Sabtu, 5 Mac 2011

CUCI PARADIGMA MELAYU

Minda Melayu perlu dicuci
sifat malas usah dipeduli
bangkitlah memacu transformasi negara
kelak maruah terus terpelihara
banyak benar tanah tergadai
dibeli oleh si bijak pandai
kau hanya mencuci mata
angkuh dengan kemewahan sementara
hingga bila mahu bertakhta
jika hidup asyik sengketa
mereka yang lain senyum tertawa
ekonomi negara cengkaman mereka
sedarlah kalian usahlah leka
kedaulatan ini tanggungjawab bersama
entah esok entahkan nanti
kita dicuci di bumi sendiri.

MOHD SAIPUDDIN SULIMAN
Tanjung Harapan, Selangor.

Jumaat, 4 Mac 2011

ISU BAHASA : UM perlekeh bahasa Melayu?

ISU Naib Canselor Universiti Malaya (UM) mengagung-agungkan bahasa Inggeris hangat diperkatakan mutakhir ini.

Kemuncaknya pada 14 Februari lalu apabila beliau menegaskan apabila pelajar membuka mulut, tiada bahasa lain yang harus keluar kecuali bahasa Inggeris di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

Memorandum bantahan pelajar Akademi Pengajian Melayu sudah diserahkan kepada Naib Canselor pada 24 Februari lalu. Hingga hari ini gesaan supaya Naib Canselor memohon maaf dan menyatakan pendirian sebenar terhadap bahasa Melayu tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

Anggapan Naib Canselor amat mudah seperti budak sekolah kerana langsung tidak bercirikan ilmiah. Bercakaplah bahasa Inggeris setiap masa untuk mudah dapat pekerjaan seterusnya meningkatkan ranking UM pada peringkat dunia.

Sudahlah dangkal pemikirannya sekali gus memperlekehkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mangsa ‘kambing hitam’ baginya ialah pelajar Akademi Pengajian Melayu (APM) dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) yang dilabel sebagai lemah bahasa Inggeris.

Paling mengecewakan pelajar adalah caranya yang tidak profesional.

Beliau memburukkan fakulti tertentu di hadapan pelajar fakulti lain dengan pertanyaan “Which one is the worst?” Sebagai bukti, apabila pembaca menaip Raising UM into the rank of top 100 Universities (Faculty of Science part 3) dalam laman video YouTube, dapat dilihat bagaimana pada minit 4.44 hingga 6.48, Naib Canselor UM merendah-rendahkan APM dan FSSS di khalayak pelajar Fakulti Sains.

Hal sama juga dibuatnya sehari sebelum itu di depan pelajar Fakulti Alam Bina iaitu pada 9 Februari lalu.

Persoalannya, jika benar masalah ramai pelajar menganggur datang daripada bidang berteraskan sastera, sains sosial dan kemanusiaan, mengapa dia hanya bercerita berdegar-degar hal itu di depan pelajar bidang lain pula?

Ibarat tidak puas hati dengan kucing membuang najis di halaman rumah, tetapi ayam pula yang dihambat! Adilkah begitu? Mana maruah kami? Kami juga membayar yuran pengajian dan modal insan penting untuk kemajuan negara.

Malaysia tidak akan maju dalam erti kata sebenar jika hanya bidang sains dan teknologi dimanjakan, tetapi bidang kami dianaktirikan.

Mohon Kementerian Pengajian Tinggi mengambil perhatian hal ini. Selain itu, tindakannya yang hanya memanggil pelajar Melayu daripada Pusat Sukan, Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pendidikan di depan Dewan Tunku Canselor (DTC) ketika ucapannya pada 14 Februari lalu seperti ada agenda mahu memalukan bangsa Melayu di depan pelajar bukan Melayu serta pelajar asing.

SISWA KECEWA,
Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Syor lafaz ikrar Rukun Negara selepas lagu Negaraku dalam semua majlis

ANAK Malaysia dari Batu Pahat, Johor menulis semalam mengenai betapa pentingnya rakyat Malaysia memahami dan menghayati Rukun Negara. Saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan mengenai falsafah Rukun Negara yang boleh ditakrifkan sebagai tonggak tatasusila rakyat Malaysia itu.

Rukun Negara diwujudkan pada 1970 dengan tujuan mencapai satu pegangan atau pengertian asas terhadap aspirasi nasional antara pelbagai kaum di Malaysia tanpa mengira asal-usul dan keturunan masing-masing.

