"Bahasa Jiwa Bangsa!"

NAIMISA
Sentul, KL

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 6 Mac 2010

Mencari jawapan di sebalik gejala seksual

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

SEKS dan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Begitu juga seks dan haiwan. Namun seks haiwan tiada garis panduan. Sebab itu seks melampau dikaitkan dengan nafsu kebinatangan. Tetapi dalam dunia moden, sering dipaparkan naluri seks manusia lebih binatang dari haiwan.

Itu realiti dunia siber. Di mana seks sejenis menjadi halal. Itu mungkin tidak berlaku dalam dunia haiwan. Haiwan akur pada tabie, maka kitaran seks haiwan mengikut putaran tabie, tiada yang di luar tabie.

Nafsu haiwan tidak berkembang. Tiada juga halal atau haram. Haiwan tidak belajar daripada manusia tentang kegilaan seks.. Selalunya manusia yang meniru perilaku seks haiwan. Ini kerana perilaku haiwan terbatas dek kekosongan fikiran. Manakala manusia menggunakan kelebihan akal dan fikiran untuk mencuba sesuatu yang di luar jangkauan. Maka terciptalah perilaku songsang yang menyanggah putaran alam.

Itu perbezaan dan persamaan antara naluri seks manusia dengan haiwan.

Mungkin disebabkan naluri seks manusia yang semakin tidak terbimbing maka timbul cadangan supaya pendidikan seks diperkenalkan di sekolah. Maknanya, seks mesti dididik. Jika tidak dididik dikhuatiri seks semulajadi akan menyimpang sehingga menjadi punca runtuhnya masyarakat. Apabila masyarakat runtuh maka akan huru-haralah dunia. Yang haram dihalalkan di sisi undang-undang, manakala yang songsang dijadikan resam.

Tetapi sejauh mana relevannya pendidikan seks di sekolah dengan kawalan kewarasan manusia dalam mendepani kemaruk seks? Mampukah pendidikan berlawan dengan aliran deras dunia tanpa sempadan yang membawa masuk segala porno dan idea gila tentang seks biar pun di ceruk pedalaman sekali pun?

Adakah trend seks bebas, jenayah pembuangan bayi, seks sesama jenis dan seks terlampau dapat dibendung menerusi pendidikan seks secara formal di sekolah?

Atau pendidikan seks mesti dilangsungkan secara tidak rasmi - oleh ibu bapa di rumah atau menerusi bimbingan agama. Kemudian digabung pula dengan peringatan serta pendidikan secara tidak langsung menerusi subjek tertentu seperti pendidikan agama, moral, sains, kesihatan, biologi, sains rumahtangga dan kemahiran hidup.

Terbukti berkesan

Pendekatan konvensional (tanpa slot khas atau matapelajaran khas seks) terbukti berkesan puluhan tahun lalu. Bukan tiada langsung jenayah berkaitan seks berlaku pada zaman nenek moyang kita. Ada, tetapi parasnya amat minimum. Kegilaannya tidak sampai ke tahap menamatkan nyawa tidak berdosa di dalam longkang atau tong sampah. Atau dibakar supaya jejak dan susur galur si pembuat dosa tidak dapat dikesan.

Peringkat pertama pendidikan seks bermula di tangan ibu bapa. Dahulu ibu bapa tegas mengingatkan anak-anak tentang apa yang tidak boleh dan apa yang boleh dilakukan. Sejak kecil anak-anak diingatkan supaya menjaga kehormatan. Jangan dibenar sesiapa menyentuh kehormatan diri hatta keluarga terdekat.

Anak-anak tidak dibenar keluar malam kecuali untuk mengaji, belajar agama atau menghadiri tuisyen. Itu pun dengan penuh kebimbangan. Bukan seperti zaman sekarang, tuisyen menjadi 'senjata' utama untuk melepaskan diri dari pandangan ibu bapa. Manakala pendidikan seks di sekolah diajar secara tidak rasmi kebanyakannya menerusi subjek agama. Ustaz mengajar tentang halal dan haram. Para pelajar diberi tunjuk ajar tentang akil dan baligh yang membawa perubahan fizikal lelaki dan wanita.

Mereka membimbing tentang perlunya mandi hadas, apabila didatangi haid atau mengalami mimpi. Istilah-istilah seperti persetubuhan disentuh sejak usia tujuh tahun. Paling penting semua nilai yang boleh menjadi benteng pertahanan diri daripada terjebak dalam 'jenayah' seks atau jenayah-jenayah lain ditekankan secara tidak lansung di rumah dan di sekolah. Ingatan tentang dosa dan pahala memagari keterujaan untuk mengetahui lebih banyak tentang seks..

