Selasa, 28 Februari 2012

ISU AGAMA : Sepuluh pintu beri ruang syaitan menguasai manusia


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (Surah an-Nisa, ayat 120-121).

Ayat ini jelas menerangkan kepada manusia antara sikap jahat syaitan terhadap manusia iaitu membisik ke dalam hati kita angan-angan kosong seperti menyangka sudah memiliki pahala yang banyak menerusi amalan yang dilakukan lalu manusia pun berfikir ‘aku layak mendiami syurga’ tanpa perlu meningkatkan lagi amalan.

Punca mengapa manusia mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan ini ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada ketika kita sedar atau tidak, sebenarnya ia menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri.

Apabila syaitan sudah menjadi raja di dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan merayap menguasai tunjang di dalam badan manusia.

Pada ketika itu, syaitan berlumba-lumba untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati itu dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah.

Namun, beruntunglah manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu iaitu:

Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini mudah tersemai dan subur dalam diri manusia. Ia berpunca sikap ego manusia yang mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah. Ia seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak (benar).

Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan nikmat yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (Surah an-Nahl, ayat 23)

Keempat – sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah selalu menasihati sahabat menjauhkan diri daripada menjadi golongan keempat ini kerana ia dibenci Allah

Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu yang kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua, orang yang berilmu dan imam (pemimpin) yang adil.” (Riwayat Muslim).

Kelapan – melalui sifat ‘ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam agama yang menentang sifat malas. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.

Kesepuluh - melalui sifat buruk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kawal siaran radio hina bahasa Melayu


Oleh ARIF ATAN

BARU-BARU ini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan semua stesen radio tidak terkecuali milik swasta mesti menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Dalam masa sama, stesen radio di negara ini juga tidak harus dibiar menyiarkan slot tertentu yang secara tersurat mahupun tersirat menghina kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Para pendengar radio yang peka tentu menyedari ada sebuah stesen radio milik swasta yang bersifat memperleceh bahasa Melayu walaupun bahasa pengantar utama siarannya adalah bahasa kebangsaan itu sendiri.

Program stesen radio itu yang sifatnya konon mahu santai bertindak mengenakan orang lain yang tidak menguasai bahasa Inggeris. Caranya mudah sekali gus begitu senang untuk merendah-rendahkan taraf bahasa Melayu.

Rancangan yang diadakan setiap 8.40 pagi itu akan bermula dengan juruhebah radio akan berlakon menjadi orang yang hanya tahu berbahasa Inggeris lalu menghubungi orang yang hendak dikenakan yang lazimnya tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Lalu ditonjolkan bagaimana "mangsa" yang hanya tahu berbahasa Melayu itu terkial-kial hendak melayan berbual dengan pemanggil itu. Akhirnya, perbualan itu akan diakhiri dengan ketawa berdekah-dekah oleh juruhebah terlibat dan pada masa sama mengejek "mangsa" tersebut.

Mengapa program sebegitu terus dibiarkan sehingga mencecah beberapa tahun? Tidakkah rakyat Malaysia rasa terhina dipermainkan hanya kerana tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?

Program itu jelas suatu bentuk penghinaan kepada pengguna bahasa Melayu di tanah airnya sendiri. Tidak ada keperluan bagi setiap lapisan rakyat kita untuk mahir bercakap bahasa Inggeris.

Makcik tukang jahit, petani, nelayan, pakcik jaga kubur, kakak toreh getah, penghantar surat, pekerja pasar raya dan lain-lain tidak menjadi keperluan bagi mereka untuk fasih berbahasa Inggeris.

Namun, golongan seperti itulah yang menjadi sasaran rancangan itu walhal mengetahui bahasa lain adalah kelebihan bukan keistimewaan. Tidak fasih berbahasa kebangsaan di buminya sendiri itulah yang patut lebih dimalukan.