Untuk memastikan semua rakyat Malaysia mengenali Rukun Negara ketika ini yang semakin kurang kesedaran terhadap pentingnya prinsip yang terkandung di dalamnya, maka saya ingin mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara diadakan selepas nyanyian lagu Negaraku dalam semua majlis rasmi kerajaan dan swasta.

Ini bagi membolehkan rakyat lebih memahami dan menghayati setiap prinsip Rukun Negara selain lagu Negaraku dalam mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum.

Selain dari tujuan meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat; mengekalkan cara hidup demokrasi; mewujudkan masyarakat adil; pendekatan liberal terhadap adat dan kebudayaan; dan juga membangunkan satu masyarakat progresif yang berlandaskan sains moden dan teknologi.

Prinsip Rukun Negara yang menjadi tonggak kepada prinsip kenegaraan dan menyatukan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, seharusnya disemaikan di dalam semangat generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Prinsip yang terkandung di dalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang ringan terhadap kestabilan, keamanan dan kehar-monian yang dicapai setakat ini.

Melafazkan ikrar Rukun Negara selepas nyanyian lagu Negaraku di dalam majlis rasmi adalah perkara yang amat wajar dipraktikkan bagi memastikan rakyat Malaysia memahami lima prinsip Rukun Negara dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian masing-masing kerana ini adalah satu-satunya cara untuk membangunkan satu Negara Malaysia yang harmoni dan bersatu.

Rukun Negara adalah panduan kita terhadap proses pembangunan negara dan hendaklah dihormati oleh semua pihak. Ia adalah satu wawasan yang dikongsi demi untuk perpaduan negara.

Prinsip yang terkandung di dalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang ringan terhadap kestabilan, keamanan dan keharmonian yang dicapai setakat ini.

TAN SRI LEE LAM THYE, Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 3 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : 13,000 GSTT diambil semula

KINABATANGAN 3 Mac – Nasib hampir 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditamatkan tugas baru-baru ini bakal terbela apabila kerajaan bersetuju mengambil semula mereka untuk berkhidmat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula tindakan memberhentikan tugas kumpulan pengajar tersebut dan berusaha menempatkan mereka di kawasan yang memerlukan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia ditempatkan di mana-mana kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara.

“Mereka inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan pada akhir tahun lalu dengan tiada sebarang pelantikan baru bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, individu yang pernah memegang jawatan GSTT sebelum ini, terutama yang berkhidmat selama dua atau tiga tahun akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Kumpulan tersebut mempunyai pengalaman mengajar dan khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan GSTT yang diberhentikan itu juga akan diberi peluang menjadi guru terlatih dengan menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran yang disediakan kerajaan seperti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti.

Beliau berkata, penambahan kursus-kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran pilihan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Ditanya bilakah kumpulan tersebut akan berkhidmat semula, Muhyiddin berkata, arahan mengambil semula kumpulan GSTT itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ia kini dalam proses pengurusan logistik dan penempatan semula kumpulan GSTT tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilan GSTT kali ini akan dilakukan dengan lebih teliti dengan memberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhidmat.

Justeru, beliau meminta semua Pengarah Pelajaran Negeri dalam pemilihan nanti supaya memberi perhatian kepada individu yang telah berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini dan hanya mengambil mereka yang benar-benar layak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : 1,086 penjawat awam muflis

Oleh Azrina Ahzan

bhnews@bharian.com.my

Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit.

"Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit.

“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.

“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, " katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

BUNGA RAYA BUNGA KEBANGSAAN MALAYSIA


Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu(Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.
Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.
Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.
Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.
Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut di sebahagian India.
Sumber : wikipedia.org

ISU BAHASA : Iklan dalam bahasa asing

Oleh Shuhaniza Said

bhsastera@bharian.com.my

Wajarkah pendekatan itu menjadi amalan pengiklan di Malaysia?

LIRIK 'Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai ...' saban hari kedengaran di corong radio dan televisyen negara ini sehingga kini meskipun ia sudah diperkenalkan ketika Kempen Bahasa Kebangsaan pada 1960-an.

Lagu Bahasa Jiwa bangsa ciptaan Dol Ramli lebih kerap kedengaran pada sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun sebagai perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini agar diutamakan baik dalam sektor awam mahupun swasta. Biarpun lagu dan lirik terbabit begitu bersemangat dalam membakar kesedaran rakyat Malaysia dalam mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi ia ibarat mencurah air di daun keladi apabila semakin banyak iklan di media elektronik menggunakan selain bahasa kebangsaan.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, melihat kecenderungan menggunakan lebih daripada satu bahasa selain bahasa Melayu sebagai tidak wajar.

“Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh syarikat gergasi milik negara kerana perbuatan terbabit memperlihatkan betapa tidak yakinnya mereka terhadap bahasa Melayu bagi mewakili produk masing-masing dan boleh disamakan dengan menjual maruah negara sendiri.

“Malaysia sudah mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan iklan untuk paparan rakyat negara ini, sewajarnya menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Tidak perlu menggunakan pelbagai bahasa untuk menjelaskan apa yang ingin disampaikan berhubung sesuatu produk,” katanya pada pertemuan dengan Sastera.

Pendekatan iklan pelbagai bahasa dengan rakyat negara ini sebagai sasaran juga dilihat tidak mendokong konsep 1Malaysia yang menekankan konsep saling penerimaan dan keharmonian semua bangsa yang memperakui dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa berkomunikasi.

Justeru, tidak timbul persoalan untuk menggunakan bahasa lain bagi mewakili sesuatu bangsa di negara ini kerana pendekatan terbabit akan menjadi punca kegagalan pencapaian matlamat gagasan 1Malaysia,

Selain itu, iklan dengan rakyat negara ini sebagai sasarannya juga tidak sepatutnya dibuat dalam bahasa ‘rojak’ atas alasan yang sama dan iklan dalam bahasa Melayu berserta Inggeris hanya boleh diterbitkan sekiranya kumpulan sasarannya di tempat yang membabitkan khalayak antarabangsa.

“Kewajaran menggunakan papan tanda dalam bahasa Melayu dan Inggeris hanya wajar dilakukan di tempat seperti lapangan terbang, pelabuhan, terminal utama bas dan teksi serta pintu sempadan negara,” ujarnya.

Pandangan beliau dipersetujui Pensyarah Pelawat, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr Sudarsono yang melihat isu penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam iklan elektronik di negara ini sebagai suatu ketidakwajaran.

“Bahasa adalah salah satu daripada komponen yang memperlihatkan jati diri sesebuah negara dan Malaysia sebagai negara yang sudah memperakukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tidak sepatutnya menggunakan empat bahasa,” katanya.

Justeru, bukan semua rakyat Malaysia mampu menguasai bahasa Melayu dan kebimbangan maksud yang ingin disampaikan pengusaha atau penerbit iklan tidak sampai kepada kelompok sasaran serta tidak menghargai sesuatu bangsa tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Pokok pangkalnya, hal ini berbalik kepada sikap terhadap bahasa. Kecenderungan menggunakan Bahasa Melayu memperlihatkan penghargaan dan kebanggaan terhadap bahasa tersebut. Ditambah pula sifat bahasa itu yang sudah mencakupi semua aspek yang sesuai untuk kesatuan bangsa.

“Alangkah indahnya sekiranya rakyat di negara ini diikat dengan hanya satu bahasa saja yang sudah perakukan kedudukan dalam undang-undang negara seperti mana Indonesia yang hanya menggunakan bahasa Indonesia,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Zubir Idris, melihat isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan elektronik daripada perspektif sebaliknya.

“Isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan perlu dilihat secara positif. Ia dapat menggambarkan semangat majmuk dan kesepaduan dalam masyarakat di negara ini. Dalam masa sama, khalayak diberi pendedahan untuk turut memahami bahasa, malahan budaya masyarakat pelbagai bangsa,” ujarnya.

Beliau melihat kebimbangan kelompok yang tidak bersetuju dengan penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan kerana kelompok berkenaan tidak mahu fungsi Bahasa Melayu diperkecil dan dipandang ringan.

Apatah lagi bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perkara 152 (Fasal 1) serta ditambah pula dengan pelbagai isu lain berhubung kedaulatan bahasa Melayu yang sentiasa menjadi topik perbincangan hangat.

“Namun, hal ini perlu ditangani sewajarnya dan kewajaran penggunaannya dilihat secara positif. Jika ia membawa banyak kesan positif khususnya bersangkutan dengan isu perpaduan dan konsep 1Malaysia, mengapa tidak?” soalnya.

Secara peribadi, Dr Zubir lebih senang jika Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa utama dalam media pengiklanan tetapi jika pelbagai bahasa yang digunakan, maka ia perlu ada pengawalan dan pemantauan ketat daripada pihak berkenaan.

“Ini bagi memastikan matlamat penggunaan bahasa yang pelbagai itu tidak menimbulkan rasa kurang senang terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Bagaimanapun, bahasa Melayu mesti diberi keutamaan bersesuaian dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara,” katanya.

Apa yang dapat disimpulkan, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan bahasa Melayu yang sememangnya diakui sebagai bahasa yang menyatukan semua bangsa di negara ini kerana ia mencerminkan budaya dan jati diri negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/