Selepas nikah

Biar pun tidak diajar mengenai seks selamat atau penggunaan alat pencegah kehamilan, namun sering ditekankan, seks hanya boleh berlangsung selepas nikah. Terbukti ajaran dan pendekatan yang berlangsung sejak turun temurun itu sedang galak digunapakai di Barat. Anak-anak muda diingatkan tentang seks selamat. Salah satu elemen dalam seks selamat adalah seks selepas berkahwin. Kepercayaan itu semakin mendapat tempat lantaran menyedari bahawa pendidikan seks di sekolah bukan jawapan kepada pelbagai masalah akibat seks yang semakin membimbangkan dunia.

Sebab itu dalam dunia moden, kesedaran mengenai akibat seks tidak terkawal seperti dijangkiti penyakit kelamin, AIDS dan krisis moral bukan menuntut satu jawapan. Kesemua gejala itu tidak boleh ditangani hanya dengan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.

Tanggungjawabnya besar. Ibu bapa, guru- guru, masyarakat dan individu itu sendiri. Jika ibu bapa memainkan peranan tetapi guru-guru memandang lewa, maka kesedaran tidak akan mampu dipupuk. Jika ibu bapa dan guru-guru melaksanakan fungsi masing-masing tetapi masyarakat tidak peduli, tidak ada gunanya. Manakala jika ketiga-tiga pihak berjaya dalam peranan masing-masing tetapi pengaruh dunia tanpa sempadan gagal dibentengi oleh individu, maknanya kita kena kembali kepada asas kehidupan - menjadikan agama sebagai panduan. Lantaran di situ jawapan yang sebenar.

Menjauhi seks terlarang yang membawa kepada pelbagai penyakit masyarakat dalam dunia serba canggih sememangnya tidak mudah. Ia tidak semudah anak kecil penulis menghafal perkara yang membatalkan air sembahyang antaranya 'keluar sesuatu dari qubul dan dubur'. Apabila ditanya maksud dua perkataan, lancar dia menjelaskan - jalan belakang dan depan.

Lantaran pada usia itu dia tidak tahu mana satu jalan yang halal dan haram. Tanggungjawab ibu bapa dan guru memberi kefahaman lanjut. Selebihnya terpulang kepada bentuk masyarakat tempat dia membesar kelak. Manakala pendidikan seks di sekolah bukan jalan penyelesaian.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Profesor Dr. Awang Sariyan Sokong Wajibkan Kursus Bahasa Melayu Kepada Pelajar Asing

Prof. Dr. Awang Sariyan

SAYA menyokong sepenuh-penuhnya ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 orang pelajar asing di institusi pengajian tinggi di negara ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Dato’ Seri Mohd. Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Ketetapan itu sebenarnya merupakan pengisian dasar yang telah diputuskan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai susulan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan tiga subjek wajib untuk diikuti oleh pelajar asing, iaitu bahasa Melayu, pengajian Malaysia dan pendidikan moral.

Bahkan dasar mewajibkan penguasaan bahasa kebangsaan negara tuan rumah seumpama itu telah menjadi amalan sejagat di negara-negara lain yang menerima pelajar dari luar negara sejak lama dahulu.

Kejayaan dasar itu di negara ini telah dilaksanakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak lebih 20 tahun sehingga memungkinkan pelajar dari luar negara di universiti itu dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat setempat, serta dapat menghayati budaya di negara ini.

Sukatan pelajaran bahasa Melayu untuk pelajar asing sebenarnya telah pun disiapkan, pada waktu itu oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan bantuan pakar-pakar bahasa, semasa hal ehwal pengajian tinggi masih di bawah Kementerian Pendidikan.

Pihak pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia diharapkan dapat membuat langkah susulan dengan segera untuk melaksanakan ketetapan yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu.

Ini merupakan salah satu langkah yang praktis dan mulia untuk memperdanakan bahasa Melayu dalam kalangan warga dunia, kerana pelajar yang pulang ke negara masing-masing pasti dapat menjadi sumber pengembangan bahasa Melayu di negara masing-masing.

Dengan terdapatnya 130 buah institusi pengajian tinggi di 45 buah negara sedunia yang mengajarkan pengajian Melayu, langkah kerajaan Malaysia memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar dari luar negara yang belajar di negara ini pasti dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu dengan lebih cepat dan meluas.

Prof. Dr. Awang Sariyan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Universiti Pengajian Asing Beijing

Sumber : http://mstar.com.my/

GERHANA BAHASAKU

Gerhana bahasaku lindungkan seri pelangi
tumpahkan kelam bayang
menutupi desa, perahu nelayan, gubuk, tadika dan

sekolah-sekolah warisan ibunda.