Rancangan radio swasta itu patut dikecam dan diharamkan segera jika kita benar-benar mahu memperkasakan bahasa Melayu. Itu bukan suatu bentuk mendidik tetapi penghinaan kepada rakyat negara ini, yang mengecewakan ia dilakukan oleh radio berbahasa Melayu!

Seharusnya seruan Dr. Rais itu patut disahut terlebih dahulu oleh stesen radio tersebut. Promosikanlah bahasa kebangsaan yang baik kepada penutur bukan bahasa Melayu, bukan sebaliknya.

Jika hal tersebut berjaya dilakukan tiada masalah sebenarnya untuk 55 stesen radio lain yang diberi lesen oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membudayakan bahasa Melayu dengan baik, kreatif tetapi berhemah.

Ada baiknya jika Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dapat bersikap tegas kepada stesen radio yang secara tersurat mahupun tersirat menghina bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 27 Februari 2012

ISU BAHASA : DBP teruskan usaha mantapkan bahasa Melayu


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) akan meneruskan usaha memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, rasmi dan pengantar ilmu yang utama selaras dengan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK).

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan berkata, DBK penting bagi menjamin keseimbangan pembangunan di negara ini agar turut memberi penekanan pada aspek modal insan yang sama penting dengan pembangunan fizikal seperti jambatan, jalan raya dan bangunan.

“DBP akan cuba memenuhi cita-cita negara dalam menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman terutama daripada segi bahasa, ilmu dan sastera yang dapat menghaluskan budi pekerti serta pemikiran masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan DBP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shahrudin.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi Sasaran Kerja Utama (SKU) yang dirancang DBP bagi tempoh 2011 sehingga 2015.

Antara program yang dirancang DBP ialah Muzakarah Bahasa dan Persuratan pada 17 dan 18 Mac ini yang akan menghimpunkan kelompok pemegang kepentingan dalam soal bahasa, sastera dan ilmu termasuk budayawan, media, ahli bahasa serta pakar sains mahupun teknologi.

“Dengan menjemput kelompok pemegang kepentingan ini, kami berharap kami tidak bergerak sendiri dalam hal ini, tetapi bergerak bersama-sama seluruh sektor masyarakat negara ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa bukan pemisah


DARI kiri SM Zakir, Robert Yeo Cheng Chuan dan Seree Thatsanaslipa

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


Penerima Anugerah SEA Write 2011 luah cinta dan keamanan

CINTA dan keamanan bagaikan tidak dapat dipisahkan daripada puisi sehingga menjadi tema dan pesan yang paling akrab kepada penyair yang sama sekali berlawanan dengan realiti yang menggigit.

Dalam keghairahan mengungkapkan cinta dan keamanan, sesekali penyair tidak terlepas daripada mengimbau nostalgia khususnya fragmen hidup yang meninggalkan kesan sama ada dalam bentuk manusia atau kota.

Bagaimanapun, ada kalanya tampil penyair untuk mengingatkan teman kepenyairan terhadap ketidaksempurnaan yang wajar diterima oleh mereka termasuk dalam mimpi dan impian.

Justeru tidak hairanlah suara yang mengungkapkan hal itu yang terlepas bebas pada Baca Puisi oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011 di Muzium Istana Suan Pakkad, Bangkok, baru-baru ini.

Penyair yang juga kolumnis politik di akhbar Thailand, Seree Thatsanasilpa, membacakan puisinya, Mengembalikan Cinta ke Taman Dunia, yang menggagaskan impiannya terhadap dunia yang subur dengan cinta, tetapi kontang daripada derita.

Ini kerana krisis, konflik dan perang bagi Seree terlalu banyak mengejutkan dunia sehingga menjungkirbalikkan alam dan mengekang cinta, sekali gus menyekat laluan ke hati manusia.

Tidak hairanlah Seree memanfaatkan pentas yang menghimpunkan penyair yang mewakili rantau Asia Tenggara untuk membawa pesan menyemai cinta, menumbuhkan suara hati dan melenyapkan kebencian.

Tiada lagi air mata akan tumpah
tiada lagi kematian akan diratapi
perang tiada lagi tempat dalam sejarah
mereka telah membunuh terlalu ramai manusia.

Semaikan cinta. Biarkan ia mekar.
Meliputi bumi dengan bunga-bunganya.
Kembalikan kepercayaan dan kebenaran;
biarkan bumi yang dulunya pernah ada, menenangkan kita.

Pesan Seree itu senada dengan keinginan Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Malaysia, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir yang mendeklamasikan puisinya, Sepotong Cinta di Dunia Angin.

Ini kerana perjalanan yang merentas sempadan di tanah besar Asia Tenggara itu mengilhamkan beliau untuk membawa cinta yang bersifat sejagat itu bersama-samanya.

Sepotong cintaku tiba-tiba
menjadi bulan, bintang dan angkasa
dunia angin
kuhanyutkan sepotong cinta
untuk menjadi cahaya
di jalan berdebu di lembah baldu
dalam darah, tulang, daging dan kulitku.

Meskipun Seree membacakannya dalam bahasa Thai, manakala SM Zakir mendeklamasikan dalam bahasa Melayu, tema sejagat itu seolah-olah difahami Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Laos, Bounthanong Xomxayphol yang memilih puisinya, Kemanusiaan Memberikanku Nafas.

Aku masih hidup
untuk membangunkan
fikiran baru manusia
dan aku masih hidup
kerana kemanusiaan
memberikanku nafas.

Ketika suara cinta dan keamanan itu menguasai pentas, Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Singapura, Robert Yeo Cheng Chuan, pula memilih untuk mengimbau nostalgianya di kota Bangkok puluhan tahun silam apabila membacakan puisinya, Rain in Bangkok: October.

Aku masih terselamat, meskipun
aku dalam kota yang salah
telah kupelajari untuk meneka
di mana permukaan pernah wujud
tapi tak kusiapkan diri
dan tidak berkasut
aku terpaksa menyingsing kaki celana
menanggalkan sepatuku, sebelum
melompat ke tangga yang kering.

Bagaimanapun di sebalik suara yang meluahkan impian idealis untuk dunia yang realistik, Penerima Anugerah SEA Write 2010 dari Thailand, Zakariya Amataya, bagaikan mengingatkan mereka terhadap ketidaksempurnaan mimpinya dalam The Buttons of My Childhood Jacket.

Dalam mimpiku, kiranya ada jambatan
pastilah ia terbina separuh
dalam mimpiku, kiranya ada tangga
pastilah ia menuju ke bawah.

Dalam mimpiku, kiranya tumbuh sepohon kayu
pastilah ia tidak berdaun
kiranya terbangun teratak dalam mimpiku
pastilah ia tidak berbumbung.

Acara itu turut dimeriahkan dengan bacaan puisi dan karya oleh Penerima Anugerah SEA Write 2011, Mohd Zefri Ariff Mohd Zain Ariff dari Brunei Darussalam; D Zawawi Imron (Indonesia); Romulo P Baquiran (Filipina); Jadej Kamjorndet (Thailand) dan Nguyen Chi Trung (Vietnam) selain Penerima Anugerah SEA Write 2001, Chokchai Bundit.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Anugerah SEA Write yang juga Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra; Pengasas Baca Prosa dan Puisi Tahunan SEA Write, Prof Madya Dr Trisilpa Boonkhachorn; Presiden PEN Antarabangsa Thailand, Prof Madya Dr Soranat Tailanga dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sallehuddin Abang Shokeran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Kejayaan model ‘Malaysia’


Khairuddin Mohd Zain

DATA dan statistik mengenai pelaburan asing yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) boleh dianalisis melalui perspektif yang pelbagai. Ia boleh dinilai dan dianalisis dengan minda sempit kenegerian, pandangan terbatas kepartian dan ideologi ataupun melihatnya dalam konteks yang lebih besar iaitu – kerangka Malaysia.