Kanak-kanak di titian lama

tak lagi berlari dan ketawa memperaga ceria
hitam masih bayang gerhana bahasa
menghalang pandangan tutur dan seni kata
di bilik darjah tiada riang tulisan
seakan petanda ia akan ditinggalkan.

Entah apa terjadi
pada kitab-kitab tua penuh kias dan ujana

segala guru dan pendeta
terkunci agaknya dalam gelap tak bernama.


Seketika seakan berakhir gerhana itu

mengamankan buanaku bahasaku.


MALIM GHOZALI PK
Kota Damansara

http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 5 Mac 2010

Pidato Piala PM Usaha Untuk Ketengahkan Bahasa Melayu

Johan Kategori Nusantara, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri, Syazwan Shuhaimi dari Malaysia (dua dari kiri), tersenyum riang selepas menerima hadiah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kategori Antarabangsa dimenangi Zhang Song (dua dari kanan) dari China.

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha kerajaan menganjurkan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri ialah bagi mengetengahkan bahasa Melayu sebagai unsur kebudayaan dan tamadun kepada masyarakat dunia.

Perdana Menteri berkata usaha itu merupakan satu bentuk globalisasi budaya dan tamadun yang murni jika Malaysia mahu memastikan fenomena globalisasi tidak semestinya bersifat sehala, yakni dari barat ke timur sahaja namun boleh juga sebaliknya.


"Daya usaha dan kejayaan menganjurkan kegiatan (pidato) sedemikian ini amat besar maknanya dalam upaya kerajaan untuk ikut serta dalam arus globalisasi semasa yang sedang direntasi.

"Penyertaan kita dalam arus globalisasi yang saya maksudkan itu bukan bererti kita harus tenggelam dalam segala bentuk pengaruh asing, baik dalam pemikiran, ideologi, budaya mahu pun teknologi.

"Tetapi soalnya adalah bagaimana kita dapat menjadi pelaku aktif dan positif kepada sebahagian proses globalisasi," katanya ketika merasmikan pertandingan akhir pidato itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Jumaat malam.

Seramai 56 peserta dari 51 negara menyertai pertandingan pidato edisi keempat itu, tahun ini. Bermula dengan Piala Timbalan Perdana Menteri, selepas tiga tahun, kini diangkat menjadi Piala Perdana Menteri.

Najib berkata beliau melihat pertandingan pidato itu begitu bitara atau unik bukan kerana ia merupakan satu-satunya pertandingan peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu tetapi kelebihan yang dapat ditonjolkan ialah melalui aspek praktikal penggunaan bahasa itu sendiri.

"Saya difahamkan semua urusan berkaitan penganjuran pertandingan ini dilakukan dalam bahasa Melayu. Khabarnya lagi, segala urusan surat-menyurat dan komunikasinya juga dilaksanakan dalam bahasa Melayu," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana selepas memasuki edisi keempat tahun ini, penyertaannya meningkat dua kali ganda kepada lebih 50 buah negara dari enam benua, berbanding pada edisi pertama pada 2007 iaitu sebanyak 23 buah negara.

Justeru, beliau berharap agar usaha menganjurkan pidato itu tidak terhenti setakat ini sahaja tetapi haruslah menjadi kerja berterusan supaya suatu hari nanti dapat menarik penyertaan lebih ramai peserta dari segenap pelosok dunia.

"Misalnya, jika selama ini, Malaysia menjadi pelopor Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan sentiasa menerima penyertaan menggalakkan hingga berupaya mengangkat nama Malaysia harum ke pentas dunia.

"Begitulah, saya yakin dan percaya bahawa apa telah kita mulakan dengan pertandingan pidato dalam bahasa Melayu ini juga satu kala kelak akan berkembang dan berjaya seperti mana Musabaqah al-Quran tersebut," katanya.

Sementara itu, peserta Malaysia, Mohd Syazwan Shuhaimi dinobatkan juara bagi kategori Nusantara manakala peserta dari China, Zhang Song bagi kategori antarabangsa.

Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah US$5,000, piala pusingan serta piala iringan.

Naib johan kategori nusantara pula milik peserta Kemboja, Chai Lany Sles manakala tempat ketiga dimenangi oleh Leonora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia.

Naib johan kategori antarabangsa pula dimenangi oleh Natalya Budanova dari Russia manakala tempat ketiga, Josee Hunnekes dari Jerman.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai US$3,000 dan US$2,000 dengan piala iringan. Sebanyak lapan peserta layak ke peringkat akhir.

Sumber : http://www.bernama.com/