Menggunakan apa sahaja asas analisis sekalipun, ia tidak boleh menafikan Malaysia secara keseluruhannya berada di atas landasan ekonomi yang sangat meyakinkan. Inilah sebenarnya mesej ‘asas’ kepada data dan statistik yang diumumkan MITI.

Ketika ekonomi dunia pada keseluruhannya masih berada dalam keadaan tidak menentu, pencapaian keseluruhan Malaysia dalam menarik minat pelaburan asing ini sebenarnya sangat memberi kesan langsung kepada ekonomi negara secara keseluruhannya. Tidak perlu kita menilai sesuatu melalui perspektif ‘perang politik’ yang tidak menguntungkan rakyat secara keseluruhannya.

Apa yang lebih penting, Malaysia sebagai sebuah negara, berjaya menampilkan aspirasi ekonomi yang tinggi dan berminda hadapan. Jangan nafikan, bahawa strategi ekonomi Malaysia secara keseluruhannya lebih menjadi tarikan berbanding dengan faham ekonomi yang lebih tercarik-carik mengikut kononnya ‘strategi politik’ negeri secara berasingan. Kecualilah, memang kita mahu sampaikan kepada rakyat bahawa ‘model kita’ adalah lebih baik dan sama sekali tidak bergantung harap kepada wajah Malaysia secara keseluruhannya.

Penulis percaya bahawa ramai rakyat yang berasa sangat senang hati apabila Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan medianya bertarikh 22 Februari 2012, berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia dan MIDA yang banyak membantu InvestPenang dalam mengenal pasti pelaburan berkualiti yang boleh dihalakan ke negeri itu.

Sudah pasti, apa yang bermain dalam pemikiran pegawai tertinggi MITI, MIDA dan kerajaan seluruhnya; bukan soal siapa atau parti apa yang berada di Pulau Pinang. Kebiasaannya, asas membuat keputusan kepada pelabur-pelabur antarabangsa adalah ‘kerangka negara’ secara keseluruhannya dan bukannya asas kenegerian semata-mata.

Ini belum lagi mengambil kira ‘iklim ekonomi’ nasional, tawaran insentif ekonomi jangka sederhana dan panjang, kewujudan sumber tenaga manusia bersesuaian dan banyak angkubah lain yang perlu diambil kira.

Oleh demikian, mengambil perhitungan simplistik bahawa ini semua berlaku kerana polisi dan dasar yang baru dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini bukanlah nilaian yang menyeluruh.

Kita ambil sahaja contoh bagaimana Kedah Darul Aman yang mencatatkan jumlah pelaburan industri pembuatan agak baik. Apakah ini semua timbul dengan semberono dan begitu sahaja? Sudah pasti, semua ini hanya mampu berlaku apabila kesinambungan pembangunan lama dapat dirasai dan dinikmati oleh kerajaan negeri sedia ada.

Nilaian yang adil akan memberikan ‘merit politik’ yang wajar kepada kerajaan terdahulu yang mengusahakan kawasan perindustrian yang merata di Kedah. Kawasan Perindustrian Kulim Hi-Tech Park, Kawasan Perindustrian Bandar Darul Aman dan Kawasan Perindustrian MIEL Sungai Petani sudah pun dibangunkan jauh lebih awal daripada pertukaran kepimpinan yang hanya berlaku pada 2008.

Elok dan amat wajar juga sekiranya kerajaan Pas di Kedah memberikan kenyataan hampir serupa seperti Pulau Pinang, menghargai pelan pembangunan industri di Kedah yang terbina lama oleh kerajaan BN selama ini.

Tidak usah menafikan bahawa mereka pada hakikatnya bernasib baik untuk menerima sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan wibawa. Selain daripada infra, banyak strategi ekonomi yang ada hari ini hanyalah kesinambungan kepada apa yang sudah berjalan lama.

Wujud ketika dan situasi, ahli politik mana sekalipun perlu mengurangkan ‘permainan dan kenyataan politik’ dan lebih menumpukan kepada impak dan kesan ekonomi secara keseluruhannya kepada rakyat. Jika minda ini dapat didahulukan, kita akan menerima angka, data dan statistik dengan lebih neutral dan tidak tertumpu kepada beberapa isu yang dirasakan memberikan kemenangan politik sementara. Merit wajar diberi di mana ia patut dan wajar diberikan.

Apa pun jua, apa yang penting kepada rakyat secara umumnya bukanlah data dan statistik semata-mata. Rakyat perlu disedarkan bahawa pelaburan ini juga membawa banyak keuntungan lain. Peluang pekerjaan, akses kepada peluang ekonomi yang lebih meluas dan keutuhan ekonomi negara secara total.

Sebagai contoh, sepanjang 2007-2011 sahaja, berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan, hampir 340,000 peluang pekerjaan diwujudkan di seluruh negara. Sebahagian besar daripada angka ini menjurus kepada tenaga kerja berkemahiran, teknikal dan pengurusan.

Sudah tentu, peluang pekerjaan ini memberikan lebih banyak peluang kepada tenaga muda Malaysia menikmati ‘makna’ pertumbuhan ekonomi negara yang sebenar.

Adalah menjadi harapan masyarakat, agar peluang pelaburan yang merata di seluruh negara turut membawa ruang dan akses ekonomi bersemangat sama kepada rakyat. Tidak perlu kita bersikap terlalu ‘kenegerian’ dalam menilai angka ini. Apa yang lebih penting, lebih ramai anak muda Malaysia mampu diserapkan dalam dunia pekerjaan, langsung menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

Bayangkan, bagaimana kumpulan besar anak muda di Eropah merintih kerana tidak mempunyai peluang kerja – warga Malaysia menikmati peluang yang sangat luas dan terbuka. Pada tempoh yang sama (2007-2011), Greece misalnya, berdepan dengan isu pengangguran yang hampir mencecah 20.9 peratus setakat penghujung 2011. Ini belum lagi kita menganalisis beberapa negara lain yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat mencengkam dan kritikal.

Rakyat juga perlu tahu, daripada lima pelaburan terbesar dalam pelaburan industri pembuatan, dua daripadanya adalah pelaburan domestik yang didokong oleh dua syarikat Malaysia sendiri. Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn Bhd (RM2.4b) dan Petronas Gas (RM1.3b).

Bangga rasanya melihat syarikat tempatan mampu berada sebaris dengan pelabur luar seperti Panasonic, Intel dan Samsung. Ini juga seharusnya memberikan kita rasa senang hati kerana kalangan syarikat Malaysia juga boleh diurus dengan baik dan cemerlang, sekali gus mencipta ‘nilai pelaburan’ dalaman yang membantu pembangunan ekonomi domestik.

Dalam waktu sama, jangan kita terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai. Perlu juga kita menilai sebarang kelemahan yang mungkin ada sehingga kita terpaksa menangguhkan beberapa pelaburan sektor pembuatan kerana masalah sumber tenaga dan sebagainya. Jika tidak, pastilah Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.

Masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan kepada syarikat-syarikat utama dunia. Pakej dan kerangka ekonomi Malaysia sudahpun berada di landasan yang terbaik, termasuk dengan kesungguhan pelaksanaan program transformasi ekonomi yang sedang dibawa oleh kerajaan pada ketika ini.

Jangan sesekali kita memperkecilkan banyak negara yang semakin meningkat ‘magnet pelaburannya’. Negara seperti Vietnam, Myanmar dan Filipina pastinya mengintai peluang besar untuk menarik jumlah pelaburan yang lebih besar. Berdasarkan trend dunia seperti yang dilaporkan oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), pelaburan asing masih berada dalam keadaan tidak menentu.

Apa yang dikemukakan oleh MITI secara jelas menunjukkan Malaysia masih berada di bawah radar dan carta zon pelaburan prolifik di peringkat dunia dan antarabangsa.

PENULIS ialah pemerhati sosio ekonomi


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 26 Februari 2012

ISU BAHASA : Nilai tinggi hikayat Melayu


Oleh ZAHIRUDDIN ZABIDI
(zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my)

MEMBACA hikayat lama atau klasik Melayu bukan suatu pilihan yang ada dalam senarai bacaan anak muda malah mungkin sesiapa sahaja dewasa ini. Kalau bukan kerana ada fakulti dan jabatan yang khusus di universiti-universiti menawarkan kursus-kursus yang berkaitan, rasanya sudah lama hikayat menjadi bahan bakar bagi memanaskan air di dapur kayu.

Menurut Kamus Dewan edisi IV, hikayat bermaksud cerita lama atau sejarah, riwayat. Antara yang tersohor dan lama (klasik) adalah seperti Hikayat Merong Mahawangsa, yang berjaya difilemkan oleh KRU Production, Hikayat Hang Tuah pula difilemkan oleh P. Ramlee puluhan tahun dahulu dan Hikayat Puteri Gunung Ledang yang difilemkan oleh Teong Hin Saw. Selain daripada itu masih banyak lagi hikayat Melayu sebagaimana yang diketahui wujud ataupun sudah ghaib pada hari ini.

Dalam masa yang sama, entah berapa banyak hikayat yang sudah diangkut oleh Inggeris dan Belanda sebagaimana yang diceritakan oleh Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah, betapa Inggeris begitu berminat membaca, mengkaji dan memiliki kitab-kitab hikayat tulisan tangan daripada orang Melayu malah sanggup membayar berapa sahaja harganya.

Orang Melayu yang pada masa itu mempunyai hikayat sama ada yang dihadiahkan orang atau diperturunkan oleh nenek moyang mereka kerana tertarik dengan habuan harta yang sekelumit sanggup menjual langsung segala hikayat simpanan mereka. Bukan sahaja kitab hikayat, kitab-kitab muktabar pengajian Islam dalam pelbagai disiplin juga diangkut sama; kitab tauhid, kitab fiqah, kitab tasawuf tulisan para ulama Melayu tidak terlepas.

Abdullah Munshi meskipun adalah penulis Inggeris iaitu kepada Stanford Raffles yang dinyatakan sangat suka kepada manuskrip hikayat dan bahasa Melayu itu sendiri mengkritik sikap orang Melayu dengan menyatakan betapa orang Melayu tidak sedar apabila mereka menjual khazanah mereka.

Ternyata ia benar. Entah berapa banyak yang sudah berjaya diangkut sehingga pada hari ini andai ada sarjana tanah air mahu mengkaji mengenai manuskrip-manuskrip ini terpaksa pula terbang ke Belanda atau London kerana di sana tersimpan khazanah tulen tulisan para ulama dan cendekiawan Melayu silam.

Itu tidak dikira manuskrip yang tidak berjaya sampai kerana kapal yang mengangkutnya tenggelam akibat kecelakaan di tengah samudera. Andainya roh para ulama dan cendekiawan Melayu Islam itu boleh hadir dalam mimpi anak cucunya pada hari ini, agaknya apa yang mereka akan sampaikan?

Entah kerana cerdiknya para penjajah, Inggeris dan Belanda atau bodohnya orang Melayu pada zaman itu. Kos bagi seorang sarjana mengambil ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah dalam bidang kajian yang merujuk kepada manuskrip klasik ini memaksa mereka terbang ke sana selama bertahun-tahun ditanggung kerajaan.

Kadang-kadang terfikirkah kita, apakah sejauh itu penjajah berfikir? Iaitu pada suatu hari kelak, tanah jajahan mereka akan merdeka juga namun bagi memastikan kita tetap terjajah, selain daripada meninggalkan warisan pemikiran dan budaya, mereka juga mengangkut sumber ketamadunan, pemikiran dan budaya tempatan pulang. Pada hari ini, jutaan wang digunakan bagi menanggung kajian atas manuskrip berbahasa Melayu bertulisan Jawi milik nenek moyang kita sendiri di negeri mereka.

Hikayat-hikayat ini pada asalnya hanya diperturunkan dari generasi ke generasi menggunakan kaedah penceritaan lisan. Ini kerana masih belum ada kaedah menulis di Tanah Melayu sehinggalah ia menerima pengaruh-pengaruh daripada ketamadunan yang lebih awal seperti India dan China.

Sementelah sebelum kedatangan Islam, orang asal Tanah Melayu adalah penganut animisme yang kemudian menerima Hindu-Buddha sebagai agama umum khususnya dalam kerajaan Melayu terawal di Kuala Kedah yang terlebih dahulu dikenali sebagai Langkasuka.

Ada beberapa usaha contohnya oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengumpul dan menjaga manuskrip asal hikayat yang kini sudah menjadi khazanah bangsa dan agama. Malah PNM menempatkan tingkat khas bagi menatang manuskrip-manuskrip klasik yang masih berbaki itu dengan sebaiknya.

Di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), ada usaha oleh seorang sejarahwan Sabri Zain yang berjaya mengumpul ratusan naskhah hikayat-hikayat dan manuskrip nadir ini ke dalam bentuk PDF dalam sebuah perpustakaan maya.

Ia malah dapat diakses dengan percuma dan boleh dimuat turun dengan bebas oleh sesiapa sahaja menerusi laman sesawang http://www.sabrizain.org/malaya/library/.

Bukan sahaja manuskrip asal hikayat dalam tulisan Jawi yang disimpan di sana, tulisan-tulisan kemudian oleh sarjana Inggeris dalam memperihalkan mengenai Tanah Melayu dan hikayatnya serta tulisan mereka yang berbentuk jurnal dan memoir juga ada terdapat di sana.

Kita juga wajar berterima kasih kepada Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP) dengan usaha sama Yayasan Karyawan Malaysia, sudah menerbitkan kitab-kitab Karya Agung Melayu dalam tulisan Rumi dengan mengekalkan langgam bahasa klasiknya. Ia adalah usaha murni yang wajar dipuji dan diberikan perhatian, meskipun menelan berapa sahaja kosnya ia tetap berbaloi apabila kita memahami betapa ia penting kepada kita kelak.

Hakikatnya apabila menyebut mengenai hikayat maka konotasi khas yang membumbui fikiran orang Melayu masa kini adalah, hikayat adalah sebuah cerita dongeng yang palsu. Kita katakan ya, memang ia bercampur dongeng kebanyakannya, justeru jangan baca untuk mempercayainya.

Timbul pula persoalan, justeru mengapa bersusah payah dan berhabis dana bagi menjaga dan memanjang hayatnya? Apakah kepentingan cerita-cerita bersifat khayalan belaka itu, lebih baik diberi dana kepada penyelidikan bersifat sains dan teknologi, lebih penting dan membijaksanakan bangsa.

Dengarkan nasihat Abdullah Munshi ini. Kata beliau, "Ketika itu aku suka membaca hikayat-hikayat kerana banyak faedah kuperoleh daripadanya. Di situlah aku menemui rahsia-rahsia bahasa Melayu. Kalau aku dengar ada orang menyimpan hikayat yang belum aku baca, sedaya mungkin aku akan meminjamnya ataupun menyewanya. Setelah habis kubaca, barulah aku pulangkan."

"Dari situlah aku mendapat kefahaman mengenai tempat hentian dan kuat perlahan dan sebagainya dalam bacaan. Pesanku kepada sekalian sahabat yang membaca kisahku ini, jika hendak pandai dalam bahasa Melayu, rajinlah membaca segala hikayat dalam bahasa Melayu. Di dalamnya tersembunyi perkara-perkara yang mulia yang tidak kita ketahui faedahnya sekarang. Kemudian hari kelak ia akan berguna apabila kita hendak mengarang, ataupun hendak menggunakannya."

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Debat secara beradab, beretika elak dipengaruhi emosi


Oleh Amran Zakaria

ISU UNTUK berdebat dan cabar-mencabar semakin menjadi-jadi, terutama dalam usaha meraih populariti kumpulan mahupun peribadi. Cabaran untuk berdebat ini biasanya timbul apabila berdepan dengan pertembungan idea dan pendekatan dalam menangani sesuatu perkara. Dalam bahasa Arab disebut sebagai ikhtilaf.

Pada asasnya istilah ini merujuk kepada perbezaan pendapat terhadap sesuatu perkara. Dalam erti kata lain setiap orang mengambil yang berbeza sama ada dalam perkataan mahupun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama. Oleh itu, setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf, sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan.

Harus diakui manusia memang berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125).

Risalah al-Mustarsyidin menggariskan 10 adab untuk berdebat iaitu tidak berada dalam keadaan marah, tidak cuba mencari masalah, tidak membanggakan diri, jangan menghukum, jangan ketawa, jangan menjadikan dakwaan sebagai dalil, apabila anda mendatangkan dalil, tujuan daripadanya adalah mencari kebenaran, apabila anda menggunakan akal, gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu, hendaklah anda menjadikan kebenaran berharga untuk umat Islam dan usah mencari kemenangan sebagai tujuan utama (dalam berdebat) dan yang akhir sekali janganlah anda berpaling kepada orang lain sewaktu pihak kedua sedang bercakap dengan anda.

Ertinya, penjagaan akhlak dan kesopanan amat dititikberatkan seandainya berlaku perdebatan. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal sebaik-baik sahabat dan adab sebaik-baik peninggalan (Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

Sesungguhnya akhlak dan adab ini akan menjaga diri kita daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kehancuran. Lebih-lebih lagi jika kita sangat inginkan perbahasan ilmu yang mempunyai khilaf padanya. Dengan mempelajari adab maka tenanglah hati menghadapinya.

Debat kalau berlaku mestilah secara beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari pengaruh dan kemenangan, sedangkan debat yang dicadangkan ialah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan lawan, pelbagai kata kasar dan nista dihambur keluar akan memburukkan keadaan Dibimbangi keburukan demi keburukan orang didedah dan diaibkan melalui kata-kata.

Ramai yang suka bertikam lidah apabila berlaku perselisihan pendapat. Kadangkala timbul keadaan menyerang, menentang dan saling mencela antara mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Aku ialah pemimpin di sebuah tempat di syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar.” (Riwayat Abu Daud).

Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu, jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga. (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)

Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas maka dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.

Termasuk dalam adab menjauhi perdebatan ialah berwaspada seandainya sesuatu perbincangan yang dimulakan dengan adab Islam akan berubah menjadi satu perdebatan yang dibina atas dasar keangkuhan. Oleh itu hendaklah sentiasa prihatin kepada tanda-tanda yang bakal mengubah satu perbincangan kepada perdebatan, seperti sikap berlemah lembut mula berubah kepada perkataan yang kesat, bahasa yang kasar, nada yang tinggi dan gerak badan yang mengancam, manakala format perbincangan berubah daripada ilmiah kepada emosi.

Cara penuturan seseorang memudahkan kita mengenali watak ahli pendebat. Bahasa yang terhambur keluar melalui lidah yang tidak bertulang amat membahayakan kerana tajamnya melebihi sembilu. Justeru, jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah amarah dan nafsu semata-mata.

Rasulullah SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/